Saturday, May 7, 2011

PAS DIHINA OLEH DAP - YB ZULKIFLI NORDIN

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kedudukan Pas dalam Kabinet bayangan Kerajaan Negeri Sarawak sehingga 'dipaksa' berkongsi portfolio dengan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) jelas memperlihatkan bagaimana parti itu dihina dengan seburuk penghinaan oleh DAP.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, belum pernah dalam sejarah politik negara sebuah parti yang cukup berpengaruh dan berusia lebih 50 tahun diperlakukan sedemikian rupa, tetapi DAP sanggup berbuat demikian kepada Pas.
Katanya, niat DAP untuk menghina Pas jelas apabila satu-satunya portfolio yang diberikan kepada Pesuruhjaya Pas Negeri, Adam Ahid iaitu Hubungan Antara Agama dan Perpaduan Nasional, terpaksa dikongsi dengan Ali Biju dari PKR.
Sedangkan, kata Zulkifli, baki 15 portfolio lain pula dikuasai sepenuhnya oleh DAP iaitu sebanyak 13 portfolio manakala, portfolio Pelancongan, Warisan dan Alam Sekitar serta Pembangunan Tanah dan Hubungan NCR diberikan kepada wakil PKR tanpa sebarang perkongsian.
"Ini bukan lagi tindakan yang tidak menghormati atau menganaktirikan Pas tetapi ia satu perbuatan yang bertujuan menghina Pas. Jelas DAP hanya memperkudakan Pas, mereka hanya mahu menggunakan jentera parti itu dan mendapat sokongan orang Melayu melalui Pas.
"Kalau dengan apa yang berlaku ini pun pemimpin-pemimpin Pas masih sanggup membutakan mata, memekakkan telinga serta mengunci hati terhadap perbuatan DAP, saya tidak tahulah apa nak cakap," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Semalam sebuah blog http://penyokongpas.wordpress.com menerusi Taring DAP Sudah Nampak juga menganggap pelantikan Ali Biju untuk menjaga kepentingan agama khususnya Islam adalah satu penghinaan.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, penghinaan terhadap Pas oleh DAP bukan baru sebaliknya, sudah bermula pada 2008 apabila satu-satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di Pulau Pinang, Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman tidak dilantik sebagai Exco oleh Lim Guan Eng.
Dakwa beliau lagi, hal yang sama juga berlaku di Kedah dan Kelantan apabila hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas untuk menangani isu babi dan judi ditentang keras oleh DAP tanpa sebarang ruang perbincangan.
"Semua tindakan DAP ini konsisten dan bukan baru tahun ini. Pas sebenarnya langsung tidak dipandang oleh DAP. DAP hanya akan baik jika mereka ingin memperalatkan Pas sahaja dan sebaik sahaja kehendak itu tercapai, Pas ditinggalkan," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia 8/5/2011

1 comment:

Anonymous said...

Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Hadi Awang dan Baru Pian. Ok lah tu, macam Khulafa Ar Rasyidin lagaknya. Tak gitu TG Nicky.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"