Saturday, July 26, 2008

Isu Bahasa Menguji Kuasa Politik Orang Melayu

ORANG Melayu sekali lagi diuji. Seperti biasa bahasa Melayu menjadi titik tolaknya sekali pun bahasa Melayu sewajarnya tidak perlu dipertikaikan lagi oleh mana-mana pihak khususnya oleh kalangan bukan Melayu.

Ini kerana bahasa Melayu telah diletakkan di tempat yang selamat dalam Perlembagaan dan bertaraf bahasa kebangsaan di negara ini. Apabila sesuatu bahasa itu diangkat menjadi bahasa kebangsaan, bahasa-bahasa lain masih boleh digunakan tetapi bukanlah dalam situasi yang rasmi. Tetapi di negara ini, ada pihak yang tanpa rasa bersalah mahu melanggar kedudukan bahasa Melayu dan cuba "memartabatkan" bahasa lain.

Mencabar, menguji atau apa saja istilah yang sama erti dengannya sebenarnya boleh dianggap mencabar kuasa politik orang-orang Melayu.

Perbuatan ini bukanlah kerana kejumudan kefahaman sesuatu pihak tetapi mahu menguji sejauh manakah politik Melayu bangun mempertahankan apabila bahasa Melayu diperlekehkan secara terhormat.

Ini adalah satu yang disengajakan dan tidak dapat dinafikan unsur-unsur kaum terselit bersama-sama isu ini.

Adakah kalangan orang politik Melayu melihat isu perlekeh bahasa Melayu ini melampaui isu bahasa semata-mata? Ini bukan isu bahasa, ini isu politik di mana kuasa politik bukan Melayu menguji politik Melayu yang terkenal dengan ketidakpekaan terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Kalau ditoleh, isu-isu bahasa Melayu sebelum ini tercetus kerana sesetengah kalangan orang politik Melayu memberi ruang untuk bahasa itu dipijak.

Bahasa Melayu tidak diangkat ke persada sewajarnya kerana kuasa politik Melayu tidak bersungguh-sungguh ke arah itu. Malah banyak gejala perlekehan bahasa Melayu dilakukan oleh orang politik Melayu sendiri.

Isu papan tanda di enam jalan di Pulau Pinang yang ditambah dalam tulisan Cina oleh parti Gerakan adalah suatu yang sangat jelas. Rasional menambah tulisan Cina pada papan tanda jalan itu adalah satu kesengajaan, ia bukan satu keperluan sama ada untuk orang tempatan atau pelancong asing.

Orang bukan Melayu di Pulau Pinang semuanya faham bahasa Melayu dan boleh membaca tulisan Rumi bahasa Melayu. Malah generasi bukan Melayu yang tidak dilahirkan di negara ini khususnya di Pulau Pinang hampir sudah tidak ada, kalau generasi ini dijadikan alasan tidak tahu berbahasa Melayu. Jadi orang Cina atau India di Pulau Pinang adalah anak kelahiran negara ini yang tahu berbahasa Melayu.

Maka isu papan tanda itu boleh dianggap provokasi Gerakan sebuah parti politik majoritinya orang Cina. Pulau Pinang antara negeri yang jatuh ke tangan DAP sebuah parti pembangkang yang majoritinya orang Cina. Sebelum ini Pulau Pinang diterajui oleh Gerakan, sebuah parti komponen Barisan Nasional. Apabila papan tanda tulisan Cina dimulakan oleh Gerakan, kita boleh bertanya, apa bezanya idealisme Gerakan dengan DAP khususnya dalam soal ini? Ternyata Gerakan cuba bermain api dengan orang- orang Melayu Pulau Pinang apabila mereka dilihat tidak ada bezanya dengan DAP yang selalu bangkit dengan isu-isu yang tebal dengan sentimen kaum.

Ada pihak yang berkata, sekiranya DAP yang menaikkan papan tanda tulisan Cina, mereka tidak terkejut. Tetapi semacam tidak percaya apabila Gerakan sendiri yang berbuat begitu apabila Pulau Pinang jatuh ke tangan DAP.

Lalu mereka bertanya lagi, apa muslihat Gerakan dalam konteks kesefahaman dengan kaum-kaum lain di Pulau Pinang dan negara ini? Ternyata menaikkan papan tanda jalan tulisan Cina tidak ada alasan yang jelas kecuali provokasi untuk menguji sensitiviti orang Melayu. Gerakan sepatutnya lebih faham daripada DAP dalam isu bahasa Melayu di negara ini.

Apabila isu bahasa Melayu menjadi isu politik, orang-orang politik Melayu mesti bangkit mempertahankan kedaulatan bahasa Melayu daripada terus dipersendakan seperti ini. Orang politik Melayu perlu lebih menonjol dan memperlihatkan kesungguhan bukan saja dalam konteks isu papan tanda jalan di Pulau Pinang malah isu yang melibatkan bahasa Melayu seluruhnya.

Desakan ini bukanlah menyalakan api perkauman, sebaliknya melaksanakan yang telah dipersetujui bersama dalam Perlembagaan. Isu bahasa Melayu tidak boleh dilihat terpisah dengan perjuangan politik Melayu.

Di negara ini isu bahasa Melayu bukan saja tugas pejuang bahasa. Pejuang bahasa telah memperlihatkan pendirian yang sangat konsisten tentang kedudukan bahasa Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan. Memperjuangkan bahasa Melayu daripada jurus politik sangat penting kerana apa yang berlaku di Pulau Pinang digerakkan oleh pejuang politik.

Walaupun Melayu menjadi majoriti penduduk Pulau Pinang, tetapi mereka tidak mendesak papan tanda jalan dalam tulisan Jawi. Di Kuala Lumpur ada papan tanda bertulisan Jawi. Ini menunjukkan orang Melayu Pulau Pinang sangat toleran kerana hanya menerima tulisan Rumi, sekalipun di negeri lain ada papan tanda tulisan Jawi.

Parti Gerakan sepatutnya melihat perkara ini sebelum ghairah menjulang sesuatu yang berbau kecinaan. Jadi apakah maknanya toleransi orang Melayu apabila Gerakan melancarkan provokasi menaikkan papan tanda tulisan Cina? Apa kena mengena Tapak Warisan Dunia dengan tulisan Cina?

Maka yang jelas tindakan Gerakan ini bermotifkan perkauman dan tidak ada kena mengena dengan beberapa lokasi di Pulau Pinang diiktirafkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Reaksi tokoh budaya dan ahli akademik, Prof Dr. Siti Zainon Ismail mengenai isu papan tanda jalan beberapa hari lalu wajar ditelaah dengan penuh penghayatan oleh orang-orang politik Melayu.

Antara lain kata Dr. Siti Zainon, "Saya hendak tanya, apa orang-orang politik Melayu buat dalam mempertahankan bahasa dan bangsa sendiri? Kami pendidik, sudah memberikan pendidikan yang secukupnya kepada mereka (orang politik Melayu). Tolonglah jangan lupa lagi, jangan sampai tergadai."

Tolak ansur orang Melayu selalu diambil peluang oleh pihak-pihak yang tidak menghargai sikap tolak ansur itu. Akhirnya merekalah yang "menolak" orang Melayu daripada bercakap tentang bahasa dan bangsanya.

Apabila Melayu bersuara, dengan pantas pula dianggap "perkauman" sedangkan tindakan mereka "menolak" Melayu lebih bersifat perkauman. Dalam isu papan tanda jalan di Pulau Pinang ini, Gerakan mesti lebih "sedar diri" , begitu juga orang politik Melayu jangan membiarkan kepala mereka dipijak.

Papan tanda jalan bertulisan Cina adalah isyarat awal dominasi budaya. Kalau ini dianggap api, eloklah dipadam awal-awal lagi daripada merebak dan membakar negeri.

Sumber: Rencana- Utusan Malaysia 26 Julai 2008

Friday, July 25, 2008

Muzakarah: Hadi ok...Nik Aziz minta hentikan!

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari Isnin mengakui pimpinan tertinggi parti itu telah mengadakan pertemuan dengan Perana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan isu kepentingan bersama berkiatan umat Islam dan orang Melayu. "Saya menolak muzakarah. Saya minta pemimpin dan ahli Pas menghentikan kerja ini (muzakarah) dan menumpukan kepada perkara lain. Saya tidak gembira dengan kenyataan kedua-dua presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Umno)," katanya di Kota Bharu. Namun nada positif Presiden PAS itu tidak dikongsi bersama oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan pemimpin parti itu menghentikan segera usaha mengadakan muzakarah dengan Umno. “Sehubungan dengan ketetapan itu, satu pertemuan telah diadakan lagi di bangunan Parlimen yang membabitkan Timbalan Presiden Pas dan Perdana Menteri, yang telah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulama,” katanya. Selain mengesahkan, Hadi turut memberitahu pertemuan yang berlangsung selepas pilihan raya umum ke-12 lalu turut dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen PAS Shah Alam, Abd Khalid Abdul Samad. Katanya, ini kerana muzakarah itu boleh memecah-belahkan perpaduan ahli parti dan kerjasama dalam pakatan pembangkang. Hari Ahad, Abdullah mengesahkan UMNO telah mengadakan tiga kali pertemuan dengan pimpinan PAS dalam konteks bermuzakarah kedua-dua parti tetapi hanya menjelaskan isu yang dibincangkan membabitkan soal tidak mempolitikkan isu agama. “Pertemuan itu telahpun dilaporkan kepada mesyuarat jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulamak Pas,” katanya sambil menambah Majlis Syura Ulamak Pas telah mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas mempertingkatkan usaha untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia berlandaskan Islam. Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Hadi menghentikan segera usaha ke arah muzakarah kerana muktamar parti itu semakin hampir. Nik Abdul Aziz berkata, isu muzakarah hanya menimbulkan kemarahan ahli Pas serta rakan dalam pembangkang yang boleh menyebabkan PAS dipencilkan. Ditanya adakah perbezaan pendekatan beliau dengan Hadi menunjukkan wujudnya ketidaksefahaman antara mereka, Nik Aziz menafikannya. – 21/7/2008 Agenda Daily

Adakah UMNO Sesat Lagi Menyesatkan?

Ditulis oleh taminsari

Julai 18th, 2008

Apabila Tun Dr. Mahathir mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO, orang yang paling gembira dan bahagia adalah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Beliau menganggap Tun Dr. Mahathir seorang insan yang istimewa yang dikurniakan akan kebijaksanaan. Tetapi amat malang keistimewaan itu digunakan untuk menyokong sekular. Alangkah baiknya jika keistimewaan itu digunakan untuk kemajuan Islam.

Justeru Nik Aziz menyeru ahli-ahli UMNO yang lain mengambil tindakan yang sama mengikuti jejak Tun Dr. Mahathir dengan meninggalkan UMNO yang di anggapnya sudah sesat lagi menyesatkan dan masuk menyertai Pas. Beliau menyatakan pintu Pas sentiasa terbuka untuk orang UMNO. Dan di dalam kenyataan terbaru sebelum itu Nik Aziz mengatakan yang UMNO gagal membela nasib orang Melayu dan sudah tidak releven lagi.

Penulis ingin bertanya kembali kepada Tuan Guru Nik Aziz, kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Tabung Haji bagi kemudahan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji. Kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Bank Islam untuk menjalankan sistem perbankan Islam. Kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia datang menimba ilmu ke negara ini dan terbaru apabila Universiti Al-Azhar menubuhkan cawangannya di Negeri Sembilan dan bermacam-macam lagi. Mengapa Nik Aziz hendak menafikannya. Kesemuanya ini disediakan oleh UMNO untuk kemudahan dan kebaikan umat Islam di negara ini. Kebaikan apa yang dapat Pas tonjolkan untuk faedah bersama umat Islam di negara ini. Jawapannya kosong. Banyak berceramah dari membuat kerja. Jadi sekarang siapa yang sebenarnya sesat lagi menyesatkan. UMNO ataupun Pas?.

UMNO konsisten dalam perjuangan menegakkan syiar Islam tanpa mengenepikan hak-hak bukan Islam sejak merdeka lagi. UMNO telah lama berjuang dalam membela nasib orang Melayu. Cuma ada segelintir yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih atas nikmat dan rahmat yang telah diberikan. Sebab itu UMNO diterima dengan baik oleh sahabat-sahabat di dalam Barisan Nasional. Berbeza dengan Pas, disebabkan takut dengan DAP dan mahu meraih simpati pengundi-pengundi bukan Islam, Pas sanggup mengenepikan perjuangan menubuhkan negara Islam yang sebelum ini begitu lantang diperjuangkan. Jelas perjuangan Islam Pas bermusim. Pas lebih takut kehilangan undi daripada takutkan Allah Taala.

UMNO tidak memperalatkan Agama untuk kepentingan politik, tetapi sebaliknya Pas lah yang memperalatkan Agama untuk kepentingan politik yang sempit. Jangan mudah untuk menuduh UMNO itu sesat lagi menyesatkan. Tetapi yang sebenarnya Pas lah yang sesat lagi menyesatkan dan terus tersesat. Banyak ajaran-ajaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Pas itu sendiri yang menyesatkan pemikiran penyokong-penyokong Pas. Nik Aziz tidak seharusnya lupa atau menutup mulut akan fatwa dan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana telah memecahbelahkan umat Islam di negara ini tidak lama dulu di mana beliau telah menghukum UMNO sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Sembahyang dua imam, sembelihan binatang dan akad nikah orang UMNO tidak sah dan bermacam-macam lagi. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang UMNO semuanya jijik dan haram bagi Pas. Tetapi pada masa yang sama apabila Pas sendiri yang melakukan iaitu berdamping dengan DAP dan PKR semuanya menjadi halal bagi mereka. Menjadi kehairanan juga kerana tidak ada pula fatwa dari Presiden Pas yang mangatakan partinya “kafir” kerana bersubahat dengan Pakatan Rakyat? Inilah yang dikatakan menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik.

Hukum Dewan Ulama’ Pas Kelantan 1963 : “Orang-orang Islam yang berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram”. Kenyataan ini pernah dikeluarkan oleh pemimpin Pas pada suatu ketika dahulu. Sekarang lihatlah apa yang dah terjadi. Apakah hukum Pas sekarang ini sudah termakan diri sendiri?

Rakyat tidak akan lupa apabila setiap kali pilihanraya diadakan, maka setiap akan ada bermacam-macam kenyataan ataupun fatwa yang mengelirukan datang dari mulut pemimpin Pas itu sendiri. Nik Aziz pernah mengatakan Allah itu mencarut, samseng dan bermacam lagi. Pada pilihanraya tahun 1999 Nik Aziz pernah berkata dia boleh bekerjasama dengan sesiapapun termasuklah syaitan untuk menang dalam pilihanraya.

Beliau juga pernah mengatakan DAP dan syaitan itu sama sahaja tetapi sekarang DAP adalah kawan baik Pas. Jelaslah Pas umpama meludah ke langit, akhirnya terpalit ke muka sendiri. Ini tidak termasuk menyamakan orang UMNO dengan orang utan, mendoakan penyokong-penyokong UMNO yang balik mengundi di Kelantan pada PRU ke-12 yang lepas ditimpa musibah dan bermacam-macam lagi.

Sebenarnya bukan orang-orang Melayu sahaja yang keliru dengan ajaran-ajaran yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Pas, tetapi juga penyokong-penyokong Pas itu sendiri. Tidak ada dalam mana-mana kitab, hadis dan Al-Quran menyebut bahawa undi Pas itu akan masuk syurga. Ianya hanya keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Pas itu sendiri untuk memancing undi.

Apa yang dinyatakan dan cuba penulis singkapkan kembali adalah untuk penilaian semua siapa sebenarnya yang sesat lagi menyesatkan. Hakikatnya untuk menjadi seorang umat Islam yang baik, beriman dan bertakwa tidak semestinya seseorang umat Islam itu menjadi ahli Pas. Berpeganglah kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

TAMINSARI

Shah Alam

Selangor Darul Ehsan

Tuesday, July 22, 2008

Peguam Saiful: Saya yakin ada kes!

Suasana lobi sebuah hotel di Kuala Lumpur yang selama ini tenang menjadi ‘panas’ dengan kehadiran puluhan wartawan dalam dan luar negara apabila buat pertama kalinya secara terbuka pihak keluarga Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya mengadakan sidang media pada jam 4.30 petang Isnin. Lebih panas apabila peguam Zamri Idrus secara terbuka menegaskan, secara peribadi setelah meneliti semua fakta, beliau yakin memang adanya kes yang melibatkan Anwar dalam isu liwat tersebut. “Saiful adalah anak guam saya, sebagai peguamnya saya memang yakin berdasarkan keterangan Saiful kepada saya,” katanya ketika ditanya adakah beliau yakin adanya kes terhadap dakwaan yang dibuat oleh Saiful terhadap Anwar.Katanya itu adalah pandangan peribadinya mengenai kes itu dan terserah kepada siasatan polis untuk menentukan kedudukan sebenar.Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah bapa saudara Saiful (baju T merah) yang hanya mahu dikenali sebagai 'Uncle Pet' .Zamri membacakan kenyataan media yang dibuat oleh bapa Saiful,Azlan Mohd Lazim - sumber AGENDA DAILY

Sunday, July 20, 2008

HKL atau DSAI: Siapa Yang Betul dan Boleh Dipercayai

Hospital Kuala Lumpur (HKL) tetap mempertahankan kenyataan asalnya bahawa Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah ditelanjangkan apabila beliau menjalani pemeriksaaan perubatan Rabu lepas. Pengarahnya, Datuk Dr. Zaininah Mohd. Zain berkata, sebelum pemeriksaan, dua pakar menerangkan secara terperinci mengenai prosedur pemeriksaan itu kepada Anwar dengan kehadiran peguam beliau. Katanya, pemeriksaan itu dilakukan oleh dua orang pakar tersebut hanya setelah memperolehi persetujuan bertulis daripada Anwar. Dr. Zaininah menjelaskan bahawa DSAI diperiksa oleh dua orang pakar mengikut prosedur klinikal tertentu semasa keseluruhan pemeriksaan berkenaan dijalankan. Ujarnya lagi, tidak pernah sama sekali kesopanan dan ketertiban beliau dinafikan sepanjang tempoh pemeriksaan itu.
Walau bagaimanapun Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dalam siasatan polis atas tuduhan meliwat, tetap mempertahankan bahawa beliau telah ditelanjang dan diaibkan ketika menjalani pemeriksaan perubatan pada Rabu lepas. Anwar berkata beliau hairan bagaimana pihak Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengeluarkan kenyataan bahawa beliau tidak pernah ditelanjangkan ketika menjalani pemeriksaaan perubatan itu.

Thursday, July 17, 2008

Muzakarah UMNO dan PAS

Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) semalam menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi ’orang tengah’ bagi menjayakan muzakarah di antara UMNO dan Pas dalam membincangkan soal perpaduan Melayu dan umat Islam. Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar mahu melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini mencari kebaikan dan perdamaian supaya keadaan politik negara lebih mantap. Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kesediaan parti itu bermuzakarah dengan UMNO, melalui pihak ketiga. Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Hilmi Ramli turut menyokong penuh usaha muzakarah antara pemimpin Melayu yang sedang hangat dibincangkan sekarang. Malangnya dengan tiba-tiba, angin cepat berubah arah, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu akan terus bersama Pakatan Rakyat bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, bersih dan adil. Katanya lagi, dalam suasana politik negara yang penuh dengan fitnah dan kegawatan sosial dan ekonomi, PAS akan terus bersama Pakatan Rakyat. Dengan tegas beliau berkata, "Amat perlu dijelaskan di sini, bahawa isu ini jangan sesekali diseret bagi digunakan Umno demi menutup dan mengalih perhatian rakyat tentang pergolakan yang sedang parah berlaku dalam parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan yang dibacakan timbalannya Nasharudin Mat Isa, yang juga ahli parlimen Bachok, dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Komen:
UMNO dilihat oleh Hj. Hadi dalam keadaan tersepit. UMNO dilihat sedang menuju kehancuran. Hj. Hadi lebih yakin dengan DAP dan PKR dalam memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Islam. Semua pemimpin Melayu termasuk NGOs tidak boleh menyalahkan UMNO jika ditakdirkan Melayu selepas ini terus berpecah dan menuju kehancuran. Pendirian antara pemimpin-pemimpin PAS sendiri pun tidak seia sekata dalam muzakarah antara PAS dan UMNO. Kebanyakannya tidak ikhlas untuk bermuzakarah. Lebih bersifat sombong mungkin kerana kemenangan besar PAS dalam PRU12 yang lalu. Dengan pendirian Presiden PAS itu, harapan pemimpin dan puluhan NGOs berasaskan Melayu merasa hampa dan kecewa. Sebenarnya PAS bercita besar dan bakal mengambil alih UMNO sebagai parti utama dalam Pakatan Rakyat. Apakah UMNO akan dikuburkan, dikorbankan atau sebaliknya disuburkan dan dimantapkan lagi pada masa akan datang. Sekiranya UMNO yang masih kuat kini menjadi lebih kuat, dan pada ketika itu nanti baru PAS benar-benar mahu bermuzakarah dengan UMNO.

Wednesday, July 16, 2008

Debat: Sebenarnya DSAI tidak turunkan harga minyak!

Debat DS Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Shabery Chik bertajuk "Hari ini tubuh kerajaan, esok harga minyak turun" yang moderatornya ialah Datuk Johan Jaafar telah mencatat suatu sejarah di negara Malaysia. Debat ini mengikut Datuk Ahmad Shabery merupakan satu peluang kepada pemimpin pembangkang menjelaskan pandangan secara terbuka kepada rakyat daripada mengadakan perhimpunan jalanan. Datuk Shabery telah memerangkap DSAI dengan menjelaskan bahawa penurunan 50 sen seliter harga minyak yang diwar-warkan itu dibuat semasa kempen pilihanraya yang lalu. Ini bermakna jika pembangkang dapat menubuhkan kerajaan semasa harga minyak RM1.92 seliter, harga minyak sepatutnya pada harga RM1.42. Andaikata Pakatan Rakyat memerintah hari ini dengan harga pasaran dunia RM4.50 seliter (anggaran), bererti kerajaan PR akan memberi subsidi sebanyak RM3.18 seliter. Subsidi yang amat besar dan lebih besar yang akan ditanggung oleh kerajaan yang memerintah. Sebenarnya bila DSAI mengatakan bahawa penurunan 50 sen dari harga semasa minyak RM2.70 seliter kepada RM2.20 seliter telah menjelaskan kepada umum bahawa pembangkang jika dapat menubuhkan kerajaan sebenarnya tidak menurunkan harga minyak malahan juga menaikkan harga minyak. Ini bercanggah dengan tajuk debat yang berbunyi, "Hari ini tubuh kerajaan, esok harga minyak turun". Umum mengetahui bahawa tajuk debat itu sebenarnya kenyataan pemimpin pembangkang semasa kempen pilihanraya yang lalu dan pada ketika itu harga minyak ialah RM1.92 seliter. Jika berlaku kenaikan harga minyak kepada RM2.20 seliter (selepas pilihanraya kononnya PR memerintah) dari RM1.92 liter (sebelum pilihanraya), ini bermakna pemimpin pembangkang hanya beretorik untuk mendapat sokongan pengundi semata-mata. Kenyataan yang tidak bertanggungjawab sekadar untuk memancing undi dan memenangi pilihanraya. Pujian patut diberikan Datuk Ahmad Shabery, menteri muda yang berjaya mengupas isi dengan baik dan menyakinkan penonton. Selaku Menteri Penerangan, beliau sendiri mengambil sikap keterbukaan dan bertanggungjawab memastikan program debat yang julung kali ini diadakan dapat menjelaskan dasar keterbukaan dan keikhlasan kerajaan membantu rakyat dalam menangani masalah kenaikan harga minyak dan krisis makanan dunia.

Tuesday, July 15, 2008

Kerajaan PR Pulau Pinang temberang lagi!!

Tanggal 1 Julai lalu, berita kira-kira 1,000 pekerja kilang Nikko Electronics Bhd (Nikko) di Prai hilang pekerjaan telah mendapat perhatian Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), Datuk Lee Kah Choon yang berjanji akan membantu pekerja terbabit. Kenyataan beliau yang berbunyi, " Kerajaan negeri sedia membantu syarikat terbabit jika mahu menjual hartanah mereka kepada pelabur yang bersedia melabur di negeri ini". Apakah hanya kerana dasar mesra pelabur, kerajaan negeri sanggup membantu pemilik kilang termasuk mencari pembeli yang sanggup membeli hartanah itu. Sedangkan pada masa yang sama, 1,000 pekerja telah kehilangan pekerjaan sehingga terpaksa mengemis bantuan JTK dan MTUC. Ketika ini terserlah, sikap sebenar pemimpin PR Pulau Pinang yang mengamalkan prinsip "kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan". Dalam menghadapi isu ini, MTUC Pulau Pinang dan JTK negeri lebih dilihat sebagai hero memperjuangkan nasib pekerja-pekerja ini. MTUC Pulau Pinang mencadangkan kerajaan negeri memberikan pampasan sebanyak RM1,000 kepada setiap pekerja. Kini, PR cuba mengalihkan tanggungjawab mereka dengan menyalahkan dan menuduh Kerajaan Pusat, sebagai punca pemberhentian pekerja terbabit apabila Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy meminta Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam turun padang melihat sendiri kira-kira 1,000 bekas pekerja itu. Di manakah manifesto parti-parti pembangkang "Jom, Ubah! Hanya DAP" dan PKR dengan "Harapan Baru Untuk Malaysia". Cuma PAS dengan slogan "Kerajaan Beramanah, Adil dan Bersih - Menuju Negara Kebajikan" namun keangkuhan DAP menyebabkan tidak ada wakil PAS dalam barisan kerajaan negeri PP.

Demontrasi di bangunan Parlimen merupakan demokrasi ala pembangkang!

Pihak polis mempunyai maklumat risikan lengkap mengenai cubaan pakatan pembangkang mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Parlimen pagi Isnin sehingga memaksa pihak berkuasa mengadakan sekatan jalan raya yang menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, maklumat itu diperoleh daripada ceramah pakatan pembangkang, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada pemimpin peringkat bahagian. ''Kita tidak boleh kompromi dan hanya mengambil sikap menunggu kejadian berlaku sebelum ambil tindakan. Kita juga tidak memandang ringan kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa dia akan menggunakan kuasa rakyat jika tidak berjaya membawa undi tidak percaya kepada Perdana Menteri. ''Polis terpaksa mengambil tindakan tegas bagi memastikan ketenteraman awam berikutan terdapat maklumat risikan bahawa demonstrasi ini juga akan melibatkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Tenaganita dan Majlis Peguam," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di bangunan Parlimen.
Komen:
Pembangkang tersepit bersandiwara dengan aksi Ketua Pembangkang, DS Dr Wan Azizah menafikan bercadang untuk mengadakan demontrasi di hadapan bangunan Parlimen. Dalam ceramah-ceramah pembangkang dan blog-blog pembangkang sudah ada maklumat selain risikan polis. Hasil sekatan pihak polis dan amaran yang telah disiarkan melalui TV dan akhbar perdana menyebabkan kebanyakan penyokong akur. Pihak PDRM telah memohon maaf kepada semua pengguna jalanraya disebabkan kesesakan jalanraya yang berlaku. Pihak PDRM terpaksa bertindak lebih awal dan tidak menunggu sesuatu itu berlaku. Ketenteraman awam diutamakan. Pakatan Rakyat tidak perlu mengajak rakyat berdemontrasi di hadapan bangunan Parlimen. Apa guna ada sebanyak 80 ahli parlimen dari barisan pembangkang di parlimen? Wajarkah rakyat digerakkan untuk bangun berdemontrasi dan menentang arahan pihak berkuasa dan kerajaan? Sebenarnya rakyat sendiri menjadi bingung dengan usaha pembangkang yang tidak konsisten dengan dasar perjuangan mereka. Demokrasikah dengan cara berdemontrasi untuk menjatuhkan kerajaan yang diberi mandat majoriti oleh rakyat dalam PRU12 yang lalu? Sepatutnya semua pemimpin pembangkang perlu akur dengan keputusan pilihanraya yang lalu, laksanakan tanggungjawab masing-masing yang dimanahkan oleh rakyat/pengundi. Sebaik-baiknya barisan pembangkang bersama dengan rakyat dan kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri mencari jalan atau usaha meringankan beban rakyat menghadapi kenaikan harga minyak dan barangan. Yang diperhatikan, menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan persekutuan berforum sana sini mencari formula untuk mengatasi beban rakyat manakala pemimpin-pemimpin pembangkang, ahli-ahli parlimen dan DUN bergerak seluruh Malaysia menjalankan kempen politik hampir setiap malam seolah-olahnya pilihanraya PRU13 hampir tiba. Masih lagi kerajaan persekutuan, BN dipersalahkan hingga undi tidak percaya kepada PM. Rakyat negara luar, Indonesia dan Thailand amat hairan dan tertanya-tanya mengapa perlu diadakan demontrasi dalam sebuah negara yang aman dan maju ini? Sebenarnya DSAI tidak berhasrat menunggu PRU13 untuk ditabalkan sebagai PM, beliau tidak sabar menunggu kerana lebih lama menunggu berbagai kemungkinan buruk mungkin akan berlaku dan harapan untuk jadi PM akan berkubur!!!!

Friday, July 11, 2008

Pendedahan Berani Bekas Ketua AMK: Ezam Mohd Noor


CERAMAH KHAS
oleh
Sdr Ezam Mohd Noor, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan
Tarikh: 12 Julai 2008 (Sabtu)

Masa: 8.30 malam

Tempat: Setia Pearl Island, Bayan Lepas, Pulau Pinang

Sila hadir beramai-ramai untuk mengetahui yang tersirat di sebalik isu hangat diperkatakan oleh setiap rakyat pada hari ini.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"