Sunday, November 30, 2008

Bangkitlah dan sedarlah orang-orang Melayu!!!!

Masih ada pemnimpin parti komponen BN mengungkit berkaitan ketuanan Melayu. Chua Soi Lek, bekas Menteri Kesihatan sepatutnya lebih memahami dengan semangat BN. Orang bukan Melayu sepatutnya memahami bahawa orang Melayu masih terkebelakang dalam semua aspek, pendidikan dan ekonomi dari kaum-kaum lain di Malaysia. Orang Melayu pula mesti sedar bahawa kita ditekan dan diasak bertubi-tubi oleh kaum lain hanya kerana kita orang-orang Melayu telah berpecah kerana politik. Sebahagian orang Melayu telah memberi sokongan kepada PKR dan PAS. Dan sebahagian pula masih yakin dengan perjuangan UMNO, parti terbesar orang Melayu. Apakah orang Melayu akan berterusan begini? Apakah orang-orang Melayu boleh berdiam diri bila Dasar Bahasa Kebangsaan dicabar oleh pemimpin DAP? Dimanakah suara-suara lantang pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR dan PAS ketika ketuanan Melayu dicabar, kuasa Raja Melayu dipertikaikan dan Islam sebagai agama rasmi dihina? UMNO yang berjuang untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam dituduh mengamalkan perkauman? Tapi apakah pemimpin Melayu dan beragama Islam yang berada dalam PKR dan PAS sanggup menggadai maruah bangsa dan agama hanya kerana hendak menjaga hati dan perasaan dalam Pakatan Rakyat? Pemimpin UMNO tdak begini. Pemimpin UMNO konsisten dalam memperkatakan hak dan keistimewaan orang Melayu dan agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Sejak wujudnya Pakatan Rakyat, ketuanan Melayu telah dicabar, suara azan yang kuat dilarang, agama Islam sebagai agama rasmi dihina, Dasar Bahasa Kebangsaan diperkosakan, peluang perniagaan orang Melayu semakin hilang, DEB dipertikaikan, semangat orang Melayu diduga, peruntukan rumah ibadat diberikan, ada cadangan wang zakat nak diberikan kepada kaum lain, peruntukan sekolah bantuan kerajaan (SJKC dan SJKT) diberikan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi tidak kepada Sekolah Kebangsaan dan banyak lagi! Melayu hanya tinggal kuasa dan kuasa pun semakin hilang suatu masa nanti jika Melayu terus berpecah. Melayu akan merana dan sengsana di atas bumi sendiri jika terus bergaduh sesama sendiri. Apakah ruang untuk berdamai antara PAS dan UMNO sudah tidak ada lagi? Apakah PAS merasakan bahawa perjuangan PKR dan DAP lebih Islam daripada UMNO?

Sunday, November 16, 2008

BERSATULAH ORANG-ORANG MELAYU...

“Umat Islam hari ini bukan umat yang kuat, baik di dunia begitu juga di negara ini. Umat Islam tidak boleh berpecah kepada kumpulan-kumpulan kecil hingga akhirnya menjadi umat yang lebih lemah. Umat Islam jangan terlalu taksub berselisih hingga ke peringkat ‘berkerat rotan, berpatah arang’. Umat Islam haruslah arif lagi bijaksana memastikan antara permata dan kaca.’’

Demikianlah titah Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah di Ipoh, semalam. Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai sebulan orang Melayu di negara ini mendengar suara dari istana yang melahirkan kegusaran mengenai perpaduan orang Melayu.

Hakikatnya, sukar untuk diperkatakan apakah mesej-mesej dari istana ini benar-benar dihayati oleh pemimpin- pemimpin Melayu atau tidak, tetapi apa yang pasti sehingga ke hari ini, usaha untuk menyatukan orang Melayu masih menemui jalan buntu.

Apa yang malang walaupun pilihan raya umum lalu membuktikan cengkaman politik Melayu semakin rapuh berikutan perpecahan akibat perbezaan ideologi politik, namun orang Melayu masih belum sedar.

Majlis Perhimpunan Perpaduan Melayu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, berakhir begitu sahaja tanpa sedikit pun menyedarkan pemimpin-pemimpin politik Melayu untuk mencari jalan bagi membolehkan mereka berada dalam satu kapal yang sama.

Sebaliknya, kita terus mendengar suara sumbang dan ia termasuklah komentar-komentar dalam blog yang seolah-olah tidak mahu melihat perpaduan Melayu itu menjadi kenyataan. Kesudahan usaha menyatukan orang Melayu masih lagi belum nampak jalan penyelesaian.

Suatu ketika, harapan agak terbuka apabila tiga pemimpin politik muda iaitu Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohamad Norza Zakaria bercakap dalam nada yang sama iaitu bersetuju untuk bermuafakat dalam mempertahankan hak dan membincangkan hala tuju orang Melayu.

Terbuka

Tetapi malangnya, suara-suara muda ini tidak disambut oleh pemimpin-pemimpin yang lebih senior. Malahan ada sesetengah pemimpin berkenaan beranggapan sekarang bukannya masa untuk membincangkan ketuanan Melayu. Ini jelas apabila Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa membayangkan parti itu tidak berminat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO mengenai ketuanan Melayu.

Alasan Husam ialah isu ketuanan Melayu tidak perlu diperbesarkan memandangkan masih banyak di negeri dipimpin oleh orang Melayu dan Perdana Menteri pun orang Melayu.

Mungkin Husam mempunyai alasan tetapi, soal yang diperbincangkan bukan sekadar orang Melayu menjadi menteri besar atau Perdana Menteri tetapi lebih daripada itu ialah menyatukan orang Melayu di bawah satu payung.

Kalaulah dengan membenarkan Pas mengendalikan perbincangan mengenai perpaduan Melayu boleh mendorong Pas ke meja rundingan, kita fikir UMNO sudah tentulah tidak ada masalah.

Apa yang penting bukan siapa yang mengendalikan majlis tetapi lebih utama hasil perbincangan berkenaan.

Kita harus berfikiran terbuka dalam soal ini dan tidak menganggap pilihan raya umum lalu seolah-olah meletakkan mana-mana parti terdesak untuk bercakap soal perpaduan Melayu.

Sebaliknya, anggaplah keputusan pilihan raya umum sebagai hikmah daripada Allah untuk menyedarkan orang Melayu bahawa mereka sudah teruk berpecah belah.

Jika sebelum ini, perpecahan orang Melayu hanya berkisar kepada UMNO dan Pas sahaja tetapi kini ia sudah melibatkan satu lagi kelompok iaitu PKR.

Ia bermakna orang Melayu terpecah kepada tiga puak terbesar, namun seandainya keangkuhan PKR tidak boleh diruntuhkan bagi menyatukan orang Melayu tumpuan harus diberikan kepada UMNO dan Pas.

Ini kerana sejak dulu lagi, pelbagai usaha dilakukan bagi menyatukan orang Melayu dalam kedua-dua parti berkenaan.

Bagi pemimpin UMNO, mereka mungkin tiada masalah dan sentiasa bersedia dengan lapang dada untuk mengadakan pertemuan tetapi bagaimana dengan Pas.

Ramai yakin pemimpin-pemimpin Pas juga mempunyai semangat yang tinggi untuk menyatukan orang Melayu tetapi kadangkala ‘ketaksuban’ kepada pegangan ideologi politik menjadi penghalang.

Bagaimanapun kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini bahawa parti itu bersedia berbincang dengan UMNO mengenai soal muafakat Melayu telah menunjukkan bahawa masih ada cahaya di hujung terowong.

Mungkin ramai tertanya-tanya kenapakah perpaduan Melayu dikaitkan dengan UMNO dan Pas sahaja, bagaimana dengan pertubuhan-pertubuhan Melayu lain.

Sebenarnya, kalau kita mahu menyatukan orang Melayu, faktor paling utama ialah meletakkan pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas di satu meja rundingan.

Apabila ini berlaku sudah pastilah laluan lain untuk menyatukan orang Melayu akan menjadi mudah.

Kita sentiasa percaya dalam sebuah negara demokrasi, adalah menjadi hak kepada mana-mana juga individu untuk menyokong mana-mana parti tetapi mereka juga harus memikirkan kepentingan bangsa dan agama mereka.

Kalau orang Melayu terus taksub dengan pegangan politik masing-masing sehingga sanggup menolak salam perpaduan Melayu kerana bimbang hilang sokongan politik daripada parti kaum lain, ia sudah tentulah sesuatu yang mendukacitakan.

Ideologi

Perpaduan Melayu bukanlah kita meminggirkan mana-mana kaum, sebaliknya ia juga adalah demi faedah seluruh rakyat Malaysia.

Orang Melayu adalah kaum majoriti, oleh itu jika mereka bersatu padu dan tidak berpecah belah sudah pasti ia akan memberi kebaikan kepada semua pihak.

Tetapi kalau orang Melayu bergaduh sesama sendiri dan melakukan tindakan seperti demonstrasi jalanan semata-mata kerana ideologi politik, ia sudah tentulah akan menggugat kehidupan kaum lain.

Oleh itu, kaum lain tidak perlu merasa gundah-gulana apabila orang Melayu bersatu, sebaliknya mereka perlu berterima kasih.

Apa yang penting semua pemimpin Melayu terutama Pas dan PKR haruslah ikhlas. Mereka harus bersedia berunding dengan UMNO dan mengatur langkah bagi memastikan hak serta ketuanan Melayu terus terpelihara.

Janganlah mana-mana pihak merasa angkuh oleh kerana menang besar dalam pilihan raya, mereka tidak perlu lagi bercakap soal perpaduan Melayu.

Ingatlah pesan Raja Dr. Nazrin Shah, “masyarakat Islam akan rugi jika terus bertelagah dan berselisih hingga akhirnya, yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu’’ kerana Islam menyeru kepada perpaduan dan amat menekan aspek perdamaian.’’

Semoga titah ini akan memberi kesedaran kepada kita semua.


Sumber: http://ganulening.wordpress.com/2008/04/20/bersatulah-orang-melayu/

Saturday, November 15, 2008

P.Ramasamy perlu memohon maaf!!!!!!!!!!

Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy yang menyalahkan rejim pemerintahan lama dan dasar UMNO sebagai punca wujudnya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam adalah satu pembohongan dan suatu cubaan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap parti UMNO.
Semua pertubuhan UMNO dan NGOs yang berteraskan Melayu dan Islam perlu mendesak Prof. P. Ramasamy memohon maaf kepada UMNO secara terbuka. Sejak PKR, PAS dan DAP dapat membentuk Pakatan Rakyat, semakin berani pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyentuh hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu, agama Islam dan hak Raja Melayu. Orang Melayu perlu bersatu untuk mempertahankan hak orang Melayu dan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan Ramasamy mampu cetus perbalahan kaum

PULAU PINANG 14 Nov. - Kenyataan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy yang menyalahkan rejim pemerintahan lama dan dasar UMNO sebagai punca wujudnya ketidakseimbangan kaum dalam sektor awam di negeri itu mampu mencetuskan perbalahan antara kaum di negara ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah berkata, tuduhan liar yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai itu secara terang-terangan merupakan pandangan yang membuta- tuli dan berbaur politik.

''Kenyataan Ramasamy itu memang bertujuan untuk memecahbelahkan kaum dengan mengaitkan isu tersebut serta menuduh UMNO sebagai puncanya.

''Ini memang satu perbuatan dan tujuan yang sangat keji. Ini semua mainan politik yang mahu memporak-perandakan masyarakat majmuk di negara ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kelmarin, P. Ramasamy berkata, kerajaan campuran negeri mahu memastikan pelantikan kakitangan awam di negeri tersebut seimbang bagi setiap kaum dan bukan didominasi oleh kaum tertentu sahaja.

Namun, beliau menuduh UMNO yang menjadi penyebab berlakunya ketidakseimbangan dalam pengambilan kakitangan. Kenyataannya itu mencetuskan rasa tidak puas hati daripada wakil-wakil pembangkang Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Abdul Rashid yang merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri negeri itu berkata, kerajaan pakatan pembangkang itu sepatutnya menyelidik dan mengkaji sedalam-dalamnya dahulu mengenai situasi itu sebelum membuat tuduhan yang tidak berasas terhadap UMNO.

''Ramasamy yang bersuara mewakili kerajaan campuran negeri itu mungkin dangkal dan kurang mengerti mengenai proses pemilihan kakitangan sektor awam kerana ia diuruskan di bawah pentadbiran awam dan bukannya mana-mana parti politik.

''Beliau sepatutnya lebih cekap dan memahami konsep itu. Jangan main cakap lepas sahaja," tegasnya.

Sumber: Utusan Malaysia 15 November 2008.

Komen:
Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy tidak sebodoh itu. Dia seorang profesor, cendiakawan atau cerdik pandai. Dia tahu kenapa orang Melayu lebih ramai dalam pentadbiran awam. Dia tahu kenapa orang Cina dan India tak berminat bekerja dalam pentadbiran awam. Dia juga tahu bahawa kaum Cina dan India tidak berminat menceburkan diri dalam pasukan keselamatan. Jika ada, kaum Cina dan India mahu jawatan berpangkat. Tidak hairanlah kenapa Prof. P.Ramasamy melemparkan tuduhan kepada UMNO yang menyebabkan tidak seimbangnya antara kaum dalam pentadbiran kerajaan negeri. Dia tak menyalahi Gerakan, MCA atau MIC tapi UMNO juga dipersalahkan. Sudah menjadi suatu strategi parti pembangkang termasuklah PAS sendiri meskipun parti Islam juga sering menyalahi UMNO biarpun UMNO berjuang untuk bangsa Melayu dan Islam. Parti pembangkang mahu menghancurkan UMNO kerana mereka tahu kekuatan BN sangat bergantung kepada kekuatan UMNO. Jika mereka nak kalahkan BN mesti kalahkan UMNO. Jika dapat kalahkan UMNO, Melayu akan hancur dan Islam mundur. Mereka tahu PAS tak sehebat mana. Sejak PAS bersama dalam Pakatan Rakyat, PAS banyak berdiam meskipun isu-isu ada kaitan dengan kepentingan Melayu dan Islam. Mana suara PAS dalam isu tanda nama jalan di Pulau Pinang? Apakah pendirian PAS bila kakitangan kerajaan negeri akan diseimbangkan antara kaum? PAS sepatutnya mendesak agar PR juga memperjuangkan dasar sama rata untuk anak-anak Islam (jika tak mahu sebut anak Melayu)dalam sektor swasta? Apakah PAS bersikap tunggu dan lihat. Jika UMNO juga yang menyatakan bantahan, maka UMNO yang dikecam dan dianggap parti berbaur perkauman. Ahli parlimen PKR, YB Zulkifli Nordin perlu diberi pujian dalam hal ini. Beliau benar-benar berpolitik untuk Islam. Dia tidak menggunakan Islam untuk berpolitik seperti segelintir pemimpin besar PAS.

Sunday, November 9, 2008

Jangan biarkan Utusan Malaysia dihina, boikot

IPOH 8 Nov. - Persidangan Pemuda UMNO Ipoh Timur hari ini sebulat suara mengusulkan supaya parti itu terus mempertahankan akhbar Utusan Malaysia daripada dihina dan diboikot oleh mana-mana pihak sekalipun.

Ketuanya, Hairul Anwar Mohd. Nor berkata, tindakan memboikot akhbar tersebut seperti yang dilakukan oleh kerajaan pakatan pembangkang di Perak juga perlu ditentang habis-habisan.

''Kerajaan campuran Perak yang ditunjangi DAP memboikot Utusan Malaysia atas alasan akhbar itu bersikap perkauman sedangkan ia memperjuangkan nasib orang Melayu.

''Mereka sengaja menghalang pegawai dan kakitangan kerajaan negeri membaca Utusan untuk mendapatkan maklumat.

''Sebenarnya kerajaan pakatan pembangkang takut dengan perjuangan dan kebangkitan orang Melayu menerusi akhbar Utusan Malaysia yang selama ini meniupkan semangat nasionalisme orang Melayu sejak zaman pendudukan Jepun dan British lagi," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur di sini hari ini.

Hairul Anwar dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ipoh Timur selepas menewaskan Mohamad Iskandar Abdul Rahman dengan majoriti sembilan undi.

Persidangan yang sama turut mencalonkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO dan Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim untuk jawatan naib ketua.

Hairul Anwar berkata, Utusan menjadi satu-satunya akhbar dengan penuh berani meletakkan kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang di muka hadapan apabila meminta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri parti DAP di Perak memulaukan istiadat angkat sumpah pelantikan Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin daripada parti Pas.

Jelasnya, akhbar tersebut juga 'berseorangan' memainkan isu kebiadapan Karpal Singh kerana mempertikaikan kuasa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam isu pemecatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

''Tiada satu pun akhbar arus perdana lain berani meletakkan tajuk utama di muka hadapan terhadap kebiadapan Karpal Singh itu. Jadi, UMNO perlu tegas dan berani untuk terus mempertahankan akhbar Utusan," katanya.

Tambah beliau, Utusan juga begitu terkehadapan kerana mendedahkan isu Menteri Besar Perak menjadi boneka DAP, mempertikaikan pemberian tanah kepada sekolah Cina di Perak, pajakan tanah 999 tahun kepada penduduk Kampung Baru dan semua itu menjadi isu nasional.

Katanya, ia adalah bukti jelas bahawa Utusan adalah akhbar yang berani bersuara dalam mempertahankan hak orang Melayu di negara ini.

''Yang memperkasakan dan mempelopori bahasa Melayu adalah Utusan, sumber maklumat orang Melayu adalah Utusan, mempertahankan Islam adalah Utusan.

''Utusan dan orang Melayu tidak boleh dipisahkan lagi dan kita menganggap mana-mana pihak yang menghina Utusan sama juga dengan tindakan menghina Melayu," ujar beliau.

Katanya, elemen tersebut memang amat ditakuti oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sehingga memaksa mereka melancarkan serangan bertali arus terhadap akhbar Utusan.

Jelasnya, ini termasuk tidak membenarkan wartawan Utusan membuat liputan ceramah dan menghadiri sidang akhbar mereka malah meminta dilarang membuat liputan di Parlimen.

''Larangan ini dibuat agar Utusan tidak mampu lagi menjadi wadah perjuangan orang Melayu serta meniup semangat Melayu dan kita umat Melayu tidak harus tertipu dengan sandiwara mereka yang mahukan akhbar Utusan terus berkubur.

''Semangat nasionalisme yang ditiup oleh akhbar Utusan mendorong kepada penubuhan UMNO. Ada pepatah mengatakan UMNO itu Utusan dan Utusan itu UMNO," katanya.


Sumber: Utusan Online 9 Nov 2008

Thursday, November 6, 2008

Henti guris perasaan orang Melayu


KUALA KANGSAR 5 Nov. – Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta rakyat supaya berfikiran rasional dan segera menghentikan tindakan-tindakan bersifat politik secara berlebihan dan keterlaluan yang mengguris hati dan emosi orang Melayu.

Bertitah semasa menerima memorandum daripada Gabungan Melayu Perak (GMP) di Istana Iskandariah di sini hari ini, baginda menegaskan, apa yang penting pada masa ini ialah menjaga kepentingan rakyat yang telah memilih kerajaan.

Titah baginda, ini bermakna, keamanan dan kerukunan warga tidak harus dikorbankan hanya kerana perebutan kuasa di kalangan pemimpin dan kumpulan tertentu.

‘‘Hari ini, jika berlaku kesilapan dan kepincangan di peringkat pelaksanaan dasar tertentu, yang perlu diperbetulkan adalah mekanisme pelaksanaan.

‘‘Oleh itu, dasar tunjang yang menjadi asas kepada pembinaan sebuah negara merdeka tidak harus disentuh, diuji dan dicabar sama sekali.

‘‘Perbuatan demikian jika tidak dihentikan dibimbangi akan mengguris hati dan emosi orang-orang Melayu,” titah baginda.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Raja DiHilir Perak; Raja Jaafar Raja Muda Musa serta ahli-ahli Dewan Negara Perak.

Memorandum itu disampaikan oleh Presiden Gabungan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail.

Kira-kira 2,000 wakil pertubuhan bukan kerajaan, ahli persatuan silat dan persatuan dari seluruh Perak dan Kuala Lumpur menyertai perarakan aman yang bermula dari Masjid Ubudiah ke Istana Iskandariah di sini bagi menyerahkan memorandum itu.

Memorandum berkenaan mengandungi hasrat dan perasaan orang Melayu yang menjunjung kasih kenyataan khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu.

Sultan Azlan bertitah, kebimbangan orang Melayu dijawab melalui jaminan perundangan dengan memaktubkannya ke dalam Perlembagaan Merdeka (Perlembagaan Persekutuan).

Titah baginda, ia termasuk klausa- klausa tertentu menyentuh agama Islam, Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang Melayu.

Baginda menjelaskan, sebarang pindaan Perlembagaan menyentuh raja- raja serta bidang kuasa raja merangkumi agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan orang Melayu serta bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu mendapat perkenan raja-raja.

Dalam hubungan ini titah baginda, institusi raja berupaya memberikan keyakinan psikologi untuk melindungi kepentingan bangsa di samping memberikan keadilan kepada warga keseluruhannya.

‘‘Institusi raja berperanan sebagai lambang penyatuan dalam kepelbagaian. Raja-raja memahami bahawa perlembagaan merdeka juga memberi pengiktirafan dan perlindungan kepada warga pelbagai bangsa, agama, bahasa dan budaya.

‘‘Persefahaman dan persetujuan yang telah termaktub dalam kontrak sosial berkenaan telah membolehkan negara mencapai kejayaan, kemajuan, keharmonian dan kestabilan.

‘‘Negara yang aman dan warga hidup secara rukun dalam dimensi sosiopolitik yang mengiktiraf fakta dan hakikat sejarah,” titah baginda.

Sultan Perak bertitah, orang Melayu bimbang akan pencapaian taraf sosioekonomi mereka yang jauh ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.

Titah baginda, untuk itu orang Melayu memerlukan jaminan dan pembelaan demi memastikan kedudukan mereka sebagai pribumi tidak terancam.

‘‘Persekutuan Tanah Melayu masih wujud dalam undang-undang kita atau dengan lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan kepada sejarah Melayu, evolusi politik Melayu dan nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.

‘‘Faktor-faktor dan hakikat inilah yang melahirkan negeri-negeri Melayu, Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya Malaysia,” tegas baginda.


Sumber: Utusan Malaysia 6 November 2008
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"