Saturday, December 27, 2008

Usaha GAPENA mengenai isu PPSMI disokong!

Kesilapan amat besar jika kerajaan masih meneruskan PPSMI. Banyak pertubuhan NGO dan kesatuan guru meminta kerajaan mengkaji semula dasar tersebut. Kebanyakan ahli-ahli akademik baik di peringkat Universiti dan juga sekolah tidak bersetuju dengan dasar itu sejak dari awalnya. Hingga kerajaan Malaysia terpaksa membelanjakan berbilion ringgit membeli prasarana, membekalkan makmal komputer, laptop dan perisian kepada guru-guru dan sebagainya. Elaun 10% dari gaji guru dibayar kepada guru-guru yang mengajar mata pelajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Apakah begitu penting sekali bahasa Inggeris hingga elaun diberikan. Apakah mata pelajaran Sejarah pula tidak penting? Orang Cina, India serta Melayu belum memahami sejarah bagaimana Malaysia(dulunya Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan.
Usaha GAPENA memertabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan perlu disokong tanpa berbelah bahagi. Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di kalangan rakyat Malaysia adalah tepat dan selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Kepentingan Bahasa Inggeris tidak dinafikan tetapi mungkin teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa itu sendiri perlu diperbaiki lagi. Kementerian Pelajaran perlu memikirkan semasak-masaknya akibatnya jika dasar PPSMI ini diteruskan. Apakah kita memandang enteng, ada rakyat Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka belum boleh bercakap Bahasa Melsyu. Ada juga peguam kita yang tidak fasih berbahasa Melayu dalam mahkamah. Ada juga pemimpin politik kita terutama Lim Kit Siang tidak fasih bercakap bahasa Melayu.
Kenapa Peranchis, Rusia, China, Korea, Jepun dan Taiwan lebih maju dari negara-negara lain di dunia walaupun mereka menggunakan bahasa ibunda mereka sendiri? Antara faktor rakyat bosan dengan kerajaan BN adalah kerana dasar PPSMI yang tidak memberi peluang kepada murid belajar melalui bahasa mereka sendiri. Jika Malaysia mahu mencapai wawasan 2020, maju mengikut acuan sendiri maka eloklah kita memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

1 comment:

Anonymous said...

Menteri Pelajaran tak berani buat keputusan.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"