Saturday, November 28, 2009

Kerajaan Selangor takut pada BTN?????

Semalam Kerajaan Selangor mengambil keputusan melarang kakitangan awam dan pelajar IPT milik negeri ini daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta merta kerana menganggap kursus itu sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali berkata, surat arahan kepada semua jabatan, IPT serta anak-anak syarikat milik penuh kerajaan negeri akan dikeluarkan serta merta daripada menyertai BTN.

Saya ada ramai kenalan yang menjadi penceramah dan fasilitator di BTN. Bukan semua penceramah dan fasilitator itu adalah penyokong kepada kerajaan BN. Ada sesetengahnya mengatakannya BTN tidak ada kaitan dengan parti UMNO ataupun BN tetapi lebih menjurus kepada penerangan dan pemahaman dasar-dasar kerajaan. Jika kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah maka dasar kerajaan PR pulalah yang dibawa. Suka atau tidak suka kepada dasar itu, mereka sebagai penceramah dan fasilitator terpaksalah laksanakan tanggungjawab itu.

Ada di kalangan penceramah dan fasilitator itu adalah pro pembangkang. Oleh kerana gemarkan elaun penceramah ratusan ringgit setiap minggu terpaksalah mereka 'berpura-pura' pro kerajaan pusat/BN. Mereka turut menafikan dakwaan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali bahawa kononnya kursus tersebut sebagai proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN) hingga mencetuskan fenomena perkauman. Jika BTN bertujuan untuk mendoktorin pengaruh BN di kalangan peserta, eloklah BTN kaji semula latar belakang penceramah dan fasilitator BTN kerana ada yang berpura-pura pro kerajaan pusat takut 'harap pagar, pagar makan padi' atau 'api dalam sekam'.

Monday, November 23, 2009

NIK AZIZ SUDAH TERLALU TAKBUR!

TUMPAT 22 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu bertanggungjawab terhadap kekeliruan dan perpecahan di kalangan umat Islam yang dicetuskan oleh kenyataan-kenyataan mengenai agama yang disesuaikan dengan kepentingan politiknya.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah, 64, berkata, beliau membuat teguran secara terbuka itu biarpun akan dimusuhi kerana tindak-tanduk Mursyidul Am Pas itu sudah keterlaluan dan diselubungi rasa takbur.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Pondok Kelantan berkata, banyak kenyataan Nik Abdul Aziz tidak bersandarkan ijtihad ulama dan beliau mentafsirkan al-Quran berdasarkan pemahaman sendiri yang sentiasa disesuaikan dengan kepentingan tertentu.

''Bagi saya, beliau bukan lagi Mursyidul Am," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di madrasahnya di sini baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Guru Haji Lah berkata, teguran yang dibuat oleh Persatuan Pondok Kelantan ditolak mentah-mentah oleh Menteri Besar Kelantan itu termasuk memorandum yang dihantar kepadanya pada penghujung tahun lepas.

"Teguran dibuat agar beliau lebih berhati-hati supaya tidak memesongkan akidah, tetapi beliau seolah-olah menyamakan kami dengan ahli UMNO sedangkan kami berjumpa dengannya penuh rasa hormat.

"Malah, saya sendiri pernah dua kali mengunjungi rumahnya bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi semasa tetapi gagal menemuinya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pelbagai kenyataan yang dikeluarkan Nik Abdul Aziz sebelum ini dalam memberi gambaran terhadap sifat Allah dan Nabi Muhamad SAW.

Ia juga berhubung penolakan Nik Abdul Aziz terhadap pembentukan kerajaan perpaduan, penghargaan terhadap orang bukan Islam membaca al-Quran dan isu penjualan arak yang berleluasa di Selangor.

Terbaru ialah mengenai isu Nik Abdul Aziz menerima tajaan untuk menunaikan haji pada musim ini dan soal orang ramai cuba mengambil keberkatan melalui dirinya.

Abdullah menarik perhatian bahawa kebanyakan kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz tidak selari sama sekali dengan aliran Sunnah Wal Jamaah malah lebih bersifat Wahabi.

"Nik Abdul Aziz berasa alim disebabkan dia mempunyai ijazah sarjana tetapi bab keseluruhan agama seperti akidah, tasawur, fikah dan usuluddin (dia) terlalu jahil, dia bukan Mursyidul Am," katanya.

"Madrasah saya terikat kerana masalah dasar saja iaitu al-Quran dan hadis. Dari situ saya muafakat (dengan Pas) tetapi pembawaan Nik Abdul Aziz dari segi akidah dan fikah saya menentang selama-lamanya dan habis-habisan.

"Bukan saya suka nak memecah-belah atau menghuru-harakan masyarakat, kita berani dan bersedia nak berdebat dengannya seperti dalam ceramahnya sebelum ini yang menyatakan Nabi Muhammad SAW masa kecil sama dengan orang kampung seperti kita," katanya.

Beliau juga amat kecewa dengan tindakan melulu Nik Abdul Aziz menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan sedangkan ia menyentuh kepentingan umat Islam dan kuasa politik Islam.

Katanya, dalam keadaan sebegini, tentunya wajib bagi Pas dan UMNO bekerjasama bagi menjaga kedaulatan agama kerana situasi politik pada masa kini amat membimbangkan apatah lagi rakan politik Pas secara terang-terangan menolak pemerintahan Islam.

"Beliau terlalu takbur, tanpa sebarang perbincangan beliau telah menolak cadangan kerajaan perpaduan kerana syak wasangka. Perkara yang lepas (Pas keluar dari UMNO) biarlah berlalu, sekarang orang lain yang menerajui UMNO.

"Kita wajib mempertahankan kedaulatan orang Islam walaupun kita kata mereka (UMNO) tidak berdasarkan Islam.

"Dasar UMNO begitu disebabkan terdesak pada mula-mula penubuhannya disebabkan tekanan British dan kurang pengalaman dalam agama,'' ujarnya.

Menurutnya, selepas 50 tahun mentadbir negara, UMNO yang menjadi tulang belakang perkembangan Islam di Malaysia terus berada di barisan hadapan pemerintahan.

Sumber: Utusan Malaysia 23 Nov 2009

Wednesday, November 11, 2009

Jangan pertikai hak Melayu!

Semua ahli politik diingatkan supaya berhenti mempersoalkan hak orang Melayu dan Bumiputera kerana ia merupakan perkara yang termaktub dalam perlembagaan negara.

Peringatan itu dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah yang kecewa dengan sikap Ahli Parlimen tertentu kerana masih mengemukakan soalan berkaitan status Bumiputera di Dewan Rakyat.

Katanya, golongan berkenaan sepatutnya bertanggungjawab dan bukannya cuba menjadi 'hero kampung' dengan harapan boleh popular. - Utusan 11/11/09

Monday, November 2, 2009

ORANG MELAYU PULAU PINANG TERPINGGIR ATAU DIPINGGIRKAN?

Pada 2 Nov. 2009 jam 10.00 malam, Program Di Luar Lingkup (DLL) RTM1 telah membicarakan tajuk yang sekian lama dibincangkan sejak dulu tapi tidak ke mana-mana. Cikgu Azmi Hamid, Pengerusi Teras asyik mengkritik dasar kerajaan, agensi dan slogan 1Malaysia yang beretorik. Tapi tidak pula mengusulkan apakah langkah-langkah konkrit yang boleh pihak kerajaan terutama kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat lakukan supaya Melayu PP tidak akan dipinggirkan lagi.
Sdr Rizal, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang yang mengetengahkan fakta tetapi sekadar menceritakan sejarah Melayu Pulau Pinang bagaimana beransur-ansur terpinggir. Mungkin masa yang terbatas, pengerusi panel, sdr Syed Munawar tidak berkesempatan memberi peluang ahli panel mengemukakan langkah-langkah untuk mengatasi masalah Melayu di Pulau Pinang yang dipinggir sekian lama.
Melalui emel yang diapaparkan melalui kaca TV kebanyakan penghantar emel melahirkan rasa tidak puas hati orang Melayu yang diperintah oleh pemimpin bukan Melayu. Mereka mempercayai jika pemimpin Melayu yang menjadi Ketua Menteri, orang Melayu PP akan terbela. Ada emel yang mahu orang Melayu kembali bersatu untuk mengembalikan kuasa memerintah PP kepada BN. Mereka hilang keyakinan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat hari ini dapat membela nasib orang Melayu dan agama Islam.
Program DLL TV1 semalam yang mengambil masa hanya 1 jam sebenarnya tidak mampu menghuraikan secara komprehensif masalah orang Melayu Pulau Pinang yang terpinggir dan tertekan sejak berdekad lamanya. Kita menunggu pemimpin-pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang diwakili oleh pemimpin PKR dan PAS dapat membuat sesuatu, bukan sekadar berceramah dan mengkritik sepatutnya sudah ada pun usaha-usaha untuk memertabatkan orang Melayu Pulau Pinang terutama dalam sektor industri pembuatan, pelancongan, perkapalan, keusahawanan, pemilikan hartanah dan sebagainya.
BN dikatakan gagal memerintah dan membela nasib orang Melayu Pulau Pinang hingga dihukum rakyat dalam PRU12 yang lalu. Giliran Pakatan Rakyat pula buktikan kepada pengundi-pengundi bahawa Pakatan Rakyat mampu melaksanakannya. Tidak asyik menyalahkan orang lain. Tetapi melalui sembang-sembang, rata-rata orang Melayu mengakui bahawa Melayu Pulau Pinang lebih tertekan dan semakin dipinggir di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat. Ada dasar kerajaan negeri PR secara tidak sedar telah merugikan orang Melayu sendiri. Pemimpin PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat di PP jangan berdiam membisu. Beranilah mempertahankan kepentingan Melayu dan agama Islam sepertimana YB Dato' Hassan Ali lakukan di Selangor. Jangan sampai 'Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih'.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"