Pengikut Pas yang taksub  dengan perjuangan parti itu pernah  memulaukan  imam UMNO dan menganggap sembahyang tidak  sah sekiranya  berimamkan mereka. 
Perkara itu didedahkan oleh bekas penyokong kuat  parti itu, Aziz  Jusoh, 51, yang mendakwa, ada di  kalangan ahli Pas menganggap  perkahwinan yang  dinikahkan oleh jurunikah UMNO juga tidak sah dan   perlu dinikahkan semula.
"Malah, sembelihan orang UMNO juga tidak boleh  dimakan sebagaimana  yang disebarkan menerusi  ceramah Pas pada waktu itu dan ia menjadi  ikutan  sebilangan besar umat Islam yang taksub  termasuk saya sendiri. 
“Pada fahaman saya, penceramah Pas pada  waktu itu memang mengkafirkan orang-orang  UMNO," dakwanya.
Aziz membuat pendedahan tersebut pada Majlis  Selamat Tinggal Pas di  Kampung Gong Tinggi  dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan   Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri,  Datuk Dr. Awang Adek Hussin  dan Ketua UMNO  Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.
Aziz mendakwa,  akibat terlalu taksub dengan fahaman Pas  dia  tidak  pernah menunaikan solat Jumaat dalam  mukimnya jika imam pada hari itu  adalah  penyokong UMNO dan sanggup  ke masjid  lain yang dikenal pasti  diimamkan oleh penyokong  kuat Pas atau solat di rumah berimamkan siaran   langsung di radio.
"Semua ini dilakukan kerana terlalu setia kepada  perjuangan Pas yang  kononnya memperjuangkan  Islam dan menjanjikan syurga kepada   penyokongnya.
"Kini saya sedar perbuatan itu adalah salah dan  menyimpang daripada  ajaran Islam sebenar. Saya  sudah bertaubat dan meminta ianya tidak  menjadi  ikutan orang lain terutama penyokong Pas yang  masih taksub  terhadap parti itu," akuinya.
Aziz mendakwa, fahaman yang disebarkan oleh  penceramah Pas lazimnya  menjadi amalan  penyokong akar umbi yang kurang mendalam ilmu  agama  mereka sehingga sanggup melakukan apa  sahaja walaupun ianya  bertentangan dengan  ajaran Islam sebenar.
"Mereka (penceramah Pas) tidak boleh menafikan  perkara ini kerana  saya adalah salah seorang  penyokong yang taksub dan berbuat demikian   semata-mata kerana terlalu setia terhadap  perjuangan parti itu sebelum  ini," dakwanya.
 
