Saturday, August 2, 2008

BBPM rayu Pas-UMNO teruskan muzakarah

Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) hari ini merayu Pas dan UMNO supaya meneruskan rancangan mengadakan muzakarah demi perpaduan Melayu dan umat Islam.

Ketua Umum BBPM, Osman Abu Bakar berkata, sebarang pergeseran politik antara kedua-dua parti itu perlu diabaikan demi membincangkan perpaduan bangsa Melayu yang semakin longgar.

Menurut beliau, muzakarah di antara dua parti politik negara itu dijangka dapat memberi kesan positif kepada seluruh rakyat kerana pelbagai masalah termasuk politik dapat diselesaikan.

''Hanya muzakarah atau muqabalah dan muhasabah merupakan jalan penyelesaian untuk menyelamatkan perpaduan bangsa Melayu dan Islam,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menegaskan, selagi semua pihak bertegang leher kerana fahaman politik masing-masing, usaha orang Melayu untuk bersatu tidak akan menjadi kenyataan.

Menurut beliau, usaha itu dilihat bertepatan dengan piagam Perhimpunan Perpaduan Melayu, April lalu agar para pemimpin mengetepikan ideologi politik demi agenda bangsa.

''Adalah menjadi objektif utama BBPM untuk melihat orang Melayu dan umat Islam di negara ini mencari kebaikan dan perdamaian supaya keadaan politik negara lebih mantap,'' katanya.

Sehubungan itu, kata Osman, bukan sahaja Pas dan UMNO, tetapi muzakarah itu patut melibatkan semua pemimpin parti politik Melayu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu duduk semeja.

''Jika seluruh bangsa Melayu yang sedar akan kepentingan bangsanya dan masa depan anak cucunya, muzakarah yang dicadangkan perlu diteruskan bagi mencari formula menjadikan bangsa Melayu lebih dihormati,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 2 Ogos 2008

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"