Thursday, January 28, 2010

Kata Anwar. "Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah"

Pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempertahankan penggunaan kalimah Allah di kalangan bukan Islam membuktikan beliau sanggup berkompromi dalam soal agama demi kepentingan politik.

Beberapa tokoh agama ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia berpendapat, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku kerana umat Islam tidak boleh berkompromi sekiranya timbul isu yang menggugat kesucian agama ini.

"Sikapnya itu menunjukkan beliau sanggup berkompromi kerana politik,'' kata bekas Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi artikel bertajuk "Orang Islam Tiada Monopoli dalam Penggunaan Kalimah Allah" di dalam The Wall Street Journal.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd. Kadir berkata, pihaknya tetap mempertahankan kalimah Allah sebagai "hak eksklusif" umat Islam. "Sehubungan itu, tiada siapa pun boleh mempertikaikan soal itu,'' katanya.

Jelas beliau, kenyataan Anwar yang menjurus kepada sokongan terhadap bukan Islam menggunakan kalimah Allah itu menunjukkan bahawa beliau mempunyai agenda politik. Perkara yang sama turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim yang berkata, adalah sesuatu yang menyedihkan kerana ada pihak mempolitikkan kalimah Allah.

Berikut adalah sebahagian kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad " PAS sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutaan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Komen:
Pembaca boleh menilai sendiri, ada kenyataan yang ikhlas dan jujur untuk mempertahankan kalimah Allah dizahirkan oleh tokoh-tokoh agama dan persatuan ulamak. Ada yang membenarkan kalimah Allah digunakan oleh Kristian untuk kepentingan politik seperti PKR dan ada kenyataan yang tidak jelas, dibenarkan mengikut kaedah Islam tapi salah jika menyalahgunakan kalimah Allah. Itulah kebijaksanaan dalam politik Islam yang ada pada parti PAS hari ini.




1 comment:

Anonymous said...

Dunia! Oh Dunia! Apa nak jadi kepada Pemimpin-pemimpin Melayu kita beragama Islam. Orang bukan Islam sperti DAP tak payah tanyalah pasal kalimah Allah. DAP sokong 200% kalimah Allah boleh digunakan dan 200% juga DAP akan bantah Malaysia dijadikan sebuah negara Islam. Inilah hakikatnya yang perlu kita orang Melayu/islam fahami yang sedang berlaku hari ini.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"