Friday, October 22, 2010

Iktiraf hak keistimewaan Melayu

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perkara-perkara teras dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan agama Islam, bahasa Melayu dan hak- hak istimewa orang Melayu yang telah diterima dalam pembentukan Malaysia sejak 53 tahun lalu mesti diterima dan disemat kukuh dalam diri generasi sekarang dan akan datang.
Wakil Wanita UMNO, Norliza Ahmad (gambar) berkata, golongan itu mesti menerima perkara itu dengan hati terbuka dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini serta mengiktirafnya sebagai satu keistimewaan kepada negara.
“Marilah kita mengukuhkan kesedaran ini bukan sahaja di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu, malah meliputi seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mempertahankan perkara-perkara teras Perlembagaan Persekutuan iaitu yang menyentuh Islam sebagai agama rasmi negara.
“Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Perkara 153 mengenai hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera serta perkara lain yang telah dipersetujui,” katanya
Beliau yang merupakan Exco Wanita UMNO berkata demikian sewaktu menyokong usul ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.
Norliza turut mengulangi peringatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah ‘ibu’ kepada segala undang-undang di negara ini dan sayap itu tidak akan berkompromi dengan dengan ‘saudagar mimpi’ dan anaknya yang mempersendakannya.
“Jangan cuba mengajak rakyat ‘memakan buah khuldi’ kerana buah itu diharamkan Allah dan disebabkan buah itu juga Adam dan Hawa diusir dari syurga.
“UMNO secara total masih tetap teguh dengan dasar dan hala tuju perjuangannya membela nasib orang Melayu dan pada masa sama bertanggungjawab menjaga hak kaum lain,” katanya.
Beliau turut mengimbau kenyataan Najib sewaktu
merasmikan Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini yang menunjukkan sikap toleransi dan nilai persahabatan orang Melayu.
Katanya, kesediaan orang Melayu menerima dengan ikhlas kaum-kaum lain sebagai rakan kongsi dalam membina negara ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menjadi rakyat Malaysia pasti akan mendapat layanan sama oleh kerajaan.
“Malah, lebih terserlah lagi sikap toleransi kaum Melayu dan UMNO ialah dalam prinsip perkongsian kuasa bersama 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya menjadi ‘arkitek’ membina negara sejak 53 tahun lalu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 22/10/10

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"