Saturday, October 23, 2010

PEMIMPIN PAS DAN PKR GAGAL MENJAGA KEPENTINGAN MELAYU DI PULAU PINANG?

Di Pulau Pinang, orang Melayu semakin tertekan dan terhimpit. Beberapa buah kampung akan dibangunkan dengan projek-projek perumahan kos sederhana dan tinggi. Inilah yang sedang dan akan berlaku di Kampung Jalan Pokok Assam, Jelutong dan Kg. Binjai, Bayan Lepas. Manakala di Balik Pulau, dua buah kampung akan terlibat dengan pengambilan tanah oleh kerajaan negeri DAP-PAS-PKR untuk membina sebuah IPTS. Begitulah nasib orang Melayu di Pulau Pinang. Malangnya apakah peranan pemimpin Melayu PAS dan pemimpin Melayu PKR dalam kerajaan Guan Eng? Kenapa mereka berdiam dan membisu seribu bahasa? Kalau begitu benarlah dakwaan kebanyakan rakyat Melayu hari ini bahawa pemimpin PAS dan PKR telah dicucuk hidung oleh pemimpin DAP. YB Malek Hussin takut dengan Guan Eng. YB Mansor Othman selaku Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang juga takut dengan pemimpin autokratik Guan Eng. Semua pemimpin Melayu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang telah mabuk jawatan yang diberikan oleh Guan Eng. Mereka sudah lupa masalah Melayu di Balik Pulau khususnya dan Pulau Pinang amnya. Mereka lebih sibuk untuk mengadakan program-program untuk memperkukuhkan parti mereka di hati rakyat. Mereka lebih gemar berpolitik daripada turun ke padang mendengar masalah rakyat. Bagi mereka, masalah rakyat adalah masalah kerajaan persekutuan (BN).
Orang Melayu Pulau Pinang perlu sedar bahawa pemimpin PAS dan PKR hanya beretorik. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Mereka tidak bersedia untuk menjaga kepentingan orang Melayu. Mereka lebih suka menyalahkan kerajaan BN dulu. Itulah kegemaran mereka. Mereka ketandusan modal dalam politik. Semakin lama mereka memerintah semakin terserlah kesilapan dan kelemahan mereka. Pemberian bantuan kepada warga emas bersumberkan daripada wang yang meragukan. Pembangunan hartanah untuk projek-projek perumahan dan sebagainya berlaku secara meluas tidak dikawal oleh kerajaan Guan Eng tidak sepertimana kerajaan BN memerintah Pulau Pinang dulu. Pulau Pinang kini menjadi pusat hiburan dan kegiatan maksiat yang semakin tidak terkawal. Sudah beratus-ratus GRO warga asing telah ditahan oleh pihak berkuasa di pusat-pusat hiburan dan rumah urut sekitar Pulau Pinang.
Apakah peranan pemimpin PAS dan PKR yang beragama Islam dalam kerajaan Guan Eng hari ini? Apakah BN dan UMNO yang dipersalahkan? Mereka (pemimpin Melayu PAS dan PKR) telah tidak menunaikan tanggungjawab mereka yang diamanahkan oleh pengundi-pengundi dalam pilihanraya umum yang lalu. Mereka gagal menghapuskan atau setidak-tidaknya mengurangkan pusat-pusat hiburan dan judi yang berleluasan di Pulau Pinang. Mereka gagal menjaga kebajikan dan kepentingan Melayu dalam kerajaan negeri Pulau Pinang. Sebenarnya banyak lagi isu yang mencerminkan kegagalan pemimpin Melayu PAS dan PKR dalam kerajaan Pakatan Rakyat. Akan diulas dalam blog ini dalam entri yang akan datang.

Friday, October 22, 2010

Iktiraf hak keistimewaan Melayu

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Perkara-perkara teras dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan agama Islam, bahasa Melayu dan hak- hak istimewa orang Melayu yang telah diterima dalam pembentukan Malaysia sejak 53 tahun lalu mesti diterima dan disemat kukuh dalam diri generasi sekarang dan akan datang.
Wakil Wanita UMNO, Norliza Ahmad (gambar) berkata, golongan itu mesti menerima perkara itu dengan hati terbuka dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum di negara ini serta mengiktirafnya sebagai satu keistimewaan kepada negara.
“Marilah kita mengukuhkan kesedaran ini bukan sahaja di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu, malah meliputi seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mempertahankan perkara-perkara teras Perlembagaan Persekutuan iaitu yang menyentuh Islam sebagai agama rasmi negara.
“Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Perkara 153 mengenai hak-hak istimewa Melayu dan bumiputera serta perkara lain yang telah dipersetujui,” katanya
Beliau yang merupakan Exco Wanita UMNO berkata demikian sewaktu menyokong usul ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di sini hari ini.
Norliza turut mengulangi peringatan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah ‘ibu’ kepada segala undang-undang di negara ini dan sayap itu tidak akan berkompromi dengan dengan ‘saudagar mimpi’ dan anaknya yang mempersendakannya.
“Jangan cuba mengajak rakyat ‘memakan buah khuldi’ kerana buah itu diharamkan Allah dan disebabkan buah itu juga Adam dan Hawa diusir dari syurga.
“UMNO secara total masih tetap teguh dengan dasar dan hala tuju perjuangannya membela nasib orang Melayu dan pada masa sama bertanggungjawab menjaga hak kaum lain,” katanya.
Beliau turut mengimbau kenyataan Najib sewaktu
merasmikan Perhimpunan Agung MCA baru-baru ini yang menunjukkan sikap toleransi dan nilai persahabatan orang Melayu.
Katanya, kesediaan orang Melayu menerima dengan ikhlas kaum-kaum lain sebagai rakan kongsi dalam membina negara ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja yang menjadi rakyat Malaysia pasti akan mendapat layanan sama oleh kerajaan.
“Malah, lebih terserlah lagi sikap toleransi kaum Melayu dan UMNO ialah dalam prinsip perkongsian kuasa bersama 13 parti komponen Barisan Nasional (BN) sehingga berjaya menjadi ‘arkitek’ membina negara sejak 53 tahun lalu,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 22/10/10

Thursday, October 7, 2010

Kawasan perkampungan tradisonal orang Melayu di Balik Pulau mulai terancam!

Projek membangunkan hartanah di bahagian Pulau, Pulau Pinang amat pesat sejak pemerintahan diktator Guan Eng. Pemimpin-pemimpin Melayu dalam kerajaan Pakatan Rakyat sunyi sepi membisu seribu bahasa. Takut disergah oleh pemimpin kesayangan mereka Tuan Lim Guan Eng.  Orang Melayu di Balik Pulau masih leka atau masih tidur bahawa kehidupan mereka yang aman dan damai di kampung-kampung tradisonal akan terancam tidak lama lagi.  Secara halus, kawasan Balik Pulau yang kekal secara tradisonal dengan perkampungan Melayu akan beransur-ansur berubah wajah bila pembinaan sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kaum Cina di Balik Pulau di sini menjadi kenyataan. 
Teka teki terjawab  apabila kerajaan negeri dikatakan telah mewartakan tanah seluas 81 hektar di Pondok Upeh dan Kampung Genting di sini untuk tujuan pembinaan IPT itu. Pewartaan itu dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 15 Ogos lalu. Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau, YB Syed Amerruddin Dato' Syed Ahmad, beliau dimaklumkan bahawa tanah itu diwartakan khusus untuk diambil-alih bagi tujuan membina sebuah cawangan universiti yang berpangkalan di Singapura dan selebihnya dikatakan untuk tujuan awam. "Apabila siap nanti 4,000 hingga 5,000 orang pelajar dianggarkan menuntut di universiti itu. Jumlah ini belum lagi meliputi hampir 2,000 tenaga pengajar dan staf universiti dari republik itu yang akan dibawa ke sini. Beliau risau akan ada lebih banyak tanah terpaksa diambil untuk menyediakan kemudahan buat mereka, katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen sumbangan pakaian terpakai untuk mangsa banjir di Pakistan di sini, hari ini.
Menurut Syed Amerruddin, pihaknya tidak menentang hasrat kerajaan negeri mahu membina universiti di negeri ini tetapi perlu dilaksanakan di kawasan lebih sesuai seperti di Bukit Jambul atau Bayan Baru. Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menimbang semula rancangan pembinaan universiti tersebut kerana kewujudannya nanti akan membawa lebih banyak kesan negatif kepada alam sekitar dan penduduk tempatan.
Pelan-pelan kawasan orang Melayu di Balik Pulau akan dihapuskan dengan alasan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di Pulau Pinang. Guan Eng lebih cerdik daripada pemimpin-pemimpin Melayu yang ada dalam kerajaan PR. Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi apa yang nak dipedulikan. Dia jarang ada di Balik Pulau. Dalam PRU akan datang sudah pasti namanya akan terkeluar dari senarai calon wakil rakyat mewakili Pakatan Rakyat. Semasa BN memerintah dulu, bukan pemimpin UMNO tak bijak membawa pembangunan di Balik Pulau tetapi mereka memastikan pembangunan yang tidak merugikan orang Melayu. Ketua Menteri PP pada masa itu, Dr. Koh Tsu Koon menghormati kehendak pemimpin UMNO Balik Pulau melalui Local Plan yang dipersetujui bersama  antara UMNO Balik Pulau dengan PBT dan kerajaan negeri pada masa itu. 
Tapi apa yang berlaku sekarang? Apakah pemimpin Melayu PKR dan PAS di Balik Pulau dapat lakukan untuk menyelamatkan kawasan orang Melayu yang cuba dipertahankan sekian lama oleh UMNO? Orang Melayu sudah tersalah pilih dalam PRU yang lalu. Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran. Menang sorak kampung tergadai. Akhirnya kita semua menerima musibahnya angkara pemerintahan Guan Eng yang didewa-dewakan pemimpin dan penyokong Melayu PKR dan PAS sebagai Khalifah Umar Abdul Aziz. Tengoklah di sana sini, di atas dan di bawah, di kuala dan hulu, bukit dan lurah semua sudah digondol dengan membina rumah-rumah yang sudah tidak mampu lagi dibeli oleh orang Melayu. Orang Melayu wajar bersatu kembali dengan parti yang terbukti mampu mempertahankan kawasan orang Melayu selama ini. Tepuk dada tanya minda masing-masing agar pisang tidak berbuah dua kali!

Monday, October 4, 2010

Ramai golongan veteran di Balik Pulau mahu kembalikan wang haram!

Ramai sudah penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 daripada kerajaan negeri Guan Eng memulangkan semula wang tersebut.
Seorang warga emas, Elias Siru, 68, berkata, dia tertipu kerana menyangka wang bantuan kerajaan negeri itu diberi atas dasar keikhlasan untuk membantu orang tua sepertinya. "Tapi kalau mengambil duit judi untuk disedekahkan kepada orang macam kami ini, saya rasa ia sudah keterlaluan.
"Kadang-kadang saya rasa takut jika saya mati sebelum dapat memulangkan wang ini, hari ini saya benar-benar berasa lega," jelasnya. Che Yom Abdul, 62, pula bertekad memulangkan wang tersebut kerana ragu-ragu ia bersumberkan wang perjudian seperti yang didedahkan baru-baru ini.
"Selepas tahu mengenai perkara ini, saya bertekad untuk pulangkan semula dan ketiga-tiga anak saya juga menasihatkan untuk pulangkan kerana kami sekeluarga tidak perlukan duit yang diragui dari mana ia datang.
"Kerajaan pun sudah beri duit pencen tiap-tiap bulan, itu pun sudah cukup, kami bersyukur. Cuma nak tanya (kerajaan negeri), patutkah beri kami duit ini? Kami mungkin tidak mampu tetapi kami tidak tergamak terima duit haram," katanya.
Sharifah Abdul Rahim, 70, pula memberitahu, dia sekeluarga sangat terkilan selepas mendengar pengakuan kerajaan negeri ada menerima wang dari Kelab Lumba Kuda untuk membantu orang miskin di Pulau Pinang. "Saya ragu-ragu sama ada wang (RM100) yang terima ini juga datang daripada sumber judi, jadi saya rasa lebih baik pulangkan supaya hati lebih tenang. Insya-Allah, tanpa duit ini saya dan anak-anak masih boleh hidup," tambahnya.
Pada 29 September lalu, 40 penerima bantuan kerajaan negeri terdiri warga emas dan fakir miskin di Kepala Batas memulangkan semula bantuan berkenaan diikuti 70 lagi penerima bantuan sekitar Bayan Baru, dekat sini yang membuat tindakan sama semalam.
Isu pemulangan wang judi mulai diperkatakan di sana sini. Semalam ada golongan veteran bertanya yang mereka mahu memulangkan wang judi itu kepada siapa? Di tempat lain, UMNO Bahagian boleh dianggap sebagai penyelaras kepada penerima bantuan program membasmi miskin tegar dan wang ihsan RM100 untuk memulangkan semula wang. Di Balik Pulau juga sepatutnya UMNO Bahagian boleh memainkan peranan yang sama kerana ramai golongan veteran sudah sedar dan bercadang untuk mengembalikan wang haram tersebut kepada kerajaan negeri. Kita tunggulah mungkin UMNO Bahagian Balik Pulau akan berbuat sesuatu untuk tujuan itu.

Saturday, October 2, 2010

UMNO dan PAS memang pun boleh bersama!

Inilah sebenarnya yang kita semua orang Melayu dan Islam kehendaki di Malaysia. Perpecahan di kalangan orang Melayu dan Islam khususnya telah menyebabkan kesatuan orang Melayu telah menjadi lemah. Hingga bangsa lain tidak lagi menghormati orang Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja Melayu dipertikaikan oleh kaum lain. Alangkah gembiranya dan sejuknya hati kita bila kita dapat membaca banner yang terpampang seperti di atas. Pemimpin-pemimpin parti khususnya pemimpin PAS terutamanya YAB Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, MB Kelantan perlu memahami bahawa orang-orang Melayu dan Islam khususnya sudah tidak mampu lagi melihat orang Melayu/Islam di Malaysia terus bermusuhan sesama sendiri.
Apakah akan ada lagi selepas ini kerjasama antara PAS dan UMNO dalam menganjurkan program-program kemasyarakatan, keagamaan dan pendidikan? Sila dedahkan lebih banyak kerjasama lebih baik supaya pemimpin-pemimpin Islam kita sedar bahawa usaha-usaha menyatupadukan umat Islam wajib diutamakan daripada usaha politik yang telah lama meruntuhkan keharmonian rumah tangga dan umat Islam di Malaysia keseluruhannya. Baca selanjutnya.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"