Sunday, September 7, 2008

Jangan tunduk desakan Gerakan - Penganalisis

KUALA LUMPUR 6 Sept - Barisan Nasional (BN) digesa agar tidak mengalah atau tunduk dengan desakan parti komponennya, Gerakan yang mahukan pembaharuan dilakukan segera di dalam BN.Penganalisis politik tanah air, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling berkata, BN atau UMNO, tidak perlu melakukan apa-apa perubahan atau pembaharuan di dalam parti semata-mata ingin memenuhi permintaan Gerakan yang disifatkan sebagai pembangkang di dalam BN.

''Gerakan merupakan satu-satunya parti komponen dalam BN yang berasaskan ideologi sosialis lama yang mana, mereka sering menentang apa yang dilakukan oleh BN, sikap ini sama macam DAP, kerana itu Gerakan dilabelkan sebagai pembangkang dalam BN.

''Walaupun berada dalam BN, ideologi yang dipegang Gerakan sama seperti DAP iaitu tidak mahu keutamaan diberikan kepada kaum Melayu, ini sesuatu yang sukar diterima, BN tidak seharusnya mengalah dengan Gerakan," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon mengeluarkan kenyataan yang menuntut supaya BN dan UMNO membuat perubahan dan pembaharuan di dalam parti bagi mengembalikan keyakinan rakyat.

Tsu Koon memberitahu, Gerakan juga akan mengkaji semula kedudukannya dalam BN sekiranya usaha tersebut tidak berhasil atau gagal ditunaikan oleh BN dan UMNO.

Dr. Zainal turut berkata, 'ugutan' Gerakan untuk menarik diri keluar daripada parti juga tidak seharusnya menjadi batu penghalang buat BN untuk meneruskan perjuangan bersama parti-parti komponen yang lain.

''Persoalannya, apakah dengan menarik diri akan melemahkan BN? Saya percaya BN dan UMNO masih kuat meneruskan perjuangan bersama parti komponen yang lain terutama MIC dan MCA walaupun tanpa penglibatan Gerakan.

''Cuma, apa yang dibimbangkan ialah jika ia berlaku atau ada parti yang terfikir untuk keluar, akan ada satu keadaan pertentangan politik yang sengit antara kaum Cina dan Melayu," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pembangunan Sosial Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat, tidak akan ada kepincangan dalam perjuangan BN dan UMNO sekiranya Gerakan mengambil keputusan untuk menarik diri keluar daripada BN.

Berlainan dengan MCA atau MIC, Dr. Ahmad berkata, kesetiaan yang dipamerkan Gerakan selama ini juga sentiasa dicurigai.

''Kalau Gerakan keluar, ia tidak akan melemahkan BN, lagipun kesetiaan mereka selama ini pun sering tenggelam timbul, sebagai contoh macam sekarang, saat BN mengalami sedikit 'kerugian,' tiba-tiba mereka (Gerakan) seolah-olah hendak keluar, mana erti kesetiaan mereka?

''Tidak seperti MIC dan MCA yang sentiasa bersama parti sama ada dalam keadaan susah atau senang, mereka ini macam 'duri dalam daging', tengok macam apa yang berlaku di Permatang Pauh, sebab itu, saya tidak nampak BN akan rugi jika Gerakan tarik diri," jelas beliau.

Menurutnya, dalam situasi ini, pihak yang dilihat sepatutnya melakukan perubahan adalah Gerakan dan bukannya BN.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sama ada BN atau UMNO, kedua-dua parti perlu merancang strategi dan bersatu teguh selain tidak mudah menyerah kalah kepada mereka yang berniat untuk meruntuhkan parti.

Sumber: Utusan Malaysia 7/9/08

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"