Sunday, April 3, 2011

Bekas ahli PAS yang taksub telah bertaubat, kenapa?

Pengikut Pas yang taksub dengan perjuangan parti itu pernah memulaukan imam UMNO dan menganggap sembahyang tidak sah sekiranya berimamkan mereka.
Perkara itu didedahkan oleh bekas penyokong kuat parti itu, Aziz Jusoh, 51, yang mendakwa, ada di kalangan ahli Pas menganggap perkahwinan yang dinikahkan oleh jurunikah UMNO juga tidak sah dan perlu dinikahkan semula.
"Malah, sembelihan orang UMNO juga tidak boleh dimakan sebagaimana yang disebarkan menerusi ceramah Pas pada waktu itu dan ia menjadi ikutan sebilangan besar umat Islam yang taksub termasuk saya sendiri.
“Pada fahaman saya, penceramah Pas pada waktu itu memang mengkafirkan orang-orang UMNO," dakwanya.
Aziz membuat pendedahan tersebut pada Majlis Selamat Tinggal Pas di Kampung Gong Tinggi dekat sini malam tadi yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman.
Aziz mendakwa, akibat terlalu taksub dengan fahaman Pas dia tidak pernah menunaikan solat Jumaat dalam mukimnya jika imam pada hari itu adalah penyokong UMNO dan sanggup ke masjid lain yang dikenal pasti diimamkan oleh penyokong kuat Pas atau solat di rumah berimamkan siaran langsung di radio.
"Semua ini dilakukan kerana terlalu setia kepada perjuangan Pas yang kononnya memperjuangkan Islam dan menjanjikan syurga kepada penyokongnya.
"Kini saya sedar perbuatan itu adalah salah dan menyimpang daripada ajaran Islam sebenar. Saya sudah bertaubat dan meminta ianya tidak menjadi ikutan orang lain terutama penyokong Pas yang masih taksub terhadap parti itu," akuinya.
Aziz mendakwa, fahaman yang disebarkan oleh penceramah Pas lazimnya menjadi amalan penyokong akar umbi yang kurang mendalam ilmu agama mereka sehingga sanggup melakukan apa sahaja walaupun ianya bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.
"Mereka (penceramah Pas) tidak boleh menafikan perkara ini kerana saya adalah salah seorang penyokong yang taksub dan berbuat demikian semata-mata kerana terlalu setia terhadap perjuangan parti itu sebelum ini," dakwanya.

Monday, February 21, 2011

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

SAYA tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.
Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.
Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.
Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?
Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.
Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?
Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.
Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.
Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.
Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".
Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.
Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.
Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?
Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.
Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.
Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.
Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?
Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:
* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.
* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.
* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.
* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.
* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.
* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.
Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.
Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.
Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.
HJ. LUKMAN BIN MOIDIN
Penceramah, Motivasi & Kaunselor
Kedah

Sunday, February 13, 2011

PAS samakan kerajaan Hosni Mubarak dengan BN Malaysia?

Petikan dari Harakah Daily "Inilah seharusnya menjadi iktibar kita, terutamanya kepada kerajaan Umno BN yang juga memaparkan sikap dan perangai yang sama dengan apa yang ditunjukkan oleh rejim yang telah ditewaskan itu. PAS dengan ini mengajak seluruh rakyat yang dahagakan perubahan agar dapat bersama kami dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk terus merencanakan tugas bagi melakukan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini".
Komen:
Buta perut punya pemimpin PAS. Ada mata pun buta. Ada telinga pun pekak. Hati sudah mati. Mesir adalah sebuah negara tanah lahirnya para anbia tersohor. Malaysia cuma sebuah negara dikenali dulu sebagai sebuah Tanah Melayu suatu masa dulu menghadapi beberapa siri pemerintahan penjajah dari Portugis dan Belanda di Melaka dan Jepun dan British selepas itu. Pengalaman lampau sejak ratusan tahun dalam pemerintahan penjajah, banyaklah perubahan berlaku hinggalah Malaysia hari ini terkenal sebagai salah sebuah negara Islam contoh di dunia.
Walaupun Malaysia sebuah negara yang rakyatnya pelbagai agama, bangsa dan suku kaum tapi rakyatnya dapat hidup aman dan damai kecuali Peritiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969.  Hari ini Malaysia merupakan salah sebuah negara maju baru di dunia. Ekonomi Malaysia dapat bertahan dalam ekonomi dunia mengalami kegawatan. Sebuah negara yang mengalami gunatenaga penuh ataupun tidak ada penganguran menjadikan Malaysia sebuah negara tumpuan warga negara asing di sekelilingnya mencari pekerjaan. Jika tidak kerana kepimpinan dan kebijaksanan kerajaan BN yang memerintah negara ini, sudah pasti pengangguran terus berlaku, pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan penurunan dan negatif, pelaburan dalam dan luar negara berkurangan, gaji dan elaun kakitangan awam tidak dinaikkan, industri pelancongan merosot, infrastruktur awam tidak mampu dibina dan sebagainya. Sebaliknya kerajaan BN telah melaksanakannya dan terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan slogan "1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".  
Jika rakyat tidak suka kepada pentadbiran kerajaan BN di bawah pimpinan DS Najib, kenapa setiap kali PRK diadakan calon BN mencatat kemenangan dengan majoriti yang semakin besar biarpun di tempat pembangkang? Jumlah pengundi bukan Melayu juga semakin bertambah. Kerana rakyat sudah nampak dengan mata kepala sendiri apa yang kerajaan Pakatan Rakyat lakukan hari ini kepada pengundi-pengundinya. Rakyat sudah tahu kerajaan PR cuma cakap-cakap sahaja, cakap tak serupa bikin. Ucapan berapi-api pemimpin mereka hanya retorik semata-mata. Apa yang dapat rakyat banggakan selama ini sejak kerajaan PR memerintah? Kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah, apa yang nak dibanggakan. Banyak rakyat menderita dan tidak terbela.. Rasuah di kalangan pemimpin negeri tetap dan terus berlaku. Apa dah jadi dengan kerajaan PR di Pulau Pinang dan di Selangor? Orang Melayu yang beragama Islam semakin terhimpit oleh dasar kerajaan negeri yang menekankan konsep Malaysia Malaysian. Berselindung dengan taktik halus menggunakan sistem pentadbiran Islam Khalifah Umar Abdul Aziz di Pulau Pinang. Orang Melayu dan Islam terpedaya. Orang bukan Melayu juga tertipu. Pemimpin PAS bukan tidak tahu tapi mereka kena buat-buat tak tahu supaya mereka dapat berkongsi kuasa untuk memerintah negeri. Itu sebabnya agama tergadai, ayat-ayat suci al-Quran dijual oleh puak-puak ini kerana kuasa politik menjadi keutamaan mereka. Mereka sanggup menolak UMNO tapi mereka boleh pula menerima perjuangan DAP yang jelas menentang sebuah negara Islam tertubuhnya di Malaysia, merupakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak tokoh agama dan ulama kecewa dengan sikap kepimpinan PAS dalam hal ini.
Jika begitulah keadaannya, apakah kerajaan Malaysia di bawah pimpinan DS Najib boleh disamakan dengan kerajaan Hosni Mubarak di Mesir? Tepuk dada tanya mina.

Saturday, February 5, 2011

Perhimpunan Sejuta Umat Islam di Malaysia menjatuhkan rejim Najib Abdul Razak?

Demontrasi rakyat Mesir
Demontrasi Anti Hosni oleh rakyat Malaysia
Ini satu pandangan tapi mungkin ada rasionalnya melihat kepada situasi politik semasa di pihak pembangkang. Pemimpin pembangkang dalam ceramah mereka cuba menaikkan semangat rakyat Malaysia mencontohi keberanian rakyat Mesir bangkit menentang Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Malahan dalam Harakah online, telah memaparkan tulisan Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang amat merbahaya dengan tajuk "Mungkinkah revolusi di Arab akan berjangkit ke Malaysia?". Oleh itu apakah maksud sebenarnya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz yang bertanggungjawab menulis isu itu? [Baca sini].
Demontrasi besar-besaran merupakan jalan mudah untuk menukar pemerintahan sesebuah negara walaupun terpaksa mengalami pelbagai kemusnahan harta benda dan kehilangan jiwa. Inilah yang sedang berlaku di Mesir yang memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan dengan segera. Inilah peluang pihak pembangkang memutar belitkan fakta dan menyamakan sistem pemerintahan Hosni Mubarak dengan Dato' Seri Najib di Malaysia. Parti DAP sudah pasti tidak begitu senang dengan perhimpunan haram kira-kira  2000 penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di Kedutaan Amerika. hari Jumaat yang lalu. Perhimpunan Pakatan Rakyat mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan sebenarnya salah satu strategi usaha Pakatan Rakyat mendapatkan publisiti murahan setelah kalah teruk dalam beberapa PRK yang lalu. Perhimpunan yang diketuai oleh PAS dan PKR itu tidak memberi apa-apa impak selain mewujudkan suasana yang kurang harmonis di kalangan rakyat Malaysia yang masih berada dalam suasana sambutan Tahun Baru Cina. Keghairahan pemimpin PAS dan PKR mengadakan demontrasi kesempatan apa yang sedang berlaku di Mesir, mereka terlupa rakan-rakan mereka dari DAP sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Mereka tidak hiraukan semangat 1 Malaysia dan rumah terbuka Tahun Baru Cina yang sedang berlangsung di beberapa buah negeri. Yang penting bagi mereka, cuba mengambil kesempatan apa yang sedang berlaku di Mesir. 
Kepada pimpinan Pas yang begitu bersemangat, pergilah ke Mesir. Bantu anak-anak kita yang terperangkap di sana. Jika Pas benar-benar yakin demonstrasi di Mesir itu adalah jihad dan jika mati, matinya syahid, maka berebut-rebutlah ke sana. Usah ganggu tanah air kita yang aman dan makmur ini. [Baca sini]. Itulah komen ikhlas daripada Kamariah Youp yang bimbang dengan tindak tanduk pembangkang Malaysia yang cuba menghidupkan budaya demontrasi di kalangan rakyat Malaysia. Apa yang sedang berlaku di Mesir sepatutnya dijadikan panduan dan pengajaran agar kejadian seumpama itu tidak berlaku di Malaysia. Kita sepatutnya bersyukur kerana Malaysia dengan rakyat yang pelbagai kaum dan agama dapat hidup aman dan damai. Sebaliknya dalam situasi kerajaan Malaysia membantu menyelamatkan ribuan rakyat Malaysia di Mesir, puak-puak pembangkang pula mulai menabur fitnah dan menyebarkan berita-berita palsu yang tidak menguntungkan sesiapa, kata Dato Jamil Khir. Apakah usaha pemimpin Pakatan Rakyat ketika rakyat Malaysia hadapi masalah banjir di Johor, Pahang dan Melaka? Kemana kelibat mereka ketika rakyat memerlukan bantuan mereka, yang memberi undi kepada mereka? Apakah pemimpin Pakatan Rakyat turut sama-sama kerjaaan Malaysia memberi bantuan kepada anak-anak mereka di Mesir yang kebanyakannya pro PAS? Apakah dengan demontrasi haram Pakatan Rakyat di hadapan Kedutaan Amerika kelmarin dapat menyelesaikan masalah itu? Sudah terang lagi bersuluh sebenarnya pimpinan Pakatan Rakyat mengutamakan survival politik kepartian daripada memikirkan ribuan mangsa banjir dan pelajar-pelajar kita di Mesir yang perlu diselamatkan. Pimpinan Pakatan Rakyat sekadar mampu mendesak dan mengkritik kerajaan Malaysia. Mereka mahu rakyat bangun melahirkan perasaan marah kepada kerajaan Malaysia kerana gagal membawa balik dengan segera rakyat Malaysia di Mesir. Mereka tidak mahu dengar rakyat Malaysia bukan sedikit tetapi berpuluh-puluh ribu di Mesir, mereka tak mahu tahu berapa buah kapal udara yang diperlukan, mereka tak mahu ambil tahu situasi genting di Mesir dan perintah 'curfew' di Mesir dan mereka tidak peduli apa perancangan kerajaan Malaysia untuk memindahkan rakyat Malaysia. Bagi mereka kegagalan kerajaan Malaysia tangani perpindahan rakyat Malaysia suatu bonus politik yang amat berharga buat mereka ketika ini. Mereka mahu pelajar-pelajar Malaysia yang berjaya balik ke tanah air membawa pulang dengan perasaan marah dan kecaman kepada kerajaan Malaysia. Jika ini berlaku, Pakatan Rakyat berjaya. Inilah peluang Pakatan Rakyat menunggu dan lihat bagaimana usaha kerajaan Malaysia menangani ribuan pelajar dan rakyat Malaysia keluar daripada Mesir ke Jeddah dan seterusnya balik ke Malaysia. Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah setakat ini operasi perpindahan rakyat Malaysia ke Jeddah sedang berjalan lancar walaupun terpaksa hadapi tempoh perintah berkurung dan hak pendaratan kapal udara TUDM di Jeddah baru selesai. Kebanyakan masjid-masjid dan surau seluruh negara telah mengadakan bacaan Yaasin dan solat hajat agar rakyat Malaysia di Mesir dalam keadaan selamat dan proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar. Itulah yang sepatutnya tapi bukannya demontrasi dan kecaman serta sebaran berita palsu kepada rakyat? Apakah dengan mengadakan demontrasi Pakatan Rakyat itu boleh menyelesaikan masalah rakyat Malaysia di Mesir? Sebenarnya demontrasi itu hanyalah kesempatan semangat rakyat Mesir mahu diambil peluang oleh pimpinan Pakatan Rakyat ke atas rakyat Malaysia (cuma segelintir) yang rela diperkudakan. Demontrasi iPakatan Rakyat itu sebenarnya mempunyai maksud tersendiri, ada yang tersurat dan tersirat. Majoriti rakyat Malaysia pada hari ini sudah pun  tahu yang tersirat! Tunggulah PRK13 akan datang, pisang tak akan berbuah dua kali.

Thursday, February 3, 2011

Mana hilangnya pemimpin PAS semasa banjir di Tenang ?

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang telah diduga dan terbukti sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat termasuk undi Cina dan India.
Namun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis mengatakannya 'tak menang dan tak tewas.' Hakikatnya beliau mengakui Pas kalah, tetapi secara tersirat beliau menyindir MCA yang tewas kerana masih gagal menarik sokongan pengundi Cina di mana BN hanya menang tiga daripada empat kawasan majoriti pengundi Cina.
Beberapa pemimpin DAP mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek gagal menarik pengundi Cina di kawasannya sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali mengakui Pas memperoleh banyak undi daripada kaum Cina.
Teryata fatwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu tidak mengundi Pas adalah jahiliyah tidak mampu mempengaruhi pengundi Melayu. Dalam hujan lebat sambil mengharungi banjir mereka keluar mengundi BN.
Seperti Mustaffa, Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Md Isa turut menyalahkan faktor hujan dan banjir menyebabkan Pas kalah. Soalnya apakah kalau cuaca panas terik Pas boleh menang? Sebaik-baiknya mereka menerima kudrat Tuhan. Takkan Pas mahu menyalahkan dan menolak kuasa Tuhan kerana tidak menyebelahi mereka.
Paling menarik dan melucukan ulasan Nik Aziz Nik Mat yang berkata Pas tidak memburu kemenangan di dunia semata-mata dan menganggap perjuangan amal makruf nahi mungkar Pas telah berjaya. Sambil itu beliau menyoal, bolehkah perjuangan UMNO itu dibawa ke akhirat?
Inilah kecelaruan fikiran Nik Aziz. Kalau Pas percaya perjuangannnya untuk kebaikan, menentang kemungkaran serta menuju akhirat tidak mungkin dalam kempen Pas melakukan fitnah dan pembohongan hanya kerana mahu meraih undi. Penuh kemungkaran. Ini yang dikatakan perjuangan Islam?
Eloklah selepas Tenang, Pas bermuhasabah. Taktik lapuk yang memperbodohkan pengundi terutama Melayu dengan memperalatkan agama sudah tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi apabila Pas terlalu mengharap undi Cina hingga sanggup bersekongkol dengan DAP.
Orang Melayu mulai memikirkan masa depan anak cucu-cicit mereka. 'Buku jingga 100 hari' dilihat sebagai penjual mimpi yang tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang boleh ditawarkan.
Kini Tenang dilanda banjir teruk. Mana perginya pemimpin dan penyokong Pas yang ramai di hari berkempen tempoh hari? Rakyat mahukan bantuan. Inilah pengajaran paling besar tentang kejujuran dan keikhlasan mengikut Islam. Tapi Pas hanya mahu undi saja.

Peprecahan lemahkan bangsa Melayu: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR - Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.

“Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

“Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita,” katanya ketika berucap pada wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di Memorial Tun Hussein Onn di sini, semalam.

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata, kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya Pas, sebagai parti serpihan UMNO.

“Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada UMNO) menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR.

“Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang berpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita,” katanya.

Menurutnya, ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

“Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu ‘identify’ diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang ‘tongkat’, hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

“Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

“Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku,” kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.
Sumber: Sinar Harian 2/2/2011

Tuesday, February 1, 2011

NIK AJIS DAN KUAN YEW (PANDANGAN TUN MAHATHIR)

Sesuatu yang mungkin kita dapat renungkan apabila melihat lanskap politik kita di Malaysia. Artikel ini diambil dari blog Tun Mahathir sendiri.

1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.


2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?


3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.


4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.


5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.


6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.


7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.


8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.


9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.


10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.


11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.

Sunday, January 30, 2011

"Nik Aziz dan Anwar sama" kata Datuk Nik Khairul Annuar Ab. Rahim

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Gila kuasa politik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kini setanding dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau semakin berani mengeluarkan 'fatwa demi fatwa' semata-mata untuk kepentingan parti.
Pengarah Hal Ehwal Agama Kebangsaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Nik Khairul Annuar Ab. Rahim berkata, namun di sebalik persamaan sikap ghairah berpolitik antara kedua-duanya, masih ada perbezaan di antara mereka.
Jelas beliau, perbezaan itu ialah Nik Aziz 'melacurkan' agama untuk memuaskan nafsu politik, manakala Anwar melacurkan politik bagi memuaskan nafsu serakahnya.
Datuk Nik Khairul Annuar Ab. Rahim
"Nik Aziz perlu memberikan penjelasan tentang 'nafsu politik' beliau itu berikutan fatwa songsang yang dikeluarkan oleh beliau ketika kempen di Tenang.
"Saya dan arwah nenek moyang saya tidak mengundi Pas dan apakah kami semua kafir?'' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan Mursyidul Am Pas baru-baru ini yang melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong calonnya sebagai orang jahiliah.
Nik Aziz berkata demikian pada sidang akhbar di Kampung Radong selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen untuk Pilihan Raya Kecil DUN Tenang.
Dalam pada itu, Nik Khairul Annuar menggesa Nik Aziz untuk turut mengeluarkan fatwa terhadap perilaku menantunya dalam kes rasuah, Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.
"Kami golongan muda meminta supaya Nik Aziz dapat memberi penjelasan terhadap perkara itu,'' katanya.
Menurut Nik Khairul Annuar, Nik Aziz kini semakin memperlihatkan dirinya sebagai seorang ahli politik dan Menteri Besar yang angkuh dan mempunyai nafsu serta ego yang keterlaluan. 
Sumber: Utusan Malaysia 30/1/2011

Sunday, January 23, 2011

UMNO itu kafir, wajib ditentang habis-habisan?

Tiba setiap kali pilihanraya akan ada poster-poster, banner-banner dan risalah-risalah yang amat menakutkan umat Islam di Malaysia. Keadaan menjadi lebih sengit hingga perlakuan penyokong-penyokong parti terkeluar batasan adab susila dan ajaran Islam. Kita boleh perhatikan sendiri nanti di PRK DUN Tenang bila bertemunya  antara calon PAS dan calon BN dari UMNO. Malu kita kepada rakyat yang bukan beragama Islam. Malu dengan perlakuan buruk tok-tok janggoat yang langsung tidak mencerminkan Islam sebagai agama suci yang patut dijaga dan dipelihara. Kenapa mereka ini bertindak keterlaluan seolah-olah mereka berhadapan dengan musuh-musuh Islam? Seolah-olah mereka ini sedang berperang dengan puak-puak Yahudi dan Nasrani? Apakah kerana fatwa Tuan Haji Hadi dan fatwa-fatwa Tok Guru Nik Aziz yang menjadi pegangan kuat para penyokong-penyokong PAS?
Berita terbaru, sudah ada keganasan yang dilakukan oleh puak-puak PAS terhadap kenderaan yang di bawa oleh Puteri UMNO di Labis, Johor. Manakala di PRK Bagan Pinang dulu ada pula penyokong PAS sendiri sanggup menipu orang ramai mendakwa dia ditetak oleh penyokong BN. Suatu masa dulu, dalam PRK di Kedah ada penyokong PAS telah menunjukkan kemaluannya kepada puteri-puteri UMNO yang sedang berkempen. Di Pulau Pinang juga pernah berlaku dalam PRU yang lalu, penyokong PAS menjerit-jerit mengatakan "orang UMNO kafir". Walau bagaimanapun keadaan panas itu dapat diredakan bila penyokong PAS itu diberi amaran keras oleh seorang tua yang berlalu di situ. Ini cerita benar bukan fitnah seperti ciptaan PAS. Betapa sedihnya kita umat Islam bertelagah dalam politik sesama sendiri merebut kuasa. PAS mengatakan perjuangannya untuk Islam. Tapi apakah UMNO yang memerintah selama ini menyebabkan Islam  di Malaysia tidak diamalkan dalam pentadbiran dan sistem pengurusan ekonomi negara. Apakah kerana UMNO, kalimah Allah dibenarkan digunapakai dalam gereja? KApakah juga kerana UMNO maka kaum kafir boleh menggunakan ayat suci al-Quran dalam ceramah-cermah politik mereka? Apakah kerana UMNO jugalah, perempuan bukan Islam tidak menutup aurat boleh berucap di ruang utama solat sebuah masjid/surau? Apakah kerana UMNO jugalah tindakan merampas arak oleh pihak berkuasa ditarik balik? Apakah kerana UMNO juga, orang-orang Islam dibenarkan bekerja di premis perniagaan haram? Apakah kerana UMNO negeri Kelantan yang digelar 'Serambi Mekah' masih miskin dan terdapat juga gejala sosial berlaku? Dan apakah pula kerana PAS sistem kewangan Islam di Malaysia menjadi ikutan negara-negara Islam lain di dunia? Apakah kerana PAS jugakah, mahkamah syariah mulai mendapat tempat dalam sistem perundangan negara? Apakah kerana PAS jugalah banyak masjid dan surau dan sekolah-sekolah agama aliran perdana dibina pada setiap tahun? 
Oleh kerana itulah maka pemimpin-pemimpin PAS mengeluarkan fatwa menentang UMNO adalah suatu jihad kerana UMNO memperjuangkan nasionalis. Tapi kenapa pula ada ramai ulama muda dan tua termasuk mufti-mufti menyokong perjuangan UMNO dan sebaliknya mengkritik dasar pemerintahan PAS? Kenapa pula Tok Guru Lah, Pengerusi Sekolah-Sekolah Pondok di Kelantan bangkit menentang Tok Guru Nik Ajis secara terbuka? Apakah ulama-ulama ini akan dicampakkan dalam neraka kerana menyokong UMNO? Nauzubillahi min zalik.

Friday, December 3, 2010

Sokong Kit Siang jadi TPM bercanggah matlamat Pas

HAKIKAT yang tidak boleh ditolak oleh catatan sejarah politik negara adalah Pas merupakan sebuah parti serpihan UMNO yang dilahirkan oleh mereka yang berpendidikan agama, terutama ahli yang menerima pendidikan di Asia Barat.
Parti itu lahir hasil daripada pertemuan pertama alim ulama pada 24 November 1951 iaitu pertemuan yang diinisiatifkan oleh Mudir Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim. Penubuhannya bertujuan membangkang dan membetulkan UMNO dari sudut keagamaan.
Haji Ahmad Badawi yang merupakan pengasas Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah adalah ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah merupakan antara pelajar madrasah berkenaan dan Perdana Menteri Malaysia pertama yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Islam.
Selain itu, matlamat Pas diasaskan adalah untuk menjadi pembangkang dan menegur UMNO dari sudut keislaman, mengekalkan kuasa Melayu dan menegaskan pemimpin negara sebagai pemerintah utama negara mestilah beragama Islam. Itu adalah antara matlamat Pas kerana secara umumnya setiap orang berbangsa Melayu di negara ini adalah beragama Islam.
Tetapi apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai tokoh paling berpengaruh dan paling dipakai buah fikirannya oleh Pas pada waktu ini boleh bersetuju dengan janji Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang dan berjaya menubuhkan kerajaan, ia secara terang lagi bersuluh bahawa janji itu jelas bercanggah dengan matlamat, tujuan dan fungsi Pas ditubuhkan.
Malah pada perhatian saya, Pas pada era 'Nikazizsme' telah menjadikan Nik Aziz bersikap umpama tikus membaiki labu dan tupai membaiki buah manggis, menjadikan Pas semakin kehilangan identiti sebagai sebuah parti politik yang konon perjuangannya berteraskan Islam.
Seandainya majoriti rakyat, terutama majoriti pendukung dan penyokong Pas boleh terpedaya dengan pendekatan berpolitik gaya Nik Aziz pada era Pas dibayangi sindrom dan wabak Nikazizsme ini, maka negara ini pasti akan mengalami bencana besar.
Kalangan bukan Melayu bukan sahaja akan terus menguasai bidang ekonomi tetapi juga akan menguasai politik dan juga kuasa pemerintahan dan pentadbiran negara sebagaimana pada waktu ini sedang berlaku di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, rakyat tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan berpolitik PKR dan Pas yang cuba bermain api untuk membakar peluang dan keistimewaan Melayu sebagai bangsa pertuanan negara ini sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan negara.
Janganlah bak seperti kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah'. Ini kerana apabila nasi sudah menjadi bubur dan menangis keluar air mata darah sekali pun, bubur tidak akan bertukar menjadi nasi kembali.
Biarlah pemimpin, pendukung dan penyokong PKR dan Pas terjun dengan labu-labunya. Kita rakyat jelata jangan ikut terjun sama. Sayangilah negara dan bangsa kita, di samping pada waktu yang sama kita menghormati dan mengekalkan persefahaman serta keharmonian dengan kaum-kaum lain sebagai rakan senegara tanpa perlu mengorbankan ketuanan, semata-mata kerana mahu menunjukkan sifat dan sikap setiakawan yang melampau.
Ingin saya tegaskan iaitu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali.
RAMLI ABDUL HALIM
Kota Bharu, Kelantan.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"