Sunday, June 29, 2008

Kes Liwat DS Anwar Ibrahim: BN dan UMNO jadi sasaran?

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, apa yang penting kini ialah siasatan terperinci dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil. Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat dan pihak media agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau yang bersifat andaian mengenai kes tersebut.
Komen:
Ada konspirasi politik! Begitulah anggapan dan andaian kebanyakan individu yang memihak kepada DSAI. PM sendiri telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatan kerajaan BN dan UMNO terhadap kes ini. Kes liwat dikaitkan dengan DSAI pada tahun 1998 dulu telah banyak merosakkan imej UMNO. Orang ramai tidak mempercayai bahawa DSAI adalah personal seburuk dan sehina itu. Sekali lagi mahu atau tidak mahu, pemimpin UMNO terpaksa menerima hakikat bahawa sekali lagi parti UMNO akan menjadi sasaran dan kritikan hebat selepas ini. Sama ada kes liwat ini benar atau tidak, UMNO dan pemimpinnya akan dianggap sebagai 'berniat jahat' untuk menjatuhkan karier politik DSAI. Awal-awal lagi YB Sarifuddin Nasution telah menyeru agar para penyokong bertenang dan beliau dengan yakin beranggapan bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkan karier politik DSAI. Presiden PKR, Wan Azizah juga mengulangi pendirian suaminya bahawa ada konspirasi politik. Manakala pihak Polis akan membuat penyiasatan secara terperinci, profesional dan adil kepada kedua-dua pihak; pengadu dan yang kena adu. Datuk Mohd Bakri Zinin merayu agar pihak akhbar dan orang ramai tidak membuat sebarang andaian kerana ini akan mengganggu proses siasatan pihak polis. Walau bagaimanapun tindakan DSAI mendapat perlindungan di Kedutaan Turki menimbulkan banyak persoalan. Orang ramai diminta bertenang dan sebaiknya menunggu hasil siasatan polis. Jika benar berlaku konspirasi politik, pihak yang terlibat perlu dibawa kemuka pengadilan tanpa mengira darjat dan pangkat selaras dengan sistem kehakiman negara yang lebih bebas dan adil. Namun demikian sudah ada pihak telah mulai mempertikaikan kewibawaan pihak polis dan kehakiman negara masa kini. Pemimpin pembangkang terutamanya diingatkan supaya tidak emosional bila berhadapan kes ini dan cubalah elak membuat sebarang tuduhan dan andaian. Saya masih ingat lagi, bila diminta komen berkaitan dengan beberapa ahli parlimen akan melompat parti maka Tok Guru Nik Aziz terus membuat tuduhan bahawa tindakan melompat parti itu bukan kerja parti pembangkang sebaliknya kerja BN. Akhirnya terbukti, usaha memancing ahli parlimen BN dari Sabah dan Sarawak adalah kerja buat pemimpin parti pembangkang yang bercita-cita menjadi PM secara yang tidak demokratik.

Saturday, June 28, 2008

Wakil DAP Sudah Melampau!

Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi telah mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu. Perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini. Di samping itu, mempermudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam. Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan. Atas desakan ahli MPSP, YDP MPSP akan membawa cadangan tersebut kepada kerajaan negeri.

Komen:

Cadangan menggunakan bahasa Mandarin di papan tanda di jalan utama di Pulau Pinang akan menguji keikhlasan dan keprihatinan kerajaan negeri terutama kepada pengundi-pengundinya. Kenapa cadangan itu tidak dilayan sedangkan semua parti Pakatan Rakyat sentiasa menggunakan ketiga-tiga bahasa (bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil) terutama di kain-kain rentang baik untuk kempen politik mahu pun untuk tujuan lain. Kerana itulah antara sebabnya pengundi-pengundi semua kaum tertarik dengan Pakatan Rakyat termasuklah parti PAS menggunakan bahasa ibunda Cina dan juga Tamil di kain-kain rentangnya. Selari dengan manifesto parti PAS iaitu "PAS untuk semua". Apakah setelah 50 tahun merdeka, masih terdapat anak Malaysia yang tidak boleh membaca bahasa Malaysia? Masih ada lagikah pelajar-pelajar dari SJKC dan SJKT tidak dapat menguasai bahasa Malaysia semasa persekolahan selama 6 tahun di sekolah rendah? Apakah pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat melihat bahawa peranan bahasa Malaysia sebenarnya tidak berkesan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum? Oleh itu perlu wujud pelbagai bahasa di papan tanda utama dan mungkin suatu masa nanti syarat menggunakan bahasa Malaysia di papan-papan iklan pula wajar disemak semula dan mungkin dimansuhkan? Kemungkinan besar kerajaan Pakatan Rakyat akan akur dengan cadangan itu bagi melambangkan konsep Malaysian Malaysia yang diamalkan oleh parti DAP.

Layakkah Majlis Peguam Bincang Ketuanan Melayu?

Pelbagai pihak hari ini mempersoalkan motif sebenar Majlis Peguam menganjurkan forum berhubung ketuanan Melayu apabila ahli panel yang akan terlibat pada program itu terdiri daripada bukan Melayu. Sudah tentu akan mengundang kemarahan orang Melayu apabila bukan Melayu mengupas isu mengenai kedudukan dan hak orang Melayu. Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Majlis Peguam sepatutnya menumpukan kepada hal kebajikan ahli dan bukannya melibatkan diri dalam perkara sensitif seperti ini. Jika hendak berforum, majlis itu wajar menumpukan kepada isu berkaitan perundangan yang menjadi teras kewujudannya. Difahamkan barisan panel ialah peguam, Tommy Thomas, Dr. Mavis Puthucheary, penganalisis politik, Dr. Kua Kia Song dan Dr. Farish Noor. Majlis Peguam perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika forum berkenaan nanti akan menaikkan kemarahan orang-orang Melayu. Dalam situasi sekarang, Majlis Peguam perlu sedar bahawa orang Melayu telah merasai kehilangan kuasa politik. Walaupun PKR dan PAS berada dalam Pakatan Rakyat, realitinya kuasa Melayu sudah terhakis. Dengan kerana itulah, pelbagai NGOs hari ini yang berteraskan Melayu mulai bangun untuk memulihkan semula perpaduan Melayu. Biarlah hal ehwal orang Melayu dibincangkan atau diforumkan oleh pemimpin dan pertubuhan Melayu sendiri. Majlis Peguam tak perlulah mengeruhkan lagi keadaan atau cuba menjadi jaguh untuk orang Melayu sekalipun. Majlis Peguam sepatutnya menganjur forum yang boleh meningkatkan lagi tahap profesionalisme peguam-peguamnya supaya masyarakat akan sentiasa menghormati kredibiliti peguam. Jika presiden Majlis Peguam sangat berminat dengan isu-isu politik yang memihak kepada pembangkang, silalah meletak jawatan dan jadilah ahli politik sepenuh masa. Janganlah Majlis Peguam dikenali rakyat sebagai sebuah parti politik baru yang barisan kepimpinan terdiri dari peguam-peguam tersohor. Belum pernah berlaku di Malaysia ini, pertubuhan Cina dan India membincangkan masalah ketuanan Melayu. Sebaliknya belum pernah lagi orang Melayu memforumkan soal perpaduan bukan Melayu. Dengan semangat setia kawan dalam BN, parti-parti komponen yang ada MCA, MIC, UMNO dan lain-lain mengadakan perbincangan masalah masing-masing di meja perundingan. Inilah cara BN menyelesaikan masalah kepentingan pelbagai kaum sehingga hari ini. Hormat menghormati hak semua kaum dan rakyat Malaysia melalui meja perundingan menjadikan rakyat Malaysia yang majmuk dapat hidup secara aman dan damai hingga ke hari ini.

Friday, June 27, 2008

PAS Pentingkan Parti Dari Perpaduan Melayu


Melayu ternyata berpecah dan tidak bersatu. Perpecahan tampak parah apabila pemimpin Melayu tidak lagi mempercayai sesama mereka, memusuhi sesama sendiri kerana perbedaan ideologi politik sebaliknya sanggup berkawan rapat dan berpakat dengan musuh bangsa dan agama kerana parti dan kuasa politik. Perpecahan ini memberi ruang untuk mereka melancarkan pelbagai ancaman, ugutan dan permintaan yang tidak berpatutan terhadap kerajaan pada masa ini. Malahan Kesultanan Melayu dipertikaikan oleh mereka.
Saya amat bersetuju dengan cadangan mantan PM, Tun Mahathir dan Mufti Kerajaan Perlis baru-baru ini agar pemimpin-pemimpin Melayu dapat bertemu secara ikhlas untuk menyelesaikan masalah perpecahan umat Melayu ini. Janganlah begitu ghairah menghulurkan tangan bersahabat dengan musuh pada waktu yang sama menikam dan memutuskan persaudaraan sesama bangsa dan agama. Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah juga tampak berdukacita di atas bencana yang melanda umat Melayu kini. Baginda menitahkan agar umat Melayu kembali bersatu dan menjadi kuat semula. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga telah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan orang Melayu. Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.

Sebenarnya kebanyakan orang Melayu di bawah mahu melihat pemimpin Melayu bersatu. Pelbagai NGOs dan Raja-Raja Melayu telah mengingatkan supaya Melayu bersatu. Malangnya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan UMNO atas apa juga alasan bagi mengelak tercetusnya perpecahan dalam parti itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim baru-baru ini. Demi parti, Tok Guru Nik Aziz tidak rela dan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO. Ini bererti PAS dan UMNO yang merupakan dua parti terbesar orang Melayu ini akan terus bersaingan antara satu sama lain. Nik Abdul Aziz berkata, pendirian itu juga amat penting bagi menghormati sokongan rakyat termasuk pemimpin dan ahli UMNO, pengundi Cina dan India serta pengundi muda yang telah memberikan undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini. Tok Guru pentingkan parti dari penyatuan Melayu? Walau bagaimanapun pandangan Tok Guru perlu dihormati kerana beliau juga mempunyai alasan tertentu yang membolehkan pemimpin dan ahli PAS tidak bersatu dengan pemimpin dan orang UMNO!

Thursday, June 26, 2008

Apa dah jadi dengan Kepimpinan PKR Selangor


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mula bergolak apabila Setiausahanya, Mohd Yahya Mat Sahri, meletak jawatan dalam parti dan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkuat kuasa kelmarin. Beliau yang kecewa dengan tindakan Abdul Khalid menggantung tugasnya selepas didakwa terbabit dalam isu meluluskan kontrak memungut dan melupuskan sampah di Petaling Jaya, turut mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan. Mohd Yahya berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tidak dilayan dengan adil oleh Abdul Khalid berhubung isu berkenaan.

Manakala Dewan Pemuda Pas Selangor pula kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri ini yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketuanya, Sallehen Mukhyi khuatir perkara seperti itu mungkin boleh berlaku lagi pada masa akan datang melibatkan nilai wang yang lebih besar. Justeru, beliau mendesak pucuk pimpinan negeri yang diterajui PKR, Pas dan DAP menubuhkan Majlis Perundingan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesilapan yang diakui sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak berulang lagi.

Berdasarkan perkembangan hari ini, difahamkan sudah mula wujud keretakan dalam sokongan kepada kepimpinan PKR Selangor. Sejurus selepas kembali daripada menunaikan umrah, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui bekas pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri namun beliau tidak akan menarik balik pendiriannya yang tidak percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ada pula kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid. Mereka mahu ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela dengan memberi peluang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri daripada memberikan jawatan tersebut kepada golongan profesional semata-mata.

Apa dah nak jadi dengan kepimpinan PKR? Mulai nampak tamakkan kuasa dan jawatan dalam kerajaan. Sekadar ahli parti dan tak ada kelulusan yang selayaknya janganlah mencuba. Nanti rosaklah pentadbiran kerajaan negeri Selangor! Dah jadi kerajaan baru tahu susah atau senang menjaga rakyat jelata. Kalau BN semua tak kena. Baru saja lepas 100 hari macam-macam cerita dan kisah yang tak sedap didengar mengenai PKR Selangor!!!!! Pakat Kita Rasa (PKR) !!!!



Monday, June 23, 2008

Putera-Putera Raja Melahirkan Kebimbangan Perpecahan Melayu


Raja Muda Perak dalam titah ucapannya pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam menegaskan bahawa baginda tidak mahu melihat orang Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri. Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu. Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula telah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan kaum itu. Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.
Sehubungan itu, Tengku Mahkota menyarankan agar perpaduan Melayu digerak dan diusahakan tanpa berlandaskan sebarang fahaman atau ideologi politik. Dalam masa yang sama, baginda berharap, institusi raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh oleh pihak tertentu di negara ini sebaliknya perlu mempunyai semangat 'wujud bersama' bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Bila putera-putera Raja bertitah melahirkan kebimbangan, sewajarnyalah semua pemimpin-pemimpin Melayu sedar, tidak kira fahaman ideologi politik, perlu bangun dan bersatu untuk membela nasib bangsa sendiri. Pemimpin besar dalam UMNO dan PAS sepatutnya duduk semeja membincangkan ke arah penyatuan Melayu. Melayu UMNO dan PAS sebenarnya dapat bersatu dengan mudah kerana bezanya hanya dari segi ideologi kepartian sahaja. Mengapa kerana ketaksuban kepartian hingga Melayu merana dan menderita di tanah air sendiri. Mengapa dengan parti bukan Melayu yang terang-terang menentang penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, boleh dijadikan kawan. Tidakkah pemimpin-pemimpin Melayu ini merasa berdosa kerana memusuhi sesama sendiri, menghina, mencerca dan cuba jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Yang rugi adalah orang Melayu dan sekali gus agama Islam di Malaysia tidak dihormati lagi oleh rakan-rakan kita yang lain. Tidak perlu lagi kita salah menyalahi dan tuduh menuduh antara satu sama lain. UMNO perlu diperbetulkan. PAS pula jangan merasai sombong dengan pertambahan kerusi di Parlimen dan DUN melalui PRU12 baru-baru ini. Bukan semata-mata kerana pengundi menyokong PAS tetapi banyak faktor-faktor luaran lain yang membantu kemenangan calon PAS. UMNO menghadapi banyak kemerosotan undi sokongan oleh kaum lain. Tetapi masih kuat berbanding dengan komponen lain dalam BN dari Gerakan, MIC dan MCA yang mengalami kekalahan teruk. Sebenarnya UMNO masih kuat dan PAS semakin kuat. Walau bagaimanapun kuasa Melayu sebenarnya telah hampir lenyap walaupun PAS wujud dalam kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Perjuangan PAS pun sudah tidak konsisten lagi kerana tiupan angin semangat Pakatan Rakyat yang begitu kuat. Fikirlah kawan-kawan yang cintakan perpaduan Melayu.

Tuesday, June 17, 2008

Boikot Petronas: Melayu Jangan Bodoh!

Orang Melayu jangan jadi bodoh. Orang ramai banyak menerima emel dan juga sms kempen memboikot barangan petronas. Perbuatan memboikot tidak dapat menurunkan harga minyak kerana Petronas bukanlah pembekal minyak yang terbesar di negara ini. Tindakan tersebut akan merugikan orang Melayu sendiri yang kebanyakannya pengusaha-pengusaha stesyen minyak. Yang untung adalah syarikat-syarikat besar seperti Shell dan Esso. CEO Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican telah berkata bahawa Petronas bukanlah pembekal minyak terbesar hanya 800 stesyen di seluruh negara sedangkan Shell melebihi 1200 buah. Orang Melayu jangan jadi bodoh, dan diperbodohkan oleh pihak tertentu. Jangan terlalu emosional dengan kenaikan harga minyak fikiran jadi buntu dan gelabah! Ikut rasa binasa ikut hati mati! Kita mesti rasional dalam menghadapi masalah kenaikan harga minyak. Pengusaha-pengusaha stesyen minyak Petronas adalah orang Melayu kita bukan semuanya orang UMNO, PKR dan PAS pun ada stesyen minyak. Jangan kegilaan kepada parti meruntuhkan ekonomi orang Melayu sendiri. Yang rugi kita orang Melayu. Kekuatan ekonomi tak seperti mana, ada sedikit-sedikit nak dijahanamkan oleh bangsa sendiri. Kuasa politik pun mulai terhakis sikit demi sikit juga kerana perpecahan Melayu sendiri. Janganlah kita lantang berceramah di sana sini, memperburukkan pemimpin Melayu sendiri, kerana yang akan rugi orang Melayu jugak. Takut nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Menang sorak kampung tergadai. Nasi dah jadi bubur!!!

Muzakarah pemimpin UMNO, PAS dan PKR

Sudah jemu kita mendengar berita hasrat hendak bermuzakarah. Tiada pun ada usaha pihak-pihak tertentu untuk merealisasikannya. Apakah UMNO masih bersikap angkuh atau sombongnya tidak mahu bermuzakarah. Apakah benar pihak UMNO tiada kejujuran untuk melaksanakannya? Rakyat Melayu secara majoritinya mahukan orang Melayu bersatu kembali. Perpecahan yang telah berlaku tidak membawa sebarang faedah kepada sesiapa pun. Melayu terus ketinggalan jika terus begini. Apakah perbezaan antara ideologi kepartian tidak memungkin pertemuan untuk mencari perdamaian dan penyatuan Melayu. Apakah PAS dan UMNO tidak membela nasib bangsa Melayu? Apakah orang UMNO tidak Islam? Hanya PAS sahaja Islam? Apakah hanya UMNO sahaja memperjuang nasib bangsa Melayu dan PAS pula tidak demikian? Sebenarnya kedua-dua parti ini mempunyai asas perjuangan yang hampir sama cuma pendekatan sedikit berbeza. PAS asas perjuangan Islamnya, manakala UMNO pula asas perjuangan bangsanya. Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa bangsa Melayu adalah beragama Islam. Ini bermakna, matlamat PAS dan UMNO adalah sama tetapi pendekatannya sedikit berbeza. Tuan Guru Nik Aziz telah dengan jujur menyatakan persetujuan untuk bermuzakarah sebagai respon kepada cadangan Mufti Negeri Perlis baru-baru ini yang mencadangkan supaya diadakan muzakarah antara pemimpin-pemimpin utama orang Melayu demi bangsa dan agama Islam di Malaysia ini.

Saturday, June 14, 2008

Demontrasi Parti Pembangkang di KL

Isu kenaikan harga minyak bukan isu tempatan. Berlaku diseluruh dunia termasuk negara maju. Demontrasi juga terus berlaku di kebanyakan negara. Soalnya, apakah tindakan kerajaan Malaysia belum cukup untuk meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah? Kerajaan Malaysia telah menstruktur pemberian subsidi supaya pemberian subsidi tidak berlaku penyelewengan dan penyeludupan. Pemberian subsidi sepatutnya sampai kepada rakyat yang layak menerimanya. Walaupun kerajaan Malaysia telah melaksanakan tanggungjawabnya dan terus mengambil langkah-langkah pragmatik bagi mengurangkan beban rakyat tetapi tanggungjawab parti pembangkang pula menganjurkan demontrasi di sana sini. Peluang parti pembangkang khusus PAS dan PKR untuk memburukkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO. Pemimpin UMNO seolah-olah tidak berperikemanusiaan, kejam dan korupsi. Itulah label yang berjaya diberikan oleh pemimpin PAS dan PKR kepada pemimpin UMNO. Demontrasi tanpa permit sebenarnya didalangi oleh parti pembangkang. Isu harga minyak telah memberi peluang yang terbaik setakat ini kepada parti pembangkang. Mereka mengambil kesempatan ini untuk memburukkan kerajaan BN dan pemimpin UMNO. Melayu PAS dan Melayu PKR mahu menjatuhkan UMNO. Sebelum menjatuhkan UMNO yang menunjangi kerajaan BN, adalah lebih baik kerajaan negeri PP, Selangor, Kedah, Kelantan dan Perak bersatu dan berdikari dalam tempoh ini. Tunjukkan kepada rakyat umum bahawa kerajaan negeri PR boleh bersatu dan mampu menjadi saingan kepada BN di negeri-negeri lain. Wujudkan kerajaan pusat sendiri, kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan pusat BN tidak lagi beri bantuan kepada negeri-negeri BN melalui keuntungan Petronas melainkan royalti kepada negeri-negeri berkenaan sahaja seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak. Pandangan yang sukar direalisasikan...sampai bila pun orang Melayu berpecah jika begini. Mufti Perlis sudah pun menyatakan kebimbangannya kepada rakyat umum dalam soal perpaduan bangsa Melayu. Hanya kita boleh bercakap sahaja, sebab semua pihak ada kepentingan. Negara Arab pun tidak boleh bersatu kerana setiap negara Arab nak jaga kepentingan masing-masing. Begitulah kita orang-orang Melayu baik dari UMNO, PAS mahupun PKR. Rakyat mulai sedar dan insaf perpecahan ini semakin ketara. Malahan ada pemimpin Melayu sendiri pertikaikan ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru. Apa yang dapat kita katakan lagi??? Melayu rela berpecah kerana kuasa!!!!

Friday, June 13, 2008

Kerajaan Thailand Menghadapi Protest Rakyatnya

Ketika ini saya masih di Chiang Mai, Thailand dalam program bercuti selama 4 hari. Sepanjang masa saya di sebuah bandar bahagian utara Thailand ini, saya memperolehi sedikit maklumat berkaitan isu harga minyak di Thailand. Rata-rata penduduk yang ditemu bual berpendapat bahawa kenaikan harga minyak terutama petrol di Thailand tidak dapat dielakkan lagi. Kerajaan Thailand juga menghadapi tempoh yang paling sukar selain menghadapi masalah ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan baru Thailand, rakyat juga menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup. Akhbar Bangkok Post pada hari ini melaporkan bahawa kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi bantahan rakyat dari kumpulan-kumpulan peladang hinggalah kepada pemandu trak. Kerajaan Thailand bukan sahaja menghadapi demontrasi dari PAD (People's Alliance for Democracy) di Jambatan Makkhawan Rangsan dan perhimpunan di sekitar Bangkok tetapi juga bantahan kumpulan-kumpulan berkepentingan di lain-lain bahagian negara ini. Sementara itu, pemimpin-pemimpin kesatuan swasta akan memutuskan Selasa hadapan sama ada mereka yang mewakili 200,000 ahli kesatuan akan menyertai PAD dalam demontrasi yang dirancangkan itu.

Dari pengalaman saya di Chiang Mai ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah pragmatik untuk membantu rakyat Malaysia yang akan menghadapi beban akibat kenaikan harga minyak. Kita perlu sedar bahawa rakyat Thailand menghadapi masalah lebih sukar. Harga minyak di Thailand telah meningkat dengan harga baru sebanyak 41 bath seliter. Ini bermakna harga minyak di Thailand telah mencapai harga RM3.85 seliter, berbanding Malaysia RM2.70 seliter. Semua rakyat dan juga parti pembangkang perlu memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia untuk menghadapi tempoh yang paling sukar ini. Kerajaan Malaysia telah dan akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengatasi beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"