HAKIKAT yang tidak boleh ditolak oleh catatan  sejarah politik negara adalah Pas merupakan sebuah parti serpihan UMNO  yang dilahirkan oleh mereka yang berpendidikan agama, terutama ahli yang  menerima pendidikan di Asia Barat.
Parti itu lahir hasil daripada pertemuan pertama alim ulama pada 24  November 1951 iaitu pertemuan yang diinisiatifkan oleh Mudir Madrasah  ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Haji Ahmad Badawi Abdullah Fahim.  Penubuhannya bertujuan membangkang dan membetulkan UMNO dari sudut  keagamaan.
Haji Ahmad Badawi yang merupakan pengasas Madrasah ad-Daeratul Maarif  al-Wathaniyah adalah ayahanda kepada bekas Perdana Menteri Malaysia  yang kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Abdullah merupakan antara  pelajar madrasah berkenaan dan Perdana Menteri Malaysia pertama yang  mempunyai ijazah dalam bidang Pengajian Islam.
Selain itu, matlamat Pas diasaskan adalah untuk menjadi pembangkang  dan menegur UMNO dari sudut keislaman, mengekalkan kuasa Melayu dan  menegaskan pemimpin negara sebagai pemerintah utama negara mestilah  beragama Islam. Itu adalah antara matlamat Pas kerana secara umumnya  setiap orang berbangsa Melayu di negara ini adalah beragama Islam.
Tetapi apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai  tokoh paling berpengaruh dan paling dipakai buah fikirannya oleh Pas  pada waktu ini boleh bersetuju dengan janji Penasihat Parti Keadilan  Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu melantik Penasihat DAP,  Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri jika pakatan pembangkang  diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum akan datang dan  berjaya menubuhkan kerajaan, ia secara terang lagi bersuluh bahawa janji  itu jelas bercanggah dengan matlamat, tujuan dan fungsi Pas ditubuhkan.
Malah pada perhatian saya, Pas pada era 'Nikazizsme' telah menjadikan  Nik Aziz bersikap umpama tikus membaiki labu dan tupai membaiki buah  manggis, menjadikan Pas semakin kehilangan identiti sebagai sebuah parti  politik yang konon perjuangannya berteraskan Islam.
Seandainya majoriti rakyat, terutama majoriti pendukung dan penyokong  Pas boleh terpedaya dengan pendekatan berpolitik gaya Nik Aziz pada era  Pas dibayangi sindrom dan wabak Nikazizsme ini, maka negara ini pasti  akan mengalami bencana besar.
Kalangan bukan Melayu bukan sahaja akan terus menguasai bidang  ekonomi tetapi juga akan menguasai politik dan juga kuasa pemerintahan  dan pentadbiran negara sebagaimana pada waktu ini sedang berlaku di  Pulau Pinang.
Sehubungan itu, rakyat tidak boleh terikut-ikut dengan pendekatan  berpolitik PKR dan Pas yang cuba bermain api untuk membakar peluang dan  keistimewaan Melayu sebagai bangsa pertuanan negara ini sebagaimana yang  telah termaktub dalam Perlembagaan negara.
Janganlah bak seperti kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah'.  Ini kerana apabila nasi sudah menjadi bubur dan menangis keluar air mata  darah sekali pun, bubur tidak akan bertukar menjadi nasi kembali. 
Biarlah pemimpin, pendukung dan penyokong PKR dan Pas terjun dengan  labu-labunya. Kita rakyat jelata jangan ikut terjun sama. Sayangilah  negara dan bangsa kita, di samping pada waktu yang sama kita menghormati  dan mengekalkan persefahaman serta keharmonian dengan kaum-kaum lain  sebagai rakan senegara tanpa perlu mengorbankan ketuanan, semata-mata  kerana mahu menunjukkan sifat dan sikap setiakawan yang melampau. 
Ingin saya tegaskan iaitu buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali-kali. 
RAMLI ABDUL HALIM 
Kota Bharu, Kelantan.
 
 
















