Tuesday, April 29, 2008

Kukuhkan Perpaduan Melayu Balik Pulau

Bangsa Melayu telah hilang kuasa politiknya di Pulau Pinang melalui PRU 12 yang baru berlalu. Sedih dan pilu tiada wakil Melayu yang kuat dalam kerajaan negeri yang baru. Kuasa politik orang Melayu di Pulau Pinang semakin hampir lenyap. Akan lenyap jika orang Melayu masih terus bertelagah sesama sendiri. Melalui kerajaan baru DAP dan PKR, exco Melayu telah merosot 100%. Semasa kerajaan BN, sebanyak 4 exco Melayu dan 6 exco Cina dan satu India. Semasa pentadbiran kerajaan baru Pakatan Rakyat, exco Cina telah bertambah 2 menjadi 8 exco manakala Melayu dari 4 kepada 2 exco sahaja. Bukan isu perkauman nak dibincangkan di sini tetapi cuma sebagai satu peringatan kesedaran kepada bangsa Melayu sendiri. Melayu saling tuduh menuduh di antara satu sama lain. Pelbagai strategi dan helah dilakukan untuk memenangi hati pengundi. Tuduhan dan penghinaan kadang-kadang terkeluar dari batasan hukum agama. Yang pernah berjasa, dinafikan malahan kecaman dilemparkan. Matlamat menghalalkan cara? Melayu kafir, zalim dan pelbagai lagi kecaman terdengar di sepanjang kempen pilihanraya yang lalu. Akhirnya Melayu berpecah dan bersengketa sesama sendiri. Bersatulah Melayu di bawah UMNO jika wadah perjuangan UMNO masih relevan dengan bangsa Melayu. Belajarlah dari kebijaksanaan rakan kita berpolitik. Bersatu mereka demi bangsa, bahasa dan negara. Melayu tidak sepatutnya layu dan terus kaku jika agama Islam dijadikan pedoman dan panduan hidup.

Saturday, April 26, 2008

Tsunami Politik vs Tsunami Alam


Ingatkah anda ketika berlakunya tsunami alam pada 26 Disember 2005. Pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah turun memberi bantuan berterusan. Begitu prihatin pemimpin negara dan negeri malahan pemimpin setempat bersengkang mata menghulurkan bantuan. YAB Dato Seri Najib sempat melawat mangsa-mangsa tsunami bersama dengan Timbalan Ketua Menteri, YB Dato Abd. Rashid serta ADUN Bayan Lepas, YB Tuan Syed Amerruddin di kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Batu. Pelbagai jenis bantuan diberikan melalui agensi-agensi kerajaan termasuklah barangan makanan, wang tunai dan ganti rugi memperbaiki enjin dan sebagainya. Itulah tugas dan tanggungjawab pemimpin kerajaan yang memerintah sentiasa menghulurkan bantuan semasa rakyat ditimpa kesusahan tanpa mengira bangsa dan latar belakang politik. Betapa hebatnya rakyat kita pada hari ini. Melalui pilihanraya umum yang lalu (PRU12), kerajaan yang memerintah telah dibalas jasa mereka dengan tsunami politik. Semua calon Gerakan dikalahkan. Hanya calon UMNO yang masih bertahan. YB Tuan Syed Amerruddin, ADUN Bayan Lepas menang dengan majoriti yang kecil. Majoriti kaum Cina di perkampungan nelayan telah memberi undi kepada calon PAS, seorang pesara guru (wanita) yang tidak pernah dikenali oleh kaum Cina. Tsunami politik melalui PRU12 amat mengejutkan semua pihak. Ada calon yang menjual air tebu mewakili PKR di Selangor telah menang dalam pilihanraya yang lalu. Calon PKR dan juga DAP amat jarang melawat kampung dan menjenguk masalah rakyat juga menang dengan majoriti yang lebih besar. Maaf, bukan nak menghina sesiapa. Ini kenyataan. Oh! Tsunami politik yang cukup hebat. Apakah hebatnya kepimpinan PKR, DAP dan PAS dalam mentadbir negara. Sama-samalah kita lihat!!!

Kurangkan Berceramah, Laksanakan Amanah Rakyat

Saya dah dengar cakap-cakap politik di kalangan penyokong-penyokong PAS dan PKR mengenai rasa tak puas hati mereka kepada kepimpinan parti dan kerajaan yang diperintah. Masalah dalaman parti baik PAS mahu pun PKR usah diperkatakan lagi. Dan bukan masa untuk meneruskan ceramah-ceramah di sana sini. Ingatlah PKR dan PAS bukan lagi parti-parti pembangkang di negeri-negeri yang diperintah. Bertindak dan berbicaralah secara profesional. Hal pentadbiran negeri jika susah macam mana pun bukanlah tempatnya di surau/masjid, dewan dan padang meluahkan penyelewengan kerajaan terdahulu. Ingatlah rakyat telah memberi kepercayaan kepada PKR dan PAS bersama DAP untuk memerintah negeri. Jika ada penyelewengan dalam pentadbiran terdahulu, bukan kepada rakyat kita mengadu. Buatlah laporan polis dan seterusnya kepada BPR untuk dijalankan siasatan. Janganlah nanti, rakyat jadi bosan. Sekarang ini pun dah bosan. Ramai dah orang bercakap. Di sana sini ceramah dan majlis kesyukuran. Sudah ada yang kata, pemimpin PKR dan PAS pandai berceramah, mentadbir tak reti. Betullah, bercakap dan mengkritik sewaktu pihak lain memerintah memang senang. Buat baik pun tidak betul. Kalau tidak betul, bertambah lagilah. Isu babi memang ketara kontroversi. PAS pernah menyindir Pak Lah sebagai Badawi di Malaysia bela babi. Bila kerajaan Selangor (PKR) bercadang nak buka ladang ternak babi RM100 juta, pemimpin utama PAS sokong pula. Beginilah pakatan rakyat yang ditonjolkan selepas beberapa minggu memerintah negeri. Bercakap dan bertindak biarlah berprinsip. Berceramah hendaklah berhemah. Rakyat sekarang tidak boleh diperbodohkan lagi. Sekarang masa rakyat serta pemimpin dan penyokong BN menilai kemampuan Pakatan Rakyat memerintah negeri. Kemampuan PR menunaikan janji pilihanraya yang lalu.

Friday, April 25, 2008

DSAI Bakal PM Malaysia Tidak Lama Lagi

Keghairahan DSAI nak jadi PM telah mendapat liputan meluas dalam pelbagai media, akhbar dan laman blog. Wan Azizah turut menyatakan kesediaannya untuk jadi PM. Memang cukup hebat pemimpin-pemimpin PKR. Ketokohan terbilang menjuarai pelbagai kaum melalui PKR. DSAI telah menjelajah ke Sabah dan Sarawak untuk mempromosikan hasrat dan janji jika beliau jadi PM. Beliau nampak berkeyakinan bahawa Pak Lah akan jadi Ketua Pembangkang tidak lama lagi.
Apakah usaha DSAI ini boleh dianggap baik dan wajar bagi mereka yang mendokong demokrasi? Peringkat awalnya Tok Guru Nik Aziz pernah menegur bahawa wakil rakyat tidak bermaruah jika lompat parti. Pemimpin PAS mempercayai bahawa kerja buruk ini tidak dilakukan oleh pembangkang. Ini hanya kerja pemimpin BN.
DAP menyepi ketika ini. Dato Lim Guan Eng sibuk memerintah negeri. Dato' Lee Kah Choon berjaya dipancingnya. Keluarlah Dato Lee dari Gerakan. Karpal Singh sibuk dengan tugas firma guamannya. Peguam terkenal dan disegani, rakyat tak kisah walaupun tak dapat turun ke padang kerana beliau berkerusi roda. Karpal Singh sangat melenting jika PAS bercakap pasal negara Islam dan hukum hudud.
Parti Rakyat Malaysia (PRM) sahaja yang menyuarakan bantahan terhadap usaha tidak demokratik DSAI. Pakatan Rakyat sebenarnya berpakat dan bersetuju dengan tindakan tidak demokratik dan tidak bermaruah pemimpin de facto pembangkang, DSAI!

Keputusan PRU12 Parlimen Balik Pulau Bercelaru!!

Hari penamaan calon Parlimen Balik Pulau telah menampilkan muka baru dan lama sebagai calon BN dan pembangkang. Semua calon yang bertanding baik di sebelah BN mahu pun pembangkang adalah calon-calon Melayu belaka. Calon-calon PKR menentang calon BN di Parlimen Balik Pulau, DUN Pulau Betong dan Telok Bahang. Calon tunggal PAS seorang guru bersara menentang calon BN di DUN Bayan Lepas.
Keputusan PRU12 telah memberi kemenangan kepada semua calon BN di peringkat DUN tetapi dengan majoriti yang merosot. Sebaliknya calon BN di Parlimen Balik Pulau ditewaskan oleh calon muda PKR. Rakyat telah memberi mandat kepada parti-parti yang bertanding. Rakyat telah membuat keputusan sama ada dirancang atau secara kebetulan iaitu wakil rakyat yang dipilih baik dari BN ataupun pembangkang sebenarnya sebagai wakil rakyat pembangkang di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan Parlimen.
Sudah pasti rakyat di Balik Pulau menghadapi dilema kerana membuat keputusan yang bercelaru. Wakil rakyat BN di DUN Bayan Lepas, DUN Pulau Betong dan DUN Pulau Betong adalah sebagai wakil rakyat pembangkang dalam pentadbiran kerajaan baru DAP dan PKR (Pakatan Rakyat). Sudah pastilah kerajaan baru ini tidak akan menurunkan peruntukan kepada rakyat di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh wakil rakyat pembangkang. Begitu juga situasi di Parlimen Balik Pulau. Ahli Parlimen Balik Pulau dari PKR menjadi pembangkang di peringkat kerajaan persekutuan. Sudah pastilah kerajaan persekutuan tidak akan menurunkan peruntukan kerajaan persekutuan melalui ahli parlimen dari PKR. Salah siapa? Rakyat telah membuat keputusan melalui PRU12.
Walaubagaimana pun saya yakin kerajaan persekutuan tetap akan menurunkan peruntukan walaupun Pulau Pinang telah dikuasai kerajaan baru Pakatan Rakyat. Dan saya masih menaruh harapan yang tinggi sebagai rakyat Pulau Pinang yang diperintah oleh Pakatan Rakyat sudah tentu kerajaan baru ini lebih berjiwa rakyat, membela nasib semua rakyat, menunaikan janji-janji kepada rakyat, tidak menyusahkan rakyat, memenuhi semua permintaan rakyat dan memahami masalah rakyat.

Wednesday, April 23, 2008

Perpaduan Berteraskan Islam?

Saya telah mengakses hampir kebanyakan blog atau laman dan kebanyakan blog pro PAS dan PKR tidak berminat dengan langkah pihak tertentu mengadakan Perhimpunan Perpaduan Melayu (PPM) yang diadakan di PWTC yang dianjurkan oleh Gabungan NGO Melayu. PAS dan PKR merasakan bahawa Pakatan Rakyat tanpa diterajui mana-mana parti telah kuat selepas PRU12 yang lalu. Pemimpin-pemimpin PAS tidak berminat menerima pelawaan mana-mana pihak untuk berbincang atas nama perpaduan Melayu. PAS lebih senang dengan perpaduan berasaskan Islam. Walaupun perlembagaan persekutuan telah menyatakan bahawa orang Melayu itu adalah Islam. Dengan kekalutan yang berlaku dalam kepimpinan UMNO ketika ini, paparan meluas media perdana mengenai kemerosotan pengaruh BN, desakan demi desakan supaya Pak Lah meletak jawatan, perletakan jawatan beberapa Timbalan Menteri dan berbagai masalah menguatkan lagi pandangan yang mengatakan UMNO menuju kehancuran. Gambaran demikian adalah salah mengikut pandangan DS Haji Hadi. Katanya UMNO tidak lemah tetapi yang lemah adalah parti-parti komponen lain seperti MCA, Gerakan dan MIC. Begitulah juga pandangan kebanyakan orang politik dan pemerhati politik. Walaubagaimana pun kelemahan UMNO melalui pilihanraya PRU12 ini telah menuntut mereka membuat banyak perubahan. Yang ketara kebanyakan pengundi atas pagar tidak dapat menerima hakikat bahawa hajat untuk mengurangkan sedikit kuasa BN telah menyebabkan kuasa Melayu semakin hilang di Perak, Selangor dan Pulau Pinang. PKR juga dikatakan antara punca kuasa politik orang Melayu semakin lemah. Apakah Melayu PAS, UMNO dan PKR akan tidak dapat bersatu di Malaysia seperti mana negara-negara Arab di Timur Tengah?

Saturday, April 19, 2008

Teknik Perjuangan Islam PAS


TEKNIK PERJUANGAN ISLAM YANG ISLAMIK?
Tujuan saya memberi pandangan ini supaya kita saling menasihati kepada kebenaran. Supaya kebenaran tertegak dan yang palsu lenyap. Saya tidak bermaksud menghina dan jauh sekali mencari musuh. Kiranya hujah saya ini diragui dan tidak kuat, saya pohon hujah balas yang lebih mantap, supaya kita dapat melihat kebenaran. Janganlah dihadapi pandangan saya ini dengan permusuhan melulu oleh sentimen fanatik kepada puak. Ilmu mesti dihadapi dengan ilmu. Jangan ilmu dihadapi dengan penghinaan, kemarahan dan dendam. Pemburu kebenaran tidak takut pada kebenaran. Walaupun dia terpukul dengan kebenaran itu.
Sebab kebenaran tidak memecahkan akal dan hati insan. Kecuali yang tidak mahu menerima kebenaran lagi.
Sekarang saya akan senaraikan alasan mengapa saya katakan politik Barat bercanggah dengan Islam. Mengikutinya, ertinya tidak mengikut syariat Islam. Moga-moga Allah restu dan izinkan.
Supaya kebenaran itu dapat dibuktikan benar dan dapat diikuti. Manakala kepalsuan atau kebatilan dengan sendirinya akan hilang, setidak-tidaknya ada tandingan untuk pilihan. Bagi orang yang hendakkan kebenaran maka sudah ada suri teladan.
(Saya pemah menyertai parti politik PAS selama 10 tahun, maka apa yang saya tulis ini bukan satu serkap jarang atau teropong dari jauh).Oleh kerana mempunyai matlamat untuk menang pilihan raya, agar dapat memerintah negara, supaya dari sana baru hendak ditegakkan hukum Islam di semua aspeknya, maka tumpuan kepada mendidik iman dan perlaksanaan Islam di dalam parti kurang diambil berat. Bukan tidak ada tetapi tidak diberi keutamaan.
Kadang-kadang kuliah fardhu ain pun jadi landasan untuk kempen mengundi dan menyerang lawan. Apalagi kalau memang kuliah politik. Mendengar syarahan-syarahan bentuk ini kurang membangkitkan rasa takut pada Allah.
Kadang-kadang sibuk di dalam politik pilihan raya itu, sembahyang diabaikan, padahal ia ibadah yang pokok dalam Islam. Kalau sembahyang sudah diabaikan, syariat-syariat Islam yang lain lebih-lebih lagi dicuaikan. Bahkan masih rasa senang dengan dosa dan redha dengan adat -adat yang bertentangan dengan Islam.
Di antara perkara-perkara itu ialah:
1. PERLAKSANAAN IBADAH :
Sekalipun ibadah asas seperti sembahyang fardhu dan sembahyang jemaah, ia amat kurang dititikberatkan. Sedangkan ia hukum Islam yang paling pokok sesudah iman. Sembahyang tiang agama, penguat dan tapak perjuangan. Kalau ia lemah, lemahlah tiang dan tapak jemaah. Di Akhirat, perkara yang paling awal disemak ialah sembahyang, [ BUKAN mendapat negara atau hukum hudud]
Ertinya sembahyang hukum yang paling utama ditegakkan selepas iman. Sama ada kita tinggal dalam negara Islam atau tidak, sembahyang tetap penting. Meremeh atau memandang kecil persoalan sembahyang kerana mengutamakan usaha mendapat negara Islam adalah pilihan atau pandangan yang salah. Ahli-ahli parti ramai yang cuai bersembahyang; tidak faham, tidak khusyuk dan tidak berjemaah. Ini menggambarkan kelemahan parti. Bagaimana parti yang lemah boleh kuat untuk memerintah negara dan mampu mendidik rakyat?
Parti yang akan memerintah mesti punya role model pemerintahan yang baik untuk menjadi ikutan rakyat. Bagaimana parti itu boleh membawa rakyat dalam negara untuk beristiqamah sembahyang, kalau ahli partinya tidak mampu didisiplinkan?
Bagaimana hukum Allah yang ini terjamin perlaksanaannya di peringkat negara sedangkan di peringkat parti pun belum terbukti?
Sayidina Umar Al Khattab r.a. selepas ditikam dan sejurus sebelum beliau wafat, terus berkata,
“Sudahkah kaum muslimin sembahyang Fajar (Subuh)?”
Begitu Sayidina Umar, dalam kesakitan kena tikam, beliau masih memperingatkan sembahyang fardhu kepada kaum muslimin. Logikkah, dengan kuasa memerintah baru orang mahu bersembahyang? Jangan-jangan bila kuasa di tangan, orang lebih lalai!Demikia juga persoalan akhlak, pergaulan terbatas lelaki perempuan, menutup aurat dan sebagainya, adalah hukum-hukum yang boleh dibuat tanpa kuasa negara. Tetapi ia tidak diberatkan dalam parti politik.
Sedangkan itu semua adalah hukum-hukum penting pada setiap individu muslim. Mengapa hukum yang amat penting ini tidak ditegakkan lebih dahulu sebelum dapat negara? Mengapa gigih memperjuangkan tertegaknya hukum lain yang belum tentu kita dapat berbuat.
2. KULIAH2 PENGAJIAN
Kuliah2 pengajian kurang menekankan persoalan IMAN, TAQWA, akhlak, Akhirat, Syurga, Neraka, peribadi mukmin, amalan fardhu ain dan fardhu kifayah selain NEGARA. Sedangkan perkara-perkara inilah yang membuatkan manusia menyuluh diri, mendapat inspirasi untuk melaksanakan Islam. Seolah-olah Islam yang diperjuangkan itu bagaikan pokok yang tidak diberi baja. Atau kereta yang enjinnya lemah, kerana tidak diambil perhatian.
Mengapa hal ini terjadi? Apakah tokoh politik yang menerajui perjuangan Islam itu tidak sedar perihal ini? Kalau sedar, mengapa dibiarkan, sedangkan hukum Allah itu terlaksana oleh individu manusia bersumberkan ilmu ini. Apakah ada cara lain, manusia beroleh kekuatan menjalankan hukum Tuhan tanpa melalui proses mendidik iman dan ibadah-ibadah asas? Sedangkan dalam sejarah, negara Islam itu sendiri hanya dapat ditegakkan oleh orang-orang yang cukup terdidik dengan iman dan peribadi-peribadi yang bertaqwa.
Dalam Al Quran bukankah Allah berfirman yg maksudnya ”Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api Neraka.” [ at Tahrim :6]
Para hukama ada berkata: “Tegakkan Islam dalam diri kamu nescaya akan tertegak Islam di dalam negara kamu.”
3. Persoalan UKHUWAH
Persoalan ukhuwah tidak dititikberatkan. Sedangkan semua orang tahu perpaduan itu amat penting. Ia merupakan Salah satu daripada kekuatan jemaah. Sebab itu ukhwah antara pengikut dengan pengikut, pemimpin dengan pemimpin dan pengikut dengan pemimpin tidak terasa dan tidak kelihatan.Kasih sayang tidak diambil kira dan kurang diusahakan. Hingga terjadi jurang antara pengikut dengan pemimpin.
Sebab itu kata-kata pemimpin tidak terlalu berharga, bahkan arahan pemimpin kurang dipatuhi. Sikap rasa bersama dan saling bekerjasama serta tolong-menolong kurang. Kecenderungan berkorban untuk perjuangan terlalu lemah
Dalam keadaan ini dapatkah parti menjadi seperti batu-bata yang tersusun kukuh untuk membentuk bangunan yang gagah dan hebat? Ertinya, dapatkah ditegakkan sistem hidup Islam di kalangan orang-orang yang hati mereka belum disatukan, yang masih nafsi-nafsi dan tidak sanggup berkorban dan juga tidak taat arahan ketua? Saya yakin kalau dapat negara pun, selagi individu-individu masih nafsi-nafsi, sistem-sistem Islam tidak akan dapat ditegakkan.Sebab menegakkan sistem adalah ibarat membuat kereta yang memerlukan gabungan perikatan dan penyatuan antara tayar, enjin, casis, gear, badan kereta dan lain-lain lagi. Tanpa ukhwah antara tiap-tiap golongan, ertinya tidak ada rasa bersama dan kerjasama. Bila tidak ada rasa bersama dan kerjasama, bagaimana mereka hendak membentuk satu sistem hidup yang indah itu? Adakah tali lain yang lebih kuat dari iman dan ukhwah ini untuk menyatukan umat Islam dalam barisan yang teratur kukuh?
4. Faktor KEFAHAMAN DAN KESELARASAN
Kefahaman dan keselarasan di antara ahli parti tidak diutamakan. Apabila kefahaman dan keselarasan tidak diutamakan, masing-masing bebas dalam berfikir, bebas mempunyai pandangan serta mengambil sikap, sekalipun dalam persoalan dasar dan asas.
Terhadap sesuatu isu saja, kita lihat mereka berbeza pandangan dan sikap. Dalam menghadapi musuh pun tidak sama sikap dan pandangan. Ada yang bermusuh ketat dengan pihak yang dianggap musuh, ada yang longgar.
Hal ini bercanggah dengan teknik dan strategi perjuangan Islam. Lebih-Lebih lagi dalam medan perang. Fikiran mesti satu, hasil menerima ilmu dari sumber yang satu iaitu Al Quran dan Hadis, yang diberi minda oleh pemimpin untuk menjadi pegangan bersama demi perpaduan.
Fikiran yang bercelaru dan bersimpang-siur, tidak memberi hasil apa-apa melainkan akan menimbulkan perbalahan dan perselisihan faham. Dalam negeri atau negara, kalau keadaan ini berlaku, ia bukan membawa pembangunan sistem Islam tetapi mebawa kepada kucar - kacir dan kecelaruan, yang akhirnya akan mengelirukan rakyat dan susah bagi orang lain untuk menirunya.
5. IDENTITI atau SYIAR ISLAM
Syiar tidak kelihatan dalam parti politik pilihan raya. Soal mengapa pendekatan melalui syiar ini tidak diambil, tidaklah difahami. Sedangkan Sunnah Nabi kalau diamalkan, syiarnya sangat memeriahkan dan sangat banyak berkatnya. Sebab mengamalkan Sunnah Nabi, yakni cara hidup Islam yang lahir dan batin seperti di dalam berpakaian, bergaul, makan minum, berkahwin, berjuang, berkorban dan lain-lain cara hidup, itu lahir dari hati yang sangat kasih atau fanatik dengan Allah dan Rasul.
Orang yang fanatik dengan Allah dan Rasul, baru orang itu dapat melaksanakan hukum dan Sunnah Rasulullah. Apabila berjaya membangunkan hukum dan Sunnah Rasulullah, barulah nampak syiar. Lahirnya syiar itu adalah daripada sifat taqwa.
Firman Allah: Maksudnya: “Barang siapa yang membesarkan syiar Allah, sesungguhnya itu datang dari hati yang bertaqwa.” (AI Haj: 32)
Orang yang sayang dan cintakan Allah dan Rasul, sanggup meniru cara hidup Rasul sekalipun kawan lari. Tetapi kalau hati tidak kasih, walaupun ada kuasa memerintah negara dan bebas menegakkan hukum Tuhan dan Sunnah Nabi, namun manusia tetap enggan melakukannya. Seperti orang ada lori, tahu pandu lori tetapi kalau hati tidak suka naik lori, tetap dia tidak naik juga.
Identiti Islam atau syiar Islam itu sangat penting dalam perjuangan. Ia menjadi lambang yang punya daya untuk menarik manusia kepada cara hidup Islam. Ia juga menjadi benteng kepada musuh dari sikap pura-pura dan menyusahkan mereka untuk menyeludup masuk ke dalam jemaah dan bertindak bagaikan gunting dalam lipatan. Ia membezakan parti Islam dengan parti sekular. Ia menjadi tekanan dan saingan pada cara hidup Barat. Dan berbagai-bagai lagi hikmahnya.
Tanpa identiti yang membezakan cara hidup pejuang Islam dengan orang yang tidak memperjuangkan Islam, menjadikan parti politik itu tidak ada kelebihan berbanding parti-parti yang tidak memperjuangkan Islam. Kalau cakap saja yang berbeza tetapi cara hidup sama saja dengan mereka, bahkan meniru pula cara hidup musuh, samalah dengan tin kosong yang orang tidak pandang dan yang tidak berharga. Berbunyi tetapi tidak berisi. Lagi kuat bunyi, lagi kurang isi. Hanya akan jadi mainan dan bahan perli orang. Sungguh, cara ini bersalahan sekali dengan kehendak Islam.
6. TOKOH2 POLITIKNYA ‘SAMA’ DENGAN PARTI LAWAN
Tokoh2 politik yang berjuang atas nama Islam, bilamana jadi wakil rakyat atau jadi menteri, nampaknya akan hidup kaya-raya atau lebih kurang sama seperti kehidupan wakil-wakil rakyat dari parti-parti lain yang memang tidak bercita-cita hendak memperjuangkan Islam. Ertinya, mereka ini mempunyai tujuan yang sama dengan wakil-wakil rakyat lain, yakni berpolitik untuk hidup senang dan membina harta serta membangunkan projek peribadi.
Sedangkan pemimpin-pemimpin Islam yang sebenar itu kerana mahu menegakkan hukum Islam, mereka korbankan kekayaan mereka hingga hidup mereka sederhana sekali.Tanpa pengorbanan, dari mana datangnya wang dan harta untuk perjuangan? Masakan hendak minta dari orang yang tidak ada cita-cita Islam atau daripada musuh sendiri? Pengorbanan pemimpin dan ahli-ahlilah sumber kekayaan bagi parti yang ada cita-cita Islam. Tanpa pengorbanan, parti akan terus miskin dan kita akan membuat alasan Islam tidak dapat tegak kerana masalah kewangan. Konon, salahkan musuh kerana tidak alirkan wang, sedangkan ia kesalahan kita kerana tidak mahu berkorban. Itulah punca utamanya. Adakah logik perjuangan kita dibiayai oleh musuh? Atau minta bantuan dari musuh? Apakah cara ini boleh menaikkan maruah perjuangan?
7. AHLI-AHLI POLITIK MENJAUHI AHLI PARTI LAIN
Ahli2 politik yang katanya ingin memperjuangkan Islam, tidak mahu bergaul dan berhubungan dengan siapa saja yang tidak menyokong perjuangannya, sama ada individu atau kumpulan lain. Kata-kata saya ini berdasarkan beberapa bukti yang telah terjadi.
Ini dapat dilihat pada sikap yang ditunjukkan oleh ahli-hli harakah politik berkenaan yang sedang menuntut di pusat pengajian tinggi di luar negara kepada anak2 buah saya.
“Serulah kepada jalan Tuhanmu secara hikmah dan tunjuk ajar yang baik dan (kalau perlu) berbahaslah dengan mereka dengan memberi hujah yang lebih baik.” (An Nahl: 125)
Di dalam ayat di atas, kita disuruh berbahas dan berbincang dengan sebaik-baiknya. Kalau dengan manusia yang tidak separti dengan mereka. telah dibina jurang atau gap, bagaimana hendak berbincang?
Sedangkan dengan berbincang baru kita tahu ilmu kita betul atau tidak, hujah kita kuat atau lemah, pendapat kita benar atau salah. Pandangan kita perlu disuluh dengan perbincangan, baru kita tahu pandangan kita itu benar atau salah.Allah mahu kita cari bermacam-macam jalan untuk hadapi bermacam macam golongan manusia sekalipun orang bukan Islam, demi mengajak mereka kepada Allah.
Sikap mudah bermusuh, berprasangka, tidak bertegur sapa dan tidak mesra, itu bukanlah caranya untuk memperjuangkan Islam. Ia menyempitkan gelanggang perjuangan kita.
Rasulullah menziarahi seorang perempuan tua bukan Islam yang selalu ,menyakitinya. Hingga akhirnya perempuan itu masuk Islam.
Rasulullah SAW bersabda:
“Ucapan atau kata-kata yang baik itu adalah sedekah” [ Muslim] ”Senyum (kemesraan) kamu di hadapan saudaramu itu adalah sedekah.”[ Al Bukhari]

8. TUDUHAN KAFIR, SESAT….
Terhadap individu atau kumpulan yang TIDAK SEPERJUANGAN atau lain gaya perjuangan, dituduh dan mudah dijatuhkan hukuman fasik, zalim, kafir, murtad dan lain-lain.
Hukuman semberono dan melulu ini dibuat menggunakan ayat Al Quran dan Hadis tanpa takut dan malu dengan Allah. Hal ini berlaku sejak badan politik yang ingin memperjuangkan Islam melalui pilihan raya ini ditubuhkan. Ia terjadi dimana-mana di dunia ini.
Hukuman atau menghukum jadi seperti mainan bibir untuk tujuan menghina dan memalukan orang Islam lain serta menarik orang kepada parti sendiri. Penuh bangga kerana merasa diri sudah selamat. Sedangkan seorang hamba Allah sepatutnya amat menderita bilamana terpaksa menjatuhkan hukuman. Takut kalau-kalau tersilap hingga hukuman itu kembali menimpa muka sendiri dan Allah akan tempelak di Akhirat nanti.
Sayidina Abu Bakar As Siddiq r.a., kalau dirasakan cakapnya sudah menyakiti hati orang Islam, lantas dia minta qisas atau mengadu pada Rasulullah SAW supaya dia segera dihukum. Begitulah iman orang mukmin yang memperjuangkan hukum-hukum Allah; sangat takut dengan Allah.
Kerana itu, mereka berhati-hati dalam menghukum.Sikap mudah menuduh-nuduh dan menghina-hina dengan tidak menggunakan hujah yang benar dan terhormat, akan membuatkan orang benci dan lari dari kita. Hingga terjadilah perpecahan yang dahsyat hasil perjuangan kita itu.
Dalam sebuah masjid, ada dua imam yang mengimami sembahyang dalam satu masa. Pernah terjadi di Terengganu, dua ceramah dengan dua mikrofon dalam satu masjid.
Walhal perjuangan Islam bermaksud meramaikan dan menyatupadukan ahli jemaah di bawah satu imam dalam satu masjid. Tapi politik Barat ala pilihan raya mengecil, menyempit dan memecah-belahkan umat Islam dalam masjid. Juga membuatkan orang Islam tidak makan sembelihan orang Islam lain. Dan nikah kahwin sesama Islam dianggap tidak sah kerana berlainan pandangan politik.
Inikah kebenaran? Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berpecah. Lagi banyak berjuang, lagi umat Islam berkrisis. Kalau begitu, apa bukti Islam yang diperjuangkan itu agama selamat, membawa keamanan sejagat dan keharmonian masyarakat?Politik pilihan raya tidak akan dapat menyelesaikan kemelut ini.
Ia hanya akan menambahkan masalah. Bahkan ia adalah punca masalah ini. Harapan sekarang hanya tertumpu kepada politik Islam yang penuh kasih sayang.
9. PEJUANG YANG EMOSI
Terhadap serangan musuh orang politik yang katanya memperjuangkan Islam itu memberi respon penuh emosi, bukan dengan penuh bijaksana matang dan strategik. Seperti orang melatah diusik, melompat-lompatlah ia dengan penuh aksi, geram, melulu dan tidak sabar hingga menyusahkan diri sendiri.
Bila musuh tuduh perkara yang tidak sepatutnya, maka dengan geram dan gelisah, dibuatlah serangan balas yang kadang-kadang tersalah cakap, terlebih hukum, terlajak sikap hingga menguntungkan musuh.
Musuh memang suka kita asyik menjawab. Agar masa kita terbuang dengan menjawab. Supaya kita tidak ada masa untuk berbuat dan membangun. Memang itulah yang musuh mahu. Tetapi pemain politik yang guna nama Islam ini seperti tidak faham niat jahat musuh terhadapnya.
Dia fikir musuh petul-betul tersalah tuduh, maka tertipulah dia. Kalau mereka faham tipu daya musuh, tentu mereka tidak teruk ditipu.Mereka tidak praktikkan doktrin bahawa ‘peperangan itu tipu daya’. Sedangkan ahli politik Islam seharusnya lebih bijak, lebih matang dan lebih berstrategi dari musuh dalam menipu daya dan bermuslihat.
Pejuang Islam sepatutnya sentiasa dapat menipu dan mengalahkan musuh dan bukan sebaliknya. Mereka sepatutnya berada dua tiga langkah di hadapan musuh dan dapat membaca gerak-geri musuh.
Kalau tidak, di mana keistimewaan Islam? Lagi pula, Islam mengajar penganutnya selalu bertenang dengan ujian agar tidak menghilangkan kebijaksanaan di dalam tindakan.
10. SALAH STRATEGI
Strategi peperangan fikiran tidak sama dengan peperangan senjata. Dalam perang senjata, kita boleh terus menyerang tetapi berdisiplin dan tidak menzalim.
Tetapi secara politik, untuk pancing undi dan menarik simpati orang yang yakin cara itulah perjuangan, tentu tidak boleh gopoh dan main kasar.
Kita kena berlembut, kalau boleh biar lebih lembut gigi dari lidah. Supaya orang tertarik dan tertawan dengan kita. Kita disuruh berakhlak. Itulah strategi namanya. Dan ia pula memang diperintah oleh Islam. Kerana ia adalah buah ibadah dan buah perjuangan.Tetapi sayang, orang-orang politik ala Barat ini berkasar dengan orang. Mudah menyerang, mudah mengata-ngata, menuduh dan melempar tohmah tanpa usul periksa.
Ini semua meramaikan musuh, bukan meramaikan kawan.
Orang lari, bukan orang mendekati. Ceramah mereka panas, hanya berslogan, berpropaganda, menghasut dan membangkitkan semangat marah.
Lalu tercetuslah di tengah masyarakat perasaan gelisah, tegang, benci-membenci, rasa permusuhan, dendam, dengki, buruk sangka, kata-mengata dan lain-lain lagi.Punah segala kasih sayang, harmoni, kedamaian, bertolak ansur, maaf-bermaafan, perikemanusiaan, hormat-menghormati dan lain-lain sifat mulia dari umat Islam.
Sedangkan Islam membawa segala kebaikan ini dan kerana inilah ia kelihatan indah, cantik dan dapat menawan hati manusia. Kalau itu semua tidak ada, di mana keindahan dan kecantikan Islam itu?
11. MASALAH DALAMAN
Struktur Kepimpinan dalam parti politik yang dijadikan platform perjuangan Islam itu selalu berubah-ubah dan bertukar ganti, yang berpunca daripada krisis-krisis peribadi, perebutan jawatan, jatuh-menjatuhkan hingga tercetus berbagai kem dan team dalam parti.
Kadang-kadang pemimpin nombor dua lebih popular daripada pemimpin nombor satu. Perbuatan sepak terajang hingga pemimpin tergolek dan terguling, biasa berlaku. Naiklah orang lain memegang jawatan yang diidamkannya.
Sungguh tidak patut sekali hal ini berlaku dalam parti yang bernama Islam. Namun begitulah realitinya. Betapa malangnya kita kalau hal begini terjadi dalam negara Islam yang mereka laung-laungkan dan idam-idamkan. Kemungkinan terjadi memang besar. Sebab dalam parti pun boleh terjadi, apalagi dalam negara? Sedangkan dalam negara Islam tulen, kepimpinan seorang khalifah adalah untuk seumur hidup. Pengikut taat, kasih dan cinta serta terhutang budi padanya seperti terhutang budinya kita kepada ayah, guru dan sahabat.
12. PRINSIP PERJUANGAN TAK JELAS
Tidak jelasnya prinsip perjuangan pejuang Islam melalui politik Barat ini ketara sekali.. Kita jadi tertanya-tanya apa pendirian mereka sebenarnya ketika menukar-nukar stail dan fesyen pakaian. Depan orang kampung pakai ketayap, di bandar pakai necktie. Dalam negeri lain lagaknya, di luar negeri lain pula.
Kalaulah menutup kepala itu kerana mempertahankan hukum sunat, mengapa tidak dikekalkan?
Atau kalau dianggap tidak berketayap itu sunat, mengapa tidak terus jangan pakai ketayap?
Sesetengah ahli demi wang dan jawatan sanggup dijual beli orang. Mereka sanggup keluar masuk parti. Mereka sanggup melompat dari satu parti ke satu parti. Hal ini sungguh malang bagi parti yang bernama Islam.
13. TIDAK KEKAL PENDIRIAN
METHOD PERJUANGAN pun terjadi hal yang sama. Yakni sering berubah-ubah mengikut arah angin. Kalau angin dari Iran bertiup, mereka pun hala ke Iran. Bila angin bertiup dari Libya, Libya pulalah rujukannya. Bila angin dari Algeria, ke sana pulalah mereka.
Perubahan ini lebih kerap berlaku bila dekat pilihan raya. Demi untuk menang, kadang-kadang prinsip dilanggar. Hal ini bukanlah rahsia lagi. Semua orang perasan. Tetapi apakan daya, keadaan ini seperti menjadi satu trend, seolah-olah tiada pilihan. Walaupun ianya mengecewakan sekali.
14. SISTEM ISLAM TIDAK JELAS
Sistem2 Islam yang hendak diperjuangkan tidak jelas. Walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berjuang tidak ada pun buku-buku panduan yang dikeluarkan oleh pemimpin.
Buku perlu untuk memahamkan orang ramai apa itu sistem pendidikan Islam, ekonomi Islam, kebudayaan Islam dan lain-lain sistem lagi.
Selain untuk memahamkan orang ramai, ia, juga jadi panduan kepada orang yang akan memerintah kelak.
—————————————————————————————–
Setelah menyenaraikan apa yang saya nampak tentang teknik perjuangan parti politik yang memperjuangkan Islam di Malaysia dan di dunia amnya, saya mohon maaf kiranya ia menyakitkan saudara.
Saya terpaksa berterus-terang dan wajib saya berbuat demikian. Kerana pada saya sudah cukup bukti untuk mengatakan begitu. Lebih-lebih lagi kerana saya punya altematif iaitu politik Islam yang hak, yang potensinya lebih meyakinkan.
Ia lebih mendekati jejak sejarah perjuangan Islam oleh baginda Rasulullah SAW. Yang mana sesudah melewati perjuangan selama 23 tahun, baginda telah mendapat negara Islam.
Yakni melalui kaedah motivasi dan pendidikan kepada pengikut-pengikutnya dan juga kepada yang bukan pengikutnya, dengan aman dan selamat.
Terjadinya peperangan, kerana orang kafir memulakan terlebih dahulu. Sedangkan perjuangan melalui politik ala Barat sudah lebih 50 tahun, di sesetengah negara lebih lama daripada itu, namun belum ada tanda-tanda untuk menjadi negara dalam negara atau jemaah bayangan negara. Lebih-lebih lagi jadi negara Islam.Dulu, di awal-awal perjuangan, kita sama-sama tidak pasti laluan yang mana yang akan benar-benar sampai kepada tertegaknya sistem hidup Islam, maka kita sama-sama mencuba.Logiknya yang paling cepat, laluan politik pilihan rayalah. Tetapi kini, kita dapat sama-sama saksikan bahawa teknik perjuangan melalui politik pilihan raya jalannya panjang, penuh dengan perangkap musuh serta tidak dapat mendidik ahli.
Walaupun jalannya lebar tetapi amat merbahaya. Hampir tiada yang selamat melaluinya.
Walaupun sudah mendapat sebuah negeri, tetapi amalan Islam serupa saja, tiada perubahan apa-apa.
Dan ternyata juga laluan motivasi dan pendidikan, dengan pendekatan kasih sayang dan dengan mewujudkan role model, walaupun baru tetapi kerana bukan jalan musuh, maka ia lebih selamat dilalui.
Kini sesudah 40 tahun melaluinya, kita sudah dapat membangunkan negara di dalam negara.
Moga-moga saudara-saudari sudi rnengambil perhatian di atas apa yang saya katakan ini, derni kebaikan agama Islam yang kita anuti bersama. Allahlah pembuat keputusan yang sebaik-baiknya. Dan Allah jualah yang mentakdirkan dan mengizinkan ini semua.


Penulis : Abu Nizam

Thursday, April 17, 2008

DS Haji Hadi nampak simpati dengan UMNO


Sejuk hati saya bila mendengar keresahan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas menerima rawatan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat serangan jantung. Kata beliau, ''Saya merasa dukacita melihat keadaan UMNO yang menyelesaikan masalah dalaman parti secara terbuka, cara yang digunakan ini keluar daripada budaya dan adat orang Melayu.
''Kalau ada masalah keluarga kita tidak membincangkannya di kedai kopi sehinggakan orang ramai mengetahui mengenainya. Ia satu perkara yang memalukan,". Beliau menasihatkan UMNO supaya mencari penyelesaian di peringkat nasional bagi memastikan mereka (UMNO) terus memegang tampuk pemerintahan negara. Katanya lagi, ''UMNO kena terima pandangan semua pihak termasuk daripada kaum Cina dan India untuk melakukan perubahan". Beliau menerangkan bahawa pertelagahan dalaman UMNO itu tidak sepatutnya berlaku kerana berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, kekalahan yang dialami parti itu tidak seteruk parti komponen Barisan Nasional (BN) lain. (Petikan dari Utusan Malaysia, 17 April 2008).
Kalau beginilah nada percakapan pemimpin PAS ini, nampaklah sedikit ruang untuk mengadakan penyatuan orang-orang Melayu dan Islam. Saya kata begini kerana sebelum ini, nada pemimpin-pemimpin PAS agak keras malahan memperlekehkan UMNO dan BN sejak PRU12. Tetapi saya belum dengar lagi respon dari pemimpin tertinggi UMNO dan PKR berkenaan penyatuan Melayu.

Saturday, April 5, 2008

DAP dan PAS dalam PAKATAN RAKYAT

Penyokong-penyokong fanatik PAS mulai keliru. Cuma tak mahu bersuara, kononnya nak jaga imej parti. Sebelum pilihanraya, DAP dan PAS telah menjelaskan pendirian masing-masing. Kedua-dua parti ini tidak ada dalam sebarang pakatan pembangkang. Kerana nak jaga hati pengundi masing-masing kumpulan ini, kedua-dua pemimpin parti kena menyatakan pendirian yang tegas dan jelas. Parti PAS ingin menegakkan sebuah negara Islam. Manakala DAP pula menentang. Dan PAS sendiri menafikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam walaupun Ketua Negara adalah Yang Di Pertuan Agong, PM adalah pemimpin Melayu beragama Islam dan perlembagaan persekutuan jelas menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi. Oleh kerana UMNO dianggap musuh yang perlu ditentang habis-habisan, pelbagai tuduhan dilemparkan kepada pemimpin dan ahli-ahli UMNO. Sekitar 1960an, orang UMNO dihukumkan kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC dalam memerintah negara. Banyak lagi tuduhan dan fitnah yang dilakukan oleh pemimpin PAS kepada orang UMNO. Dalam konteks pasca PRU12 ini, bagaimana pula PAS boleh berpakat dengan DAP untuk memerintah negeri Perak. Persetujuan PAS bersama dengan DAP dan PKR telah menafikan pembentukan sebuah kerajaan negeri Perak yang sudah tentu dikuasai majoriti exco-exconya dari pemimpin Melayu (UMNO) sendiri. BN memperolehi 28 kerusi dan 27 kerusinya adalah dari UMNO. Banyak persoalan menuntut pemimpin PAS memberi jawapan ikhlas kepada orang-orang Melayu dan Islam yang menyokong PAS, PKR dan juga yang menyokong BN. Antaranya:
1. Apakah hukumnya juga KAFIR kepada pemimpin dan penyokong PAS bila mana parti PAS telah mewujudkan pakatan dengan DAP yang terang lagi bersuluh menentang usaha mewujudkan sebuah negara Islam?
2. Orang UMNO dihukum kafir kerana bersekongkol dengan MCA dan MIC. Tetapi kedua-dua parti ini tidak menentang usaha UMNO mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Jika DAP pula dengan jelas dan tegas menentang penubuhan sebuah negara Islam, apakah pemimpin-pemimpin PAS itu 'maksum' hingga dibolehkan mengadakan pakatan dengan DAP?
3. PAS dulu lain, sekarang lain. Perjuangan PAS boleh berubah mengikut masa. Perjuangan menegakkan sebuah negara Islam dan hukum hudud kini telah sunyi sepi, tidak gah seperti dulu. Apakah pendekatan baru PAS ini bertujuan untuk menawan hati pengundi-pengundi bukan Melayu/Islam?
4. Dalam tempoh kempen PRU12, didapati calon dan pekerja-pekerja parti PAS memberi sumbangan seperti beras, gula dan minyak kepada keluarga-keluarga miskin. Jika pemimpin UMNO yang berikan dituduh rasuah, sebaliknya jika PAS yang memberi pula dikatakan sedekah jariah?
Ahli-ahli PAS hampir 100% orang Melayu. Manakala UMNO walaupun tidak hampir 100% seperti PAS tetapi kebanyakannya orang Islam dan dalam perlembagaan UMNO pun jelas menyebut tentang perjuangan untuk agama, bangsa dan negara. PKR diterajui pemimpin Melayu tetapi perjuangannya untuk semua. Kebanyakan golongan muda menyokong calon PKR. Melayu telah berpecah tiga. Bagaimana pendirian bangsa lain? Mereka bersatu. DAP memerintah negeri Pulau Pinang dan Perak. Ada penyokong-penyokong PAS dan PKR seronok gile, bila DAP menawan Pulau Pinang. Marilah kita bermuhasabah diri, lihat sejarah perjuangan pemimpin-pemimpin Melayu terdahulu dan pandanglah ke hadapan akan nasib anak cucu kita.

Thursday, April 3, 2008

Melayu Hilang Kuasa Di Perak

Exco Kerajaan Negeri Perak terdiri dari enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, tiga daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan hanya seorang Pas yang jelas menunjukkan perlantikan exco kerajaan Negeri Perak tidak mencerminkan komposisi kaum sebenar penduduk di negeri Perak di mana Melayu menguasai 56 peratus penduduk Negeri Perak.
Keputusan PRU 12 yang lalu, DAP memenangi 18 kerusi, PKR 7 Kerusi dan Pas 6 kerusi, berbanding Barisan Nasional (BN) memenangi 28 kerusi.
BN kekurangan hanya 3 kerusi dari gabungan parti-parti pembangkang (DAP, PKR dan PAS). Parti-parti pembangkang tidak akan membentuk kerajaan campuran sekiranya parti DAP, PKR dan PAS tidak bergabung. Sudah tentu sekali, BN akan membentuk kerajaan negeri Perak untuk penggal berikutnya. Oleh itu tidak timbul masalah dengan perlantikan Menteri Besar Perak jika BN diberi mandat untuk memerintah negeri.
Sebaliknya, pakatan pembangkang yang dianggap rapuh terutama DAP dan PAS yang berpegang kuat dengan ideologi masing-masing telah dapat 'ditenteramkan' oleh PKR.
Oleh kerana Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak telah memperuntukkan jawatan MB mesti disandang oleh seorang Melayu yang beragama Islam maka Mohamad Nizar Jamaluddin yang mewakili parti Pas iaitu parti yang paling kecil bilangan kerusi dalam kerajaan campuran tersebut.
Walaubagaimana pun yang jelas dan nyata, pentadbiran kerajaan negeri Perak dikuasai oleh DAP. Bergantunglah kepada kebijaksanaan kerajaan campuran untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat negeri Perak yang majoritinya orang Melayu. Mungkin dasar DAP selama ini yang jelas menentang DEB, pendidikan kebangsaan, agama dan tenaga kerja yang banyak membantu orang Melayu di bawah BN akan mempengaruhi keputusan dalam hal ehwal negeri tersebut atas dasar lebih kuasa yang diberikan kepada mereka.
YAB Mohd. Nizar Jamaludin, selaku MB Perak kepada kerajaan campuran (DAP, PKR dan PAS) dapat menunaikan janji seperti tertera dalam manifesto kempen pilihanraya baru-baru ini kepada rakyat Perak tanpa banyak alasan dan sebab. Rakyat negeri Perak sedang memerhati dan mulai menghakimi kerajaan campuran yang selama ini banyak mengkritik kewibawaan kerajaan BN. Apa pun rakyat masih keliru dan kurang yakin dengan kerajaan campuran pembangkang. Adakah parti-parti pembangkang akan mempunyai satu parti pembangkang sebagai alternatif kepada BN? Apakah pakatan hanya sekadar untuk berkuasa dan memerintah sahaja? Perjuangan PAS dalam aspek tertentu dibangkang hebat oleh DAP? Begitulah sebaliknya? Banyak persoalan masih dalam pemikiran rakyat Perak dan juga negeri-negeri yang ditadbir oleh kerajaan campuran yang lain seperti Pulau Pinang dan Selangor.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"