Pelawaan untuk bersatu wajib dilahirkan oleh pemimpin-pemimpin Islam di Malaysia. Sungguh malang kepada pemimpin Islam yang menolak pelawaan ke arah penyatuan umat Islam. Orang Islam di Malaysia adalah orang-orang Melayu yang telah berpecah-belah ekoran persaingan dalam politik kepartian antara PAS dan UMNO serta PKR. Di kampung dan di desa serta penduduk di taman-taman perumahan kelihatan Melayu hidup berpuak-puak mengikut ideologi politik. Ada masjid dan surau yang dikuasai oleh PAS secara terang-terang tanpa segan dan insaf menjadikannya seperti markas parti. Ketaksuban pemimpin-pemimpin parti ini telah memburukkan lagi suasana hubungan persaudaraan sesama Islam. Masjid dan surau bukan lagi tempat penyatuan umat Islam. Masjid dan surau disalahgunakan oleh puak-puak tertentu untuk kepentingan politik kepartian. Pihak berkuasa tidak mampu membetulkan situasi ini yang terus berlaku di kalangan umat Islam. Kadang-kadang serba salah jadinya. Mahu dilarang ceramah-ceramah yang berbaur politik nanti pihak berkuasa dipersalahkan. Penceramah mengambil peluang dan kesempatan berceramah agama menghentam, menghina dan ada yang memfitnah pemimpin-pemimpin tertentu di atas masjid atau surau. Ceramah seumpama ini ada di mana-mana, tidak payah tunggu musim pilihanraya. Ada wakil rakyat PAS makan gaji buta kerana setiap malam kerjanya berceramah di sana sini, merantau seluruh pelusuk negara. Atas tiket ceramah agama, forum dan kuliah nampak seperti berdakwah. Oleh itu kerja-kerja politik mereka kelihatan berniat baik demi kerana Islam. Dalam 'ceramah agama' ahli jemaah yang hadir bergelak ketawa bila pemimpin-pemimpin tertentu diperbodoh-bodohkan dan diperlekehkan di khalayak ramai dan mereka ini menerima tanpa ragu lebih-lebih lagi ungkapan-ungkapan itu terkeluar dari mulut tuan guru.
Usaha-usaha memperburuk-burukkan sesama pemimpin Islam telah berlaku sejak PAS dan UMNO berpisah. Suara-suara lantang menghina dan mencerca secara peribadi, tuduhan tanpa usul periksa, memutar belitkan fakta, menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik, menghukum kafir sesama Islam, mengharamkan sembelihan orang lain, menduakan imam dan sebagainya adalah sebenarnya umum telah mengetahui adalah keterlanjuran pemimpin PAS sejak dahulu lagi.
Kini pemimpin PAS merasakan mereka semakin kuat ekoran kemenangan besar dalam pilihanraya umum yang lalu. Pemimpin-pemimpin PAS tidak mahu pandang ke belakang lagi. Mereka beranggapan bahawa UMNO mulai ditolak oleh rakyat. UMNO kelihatan sebuah parti bersifat terlalu perkauman manakala PAS sebaliknya kelihatan lebih sederhana. Untuk mendapat sokongan kaum-kaum lain seperti Cina dan India, PAS tidak lagi bercakap tentang "Negara Islam" dan 'Hukum Hudud' dan sebagainya. Tiada lagi stiker-stiker kereta umpamanya 'Kami Sokong Hudud' dan 'Membangun Bersama Islam'. Kenapa PAS dulu lain, PAS sekarang lain? Pemimpin PAS mulai sedar bahawa ungkapan seumpama itu boleh menakutkan kaum-kaum lain kepada PAS. Untuk ambil hati kaum Cina, pemimpin PAS mesti sokong cadangan pembinaan industri ternakan babi secara komersial. Pemimpin PAS juga menyokong penggunaan kalimah suci 'Allah' oleh agama lain khususnya kristian. Malahan ada pemimpin Islam PAS sanggup berceramah dalam gereja demi untuk mendapat sokongan politik dari penganut-penganut kristian. Pemimpin-pemimpin PAS juga yang membenarkan rakan politik bukan Islam mengguna dan membaca ayat suci al-quran di atas pentas politik. Walaupun mendapat bantahan NGOs sebaliknya pemimpin PAS yang membenarkan ayat suci al-quran dibaca kerana mereka beranggapan kononnya mereka (bukan Islam) mulai mendekati Islam. Secara terbuka, pemimpin PAS tidak lagi menjuarai isu-isu berkaitan agama Islam. Lebih rela berdiam diri supaya tidak menyanggahi pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Ini dapat dibuktikan bila Karpal Singh hendak menyaman Sultan Perak, tiada pemimpin PAS yang berani melahirkan tentangan secara terbuka. Bekas MB Perak, Ir. Nizar telah bersetuju bahawa penduduk Kampung Baru diberi hakmilik tanah 999 tahun. PAS sudah hilang arah tuju kerana keghairahan untuk milik 'kuasa'. Pemimpin PAS sanggup melihat Islam dan Melayu berpecah kerana mereka sangat yakin bahawa PAS boleh menjadi parti alternatif kepada orang-orang Melayu. Pemimpin PAS semakin yakin bahawa kaum Cina dan India mulai menyokong calon PAS. Mengapa mereka perlu bersatu dengan UMNO? Mereka beranggapan UMNO mulai menuju kehancuran atau lubang kubur.
Pandangan yang terlalu awal. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ada masa naik dan ada masa turun. Ada masa air pasang dan ada masa air surut. Bergantunglah kepada keadaan dan masanya. UMNO mulai membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pemimpin-pemimpin MT UMNO yang dipilih melalui Persidangan Agung UMNO kebanyakan pemimpin yang berani bercakap, berpendirian tegas, berwibawa dan bersih. PM, DS Najib telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang bersih dan berkemampuan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Beberapa dasar telah mengalami perubahan dan pembaharuan. Majlis perasmian yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan diringkaskan kerana lebih masa ditumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat. Sesuai dengan cogan kata di bawah pentadbiran DS Najib iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Jika UMNO dan BN mendapat restu rakyat pada masa akan datang bermakna Melayu terus berpecah.
Oleh itu pemimpin PAS mahu pun UMNO tidak perlu mendabik dada mengatakan parti masing-masing kuat. Sebenarnya NGOs dan orang Melayu tidak rela melihat bangsa Melayu semakin menuju kehancuran. Apakah Islam boleh terus berkembang maju jika bangsa Melayu hancur? Perjuangan Islam PAS sebenarnya samalah jua dengan perjuangan UMNO. Cuma pendekatan PAS dan UMNO mungkin sedikit berbeda dan apakah perbedaan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS bersatu kerana Allah. Jika PAS boleh menerima DAP sebagai rakan dalam pakatan, mengapa PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai pakatan dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Islam?
Friday, May 1, 2009
BERSATUKAH UMNO DAN PAS?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment