Monday, February 21, 2011

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

SAYA tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.
Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.
Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.
Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?
Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.
Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?
Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.
Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.
Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.
Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".
Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.
Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.
Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?
Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.
Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.
Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.
Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?
Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:
* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.
* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.
* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.
* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.
* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.
* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.
Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.
Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.
Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.
HJ. LUKMAN BIN MOIDIN
Penceramah, Motivasi & Kaunselor
Kedah

Sunday, February 13, 2011

PAS samakan kerajaan Hosni Mubarak dengan BN Malaysia?

Petikan dari Harakah Daily "Inilah seharusnya menjadi iktibar kita, terutamanya kepada kerajaan Umno BN yang juga memaparkan sikap dan perangai yang sama dengan apa yang ditunjukkan oleh rejim yang telah ditewaskan itu. PAS dengan ini mengajak seluruh rakyat yang dahagakan perubahan agar dapat bersama kami dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat untuk terus merencanakan tugas bagi melakukan perubahan menyeluruh dalam negara kita ini".
Komen:
Buta perut punya pemimpin PAS. Ada mata pun buta. Ada telinga pun pekak. Hati sudah mati. Mesir adalah sebuah negara tanah lahirnya para anbia tersohor. Malaysia cuma sebuah negara dikenali dulu sebagai sebuah Tanah Melayu suatu masa dulu menghadapi beberapa siri pemerintahan penjajah dari Portugis dan Belanda di Melaka dan Jepun dan British selepas itu. Pengalaman lampau sejak ratusan tahun dalam pemerintahan penjajah, banyaklah perubahan berlaku hinggalah Malaysia hari ini terkenal sebagai salah sebuah negara Islam contoh di dunia.
Walaupun Malaysia sebuah negara yang rakyatnya pelbagai agama, bangsa dan suku kaum tapi rakyatnya dapat hidup aman dan damai kecuali Peritiwa 13 Mei yang berlaku pada tahun 1969.  Hari ini Malaysia merupakan salah sebuah negara maju baru di dunia. Ekonomi Malaysia dapat bertahan dalam ekonomi dunia mengalami kegawatan. Sebuah negara yang mengalami gunatenaga penuh ataupun tidak ada penganguran menjadikan Malaysia sebuah negara tumpuan warga negara asing di sekelilingnya mencari pekerjaan. Jika tidak kerana kepimpinan dan kebijaksanan kerajaan BN yang memerintah negara ini, sudah pasti pengangguran terus berlaku, pertumbuhan ekonomi negara mencatatkan penurunan dan negatif, pelaburan dalam dan luar negara berkurangan, gaji dan elaun kakitangan awam tidak dinaikkan, industri pelancongan merosot, infrastruktur awam tidak mampu dibina dan sebagainya. Sebaliknya kerajaan BN telah melaksanakannya dan terus berkhidmat kepada rakyat Malaysia dengan slogan "1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".  
Jika rakyat tidak suka kepada pentadbiran kerajaan BN di bawah pimpinan DS Najib, kenapa setiap kali PRK diadakan calon BN mencatat kemenangan dengan majoriti yang semakin besar biarpun di tempat pembangkang? Jumlah pengundi bukan Melayu juga semakin bertambah. Kerana rakyat sudah nampak dengan mata kepala sendiri apa yang kerajaan Pakatan Rakyat lakukan hari ini kepada pengundi-pengundinya. Rakyat sudah tahu kerajaan PR cuma cakap-cakap sahaja, cakap tak serupa bikin. Ucapan berapi-api pemimpin mereka hanya retorik semata-mata. Apa yang dapat rakyat banggakan selama ini sejak kerajaan PR memerintah? Kerajaan PAS di Kelantan dan Kedah, apa yang nak dibanggakan. Banyak rakyat menderita dan tidak terbela.. Rasuah di kalangan pemimpin negeri tetap dan terus berlaku. Apa dah jadi dengan kerajaan PR di Pulau Pinang dan di Selangor? Orang Melayu yang beragama Islam semakin terhimpit oleh dasar kerajaan negeri yang menekankan konsep Malaysia Malaysian. Berselindung dengan taktik halus menggunakan sistem pentadbiran Islam Khalifah Umar Abdul Aziz di Pulau Pinang. Orang Melayu dan Islam terpedaya. Orang bukan Melayu juga tertipu. Pemimpin PAS bukan tidak tahu tapi mereka kena buat-buat tak tahu supaya mereka dapat berkongsi kuasa untuk memerintah negeri. Itu sebabnya agama tergadai, ayat-ayat suci al-Quran dijual oleh puak-puak ini kerana kuasa politik menjadi keutamaan mereka. Mereka sanggup menolak UMNO tapi mereka boleh pula menerima perjuangan DAP yang jelas menentang sebuah negara Islam tertubuhnya di Malaysia, merupakan sesuatu yang bertentangan dengan ajaran Islam. Banyak tokoh agama dan ulama kecewa dengan sikap kepimpinan PAS dalam hal ini.
Jika begitulah keadaannya, apakah kerajaan Malaysia di bawah pimpinan DS Najib boleh disamakan dengan kerajaan Hosni Mubarak di Mesir? Tepuk dada tanya mina.

Saturday, February 5, 2011

Perhimpunan Sejuta Umat Islam di Malaysia menjatuhkan rejim Najib Abdul Razak?

Demontrasi rakyat Mesir
Demontrasi Anti Hosni oleh rakyat Malaysia
Ini satu pandangan tapi mungkin ada rasionalnya melihat kepada situasi politik semasa di pihak pembangkang. Pemimpin pembangkang dalam ceramah mereka cuba menaikkan semangat rakyat Malaysia mencontohi keberanian rakyat Mesir bangkit menentang Presiden Mesir, Hosni Mubarak. Malahan dalam Harakah online, telah memaparkan tulisan Naib Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan yang amat merbahaya dengan tajuk "Mungkinkah revolusi di Arab akan berjangkit ke Malaysia?". Oleh itu apakah maksud sebenarnya Mohamad Suhaimi Abdul Aziz yang bertanggungjawab menulis isu itu? [Baca sini].
Demontrasi besar-besaran merupakan jalan mudah untuk menukar pemerintahan sesebuah negara walaupun terpaksa mengalami pelbagai kemusnahan harta benda dan kehilangan jiwa. Inilah yang sedang berlaku di Mesir yang memaksa Hosni Mubarak meletak jawatan dengan segera. Inilah peluang pihak pembangkang memutar belitkan fakta dan menyamakan sistem pemerintahan Hosni Mubarak dengan Dato' Seri Najib di Malaysia. Parti DAP sudah pasti tidak begitu senang dengan perhimpunan haram kira-kira  2000 penyokong Pakatan Rakyat yang berhimpun di Kedutaan Amerika. hari Jumaat yang lalu. Perhimpunan Pakatan Rakyat mendesak Hosni Mubarak meletak jawatan sebenarnya salah satu strategi usaha Pakatan Rakyat mendapatkan publisiti murahan setelah kalah teruk dalam beberapa PRK yang lalu. Perhimpunan yang diketuai oleh PAS dan PKR itu tidak memberi apa-apa impak selain mewujudkan suasana yang kurang harmonis di kalangan rakyat Malaysia yang masih berada dalam suasana sambutan Tahun Baru Cina. Keghairahan pemimpin PAS dan PKR mengadakan demontrasi kesempatan apa yang sedang berlaku di Mesir, mereka terlupa rakan-rakan mereka dari DAP sedang meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Mereka tidak hiraukan semangat 1 Malaysia dan rumah terbuka Tahun Baru Cina yang sedang berlangsung di beberapa buah negeri. Yang penting bagi mereka, cuba mengambil kesempatan apa yang sedang berlaku di Mesir. 
Kepada pimpinan Pas yang begitu bersemangat, pergilah ke Mesir. Bantu anak-anak kita yang terperangkap di sana. Jika Pas benar-benar yakin demonstrasi di Mesir itu adalah jihad dan jika mati, matinya syahid, maka berebut-rebutlah ke sana. Usah ganggu tanah air kita yang aman dan makmur ini. [Baca sini]. Itulah komen ikhlas daripada Kamariah Youp yang bimbang dengan tindak tanduk pembangkang Malaysia yang cuba menghidupkan budaya demontrasi di kalangan rakyat Malaysia. Apa yang sedang berlaku di Mesir sepatutnya dijadikan panduan dan pengajaran agar kejadian seumpama itu tidak berlaku di Malaysia. Kita sepatutnya bersyukur kerana Malaysia dengan rakyat yang pelbagai kaum dan agama dapat hidup aman dan damai. Sebaliknya dalam situasi kerajaan Malaysia membantu menyelamatkan ribuan rakyat Malaysia di Mesir, puak-puak pembangkang pula mulai menabur fitnah dan menyebarkan berita-berita palsu yang tidak menguntungkan sesiapa, kata Dato Jamil Khir. Apakah usaha pemimpin Pakatan Rakyat ketika rakyat Malaysia hadapi masalah banjir di Johor, Pahang dan Melaka? Kemana kelibat mereka ketika rakyat memerlukan bantuan mereka, yang memberi undi kepada mereka? Apakah pemimpin Pakatan Rakyat turut sama-sama kerjaaan Malaysia memberi bantuan kepada anak-anak mereka di Mesir yang kebanyakannya pro PAS? Apakah dengan demontrasi haram Pakatan Rakyat di hadapan Kedutaan Amerika kelmarin dapat menyelesaikan masalah itu? Sudah terang lagi bersuluh sebenarnya pimpinan Pakatan Rakyat mengutamakan survival politik kepartian daripada memikirkan ribuan mangsa banjir dan pelajar-pelajar kita di Mesir yang perlu diselamatkan. Pimpinan Pakatan Rakyat sekadar mampu mendesak dan mengkritik kerajaan Malaysia. Mereka mahu rakyat bangun melahirkan perasaan marah kepada kerajaan Malaysia kerana gagal membawa balik dengan segera rakyat Malaysia di Mesir. Mereka tidak mahu dengar rakyat Malaysia bukan sedikit tetapi berpuluh-puluh ribu di Mesir, mereka tak mahu tahu berapa buah kapal udara yang diperlukan, mereka tak mahu ambil tahu situasi genting di Mesir dan perintah 'curfew' di Mesir dan mereka tidak peduli apa perancangan kerajaan Malaysia untuk memindahkan rakyat Malaysia. Bagi mereka kegagalan kerajaan Malaysia tangani perpindahan rakyat Malaysia suatu bonus politik yang amat berharga buat mereka ketika ini. Mereka mahu pelajar-pelajar Malaysia yang berjaya balik ke tanah air membawa pulang dengan perasaan marah dan kecaman kepada kerajaan Malaysia. Jika ini berlaku, Pakatan Rakyat berjaya. Inilah peluang Pakatan Rakyat menunggu dan lihat bagaimana usaha kerajaan Malaysia menangani ribuan pelajar dan rakyat Malaysia keluar daripada Mesir ke Jeddah dan seterusnya balik ke Malaysia. Walau bagaimana pun, syukur alhamdulillah setakat ini operasi perpindahan rakyat Malaysia ke Jeddah sedang berjalan lancar walaupun terpaksa hadapi tempoh perintah berkurung dan hak pendaratan kapal udara TUDM di Jeddah baru selesai. Kebanyakan masjid-masjid dan surau seluruh negara telah mengadakan bacaan Yaasin dan solat hajat agar rakyat Malaysia di Mesir dalam keadaan selamat dan proses membawa keluar rakyat Malaysia dari Mesir berjalan lancar. Itulah yang sepatutnya tapi bukannya demontrasi dan kecaman serta sebaran berita palsu kepada rakyat? Apakah dengan mengadakan demontrasi Pakatan Rakyat itu boleh menyelesaikan masalah rakyat Malaysia di Mesir? Sebenarnya demontrasi itu hanyalah kesempatan semangat rakyat Mesir mahu diambil peluang oleh pimpinan Pakatan Rakyat ke atas rakyat Malaysia (cuma segelintir) yang rela diperkudakan. Demontrasi iPakatan Rakyat itu sebenarnya mempunyai maksud tersendiri, ada yang tersurat dan tersirat. Majoriti rakyat Malaysia pada hari ini sudah pun  tahu yang tersirat! Tunggulah PRK13 akan datang, pisang tak akan berbuah dua kali.

Thursday, February 3, 2011

Mana hilangnya pemimpin PAS semasa banjir di Tenang ?

KEMENANGAN Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang telah diduga dan terbukti sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat termasuk undi Cina dan India.
Namun Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng secara sinis mengatakannya 'tak menang dan tak tewas.' Hakikatnya beliau mengakui Pas kalah, tetapi secara tersirat beliau menyindir MCA yang tewas kerana masih gagal menarik sokongan pengundi Cina di mana BN hanya menang tiga daripada empat kawasan majoriti pengundi Cina.
Beberapa pemimpin DAP mendakwa Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek gagal menarik pengundi Cina di kawasannya sendiri. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustaffa Ali mengakui Pas memperoleh banyak undi daripada kaum Cina.
Teryata fatwa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat iaitu tidak mengundi Pas adalah jahiliyah tidak mampu mempengaruhi pengundi Melayu. Dalam hujan lebat sambil mengharungi banjir mereka keluar mengundi BN.
Seperti Mustaffa, Timbalan Presiden Pas Nasaruddin Md Isa turut menyalahkan faktor hujan dan banjir menyebabkan Pas kalah. Soalnya apakah kalau cuaca panas terik Pas boleh menang? Sebaik-baiknya mereka menerima kudrat Tuhan. Takkan Pas mahu menyalahkan dan menolak kuasa Tuhan kerana tidak menyebelahi mereka.
Paling menarik dan melucukan ulasan Nik Aziz Nik Mat yang berkata Pas tidak memburu kemenangan di dunia semata-mata dan menganggap perjuangan amal makruf nahi mungkar Pas telah berjaya. Sambil itu beliau menyoal, bolehkah perjuangan UMNO itu dibawa ke akhirat?
Inilah kecelaruan fikiran Nik Aziz. Kalau Pas percaya perjuangannnya untuk kebaikan, menentang kemungkaran serta menuju akhirat tidak mungkin dalam kempen Pas melakukan fitnah dan pembohongan hanya kerana mahu meraih undi. Penuh kemungkaran. Ini yang dikatakan perjuangan Islam?
Eloklah selepas Tenang, Pas bermuhasabah. Taktik lapuk yang memperbodohkan pengundi terutama Melayu dengan memperalatkan agama sudah tidak boleh diterima. Lebih-lebih lagi apabila Pas terlalu mengharap undi Cina hingga sanggup bersekongkol dengan DAP.
Orang Melayu mulai memikirkan masa depan anak cucu-cicit mereka. 'Buku jingga 100 hari' dilihat sebagai penjual mimpi yang tidak berpijak di bumi nyata. Apa yang boleh ditawarkan.
Kini Tenang dilanda banjir teruk. Mana perginya pemimpin dan penyokong Pas yang ramai di hari berkempen tempoh hari? Rakyat mahukan bantuan. Inilah pengajaran paling besar tentang kejujuran dan keikhlasan mengikut Islam. Tapi Pas hanya mahu undi saja.

Peprecahan lemahkan bangsa Melayu: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR - Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.

“Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

“Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita,” katanya ketika berucap pada wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di Memorial Tun Hussein Onn di sini, semalam.

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata, kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya Pas, sebagai parti serpihan UMNO.

“Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada UMNO) menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR.

“Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang berpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita,” katanya.

Menurutnya, ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

“Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu ‘identify’ diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang ‘tongkat’, hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

“Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

“Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku,” kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.
Sumber: Sinar Harian 2/2/2011

Tuesday, February 1, 2011

NIK AJIS DAN KUAN YEW (PANDANGAN TUN MAHATHIR)

Sesuatu yang mungkin kita dapat renungkan apabila melihat lanskap politik kita di Malaysia. Artikel ini diambil dari blog Tun Mahathir sendiri.

1. Kata Nik Aziz, "Melayu (di Malaysia) tolak Islam lebih teruk daripada Kwan Yew". Ternampak Nik Aziz lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Lee Kwan Yew. Nik Aziz anggap nasionalis Melayu lebih teruk ke-Islaman mereka.


2. Di zaman British ramai pembesar Melayu minum arak dan ada pekerja Melayu yang minum toddy. Masjid pun tidak banyak dan ramai yang tidak sembahyang. Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang Kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam. Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?


3. Sebaliknya apakah yang dilakukan oleh PAS dan Nik Aziz? Hasil yang terbesar ialah memecahbelahkan orang Islam di negara ini. Penubuhan PAS itu sendiri berjaya memecahbelahkan orang Melayu Islam setelah mereka bersatu dalam UMNO untuk memperjuangkan nasib bangsa yang beragama Islam.


4. PAS turut memecahbelahkan orang Melayu Islam di Malaysia sekali lagi apabila PAS mengadakan sembahyang Jumaat dua Imam, larangan terhadap perkahwinan orang PAS dengan orang UMNO, larangan ahli PAS menghadiri kenduri orang UMNO dan pengasingan kubur orang PAS dari orang UMNO, seolah-olah di Akhirat juga PAS ingin pecah belah orang Melayu Islam terus berlaku.


5. Apabila PAS bertanding dalam Pilihanraya 1955 dan seterusnya hingga 1986 ia mendakwa bahawa UMNO yang bekerjasama dengan orang bukan Islam, mereka menjadi kafir. Ini juga memecahkan perpaduan orang Islam di Malaysia.


6. Kemudian PAS bergabung tenaga dengan Semangat 46 dan DAP dalam Pilihanraya 1990 dan 1995. Dengan ini Semangat 46, serpihan dari UMNO mendapat nafas dan orang Melayu Islam terbahagi kepada tiga kumpulan.


7. Alhamdulillah Semangat 46 kembali semula kepada UMNO dan perpaduan orang Melayu Islam dalam UMNO dipulih semula. Tetapi apabila Timbalan Presiden UMNO di keluarkan dari parti, Nik Aziz dengan cepat memberi sokongan kuat kepadanya supaya parti serpihan yang ditubuh boleh menarik keluar sebahagian daripada ahli UMNO dan penyokongnya supaya parti orang Melayu Islam yang terbesar ini menjadi lemah.


8. Hasil daripada sokongan Nik Aziz orang Melayu sekali lagi berpecah tiga. Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama oleh UMNO dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadi Pakatan musuh UMNO yang kuat. Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal.


9. Inilah sumbangan Nik Aziz kepada Islam di Malaysia ini. Bahawa satu dari ajaran Islam yang penting ialah orang Islam itu bersaudara tidak dihirau oleh Nik Aziz.


10. Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis. Beliau rela mempertahankan Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu.


11. Cadangan Lee Kuan Yew ini dianggap oleh Nik Aziz sebagai lebih baik dari segala-gala yang dilakukan oleh nasionalis Melayu di Malaysia. Bayangkan sahaja Islam di bawah pemerintahan Nik Aziz dengan Karpal, Kit Siang, Guan Eng. Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"