Friday, June 26, 2009

MAJLIS SYURA ULAMA PAS HANYA PENYEDAP TELINGA?

Keputusan Majlis Syura Ulama PAS

"Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April, 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia."

Kami orang Melayu dan Islam di Malaysia tidak faham dengan keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang bersidang pada 23 April 2008 yang lalu. Apakah keputusan PAS menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dizahirkan oleh Presiden PAS sendiri itu tidak menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia? Bukankah TG Hj Abdul Hadi Awang adalah Presiden PAS dan Ustaz Nasharuddin itu adalah Timbalan Presiden PAS? Kenapa cadangan mereka ditolak oleh TG Nik Aziz dan Majlis Syura Ulama PAS juga akhirnya bersetuju dengan Nik Aziz. Apakah Majlis Syura Ulama PAS takut kepada TG Nik Aziz?
Dan apakah pula dengan menolak kerjasama dengan UMNO dan sebaliknya bersama dengan DAP dan PKR, Majlis Syura Ulama PAS yakin boleh menyatupadukan umat Islam? Jawab cukup mudah bang ooiii! Tak mungkin tak tahu jika 1+1 sama dengan apa?

Didapati,
UMNO = 98% Melayu + 2% B/putra + 98% Islam
PKR = 40% Melayu + 30% Cina + 30% India
DAP = 98% Cina + 2% India
PAS = 98% Melayu + Islam + 2% Bukan Melayu
Oleh itu,
UMNO = Majoriti 98% Melayu = Islam
PKR = Majoriti 60% Bukan Melayu
DAP = Majoriti 98% Cina
PAS = Majoriti 98% Melayu/100% Islam

Kesimpulannya;
PAS bersama UMNO = Melayu dan Islam akan bertambah kuat
PAS bersama DAP dan PKR = Melayu dan Islam akan bertambah lemah



Wednesday, June 24, 2009

KECEWA KERAJAAN PERPADUAN DITOLAK!!!!

Ahli Akademik dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu kecewa dan kesal apabila kerajaan perpaduan yang dicadangkan demi perpaduan orang Melayu akhirnya terkubur begitu sahaja.

Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, perasaan orang Melayu seolah-olah dipermain-mainkan apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu.

“Kita teruja dan gembira sebelum ini kerana sudah nampak ada usaha perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam apabila timbulnya cadangan ini terutama kerjasama antara UMNO dan Pas.

“Tetapi akhirnya ia jadi begini. Perasaan orang Melayu seolah-olah terus dipermainkan demi kepentingan politik pembangkang semata-mata,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas cadangan Pas sebelum ini bagi mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam, tetapi ditolak pakatan pembangkang semalam.

“Mereka (Pas) tidak fikir tentang agenda orang Melayu atau Islam. Saya lihat Pas kini sudah hilang kredibiliti sebagai parti Islam yang dihormati, tetapi hanya mahu berpolitik lebih daripada perjuangan asalnya.

“Lebih aneh, mereka menyalahkan UMNO pula kerana cuba mengeksploitasi isu ini. Setahu saya, cadangan ini datang daripada mereka (Pas). Ini ibarat ‘hujan naik ke langit’ pula,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Rahimuddin Md. Harun yang turut kesal dengan kegagalan kerajaan perpaduan itu berkata, keadaan orang Melayu kini tidak boleh dibanggakan sangat.

Katanya, kaum itu perlu berbuat sesuatu untuk bersatu bagi mencapai kemajuan dalam segala aspek.

“Tetapi, apabila ada usaha seperti ini yang boleh memberi makna besar kepada perpaduan orang Melayu, ada pula yang seperti mahu ia tidak dilaksanakan,’’ katanya.

Katanya lagi, ini menunjukkan bahawa Pas terus tunduk dengan arahan dan kata-kata DAP yang sesekali tidak akan membenarkan orang Melayu bersatu-padu.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad pula berkata, sikap Pas yang berdolak-dalik dalam isu tersebut amat dikesali kerana ia merugikan orang Melayu sendiri.

“GPMS yakin rakyat telah jelas dan faham tentang permainan politik Pas sejak dulu lagi. Kita percaya rakyat akan menolak sebarang cadangan daripada Pas lagi selepas ini walaupun atas nama agama dan kaum Melayu,” jelasnya.

Ketua Umum, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar pula berkata, penolakan idea itu bertentangan dengan aspirasi rakyat yang telah lama menikmati hasil perpaduan sejak negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, ia dibuat di peringkat pemimpin politik sahaja tanpa mendengar pandangan akar umbi.

“Pakatan pembangkang selama ini mencanangkan mereka mewakili rakyat, tapi kenapa dalam hal ini mereka tidak mendengar suara rakyat terlebih dahulu,’’ katanya.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustapha Ishak berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan Pas lebih mementingkan politik pilihan raya berbanding politik kepentingan ummah.

“Pada masa ini, Pas hanyalah parti ketiga dalam pakatan pembangkang. Jangan anggap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP akan beri peranan utama kepadanya apabila menang kelak, insaflah bahawa kepentingan ummah mengatasi segala-galanya,’’ katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, kegagalan idea kerajaan perpaduan berpunca daripada penolakan PKR dan DAP.

Katanya, beliau yakin jauh di sudut hati Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tetap mahukan idea itu direalisasikan demi kepentingan Islam dan orang Melayu.

“Namun, akhirnya dia sedar kekuatan Pas tiada, jadi dia terpaksa ikut arus yang deras dalam pakatan pembangkang.

“Apa pun Pas tidak mahu mengakui mereka mengikut arus deras itu dan sebaliknya lantang menuduh UMNO,” katanya.

Sementara itu, pensyarah di Jabatan Pengajian Hubungan Antarabangsa dan Strategik, Universiti Malaya (UM), KS. Balakrisnan berkata, pakatan pembangkang dilihat agak goyah apabila isu berkaitan kerajaan perpaduan dibangkitkan.

Katanya, pihak pakatan mungkin takut atau bimbang sekiranya gabungan Pas dan Barisan Nasional (BN) menjadi kenyataan, kuasa politik dan sokongan masyarakat Islam kepada mereka akan terhakis.

Sumber: Utusan Malaysia 24 Jun 2009

Monday, June 22, 2009

PAS BERSAMA PAKATAN RAKYAT- TOLAK UMNO!!

Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat sepakat menolak perbincangan kerajaan perpaduan dengan Umno atau Barisan Nasional, demikian diputuskan dalam suatu mesyuarat petang ini.
Pemimpin tiga parti tersebut PKR, DAP dan PAS mengulangi pendirian mereka untuk meneguhkan kerjasama dalam gabungan pembangkang dengan hasrat mengambil alih kerajaan persekutuan suatu masa nanti.
Kenyataan bersama mereka ditandatangani oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh utama DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Komen:
Harapan majoriti orang Melayu untuk melihat PAS dan UMNO bersatu kini musnah. Pemimpin PAS ternyata lebih yakin bahawa Islam lebih subur dalam pemerintahan Pakatan Rakyat. Apakah kenyataan ini benar? Pemimpin PAS rela melihat orang-orang Melayu terus berpecah sesama sendiri. Oleh kerana pemimpin PAS mahu melihat DS Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia akan datang maka mereka sanggup melihat Melayu berpecah. Oleh kerana Islam itu adil kepada semua kaum/bangsa maka pemimpin PAS bersetuju bahawa Lim Kit Siang menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia menggantikan TS Muhyiddin Yasin. Yang aku takut, 'yang dikejor tak dapat yang dikendung keciciran'. Apakah PAS terlalu yakin bahawa majoriti orang-orang Melayu akan meninggalkan UMNO? Jika PAS masih kelihatan 'lemah' dan menjadi 'pak turut' dalam Pakatan Rakyat, tidak mungkin orang Melayu akan meninggalkan UMNO. Namun semua pihak sangat kecewa, bila harapan untuk melihat UMNO dan PAS bersama dalam Pakatan Rakyat tidak berhasil. Pertubuhan-pertubuhan sukarela, NGOs berteraskan Islam dan Melayu turut merasa kecewa. Apakah pandangan ulama-ulama PAS dan ulama-ulama UMNO serta mufti-mufti dalam isu ini di mana pemimpin PAS telah memutuskan tidak mahu bersama UMNO dan sebaliknya bersama Pakatan Rakyat?

Saturday, June 20, 2009

TIADA BEZA PAS ATAU UMNO?

Menuduh orang lain kafir, halal dan haram serta boleh masuk syurga dan neraka bukan kerja manusia. Ingatlah dulu UMNO dituduh kafir kerana berkawan dengan orang kafir seperti MCA dan MIC. Bila PAS masuk BN, hukum jadi kafir tidak disebut lagi, bila keluar BN, hkum jadi kafir dipakai semula, bila bersama DAP dalam Pakatan Rakyat hukum berubah pula jadi harus. Hukum ikut rasa pemimpin PAS.
Sedangkan sabda Rasulullah SAW: " Tidak boleh menuduh seorang terhadap yang lain dengan tuduhan fasiq atau kafir melainkan kembali fasiq atau kafir itu kepadanya jika ia tidak sedemikian".
Tidak masuk PAS tidak sempurna Islam kerana PAS jamaah Islam. Tidak bersama jamaah Islam adalah dilarang kerana Rasulullah bersabda," Hendaklah kamu tetap bersama jamaah Islam dan pemimpinnya". Sedangkan PAS sebenarnya bukan jamaah Islam yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah SAW kerana PAS lahir dari perpecahan ummah. Lagi pun tiada dalil bahawa PAS penyempurna Islam!!! Sedangkan Islam telah sempurna sejak 1400 tahun dulu semasa turunnya ayat al-Quran yang bererti,"Pada hari ini AKU cukupkan agama kamu dan AKU sempurnakan ke atas kamu nikmatKU dan AKU redha bagi kamu Islam sebagai agama (auturan hidup)" - surah al-Maidah: 3.
Oleh itu bukan masanya UMNO dihina dan dicerca, dituduh dan didakwa serta dihukum yang bukan-bukan hingga berjangka jahat sesama Islam sedangkan berjahat sangka adalah dosa besar yang memusnahkan kedamaian hidup manusia.
Bukan parti diutamakan, bukan Pakatan diutamakan dan bukan Barisan diutamakan. Sedangkan persaudaraan sebenar berdasarkan kepada keimanan dan keislaman. Allah swt berfirman bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara, maka perdamaikanlah antara dua orang saudara mu" - Surah al-Hujarat:10.
Oleh itu tiada sebab dan alasan yang sangat kukuh PAS dan UMNO tidak boleh bersama. Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang berani menyampaikan kebenaran biarpun ianya pahit. Marilah kita bersatu kerana mempertahankan agama, bangsa dan negara Malaysia yang tercinta ini.

Thursday, June 18, 2009

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan.....

PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah. Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia. ‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan. ‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Komen: Tuan Guru Nik Aziz pula ulama PAS yang menentang keras usaha cadangan Presiden PAS, DS Haji Abdul Hadi ke arah itu. Kenapa TG Nik Aziz jadi begitu? Apakah pandangan TG Nik Aziz tidak menganggahi kehendak Islam? Apakah dendam TG Nik Aziz kepada UMNO sangat menebal hingga tidak boleh dimaafkan lagi? Selalunya rakyat bawahan jadi keliru dengan pandangan-pandangan ulama seperti ini. Sekarang ada dua ulama; Ulama PAS khususnya TG Nik Aziz menentang ada kerjasama PAS dan UMNO manakala ulama yang boleh dianggap berkecuali, Mufti Perak sangat bersetuju ika kerajaan perpaduan UMNO dan PAS dapat dijayakan. Tetapi bagaimana pandangan saudara budiman pembaca blog ini?
Sumber: Utusan Malaysia 18 Jun 2009

Tuesday, June 16, 2009

JIKA UMNO DAN PAS DAPAT BERSAMA......

Lupakan peristiwa yang lalu. Buang yang keruh ambil yang jernih. Mulakan dengan bermuzakarah. Tiada masalah yang tak boleh diselesaikan. UMNO dan PAS dari serumpun bangsa dan seagama. Jika demikian, mengapakah UMNO dan PAS tidak boleh bersama?
Ingatlah jika Melayu lemah dan Islam akan turut lemah di bumi Malaysia ini. Apakah yang PAS dapat jika Islam yang diperjuangkan semakin lemah dan apakah UMNO dapat jika bangsa Melayu yang diperjuangkan semakin mundur? Perjuangan PAS dan UMNO hampir sama tetapi pendekatan mungkin berbeda. Mengikut perlembagaan persekutuan Melayu itu adalah Islam. Oleh itu mengapa perlu kita beremosi dalam hal ini? Bolehkah Islam di Malaysia subur jika Melayu tidak maju? Suatu yang amat pelik sekali bila PAS memilih untuk bersama DAP dan PKR untuk memperjuangkan Islam!
Alhamdulillah, pemimpin-pemimpin utama PAS sudah menyatakan hasrat untuk melihat sebuah kerajaan perpaduan. Kita berharap idea yang sangat baik ini tidak tergugat dengan pelbagai asakan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS sendiri dan Pakatan Rakyat. Kita berharap DS Haji Hadi ikhlas dan tegas semasa menyampaikan hasrat ini. DS Najib, PM Malaysia dan kebanyakan pemimpin UMNO menerima pandangan DS Hj Hadi dengan hati yang terbuka.
Jika UMNO dan PAS bersama, orang Melayu yang selama ini berpecah akan kembali bersatu. Sudah lama Melayu bergaduh dan berpecah sesama sendiri kerana ideologi politik yang berbeda. Hidup masyarakat Melayu berpuak-puak, ada surau PAS dan ada surau UMNO. Ada kenduri PAS dan ada kenduri UMNO. Ada TASKI dan ada Tadika Kemas. Kehidupan orang Melayu di kampung-kampung berpura-pura. Dalam diri masing-masing tertanam subur semangat kepartian yang menebal. Bertegur sapa tidak ikhlas dan pelawaan seperti melepas batuk ditangga. Majoriti orang Melayu terutama di kampung-kampung, di desa-desa dan taman perumahan amat merindui suatu kehidupan orang Melayu yang bersatu hati. Kita boleh bersatu dalam kenduri kendara, gotong royong dan berjemaah di surau mahupun di masjid. Hubungan adik beradik akan bertambah rapat dan erat jika sebelum ini renggang kerana ideologi parti yang berbeda.
Oleh itu pemimpin PAS dan UMNO perlu lupakan sengketa lama. Yang buruk jadi sempadan dan yang baik buat tauladan. Kumpulan-kumpulan yang menentang usaha ini wajib ditentang habis-habisan. Kumpulan ini sebenarnya gila 'kuasa' dan mahu melihat Melayu lemah. Mereka sepatutnya sedar bahawa kaum-kaum lain juga menerima kebaikan jika Melayu bersatu kuat. Jangan ulangi kejadian peristiwa 13 Mei disebabkan timbul perasaan tidak puas hati di antara kaum. Kita doakan pemimpin UMNO dan PAS dapat bersama untuk memastikan orang Melayu yang beragama Islam berada di kedudukan yang sepatutnya setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka.

Sunday, June 14, 2009

APAKAH PAS MAMPU MENGGANTIKAN UMNO DALAM PAKATAN RAKYAT?

Pas perlu bersemuka dengan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) jika benar-benar serius mahu berbincang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah menurut beliau, kewujudan pandangan berbeza di kalangan anggota pakatan pembangkang berhubung cadangan itu menjadikan ia masih kabur dan memerlukan penjelasan daripada mereka.
Komen:
Idea DS Hj Abdul Hadi, Presiden PAS mewujudkan kerajaan perpaduan amat baik untuk negara khususnya orang-orang Melayu dan Islam. DS Hj Abdul Hadi sebenarnya berpandangan jauh dan bimbang dengan perpecahan umat Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Beliau sedar bahawa PAS tidak semampu UMNO untuk membela nasib bangsa Melayu dan Islam dalam Pakatan Rakyat. Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah negara dan bukan Presiden PAS yang akan jadi PM seperti Presiden UMNO dalam BN. Yang pasti DS Anwar Ibrahim akan jadi PM dan Lim Kit Siang akan menjadi TPM Malaysia. Ini pasti akan berlaku kerana wakil rakyat Melayu adalah minoriti dalam parlimen Pakatan Rakyat dan sudah pasti wakil rakyat bukan Islam yang lebih ramai menganggotai kabinet kerajaan Pakatan Rakyat. Lihatlah apa yang berlaku di Perak semasa kerajaan PR memerintah. Sungguhpun MB adalah Ir. Mohd Nizar dari PAS tetapi exco kerajaan negerinya dikuasai oleh bukan Islam dari DAP dan PKR. Jika MB PAS berkuasa kenapa kerajaan negeri Perak telah meluluskan hak milik 999 tahun kepada penduduk Kg. Baru yang 100% adalah kaum Cina.
Dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru-baru ini, ada perwakilan PAS sendiri lantang menegur bahawa PAS telah lari dari perjuangan asalnya untuk menegakkan sebuah negara Islam. Slogan PAS sentiasa berubah atau tidak konsisten. Slogan "Membangun bersama Islam", "Kami Sokong Hudud," "Kepimpinan Bersama Ulama" dan sebagainya telah dipadamkan dan digantikan dengan "PAS Untuk Semua". Dengan itu, PAS kelihatan 'lebih baik' dari UMNO oleh pengundi bukan Melayu dan Islam. Pemimpin PAS tidak bercakap lagi pasal nak hapuskan pusat-pusat hiburan, kelab-kelab malam, jualan arak dan tempat-tempat perjudian. Pemimpin PAS juga menyokong cadangan bekas Pemimpin Komunis, Chin Peng kembali ke Malaysia. Pemimpin PAS berdiam diri dengan isu Karpal Singh mahu menyaman Raja Perak. Pemimpin dan ahli PAS jugalah yang sanggup tidur di atas jalan menghalang kereta Raja Nadrin memasuki istana Kuala Kangsar semasa majlis perlantikan MB Perak yang baru. Pemimpin dan penyokong PAS bersungguh-sungguh mahu kerajaan Perak diperintah oleh DAP yang jelas menentang perjuangan Islam.
UMNO pula kelihatan 'racist'. Sebenarnya UMNO konsisten dalam menyatakan perjuangannya berteraskan kepada perlembagaan persekutuan. Kerana pemerintahan BN dan UMNO yang menjadi tunjangnya maka Islam subur di negara Malaysia ini. Anak-anak Melayu dalam bidang profesional yang menjadi doktor, jurutera, peguam dan arkitek telah bertambah. Melalui kerajaan BN, maka ramai ahli-ahli korporat Melayu dalam bidang perbankan, perdagangan dan perindustrian telah dapat dilahirkan. Sistem kewangan Islam termasuklah takaful dan pajak gadai Islam telah mampu menyaingi sistem kewangan konvensional. Beberapa negara Islam di dunia telah menjadikan Malaysia sebagai rujukan dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam di negara mereka. Inilah hasil perjuangan UMNO dalam kerajaan BN. Tetapi apakah PAS mampu menyaingi UMNO jika PAS bukan parti utama dalam Pakatan Rakyat. Apakah pemimpin PAS, Tuan Guru Hj. Hadi sanggup melihat bangsa Melayu yang beragama Islam semakin lemah. Apakah PAS mahu terus beretorik dengan pelbagai slogan. Punca Melayu berpecah kerana pemimpin PAS sendiri pernah mengeluarkan hukum kafir kepada orang UMNO, tidak sah mengimamkan orang UMNO dan haram memakan binatang sembelihan orang UMNO.
Apakah pemimpin PAS hari ini tidak merasa bersalah apabila masih ada penyokong-penyokong fanatik masih menghina ahli-ahli UMNO dan hingga sanggup menghukum ahli-ahli UMNO sebagai ahli neraka? Apakah hukumnya bila pemimpin PAS sanggup bersekongkol dan berpeluk cium dengan pemimpin DAP yang terang-terang menentang penubuhan kerajaan Islam? Apakah PAS boleh menolak usaha muzakarah dengan UMNO kerana dibantah oleh DAP sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat? Orang-orang Melayu sama ada UMNO dan PAS perlu mengutamakan usaha mengukuhkan perpaduan Melayu yang beragama Islam di Malaysia ini sebelum 'nasi dah jadi bubur'.

Wednesday, June 10, 2009

KENAPA PKR DAN DAP MENENTANG HABIS-HABISAN CADANGAN PRESIDEN PAS?

DS Haji Abdul Hadi mengutarakan idea penubuhan kerajaan perpaduan pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam minggu lalu. Bagaimanapun PKR dan DAP tidak bersetuju dengan idea Abdul Hadi terhadap pembentukan kerajaan perpaduan itu yang dilihat hanya akan melemahkan pakatan pembangkang sendiri. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, DAP dan PKR sebenarnya tidak berhak untuk membangkang sebarang cadangan baik yang diberi Pas terutama bagi tujuan perpaduan rakyat negara ini.
Tambah Rais, penghargaan harus diberikan kepada Abdul Hadi di atas keterbukaan dan pandangannya untuk melihat suasana politik negara yang baik pada masa depan. Katanya, pujian tinggi juga harus diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memandang idea itu dengan penuh keterbukaan. "Kita hargai usaha Abdul Hadi itu dan kita juga mengagumi Najib dan Muhyiddin kerana keterbukaan mereka menerima idea tersebut. "Kita yakin usaha itu akan dibincangkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Komen:
Ahli-ahli dan penyokong PAS perlu memahami bahawa idea mewujudkan kerajaan perpaduan bukan datangnya dari pemimpin UMNO sebaliknya dari Presiden PAS sendiri. DS Hj Abdul Hadi, Presiden PAS sekali lagi mengulangi hasratnya untuk melihat akan wujud suatu hari nanti kerajaan perpaduan yang boleh memberikan kebaikan kepada negara. Mesti ada maksud yang tersurat dan tersirat hingga Presiden PAS berani mengeluarkan pandangan yang jelas mendapat tentangan dari dalam dan luar PAS. Pandangan Presiden PAS mendapat sokongan kebanyakan dari golongan ulama dalam PAS sendiri kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan. Golongan edrogan (pro Anwar), pemimpin pemuda PAS (bukan ulama) dan Kelab Penyokong PAS pula adalah golongan yang menentang dari dalam PAS. Manakala PKR dan DAP sudah diduga tidak akan membiarkan PAS bersekongkol dengan UMNO kerana mereka mahu PAS sebagai parti utama orang Melayu dalam Pakatan Rakyat.
Pemimpin Ulama PAS secara terbuka atau tidak, sudah memahami bahawa kepentingan orang Islam dan orang Melayu semakin tergugat sejak politik orang Melayu berpecah. Mereka sedar bahawa perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam semakin tersasar dari perjuangan asalnya. PAS kelihatan tidak bermaya dalam Pakatan Rakyat terutama di Pulau Pinang, Selangor dan Perak (semasa pemerintahan PR). Suara wakil rakyat PAS tidak dihiraukan dalam kerajaan PR. Manifesto PAS untuk mengharamkan pusat-pusat hiburan dan tempat-tempat perjudian tidak berlaku malahan lebih teruk lagi daripada pemerintahan BN. Pemimpin profesional dalam PAS terlalu terbuka sikapnya hanya untuk kepentingan politik parti bukan kerana Islam. Mereka sanggup berceramah dalam gereja dan menyokong pihak gereja menggunakan perkataan "Allah" sebagai mengganti perkataan "God". Mereka berdiam diri bila Raja Melayu dicabar oleh tokoh politik merupakan pemimpin dalam PR. Bila Islam dicabar hanya segelintir pemimpin PAS yang berani kehadapan. PAS sebagai parti Islam kelihatan tidak konsisten dalam perjuangan Islamnya. Slogan atau manifesto PAS sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan politik semasa. Slogan "Kami Sokong Hudud" yang dilaung-laungkan suatu masa dulu telah dipadamkan. Begitu juga slogan "Membangun Bersama Islam" sudah tidak ada lagi. Kini "PAS for all" pula menjadi slogan PAS yang jelas mencerminkan bahawa PAS untuk semua bangsa. Oleh itu nada dan gaya pengucapan pemimpin PAS sendiri agak lebih terbuka daripada pemimpin UMNO. Pemimpin PAS telah pun bersedia menerima YAB Mohd Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mereka juga boleh menerima bahawa Timbalan PM mesti ada kaum Cina dan India jika Pakatan Rakyat memerintah. Tetapi sebaliknya apakah PAS mampu mempertahankan kepentingan Islam dalam pemerintahan kerajaan PR? Apakah PAS tahu dan sedar bahawa ahli parlimen Islam lebih sedikit jumlahnya dari ahli parlimen bukan Islam jika DAP, PKR dan PAS berkuasa? Apakah jika situasi begini, PAS boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam? Jika Islam Hadhari dalam pemerintahan kerajaan BN dipersenda-sendakan, Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh pun tidak diiktirafkan oleh pemimpin PAS sendiri tetapi negara Islam bagaimanakah yang PAS mahukan yang boleh pemimpin DAP sokong? Apakah PAS mahu tubuh sebuah negara Islam selepas Karpal Singh mati? Kenapa PAS mencari jalan sukar untuk membela nasib bangsa dan agama Islam? Apakah UMNO terus dikafirkan dan DAP cuba nak diislamkan oleh PAS? Golongan ulama dalam PAS perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perpecahan di kalangan orang-orang Islam di Malaysia hari ini. Orang-orang Islam berpecah dua dan tiga. Pemimpin UMNO dihina dan difitnah. Mereka sewenang-wenangnya membuat tuduhan bahawa pemimpin UMNO menolak al-Quran dan Islam. Kenyataan politik dari pemimpin-pemimpin PAS yang keterlaluan amat merbahaya kepada umat Islam sendiri. Parti UMNO digambarkan oleh pemimpin-pemimpin PAS sebagai yang terlalu jijik, disamakan dengan Yahudi dan kejam terhadap rakyat. Apakah tuduhan-tuduhan ini ada asasnya? Tetapi dari Yahudikah maka ribuan masjid dan surau terbina semasa pemerintahan BN? Dari Yahudikah maka sistem kewangan Islam, takaful dan pajak gadai Islam telah mampu menyaingi sistem kewangan konvensional di Malaysia? Ada negara-negara OIC menjadikan Malaysia sebagai rujukan dalam pengamalan sistem perbankan Islam di negara-negara mereka. Apakah semua yang berlaku ini hasil perjuangan PAS selama ini? Lihatlah apakah yang mampu dibuat oleh kerajaan PAS di Kelantan sudah lebih 2 dekad berlalu? Kadar pengangguran di kalangan penduduk di Kelantan yang tertinggi. Kadar jenayah, penagih dadah dan masalah sosial juga masih tinggi. Kadang-kadang terperanjat kita bila kes-kes rogol anak, buang anak, khalwat dan sebagainya masih terus berlaku di negeri jolokan "Serambi Mekah". Bukan tujuan hendak merendah-merendah kemampuan pemerintahan PAS di Kelantan. Sekadar membuka minda penyokong-penyokong fanatik PAS. Oleh itu ingatlah PAS dan UMNO adalah sama sahaja. Kedua-duanya adalah parti politik sama seperti PKR dan DAP. Cuma dasar perjuangan UMNO dan PAS hampir ada persamaannya. Tetapi yang sangat ketara, perjuangan PAS dan DAP serta PKR sangat jauh berbeda! Oleh itu kenapa cadangan DS Haji Abdul Hadi perlu ditolak mentah?


Tuesday, June 9, 2009

Isu Muzakarah UMNO dan PAS: Pemuda PAS anggap UMNO

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Dzulkifli Ahmad menegaskan bahawa tiada istilah bekerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk memandangkan PAS tidak memerlukan parti itu malah ia perlu dikuburkan. "Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka. "Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini. "Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.
Komen:
Melalui Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini dengan jelas telah menampakkan golongan ulama dalam PAS bernada lebih lembut dan selari dengan tuntutan Islam kecuali Tok Guru Nik Aziz yang masih berdegil. Presiden PAS, DS Haji Abdul Hadi yang pernah mengeluar fatwa UMNO sebagai kafir kerana bersekongkol dengan bukan Islam kini telah mulai menunjukkan kepimpinan ulamak Islam yang sebenarnya. Tidak lagi bertindak memusuhi dan mengkafir sesama sebangsa dan seagama. Jika UMNO dikafirkan, hati dan perasaan orang UMNO diguris bagaimana dapat PAS menjaga hati orang-orang bukan Islam seperti Cina dan India yang mulai menyokong PAS. Tetapi harus ingat golongan muda dalam PAS jangan terlalu ghairah untuk memusuhi UMNO. Mungkin kerana golongan muda PAS amat yakin dengan wujudnya KPP (Kelab Penyokong PAS), maka PAS akan menjadi parti alternatif kepada bangsa Melayu dan orang Islam. PAS perlu sedar bahawa politik kaum bukan Melayu (Cina dan India) boleh mudah berubah. Politik mereka tidak seperti politik orang Melayu PAS mahupun UMNO. Contohnya, golongan manakah yang sanggup tidur atas jalan raya demi untuk membela kerajaan negeri Perak yang diperintah oleh DAP? Bukan UMNO yang menentang Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Malahan Malaysia telah dianggap sebagai sebuah negara Islam contoh oleh negara-negara luar. Tapi kenapa pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh diberi peluk cium oleh pemimpin-pemimpin PAS? Apakah pemimpin DAP sebenarnya yang memperjuangkan Islam selama ini. Apakah kerana pemimpin DAP maka masjid-masjid dan surau-surau ada di merata-rata negeri dan ceruk tempat di Malaysia ini? Jangan PAS menafikan bahawa kenikmatan umat Islam kecapi hari ini, kesenangan sebahagian besar orang-orang Melayu beragama Islam pada hari ini adalah hasil gigih perjuangan pemimpin UMNO sejak sebelum merdeka lagi. Golongan muda dalam PAS dan juga atas pagar jangan lupa sejarah. PAS belum nampak lagi hasil perjuangannya untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Kemenangan besar PRU12 telah menjadi PAS dalam keghairahan. PAS untuk semua. Untuk itu maka PAS terpaksa mengubahsuai prinsip perjuangan asalnya kerana menjaga hati pengundi-pengundi bukan Islam. Slogan "Kami Sokong Hudud", "Membangun Bersama Islam", "Bersama Kepimpinan Ulama" dan sebagainya sudah tiada lagi. Kini slogan agak liberal dengan "Pas for all". Oleh kerana itu golongan muda dalam PAS (bukan ulamak) mulai ghairah dan menunjukkan penentangan yang kuat terhadap UMNO. Golongan ini menganggap bahawa UMNO adalah musuh dalam politik, dunia dan akhirat. Mereka lebih mempercayai kawan-kawan pakatan mereka dari DAP dan PKR. Suatu hari nanti, golongan muda dalam PAS akan lebih mengerti siapakah sebenarnya "musuh dalam selimut" dan "gunting dalam lipatan".

Monday, June 8, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: APA KATA PEMIMPIN UMNO DAN PAS?

Kerajaan perpaduan adalah cetusan idea dari Presiden PAS, Dato' Seri Hj. Hadi Awang selepas keputusan PRU12 yang lalu. Dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru-baru ini, sekali lagi Dato' Seri Haji Hadi menyampaikan hasratnya untuk merealisasikan idea kerajaan perpaduan dalam ucapannya di muktamar tersebut. Beliau mengetahui dan sedar bahawa idea kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS sendiri tetapi atas prinsip ajaran dan perjuangan Islam, beliau menaruh harapan tinggi bahawa suatu masa nanti UMNO dan PAS boleh bersatu.
Di bawah ini, apa kata pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS serta pemimpin-pemimpin lain mengenai isu kerajaan perpaduan:
i. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, beliau bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya. Sehubungan itu, Najib menyerahkan kepada pihak Abdul Hadi untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan tersebut.
ii. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, yang penting kepada UMNO ialah kebaikan yang boleh diperoleh daripada perlaksanaan cadangan itu terutama dalam membantu memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik negara pada masa depan.
iii. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Pas. Malah katanya, pergerakan itu sudah mula membincangkan tentang kemungkinan mengadakan muzakarah dengan Pas sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
iv. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Katanya, jika Pas boleh mengetepikan beberapa prinsipnya untuk menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka bukanlah sesuatu yang mustahil jika parti itu menyambut usaha bermuzakarah dengan UMNO demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan percaya, kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini akan berjaya dibentuk jika kedua-dua parti menyisihkan perbezaan pegangan politik untuk duduk semeja untuk merundingkan masalah yang melanda negara. ''Saya percaya pemimpin UMNO bersikap terbuka menyambut idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
v. Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan, yang juga ulama muda dalam parti itu, secara terbuka menyokong cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN.
vi. MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menunjukkan sikap tidak sehaluan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apabila menolak sebarang kerjasama diadakan dengan Umno. Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak akan sesekali bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan seperti yang diilhamkan Abdul Hadi. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno adalah idea karut yang boleh merugikan Pas.
vii. Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib turut menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan mahu Pas membalas dengan baik walaupun berurusan dengan orang yang sudah membuat jahat seperti yang dituntut al-Quran.
viii. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dikatakan mewakili kumpulan 'Edrogan' mengecam cadangan itu kerana mendakwa kerjasama itu boleh membawa kepada perpecahan Pas. Sebaliknya berkata, Pas harus memberi keutamaan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Parti Keadilan Rayat (PKR).
ix. Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof mendesak kepemimpinan menolak sebarang hasrat untuk mewujudkan kerjasama dengan Umno dan BN.
x. Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Vincent Lee berkata, rundingan sulit antara Pas dan Umno membimbangkan penyokong masyarakat bukan Islam. "Saya amat berharap, janganlah kita melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti sehingga parti kita kembali kepada zaman gelap gelita, yang mana pengundi termasuk Melayu, Cina, India dan Siam meninggalkan Pas.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"