Thursday, December 31, 2009

Kes Guan Eng: Terlajak perahu boleh diundur, terlajak cakap buruk padahnya!

"Sesiapa yang melakukan jenayah tak kira dia itu ikan bilis, ikan besar ataupun ikan yu, kita akan siasat".

Itu reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pemimpin DAP supaya polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mendakwa bekas pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh.

Beliau sebaliknya berkata, kenyataan Guan Eng itu boleh menghasut serta mengelirukan orang ramai supaya membenci agensi kerajaan.

"Inkues (kematian Beng Hock) masih berjalan...Kenyataan ini satu pembohongan dan adalah menjadi satu kesalahan bercakap mengenai perkara itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap Guan Eng ekoran kenyataannya pada konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Komen:

Siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP itu adalah bermotifkan politik. Itulah cakap-cakap politik pembangkang. Inkues kematian Beng Hock juga atas desakan pembangkang, masih berjalan sehingga sekarang. Kelihatan kematian Beng Hock terlalu istimewa bagi pembangkang. Kerajaan Selangor sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk majlis pengkebumian mayat Beng Hock. Itu semua bukankah kerja-kerja politik puak pembangkang? Pakatan Rakyat mahukan keadilan. Oleh itu biarlah polis melaksanakan siasatan ke atas Guan Eng demi untuk keadilan tanpa memilih warna kulit, pangkat darjat, dan ideologi politik. Tuduhan Guan Eng (Beng Hock dibunuh) amat serius. Seorang Ketua Menteri, pemerintah sebuah negeri dan seorang ahli parlimen tidak sepatutnya membuat tuduhan sewenang-wenangnya terutama inkues kematian BH masih berjalan. Apa ertinya jika mahkamah belum jatuhi hukuman tetapi ada tokoh tertentu sudah pun membuat keputusan mendahului mahkamah? Kerana Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP maka siasatan terhadapnya dikatakan bermotof politik? Demi keadilan untuk semua, semua pihak perlu akur bahawa siasatan terhadap Guan Eng bukan bermotif politik. Peringatan juga kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang banyak membuat tuduhan-tuduhan tanpa asas dalam ceramah-ceramah politik mereka supaya lebih berhati-hati. Rakyat sudah bosan dengan politiking keterlaluan dan berpanjangan oleh pembangkang. Terlalu banyak politiking, kebajikan rakyat terabai.

Saturday, December 19, 2009

LIM GUAN ENG SEBENARNYA MEMBESARKAN LAGI ISU PERKAUMAN!

Tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Utusan Malaysia seperti penjahat yang perlu dijauhi, menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpura-pura tidak tahu peranan akhbar vernakular di negara ini.

Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong berkata, kenyataan Guan Eng itu memperlihatkan kelicikan beliau sebagai pemimpin parti politik yang sentiasa bersedia mensensasikan sesuatu isu.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM menjelaskan, para pembaca akhbar di negara ini termasuk Guan Eng pasti memahami kecenderungan sesebuah akhbar vernakular memperjuangkan isu berkaitan bangsa diwakili.

"Apa yang peliknya apabila Utusan perjuangkan kepentingan Melayu seperti China Press memperjuangkan nasib Cina manakala Tamil Nesan mengutarakan isu-isu kaum Tamil?

"Tapi persoalannya mengapa Guan Eng hanya memfokus kepada Utusan Malaysia? Dia pasti sedar peranan akhbar lain yang berasaskan kaum. Ini yang dikatakan ahli politik, pura-pura tak tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kok Seong mengulas kenyataan Guan Eng menyamakan akhbar ini seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia sering menyiarkan artikel fitnah serta menyemarakkan sifat perkauman di negara ini.

Kok Seong menambah, tindakan Guan Eng itu menyemarakkan lagi sifat perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Lagipun, mengapa Utusan digelar sebegitu (penjahat) sedangkan semua orang yang banyak membaca tahu peranan akhbar itu memperjuangkan nasib kaum Melayu sejak sebelum merdeka lagi, ia bukan perkauman," tegasnya.

Pensyarah Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff menegaskan kenyataan Guan Eng itu tidak berasas tetapi menunjukkan sifat perkauman beliau yang menebal.

Katanya, walaupun Guan Eng mengetahui peranan akhbar ini dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan Melayu, beliau tetap mempersoalkannya.

"Inilah sikap dan persepsi pemimpin pembangkang yang akan mempersoal setiap perkara apabila tidak menyebelahi atau boleh dimanipulasi mereka.

"Utusan tidak harus tunduk kerana apa yang diperjuangkan adalah demi kepentingan Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya selagi tidak mengusik hak kaum lain," katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Guan Eng patut mencermin diri dahulu sebelum melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif seperti penjahat.

"Guan Eng merupakan Ketua Menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang memijak atau melangkah gambar pemimpin Melayu baru-baru ini, jadi tanya dia siapa lagi jahat dan perkauman," soalnya.

Monday, December 14, 2009

Bimbang perpaduan Melayu

IPOH 13 Dis. - Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar).

Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi.

''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam.

''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Harussani, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan pihak-pihak tertentu mudah mengambil kesempatan untuk terus melemahkan mereka.

Katanya, antara strategi yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit dalam usaha memecah-belahkan orang Melayu ialah memuji tindakan-tindakan yang hanya akan lebih melebarkan lagi jurang perpecahan tersebut.

Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu bersatu.

''Manusia ini akan jadi melampau kerana mereka berasa mereka kuat. Orang Melayu mesti sedar keadaan ini.

''Jangan biarkan perpaduan kita lemah kerana terpengaruh dengan orang lain, terpengaruh dengan pujian-pujian yang ada muslihat lain," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap orang Melayu yang terlalu berlembut menyebabkan pihak-pihak berkepentingan tersebut semakin berani.

Sumber: Utusan Malaysia 14/12/09

Wednesday, December 9, 2009

Anwar guna Melayu hancur Melayu?

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan sendiri orang Melayu.

Anuar Shaari yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Anwar berkata, walaupun begitu, masih ada yang tidak menyedari gerakan liciknya itu mampu menghancurkan bangsa tersebut dan Islam.

“Dia sememangnya licik mengatur strategi politik sehingga menyebabkan sebilangan orang Melayu menjadi begitu taksub kepadanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa orang Melayu akan hancur jika terus menyokong Anwar dan konco-konconya.

Ibrahim berkata, Anwar sanggup menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada Pas dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib orang Melayu dan Pas.

Anuar menambah, setelah Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya mencabut akar orang Melayu di dalam PKR.

“Dia mengatakan PKR adalah parti pelbagai kaum dengan berteraskan orang Melayu tetapi selepas 2004, itu semua telah bertukar,” katanya.

Anuar memberitahu, ketika berceramah di hadapan orang Melayu, pemimpin pembangkang itu menunjukkan dirinya sebagai juara kepada kaum itu menyebabkan mereka percaya setiap apa yang dikatakannya.

“Tetapi apabila di depan kaum lain, Anwar cakap lain. Dia memang pandai menggunakan kebolehan perhubungan awamnya itu,” katanya.

Katanya, Anwar sanggup melakukan apa sahaja cara untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Sebab itu dia akan berusaha walau apa cara sekalipun. Hubungannya dengan beberapa pihak di luar negara juga amat jelas walau sebanyak mana dia nafikan. Itu semua untuk kepentingan peribadinya,” katanya.

Sehubungan itu, Anuar menasihatkan orang Melayu yang masih percayakan Anwar supaya sedar dan meninggalkannya.

Sumber: Utusan Malaysia 9 Dis 2009

Saturday, December 5, 2009

LAGI ADUN DAP KURANG AJAR!!!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari DAP, Koid Teng Guan mengaku menyebarkan khidmat pesanan ringkas yang memperlekeh dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedang rancak berjalan, Selasa lalu.

SMS yang ditulis dalam bahasa Cina yang menyeru rakyat Pulau Pinang untuk 'kebumikan' BN dan bersembahyang untuk roh mereka pada perayaan 'Qing Ming' itu dipercayai disebarkan kepada lebih 400 individu.

Bagaimanapun, beliau yang menyesali perbuatan berkenaan tidak dapat menjelaskan bilangan SMS yang dihantarnya selepas memperolehnya daripada salah seorang penyokong parti pakatan pembangkang itu.

Sehubungan itu Teng Guan membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui perbuatan tersebut tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang wakil rakyat sepertinya.

''Saya ikhlas ingin meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan menyebar SMS 'jenaka' terhadap parti politik lawan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat DUN di sini hari ini.

Difahamkan, ADUN Sungai Pinang itu menyebarkan SMS berkenaan semasa sidang DUN sedang berjalan kira-kira pukul 12 tengah hari.

Dalam pada itu, Setiausaha Biro Publisiti, Informasi dan Komunikasi Gerakan, Dr. Thor Teong Gee menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya meminta Teng Guan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Beliau menegaskan, sebagai seorang yang dipilih oleh rakyat, Teng Guan telah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai etika kerana bertindak sedemikian. "Kejadian terbaru SMS ini menunjukkan beliau tidak menumpukan perhatian kepada prosiding sidang DUN. ''Sebelum ini, beliau juga pernah 'ditangkap' menghantar soalan bertulis yang ditiru daripada bekas ADUN Datuk Keramat, maka sudah jelas ADUN Sungai Pinang ini tidak pernah insaf,'' katanya pada sidang akhbar di Bilik Pembangkang di DUN.

Beginilah perangai huduh dan jijik pemimpin pembangkang yang menjadi wakil rakyat. Baru sahaja pemimpin DAP Perak mohon maaf kerana pemimpin-pemimpin DAP termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang memijak poster tiga calon bebas DUN Perak.
Pelbagai pihak NGOs dan juga pemimpin pembangkang yang lain mengkritik perbuatan yang tidak beretika itu. Apakah pemimpin BN pernah melakukan perbuatan sedemikian rupa? Setahu aku pemimpin BN paling bersopan walaupun setinggi mana marah meluap-luap mereka tidak melakukan perbuatan sekutuk itu. Fikirlah wahai semua rakyat Malaysia yang masih 'belum celik' dan nampak telatah dan lakonan pemimpin pembangkang itu.

Tuesday, December 1, 2009

Perangai pemimpin DAP macam budak-budak!!!

Tindakan beberapa pemimpin DAP memijak poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Perak, ketika menghadiri konvensyen parti itu di Ipoh kelmarin sememangnya tidak boleh dimaafkan. Perangai macam budak-budak. Sangat buruk dan huduh kerana hati mereka yang sangat busuk. Perbuatan yang tidak masuk akal dan melampaui batas kesusilaan.

Tuan Lim Guan Eng bukan pelajar sekolah sebaliknya seorang Ketua Menteri, ketua kepada sebuah kerajaan negeri juga Setiausaha Agung DAP Pusat langsung tidak mencerminkan sikap pemimpin yang rasional dan berbudi mulia. Saya sangat malu menjadi rakyat Pulau Pinang yang mempunyai seorang Ketua Menteri yang bersikap buruk seperti orang yang tidak siuman. Marah macam mana sekalipun jagalah maruah dan peradaban sebagai seorang pemimpin tertinggi negeri. LGE selaku pemimpin kerajaan negeri tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu. Apakah karekter Saidina Umar Abdul Aziz yang mahu dibawa oleh LGE seperti itu? Pemimpin agung Islam tidak seperti itu. Jangan memalukan dan merosakkan nama baik pemimpin Islam.

Setahu saya belum pernah dalam sejarah Malaysia ada pemimpin negara di kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC melakukan perbuatan itu? Biarpun mereka terlalu marah ataupun kecewa sekalipun terhadap pembangkang tetapi tidak sampai hingga memijak-mijak gambar pemimpin atau bendera parti PAS atau DAP atau PKR? Tapi semua ini pernah dilakukan oleh pemimpin dan penyokong DAP dan PAS. Tetapi pemimpin pembangkanglah juga yang selalu melaung-laungkan perjuangan untuk kebebasan dan demokrasi. Sebaliknya merekalah juga yang menghancurkan amalan demokrasi di negara ini. Ibarat kata pepatah Melayu, " Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia (pembangkang) yang lebih".

Saturday, November 28, 2009

Kerajaan Selangor takut pada BTN?????

Semalam Kerajaan Selangor mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar IPT milik negeri ini daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta merta kerana menganggap kursus itu sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan serta merta daripada menyertai BTN.

Saya ada ramai kenalan yang menjadi penceramah dan fasilitator di BTN. Bukan semua penceramah dan fasilitator itu adalah penyokong kepada kerajaan BN. Ada sesetengahnya mengatakannya BTN tidak ada kaitan dengan parti UMNO ataupun BN tetapi lebih menjurus kepada penerangan dan pemahaman dasar-dasar kerajaan. Jika kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah maka dasar kerajaan PR pulalah yang dibawa. Suka atau tidak suka kepada dasar itu, mereka sebagai penceramah dan fasilitator terpaksalah laksanakan tanggungjawab itu.

Ada di kalangan penceramah dan fasilitator itu adalah pro pembangkang. Oleh kerana gemarkan elaun penceramah ratusan ringgit setiap minggu terpaksalah mereka 'berpura-pura' pro kerajaan pusat/BN. Mereka turut menafikan dakwaan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali bahawa kononnya kursus tersebut sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman. Jika BTN bertujuan untuk mendoktorin pengaruh BN di kalangan peserta, eloklah BTN kaji semula latar belakang penceramah dan fasilitator BTN kerana ada yang berpura-pura pro kerajaan pusat takut 'harap pagar, pagar makan padi' atau 'api dalam sekam'.

Monday, November 23, 2009

NIK AZIZ SUDAH TERLALU TAKBUR!

TUMPAT 22 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.

"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat.

"Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.

Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor.

Terbaru ialah mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim ini dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.

Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi.

"Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.

"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.

"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.

Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam.

Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.

"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.

"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam.

"Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya.

Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan.

Sumber: Utusan Malaysia 23 Nov 2009

Wednesday, November 11, 2009

Jangan pertikai hak Melayu!

Semua ahli politik diingatkan supaya berhenti mempersoalkan hak orang Melayu dan Bumiputera kerana ia merupakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Peringatan itu dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang kecewa dengan sikap Ahli Parlimen tertentu kerana masih mengemukakan soalan berkaitan status Bumiputera di Dewan Rakyat.

Katanya, golongan berkenaan sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya cuba menjadi 'hero kampung' dengan harapan boleh popular. - Utusan 11/11/09

Monday, November 2, 2009

ORANG MELAYU PULAU PINANG TERPINGGIR ATAU DIPINGGIRKAN?

Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi.
Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama.
Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam.
Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya.
BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.

Monday, September 21, 2009

Orang Melayu mudah ‘cair’ bila dipuji!!!

KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi ‘cair’ apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?

Orang Melayu mudah ‘cair’. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam’.

Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.

Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata “Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara Islam”, " Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular”, “Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu”, “Melayu adalah juga pendatang” dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.

Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolam takungan air di Johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.

Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?

Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?

Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej ‘bersihnya’ seperti kelihatan seolah-olah ‘Umar Abdul Aziz’! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali. Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap Jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.

Terhakis

Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.

Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.

Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?

Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?

Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.

Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini, maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.

Biarkan

Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak, satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku, marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.

Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah ‘cair’. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum ‘terlebih’ mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan tertipu dengan permainan silap mata ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.

Sumber: Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Thursday, September 10, 2009

Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?

Oleh Zaini Hassan

PERNAH dengar istilah strategi pecah dan perintah? Dalam ilmu politik dan sosiologi, pecah dan perintah (atau dalam bahasa Inggeris divide and rule; istilah asalnya dari bahasa Latin divide et impera) ialah satu strategi yang menggabungkan tiga elemen iaitu politik, ketenteraan dan ekonomi.

Ketiga-tiga elemen itu bergabung bagi menguasai dan memelihara kuasa yang ada dengan memecahkan pengaruh dan kuasa yang besar kepada kecil-kecilan. Ini akan mengakibatkan kuasa kumpulan yang berpengaruh atau berkuasa itu berkurangan, berbanding pihak yang melaksanakan strategi itu.

Secara praktisnya, strategi ini digunakan untuk mengelakkan kumpulan kecil ini bergabung dan membentuk kuasa yang besar (atau sebaliknya).

Strategi ini pernah dilakukan oleh pihak British ke atas Tanah Melayu. Memecahkan kaum-kaum dan negeri-negeri yang ada dengan meletakkannya dalam koloni dan sistem pemerintahan yang berasingan bagi memudahkan pihak Inggeris memerintah pada waktu itu.

Kemudian parti Perikatan, yang mengambil alih kekuasaan negara ini mengamalkan strategi itu apabila parti-parti yang mewakili kaum-kaum terbesar digabungkan - dengan mengetepikan parti-parti lawan yang enggan bersama mereka.

Perikatan kemudiannya ditukar menjadi Barisan Nasional (BN) dan strategi itu kekal berjaya sehingga hari ini, selama 52 tahun.

Ia bertahan kerana orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat negara ini menguasai kuasa politik dan ketenteraan tanah air. Orang Melayu bergabung dengan kaum-kaum lain (Cina dan India) bagi membentuk satu kuasa yang kuat. Ia dibuat atas dasar hormat-menghormati dan percaya-mempercayai yang telah dimeterai atas ikatan Perlembagaan Persekutuan termasuk beberapa dasar yang dibentuk kemudiannya.

Walaupun ada sedikit masalah pertelingkahan kaum di pertengahan jalan, namun ia berjaya diselesaikan. Masing-masing lupa dengan perbezaan masing-masing dan semua pihak dalam pakatan itu berjaya menjana negara ini sehingga Malaysia di anggap negara yang makmur dan mewah.

Namun, apakah strategi 52 tahun itu masih mampu bertahan? Secara akademik ia sudah mulai lemah.

Strategi pecah dan perintah itu mulai gagal setelah kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu itu mulai berpecah. Melayu tidak sepadu dulu lagi. Mereka sudah berpecah kepada beberapa kumpulan. (Baca Cuit: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti (25 Mac 2009), ia mengandaikan Melayu sudah berpecah enam.

Pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang Cina boleh menguasai kuasa politik di negara ini.

Ia hanya boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.

Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat 'emas' Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.

Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh di agak.

Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada pilihan raya umum ke-13 kelak, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah di kalangan orang Melayu.

Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman dan keadilan mereka.

Orang Melayu tidak sedar yang mereka sedang diperkotak-katikkan untuk membenci antara satu sama lain dan antara sekutu-sekutu yang dulunya bersama mereka.

Tiba-tiba orang Melayu bermusuh dengan orang Cina dan orang India. Sama ada ia disengajakan atau tidak atau wujud permainan dalaman atau luaran itu tidak pasti, tapi usaha-usaha untuk mewujudkan kebencian antara Melayu dan kaum-kaum lain semakin nyata sekarang.

Strategi pecah dan perintah serta pecah dan tawan (divide and conquer) kini berada dalam tangan pihak pembangkang. Mereka sedang bermain dengan strategi itu. Mereka sedang menguasai keadaan dengan sebaik mungkin. Orang Melayu yang tidak sedar dengan permainan itu turut serta dalam percaturan itu. Mereka gagal melihat muslihat di sebaliknya.

Strategi yang sama pernah dimainkan oleh sebuah pihak luar dan ia berjaya. Pihak yang dominan berpihak dengan satu kumpulan minoriti untuk mengetepikan satu lagi puak yang majoriti sedikit daripada puak minoriti itu. Kedudukan tinggi diberikan kepada puak minoriti itu dengan alasan puak majoriti tidak berupaya memegangnya. Sedikit demi sedikit puak yang ditekan itu terpaksa beralah. Akhirnya sehingga hari ini puak majoriti itu terpaksa melukut di tepi gantang. Ia adalah satu model strategi pecah dan perintah yang cukup licik untuk meminggirkan satu-satu puak.

Orang Melayu kini sedang mengalami proses tersebut. Kita sedang bermusuh dengan orang Cina yang pernah bersahabat baik dengan kita. Kita sedang bermusuh dengan orang India yang pernah bersahabat karib dengan kita. Tiba-tiba semua ini berlaku secara serentak. Orang Melayu sedang bermusuh dengan semua orang.

Ditambah lagi, ada pula pihak-pihak bermain dengan perang psikologi dengan sengaja menuduh orang Melayu adalah kaum yang rasis dan perlu dilawan habis-habisan. Golongan ini tahu apa yang mereka sedang mainkan. Suasana baik itu perlu dipecahkan kerana selagi perikatan itu kuat, pakatan tidak boleh berbuat apa-apa.

Di masa pengundi-pengundi Cina (dalam pilihan raya kecil) lari dari kerajaan pemerintah kerana melihatkan mereka ada advantage ekoran pilihan raya umum ke-12 lalu, orang India pula cuba dilaga-lagakan dengan Melayu.

Sama ada ini kebetulan atau tidak, kita tidak tahu. Tapi jika betul dan akhirnya orang India juga lari dari Melayu, maka pada masa itu gabungan peratusan undi Cina dan India akan menjadi penentu kepada kuasa politik tempatan. Orang Cina dan India akan bergabung untuk mengetepikan Melayu.

Tanpa disedari, para strategis ini (dalaman atau luaran) sedang mengatur strategi baru. Setelah melihat permusuhan Melayu-Cina-India sudah berjaya diwujudkan, mereka kini menuju kepada kumpulan yang lain pula. Mangsa seterusnya ialah anak-anak negeri dan etnik pribumi - Orang Asli, pribumi Sabah dan Sarawak.

Jika itu juga berjaya dan apabila kumpulan itu pula mula membenci orang Melayu atau orang Melayu juga membenci mereka, maka ia adalah penamat bagi segala-galanya. Orang Melayu pada masa itu akan turut melukut di tepi gantang.

Strategi pecah, perintah dan tawan oleh pembangkang nampaknya sedang berlangsung dengan sempurna. Ia adalah permainan taktikal dan akal. Yang alpa akan tewas.

Sumber: Utusan Malaysia 10/9/09

Saturday, August 29, 2009

APAKAH MAKNA KEMENANGAN CALON PAS DI PRK PTG.PASIR?

Menang walaupun satu undi adalah menang. Ada beberapa perkara yang saya nampak disini.

1) Kedua dua PAS dan UMNO mempunyai pengundi setia. Pengundi Cina dan India nampaknya kearah PAS. Bukan sebab suka PAS sangat tetapi PAS tidak sepert UMNO, bukan teras dalam PR. Sekiranya ( dijauhkan Allah swt) BN tumbang, maka kuasa politik Melayu akan berakhir. Ini kerana PAS tidak akan jadi teras PR.

2)UMNO tidak teliti pada pemilihan calon. Walaupun saya rasa tidak adil menuding Rohaizat pasal tduhan isteri 2, saya sedar ianya digunakan secara efektif oileh PAS.

3) Sikap Melayu yang sanggup terima walaupun sampah kalau disulami oleh ayat-ayat Kuran . Ini adalah perkara pelik dalam masyarakat Melayu. Tahu dan sedar perkara itu salah tetapi kerana nak puaskan hati, sanggup terima perkara salah.

Perkara salah ialah seperti suka mendengar fitnah walaupun berbuih mulut cakap 'Fitnah lebih dahsyat daripada membunuh".

4) "Double standard mentality". Tak apa PAS ada cacat cela sebab membawa 'perkataan Islam". Jadi kalau isteri 2 atau 3 dan rumah tangga tunggang langgang tak apa. Tak apa juga memaki hamun sesama Islam seperti selalu Mohd Sabu buat. Fitnah ( berita yang tak sahih dan disampaikan pula oleh fasik seperti RPK) diterima bulat-bulat walupun tahu itu dosa besar. Yang penting mesti serban dan tudung labuh. Lepas itu buang masa berjam-jam dengar ceramah ( pesta fitnah) mengenai Datin Rosmah atau Najib.

Dan masyarakat Melayu suka memilih apa yang mahu didengar. Apa yang sesuai dengan naluri politik kita, kita terima bulat-bulkat. Yang tak kita setuju walaupun benar kita tolak. Jadi Saiful yang sudi bersumpah laknat kitra tolak. anwar yang takut bersumpah kita terima. Apa yang UMNO buat sentiasa dipandang serong. UMNO turun padang dituduh berlakon. Tak turun padang dituduh sombong. UMNO mempertahankan hak Melayu dituduh mahu menakutkan melayu untuk menyokongnya. UMNO kritik Melayu dituduh tidak membela Melayu. Ketua bahagian UMNO kaya( sebab juga berniga) habis dituduh rasuah. Pemimpin PAS naik kereta mewah tiada siapa bising. Rumah pemimpin UMNO harga jutaan ringgit disebarkan sebagai terima rasuah walaupun beliau siap tunjuk resit.Rumah jutaan ringgit Pemimpin PAS tiada siapa bising.

5) Budaya bermusuh PAS sesama Islam. Begitu kasar dan tiada ruang tolak ansur untuk UMNO. Saya nampak budaya Melayu suka duduk berjam-jam di kantin( tak buat kerja) tapi mengutuk kerajaan yang membayar gaji mereka . Tidak sedarkah yang mereka makan gaji buta( ambil gaji kerja tak jalan). Pemimpin PAS langsung tak mahu berbaik sangka dengan UMNO. NIk aziz mengungkit perkara yang berlaku 30 tahun lalu . Begitu tinggi dendam walaupun orang yang dimarahinya semua sudah meninggal dunia.

6) Taksub.

Otak dicuci supaya tak mahu percaya langsung Utusan Malaysia atau RTM. Harakah yang giat menyebarkan fitnah dijunjung tinggi-tinggi.


7) Bila berkuasa Hadi sebut hudud hanya 0000.1% dari Islam. Maknanya bukan perkara teras. Bila dah tak berkuasa tuduh UMNO tak mahu Islam. Menjerit-jerit dan berusaha melemahkan kuasa politik Melayu dengan sikap suka berarak dijalan raya. Mana-mana kerajaan akan bertindak dalam hal ini. Bila polis bertegas, dituduh polis zalim. Dan yang paling nyata, saya nampak ramai anak muda Melayu rasa hebat bila dah masuk universiti dan balik dari luar negeri. Kononnya dah pandai. Jadi secara lantang mereka berusaha jatuhkan UMNO. Kononnya terlalu zalim.

Mereka lupa yang UMNO banyak kebaikan. Mereka masih mentah dalam kehidupan. Mereka tidak tahu yang ramai orang( seperti DAP) menyokong PAS bukan ikhlas. Mereka mentah dalam percaturan politik kerana mereka masih muda. mereka tidak bodoh. Mereka hanya muda dan tiada pengalaman. Mereka menerima bulkat-bulat sokongan DAP tanpa sedar yang jika UMNO tumbang, bukan PAS yang naik. Apa pun kelemahan UMNO (sebagai satu parti ditubuhkan oleh manusia) , saya berdoa ianya kekal memerintah Malaysia.


Mungkin saudara tidak sedar jika tumbangnya UMNO bukan bermakna PAS akan memerintah.

UMNO ialah teras dalam BN. Dari 139 kerusi, UMNO mempunyai 79 kerusi. Maknanya ianya memang dominan dalam BN. Apa erti teras. Maknanya segala keputusan mesti dapat kebenaran UMNO.


Apakah PAS teras dalam PR ?


Tidak. Apa saja yang PAS nak buat terpaksa minta kebenaran DAP. ITu hakikatnya. Di Perak, Nizar tak lebih dari boneka. Itu adalah kebenaran. Tak tumbuh tak melata. Tak sungguh orang tak kata. Jadi Kg Baru Cina diberi grant 999 tahun. 1000 ekar diperuntukkan pada Sekolah Cina. Hal ini tak terjadi dizaman UMNO memerintah.

Di selangor, taraf Islam dah sama dengan ugama lain. Kalau ada masjid, mesti ada kuil dan tokong. Masa UMNO memerintah, perkara macam ini tak terjadi. Yang DiPertua Perbandaran tak boleh lagi runtuhkan kuil haram . Jika runtuhkan kuil haram , mereka akan digantung perkhidmatan . Pada 1998, Mohd sabu memaki hamun anwar Ibrahim dan mencabar Dr mahathir memecat beliau kerana liwat. Karpal singh juga dalam konvensyen DAP 1998 cakap ada bukti Anwar ialah homoseks.


[SEK_23_SA.jpg]

Gambar Blog Mysrimuara


Jujurkah Mohamad Sabu dalam hal ini. Jujurkah PAS dalam hal ini. Jika mereka pun percaya itu sikap Anwar, kenapa sanggup berkerjasama dengan Anwar. Saya bukan ahli UMNO. Saya juga kritik UMNO. UMNO pun ada silap juga. Tapi saya rasa ia tak sehipokrit PAS. Penting sangatkah kisah ( kalau betul) Rohaizat beristeri dua. Bukankah kisah hidup pemimpin PAS juga 'Panas" dengan kisah nikah di Thailand. Bukankah isteri pemimpin PAS juga meminta cerai dan tuntutan jutaan ringgit.


Bukankah juga Muslimat PAS menangis mempertahankan ADUN Bukit Lanjan yang jelas buat perkara tak baik .Jadi pentingkah menceritakan hal orang beristeri dua. Kerana Allah atau kerana politik. Inikah Islam yang kita nak tegakkan? Siapa yang fanatik? Siapa yang sanggup "berperang" menjatuhkan saudara seugama dan sanggup berbaik dengan musuh Islam sendiri untuk kepentingan politik. Siapa yang sentiasa berburuk sangka? Siapa yang jadikan orang fasik seperti Raja Petra sebagai rujukan utama? Jujurkah kita semua ? Jujurkah PAS bila menerima Anwar walaupun Mohd sabu memaki hamun anwar 11 tahun lalu. Dan soalan ini sentiasa membuatkan semua orang PAS merah muka. Tidak pernahkah terdetik dihati PAS kenapa Anwar tidak mahu bersumpah walaupun dicabar? Persoalan ini akan nampak begitu mudah jika kita jujur pada diri sendiri. Semoga bulan Ramadhan ini akan mendorong kita melihat kebenaran.



sumber : blog Azli Shukri ( http://azlishukri.blogspot.com )

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"