Monday, September 21, 2009

Orang Melayu mudah ‘cair’ bila dipuji!!!

KADANGKALA saya musykil kenapa orang Melayu mudah menjadi ‘cair’ apabila mendengar orang bukan Islam bercakap pasal Islam atau memuji Islam atau memetik satu dua ayat Quran untuk dijadikan hujah sandaran. Misalnya, ucapan beberapa pemimpin pembangkang bukan Islam yang memetik beberapa ayat suci al-Quran dan mahu mengambil pendekatan urus tadbir negeri mengikut cara pemerintahan Umar Abdul Aziz.

Benar, dari satu segi nampak orang bukan Islam cenderung kepada Islam. Tetapi kita perlu ingat adakah mereka ini benar-benar mahu beriman atau percaya kepada al-Quran atau sekadar lakonan semata-mata untuk mengaburi mata orang Melayu Islam? Saya cukup yakin bahawa golongan ini sudah dapat membaca dan memahami psikologi orang Melayu. Mungkin orang Melayu boleh memberikan jawapan apakah mereka sebenarnya sudah memahami psikologi mereka?

Orang Melayu mudah ‘cair’. Mereka biasanya mudah berasa terpesona dan terpegun bila ada orang lain yang memuji bangsa dan agama mereka. Justeru, mereka akan bermati-matian mempertahankannya tanpa menoleh ke belakang. Mereka akan mendabik berkata ‘tengok orang bukan Islam pun nakkan Islam, sedangkan orang Islam sendiri menolak Islam’.

Lanjutan itu, mereka akan menjaja ke mana sahaja kata-kata ini, bahkan sanggup menolak rakan seagama yang sanggup menghulurkan tangan untuk berbaik-baik. Huluran tangan rakan seagama ini bukan sahaja ditolak mentah-mentah, tetapi dijawab dengan andaian-andaian negatif dan prejudis. Mereka rela bekerjasama dengan orang bukan Islam daripada orang Islam sendiri.

Kita tidak pernah belajar atau mahu belajar dari sejarah, bila berhadapan dengan golongan seperti musang berbulu ayam ini. Pengalaman telah banyak mengajar kita. Mereka ini tidak pernah bersetuju dengan Islam apatah lagi agenda untuk menegakkan negara Islam dan hukum Islam. Penolakan mereka selama ini amat jelas. Tidakkah kita pernah mendengar kata-kata “Langkah mayat aku dulu jika mahu menegakkan negara Islam”, " Malaysia mesti kekal menjadi negara sekular”, “Negara Malaysia bukan kepunyaan orang Melayu”, “Melayu adalah juga pendatang” dan berbagai-bagai kenyataan yang menyakitkan.

Tidakkah orang Melayu sedar akan agenda mereka? Apakah kita tidak takut dengan ancaman golongan ini terhadap agama kita? Tidakkah kita terfikir bahawa parti ini amat baik dengan parti yang memerintah negara Singapura yang merupakan pecahannya? Bagaimana suatu hari nanti, mereka berpakat-pakat untuk melemahkan kita?

Tidakkah kita mengambil pengajaran daripada tindak-tanduk Singapura hari ini yang amat mencurigakan. Cukuplah dengan kita telah kehilangan Pulau Batu Putih dan ruang udara kita sentiasa dicerobohi. Itu belum termasuk kolam takungan air di Johor yang dikawal rapi oleh tentera Singapura sehingga kita sendiripun tidak boleh masuk. Tidak ketinggalan, tanah-tanah negara kita yang telah tergadai ke tangan mereka. Pendek kata, Singapura tidak mahu sama sekali berkongsi dengan kita. Mereka amat ultra kiasu. Sesuatu yang menggugat kepentingan mereka akan ditentang habis-habisan seperti isu perjanjian air, merobohkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan bengkok.

Berbalik kepada isu parti pecahan yang memerintah Singapura hari ini, apakah benar-benar mereka ingin atau akan melaksanakan pemerintahan Umar Abdul Aziz apabila mereka berkuasa nanti? Adakah pemerintahan Umar Abdul Aziz benar-benar akan dilaksanakan? Bagaimana dengan nilai-nilai kehidupan beragama yang dilaksanakan oleh Umar Abdul Aziz? Pernahkah golongan ini mempamerkan nilai-nilai agama tersebut?

Saya diserang dan dikecam habis-habisan oleh golongan ini, semata-mata kerana saya mempertahankan larangan berzina dan arak. Bagi mereka itu adalah hak asasi manusia. Bagi mereka hak asasi manusia mesti dipertahankan berbanding dengan hak Tuhan Yang Maha Esa. Adakah ini corak pemerintahan Umar Abdul Aziz?

Kita jangan tertipu dengan golongan ini. Jika mereka benar-benar mahu laksanakan corak pemerintahan Umar Abdul Aziz, sudah lama parti ini akan melantik rakan sekutunya, yang dikatakan memperjuangkan Islam di salah sebuah negeri yang diperintahnya sebagai exco. Ini kerana, rakan sekutunya memang sudah terkenal dengan imej ‘bersihnya’ seperti kelihatan seolah-olah ‘Umar Abdul Aziz’! Tetapi di manakah kedudukan rakan sekutunya itu di negeri tersebut? Pada saya, mereka tidak pernah suka pada dasar Islam yang dibawa rakannya itu. Mereka amat prejudis sesama sendiri walaupun berada dalam satu pakatan. Bermakna, mereka juga prejudis terhadap Islam. Itu amat jelas sekali. Saya tidak perlu mengajar rakan sekutunya itu kerana sudah terang lagi bersuluh. Sikap biadab mereka berkaitan isu arak dan tuduhan mereka terhadap Jamaah Islah Malaysia sebagai pelampau agama sudah menunjukkan belang mereka yang sebenar. Banyak lagi contoh lain tentang kebiadabannya terhadap Islam.

Terhakis

Umar Abdul Aziz sentiasa memperkasakan identiti Islam di dalam pemerintahannya. Apakah identiti Islam dipelihara di negeri yang diperintah oleh golongan kiasu ini? Apa yang saya tahu identiti Melayu dan Islam semakin terhakis di negeri yang diperintahnya. Contoh kecil, nama-nama papan tanda, medan selera atau nama bangunan sudah langsung tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tidak menyatakan kerajaan dahulu lebih baik? Tetapi jika kita benar-benar mahu mengikuti Umar Abdul Aziz, sudah tentu kita perlu tunjukkan yang kita lebih baik berbanding sebelumnya. Sebab Umar Abdul Aziz hebat integritinya, tetapi Umar tidak pernah mengenepikan identiti bangsa Arab Islam selaku penduduk asal. Bahasa al-Quran diperkasakan di mana-mana sahaja. Bagaimana pula dengan Malaysia sebagai sebagai sebuah negara yang berasal daripada Tanah Melayu? Adakah kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terpelihara?.

Perlu dingatkan bahawa Umar Abdul Aziz tidak mementingkan kekayaan dan kemegahan dan memilih untuk hidup dalam kesederhanaan. Walaupun mendapat sokongan yang tidak berbelah bahagi rakyat, beliau menggalakkan rakyat supaya memilih khalifah yang baru sekiranya mereka tidak berpuas hati dengan pemerintahannya. Umar juga membahagikan tanah jajahan Umayah kepada rakyat dan amat jarang menerima hadiah kerana takut dirasuah. Beliau juga mendesak kaum keluarganya supaya mendermakan barang kemas kepada perbendaharaan awam.

Umar menolak sikap pemerintah yang selalu melantik pegawainya untuk mengawasi rakyat. Tetapi Umar melantik rakyat untuk mengawasi diri dan kelakuannya. Jika rakyat mendapati beliau melakukan kesalahan, Umar Abdul Aziz meminta dibimbing atau dihalang daripada melakukan kesalahan tersebut.

Saya harap umat Islam tidak merasa ditipu dengan penonjolan pemerintahan Umar Abdul Aziz oleh golongan kiasu ini. Apakah kita masih belum mengenali isi hati dan hati budi mereka setelah 52 tahun merdeka? Adakah kita boleh bekerjasama dengan orang sebegini, bila mana mereka digalakkan memakai songkok ketika pembukaan Parlimen di hadapan sultan, golongan ini menolak mentah-mentah? Apatah lagi untuk memakai baju Melayu?

Tidakkah kita sedar bahawa selama ini, golongan inilah yang paling kuat menentang Islam atau negara Islam. Lihatlah sejarah penentangan mereka terhadap hukum Islam dan perisytiharan negara Islam oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed suatu ketika dahulu. Perisytiharan negara Islam ketika itu hanya pada nama sahaja, bukan pelaksanaan hukum yang sebenar. Jika benar-benar hukum Islam dilaksanakan, bagaimanakah gelagat mereka agaknya? Persoalannya, adakah corak pemerintahan Umar Abdul Aziz tidak berasaskan Islam? Soalan-soalan ini hanya boleh dijawab oleh golongan kiasu ini?

Rakan sekutu mereka dalam pakatan selalu berhujah, itu pandangan generasi lama atau generasi tua. Generasi baru tidak sebegitu pemikirannya. Setelah mengkaji parti kiasu ini sekian lama, saya tidak nampak ada perbezaan antara generasi baru dan lama. Sama sahaja. Jika perjuangannya adalah Malaysian Malaysia seperti mana yang diperjuangkan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP), sampai bila-bila saya tidak akan percaya.

Justeru, jangan perjudikan masa depan negara demi mencapai kepentingan masa kini. Apa berlaku pertembungan antara kepentingan masa depan dengan masa kini, maka kepentingan masa depan mesti diutamakan. Begitu juga dengan kepentingan masa depan dan kepentingan parti atau etnik, maka masa depan negara mesti diutamakan. Sama juga halnya apabila kepentingan agama bertembung dengan kepentingan bangsa, maka agama perlu didahulukan.

Biarkan

Jangan biarkan diri kita dipermainkan atau diperkotak-katikkan. Jangan jadi hamba di bumi sendiri. Tetapi bangunlah, bangunlah mempertahankan yang hak tanpa menafikan hak orang lain. Jika tidak, satu hari nanti kita akan menyesal. Ketika itu saya bimbang sudah terlambat. Nasi sudah menjadi bubur. Sebelum ia berlaku, marilah kita merapatkan saf dan merenungkan kembali masa depan kita dan Islam.

Janganlah gunakan nama Umar Abdul Aziz sekadar untuk memenangi hati orang Melayu yang mudah ‘cair’. Orang Melayu hari ini bukannya bodoh. Mereka sudah celik dengan taktik kotor ini. Kembalilah kepada fitrah. Sesungguhnya, hari kemenangan ini menjanjikan kepada kita, yang hak itu tetap hak dan batil itu tetap batil. Sempena Hari Raya Aidilfitri ini, kembalilah kita menghayati manusia fitrah yang bersih dari dosa dan noda dengan mengkaji kesucian agama Islam sendiri, sebelum ‘terlebih’ mempercayai orang lain. Saya bimbang kita akan tertipu dengan permainan silap mata ini. Akhirnya kita sendiri yang rugi. Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, sepanjang membaca tulisan saya di akhbar ini.

Sumber: Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Thursday, September 10, 2009

Strategi pecah, perintah dan tawan pembangkang?

Oleh Zaini Hassan

PERNAH dengar istilah strategi pecah dan perintah? Dalam ilmu politik dan sosiologi, pecah dan perintah (atau dalam bahasa Inggeris divide and rule; istilah asalnya dari bahasa Latin divide et impera) ialah satu strategi yang menggabungkan tiga elemen iaitu politik, ketenteraan dan ekonomi.

Ketiga-tiga elemen itu bergabung bagi menguasai dan memelihara kuasa yang ada dengan memecahkan pengaruh dan kuasa yang besar kepada kecil-kecilan. Ini akan mengakibatkan kuasa kumpulan yang berpengaruh atau berkuasa itu berkurangan, berbanding pihak yang melaksanakan strategi itu.

Secara praktisnya, strategi ini digunakan untuk mengelakkan kumpulan kecil ini bergabung dan membentuk kuasa yang besar (atau sebaliknya).

Strategi ini pernah dilakukan oleh pihak British ke atas Tanah Melayu. Memecahkan kaum-kaum dan negeri-negeri yang ada dengan meletakkannya dalam koloni dan sistem pemerintahan yang berasingan bagi memudahkan pihak Inggeris memerintah pada waktu itu.

Kemudian parti Perikatan, yang mengambil alih kekuasaan negara ini mengamalkan strategi itu apabila parti-parti yang mewakili kaum-kaum terbesar digabungkan - dengan mengetepikan parti-parti lawan yang enggan bersama mereka.

Perikatan kemudiannya ditukar menjadi Barisan Nasional (BN) dan strategi itu kekal berjaya sehingga hari ini, selama 52 tahun.

Ia bertahan kerana orang Melayu yang merupakan majoriti rakyat negara ini menguasai kuasa politik dan ketenteraan tanah air. Orang Melayu bergabung dengan kaum-kaum lain (Cina dan India) bagi membentuk satu kuasa yang kuat. Ia dibuat atas dasar hormat-menghormati dan percaya-mempercayai yang telah dimeterai atas ikatan Perlembagaan Persekutuan termasuk beberapa dasar yang dibentuk kemudiannya.

Walaupun ada sedikit masalah pertelingkahan kaum di pertengahan jalan, namun ia berjaya diselesaikan. Masing-masing lupa dengan perbezaan masing-masing dan semua pihak dalam pakatan itu berjaya menjana negara ini sehingga Malaysia di anggap negara yang makmur dan mewah.

Namun, apakah strategi 52 tahun itu masih mampu bertahan? Secara akademik ia sudah mulai lemah.

Strategi pecah dan perintah itu mulai gagal setelah kuasa politik yang dipegang oleh orang Melayu itu mulai berpecah. Melayu tidak sepadu dulu lagi. Mereka sudah berpecah kepada beberapa kumpulan. (Baca Cuit: Melayu bukan UMNO lagi, Melayu sudah minoriti (25 Mac 2009), ia mengandaikan Melayu sudah berpecah enam.

Pilihan raya umum ke-12 pada 2008 telah meletakkan satu petunjuk, yang tidak pernah terlintas di fikiran selama ini, yang orang Cina boleh menguasai kuasa politik di negara ini.

Ia hanya boleh berlaku jika orang Melayu berpecah. Orang Melayu yang marah, keliru, sakit hati secara protes tidak memberi undi kepada parti pemerintah, yang bangsa mereka sendiri menguasainya.

Protes itu secara tidak sengaja telah memberi petunjuk, yang parti berasaskan Cina seperti DAP pun boleh menguasai negara ini. Negeri-negeri yang dikuasai DAP pada pilihan raya umum lalu ialah Pulau Pinang, Perak, Selangor dan sebahagian besar Wilayah Persekutuan. Negeri Sembilan hampir-hampir dikuasai mereka. Jika Melaka dan Johor pun jatuh ke tangan DAP - maka sebahagian besar Pantai Barat 'emas' Semenanjung Malaysia akan dikuasai DAP.

Jika ia berlaku maka empayar DAP itu akhirnya akan menemui titik pertemuannya dengan abang mereka PAP dari Singapura. Apa seterusnya berlaku, belum terlintas lagi di fikiran, namun teorinya mungkin sudah boleh di agak.

Secara akademik, ia tidak mustahil berlaku. Melihatkan perkembangan semasa ia memang boleh berlaku. Jika perkembangan itu membawa kepada pilihan raya umum ke-13 kelak, maka Melayu sudah boleh menjangka nasib mereka. Hasil strategi tidak putus asa pembangkang, mereka telah berjaya mewujudkan beberapa puak yang bertelagah di kalangan orang Melayu.

Orang Melayu pula dalam masa yang sama terlalu ego dengan pegangan dan fahaman masing-masing. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR dan segelintir Melayu DAP terlalu taksub dengan ideologi kemelayuan, keislaman dan keadilan mereka.

Orang Melayu tidak sedar yang mereka sedang diperkotak-katikkan untuk membenci antara satu sama lain dan antara sekutu-sekutu yang dulunya bersama mereka.

Tiba-tiba orang Melayu bermusuh dengan orang Cina dan orang India. Sama ada ia disengajakan atau tidak atau wujud permainan dalaman atau luaran itu tidak pasti, tapi usaha-usaha untuk mewujudkan kebencian antara Melayu dan kaum-kaum lain semakin nyata sekarang.

Strategi pecah dan perintah serta pecah dan tawan (divide and conquer) kini berada dalam tangan pihak pembangkang. Mereka sedang bermain dengan strategi itu. Mereka sedang menguasai keadaan dengan sebaik mungkin. Orang Melayu yang tidak sedar dengan permainan itu turut serta dalam percaturan itu. Mereka gagal melihat muslihat di sebaliknya.

Strategi yang sama pernah dimainkan oleh sebuah pihak luar dan ia berjaya. Pihak yang dominan berpihak dengan satu kumpulan minoriti untuk mengetepikan satu lagi puak yang majoriti sedikit daripada puak minoriti itu. Kedudukan tinggi diberikan kepada puak minoriti itu dengan alasan puak majoriti tidak berupaya memegangnya. Sedikit demi sedikit puak yang ditekan itu terpaksa beralah. Akhirnya sehingga hari ini puak majoriti itu terpaksa melukut di tepi gantang. Ia adalah satu model strategi pecah dan perintah yang cukup licik untuk meminggirkan satu-satu puak.

Orang Melayu kini sedang mengalami proses tersebut. Kita sedang bermusuh dengan orang Cina yang pernah bersahabat baik dengan kita. Kita sedang bermusuh dengan orang India yang pernah bersahabat karib dengan kita. Tiba-tiba semua ini berlaku secara serentak. Orang Melayu sedang bermusuh dengan semua orang.

Ditambah lagi, ada pula pihak-pihak bermain dengan perang psikologi dengan sengaja menuduh orang Melayu adalah kaum yang rasis dan perlu dilawan habis-habisan. Golongan ini tahu apa yang mereka sedang mainkan. Suasana baik itu perlu dipecahkan kerana selagi perikatan itu kuat, pakatan tidak boleh berbuat apa-apa.

Di masa pengundi-pengundi Cina (dalam pilihan raya kecil) lari dari kerajaan pemerintah kerana melihatkan mereka ada advantage ekoran pilihan raya umum ke-12 lalu, orang India pula cuba dilaga-lagakan dengan Melayu.

Sama ada ini kebetulan atau tidak, kita tidak tahu. Tapi jika betul dan akhirnya orang India juga lari dari Melayu, maka pada masa itu gabungan peratusan undi Cina dan India akan menjadi penentu kepada kuasa politik tempatan. Orang Cina dan India akan bergabung untuk mengetepikan Melayu.

Tanpa disedari, para strategis ini (dalaman atau luaran) sedang mengatur strategi baru. Setelah melihat permusuhan Melayu-Cina-India sudah berjaya diwujudkan, mereka kini menuju kepada kumpulan yang lain pula. Mangsa seterusnya ialah anak-anak negeri dan etnik pribumi - Orang Asli, pribumi Sabah dan Sarawak.

Jika itu juga berjaya dan apabila kumpulan itu pula mula membenci orang Melayu atau orang Melayu juga membenci mereka, maka ia adalah penamat bagi segala-galanya. Orang Melayu pada masa itu akan turut melukut di tepi gantang.

Strategi pecah, perintah dan tawan oleh pembangkang nampaknya sedang berlangsung dengan sempurna. Ia adalah permainan taktikal dan akal. Yang alpa akan tewas.

Sumber: Utusan Malaysia 10/9/09

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"