Presiden Pas, Hj Hadi Awang telah mengatakan bahawa   Umno sebenarnya telah ditaja oleh pihak British bagi melawan  perjuangan  Islam.  Hj Hadi juga berkata bahawa Umno juga sebenarnya  ditubuhkan oleh  British bagi menentang gerakan Islam di negara ini yang  di inspirasikan  oleh Parti Syarikat Islam di Indonesia. Hj Hadi  berkata demikian  ketika berucap dalam Majlis Ceramah sempena Muktamar  Tahunan Pas ke 56  yang bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan.  Majlis ceramah  tersebut turut dihadiri oleh tokoh-tokoh parti Islam dari  Filipina,  Maldives dan juga Palestin.
Pemimpin PAS  ini telah tersepit dalam perjuangannya. Beliau mahu memberitahu kepada  tetamu kehormat dalam muktamar itu bahawa UMNO yang menjadi tunjang  pemerintahan negara ini adalah bukan Islam. Cerita UMNO semasa zaman  British memerintah Tanah Melayu kira-kira 50 tahun dulu masih dibawa  oleh Hj. Hadi seolah-olah UMNO dulu semasa British dan UMNO sekarang  masih tidak berubah. Sedangkan UMNO sudah jauh berubah dari dasar  perjuangan sebelum merdeka hingga selepas merdeka. Kenapa pemimpin PAS  yang bergelar ulamak sanggup menyembunyikan kebenaran sebaliknya memutar  belitkan fakta sejarah dan mengatakan pula bahawa  perjuangan Islam Pas  wujud lebih lama dari Umno.
Apakah  pemimpin-pemimpin luar negara seperti Filipina, Maldives dan Palestin  boleh diauta begitu mudah? Melainkan jika pemimpin yang dijemput itu  datangnya dari puak-puak pembangkang dari negara-negara mereka sudah  tentu mereka 'tidak nampak' kerana hati mereka telah dibutakan. Inilah  sikap pemimpin PAS yang menjadi saingan UMNO sejak dulu, sebelum  merdeka. Perlembagaan UMNO dikatakan mewarisi perlembagaan British,  perjuangan UMNO disamakan dengan perjuangan zionis yahudi, UMNO tidak  Islam, orang UMNO dikafirkan, dan sebagainya. Perpecahan di kalangan  orang Melayu semakin ketara hingga Melayu menjadi lemah di tanah air  sendiri. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan,  sesuatu bangsa yang menjadi majoriti penduduk akan jadi lemah jika  tidak bersatu. Inilah hakikatnya yang sedang berlaku di kalangan orang  Melayu di Malaysia hari ini. 
Pemimpin PAS  sudah membuat keputusan, berkerat rotan dan berpatah arang dengan UMNO.  PAS lebih yakin dengan DAP dan PKR untuk membela nasib orang-orang  Melayu dan agama Islam di Malaysia. Pemimpin PAS tidak percaya dan yakin  dengan UMNO walaupun pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO 99% adalah  umat Muhammad SAW, satu bangsa dan satu bahasa dengan ahli-ahli PAS.  Malahan ada di antara mereka ada hubungan pertalian persaudaraan, satu  keluarga, sepupu poyang ataupun dari satu rumpun nenek moyang yang sama.  Oleh kerana idealisme politik yang berbeza, Melayu berpecah dan semakin  lemah. Pada tahun-tahun 1970an, berlaku solat jemaah dua imam,  sembelihan orang UMNO haram, kenduri orang UMNO diboikot dan sebagainya  angkara fahaman ekstrem pemimpin PAS tertentu dan pemimpin PAS itu di  antaranya masih hidup hingga sekarang. Oleh kerana sikap ekstrem PAS ini  merugikan PAS sendiri, maka dasar perjuangan PAS telah berubah secara  drastik.
PAS mulai mendekati  penyokong-penyokong bukan Islam. PAS sedar tanpa sokongan orang bukan  Islam, PAS tidak akan menjadi parti yang berpengaruh di Malaysia.  Pemimpin PAS terpaksa kunyah dan telan mahupun terlalu pahit dengan  dasar baru PAS. Fatwa UMNO kafir tidak bunyi lagi kerana fatwa ini akan  menakutkan bangsa lain kepada PAS. Perjuangan menubuhkan negara Islam  terpaksa dikorbankan kerana usaha ini mendapat tentangan kuat dari rakan  dalam Pakatan Rakyat terutama DAP. Pelaksanaan Hukum Hudud sudah tidak  lagi menjadi bahan ceramah pemimpin-pemimpin PAS kini. Malahan PAS  bergerak setapak lagi sanggup melunturkan identitinya sebagai parti   Islam dan parti majoriti orang Melayu dengan  Dewan Ulama PAS Pusat  meluluskan orang bukan Islam boleh menjadi  anggota Dewan Himpunan  Penyokong Pas (DHPP) bertanding pilihan raya atas  tiket PAS. Ini selari  dengan luahan pendapat pemimpin PAS sendiri yang sering berkata orang  bukan Melayu boleh memimpin Pas  dan menjadi Perdana Menteri asalkan dia  Islam. Dalam erti kata yang lain, seorang penganut Kristian, Hindu atau   Buddha boleh menjadi calon Pas dan mengambil bahagian dalam   kepemimpinan Pas jika dia menang. 
Beginilah perubahan dasar  perjuangan PAS yang semakin meminggirkan kuasa Melayu dan memperkasakan  kuasa bukan Melayu dan bukan Islam dalam iklim politik di Malaysia yang  semakin kompleks. Perlu diingat apakah PAS mampu mendepani ideologi DAP  yang tegar dan sentiasa konsisten dan PKR yang terumbang ambing. Apakah  PAS merasakan lebih mudah mengislamisasikan pemimpin DAP dan PKR  berbanding dengan pemimpin UMNO? Apakah PAS cuba memberi alternatif  kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang  tidak serasi dengan dasar perjuangan DAP dan PKR? Dan apakah pemimpin  PAS sedar bahawa pemimpin DAP dan PKR mulai curiga dengan dasar baru PAS  terhadap penyokong bukan Islam? Mengapa PAS sebagai sebuah parti Islam  telah sanggup mengorbankan identiti kerana hanya politik untuk berkuasa?  Politik orang Melayu dan Islam mempunyai masa depan yang semakin tidak  menentu dengan dasar PAS yang selalu berubah dan mengikut keadaan bukan  mengikut prinsip perjuangan. Takut perjuangan PAS ibarat kata pepatah  Melayu, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran". Oleh itu  orang-orang Melayu dan bumiputera amnya  perlu berfikir banyak kali  untuk menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Yang pasti UMNO/BN  telah terbukti dan semakin menuju ke puncak kejayaan di bawah kepimpinan  DS Najib dengan konsep "1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian  diutamakan". 
1 comment:
Apakah yang berlaku di Palestin di mana Hamas dan Wahabi berseteru antara satu sama lain! Sama juga di Msia antara PAS dan UMNO..
Post a Comment