Sunday, November 9, 2008

Jangan biarkan Utusan Malaysia dihina, boikot

IPOH 8 Nov. - Persidangan Pemuda UMNO Ipoh Timur hari ini sebulat suara mengusulkan supaya parti itu terus mempertahankan akhbar Utusan Malaysia daripada dihina dan diboikot oleh mana-mana pihak sekalipun.

Ketuanya, Hairul Anwar Mohd. Nor berkata, tindakan memboikot akhbar tersebut seperti yang dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang di Perak juga perlu ditentang habis-habisan.

''Kerajaan campuran Perak yang ditunjangi DAP memboikot Utusan Malaysia atas alasan akhbar itu bersikap perkauman sedangkan ia memperjuangkan nasib orang Melayu.

''Mereka sengaja menghalang pegawai dan kakitangan kerajaan negeri membaca Utusan untuk mendapatkan maklumat.

''Sebenarnya kerajaan pakatan pembangkang takut dengan perjuangan dan kebangkitan orang Melayu menerusi akhbar Utusan Malaysia yang selama ini meniupkan semangat nasionalisme orang Melayu sejak zaman pendudukan Jepun dan British lagi," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur di sini hari ini.

Hairul Anwar dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur selepas menewaskan Mohamad Iskandar Abdul Rahman dengan majoriti sembilan undi.

Persidangan yang sama turut mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk jawatan naib ketua.

Hairul Anwar berkata, Utusan menjadi satu-satunya akhbar dengan penuh berani meletakkan kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang di muka hadapan apabila meminta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri parti DAP di Perak memulaukan istiadat angkat sumpah pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada parti Pas.

Jelasnya, akhbar tersebut juga 'berseorangan' memainkan isu kebiadapan Karpal Singh kerana mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam isu pemecatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

''Tiada satu pun akhbar arus perdana lain berani meletakkan tajuk utama di muka hadapan terhadap kebiadapan Karpal Singh itu. Jadi, UMNO perlu tegas dan berani untuk terus mempertahankan akhbar Utusan," katanya.

Tambah beliau, Utusan juga begitu terkehadapan kerana mendedahkan isu Menteri Besar Perak menjadi boneka DAP, mempertikaikan pemberian tanah kepada sekolah Cina di Perak, pajakan tanah 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru dan semua itu menjadi isu nasional.

Katanya, ia adalah bukti jelas bahawa Utusan adalah akhbar yang berani bersuara dalam mempertahankan hak orang Melayu di negara ini.

''Yang memperkasakan dan mempelopori bahasa Melayu adalah Utusan, sumber maklumat orang Melayu adalah Utusan, mempertahankan Islam adalah Utusan.

''Utusan dan orang Melayu tidak boleh dipisahkan lagi dan kita menganggap mana-mana pihak yang menghina Utusan sama juga dengan tindakan menghina Melayu," ujar beliau.

Katanya, elemen tersebut memang amat ditakuti oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sehingga memaksa mereka melancarkan serangan bertali arus terhadap akhbar Utusan.

Jelasnya, ini termasuk tidak membenarkan wartawan Utusan membuat liputan ceramah dan menghadiri sidang akhbar mereka malah meminta dilarang membuat liputan di Parlimen.

''Larangan ini dibuat agar Utusan tidak mampu lagi menjadi wadah perjuangan orang Melayu serta meniup semangat Melayu dan kita umat Melayu tidak harus tertipu dengan sandiwara mereka yang mahukan akhbar Utusan terus berkubur.

''Semangat nasionalisme yang ditiup oleh akhbar Utusan mendorong kepada penubuhan UMNO. Ada pepatah mengatakan UMNO itu Utusan dan Utusan itu UMNO," katanya.


Sumber: Utusan Online 9 Nov 2008

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"