Friday, April 30, 2010

Blogger Pro UMNO/BN juga dibayar RM4 juta?

Bloggers pro UMNO/BN tidak dibayar sebanyak RM4 juta malahan kami tidak dibayar sesen pun. Kami tidak pula diajar oleh pemimpin UMNO/BN untuk menabur fitnah dan melakukan pembohongan secara halus kerana hendak menjatuhkan parti PAS, PKR mahupun DAP. Itu kerja-kerja syaitan yang dilaknati oleh Allah swt. Kita memaparkan berita berdasarkan fakta, kita berbicara berdasarkan cerita yang nyata. Kita setia sebagai bloggers pro UMNO/BN kerana kita ikhlas dan jujur dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.
Namun tidak bermakna apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN itu semuanya betul belaka. Kadang-kadang mereka juga ada sifat-sifat tamak haloba dan gila kuasa. Oleh itu ada ketikanya pemimpin UMNO/BN perlu ditegur dan dikritik kerana UMNO/BN adalah hak kepunyaan kita semuanya. Kita berhak menegur pemimpin BN/UMNO kerana mereka juga ada kelemahan dan kekurangan, bimbang mereka akan leka dan lalai, orang Melayu akan terpinggir di negara sendiri.
Justru itu, bloggers UMNO/BN yang tidak dibayar (diupah) lebih terbuka dan berani sifatnya. Bebas dari cengkaman sesiapa. Tidak terikat tapi bebas untuk menyampaikan keluhan dan resahan ahli-ahli UMNO/BN dari akar umbi. Hanya Allah swt sahaja yang tahu pengorbanan seorang blogger, betapa pengorbanan waktu dan tenaga, wang dan harta benda untuk tatapan peminat blog dari hari ke hari, bulan ke bulan malahan setahun ke setahun tanpa mengenal penat dan letih. Tapi siapa yang ambil peduli!

Mesti baca: Politik dan Agama oleh Prof. Dato' Dr. Ismail Ibrahim

Umat Islam, terutamanya para ulamak, apabila bercakap tentang politik dan Islam, hendaklah tahu membezakan apakah artinya politik dan agama menurut perspektif ajaran Islam yang sebenarnya tentang takrif Islam dan takrif politik itu?
Rasulullah SAW adalah sorang ahli politik, kerana baginda telah mengetuai umat Islam dalam semua urusan pemerintahan, terutamanya setelah membentuk kerajaan Islam di Madinah dalam tahun 622 M. Baginda mengetuai urusan pentadbiran, ekonomi, pertahanan, dan baginda juga sebagai panglima angkatan tentera, serta urusan lain.
Urusan dan tindakan baginda itu adalah tindakan mengenai pentadbiran dan politik pemerintahan negara. Baginda juga memerintah dengan penuh beradab dan sentiasa berpandukan ilmu dan hikmah, sebab itulah baginda tidak melakukan apa yang dilakukan oleh ahli politik hari ini, ketika "berpolitik" artinya taksub kepada politik partisan, taksub dan fanatik kepada puak dan parti sendiri sahaja, boleh mengutuk dan menjatuhkan hukuman kepada parti lawan dan ahlinya sebagai "sekular" dan sebagainya tanpa memahami pun apakah sebenarnya konsep sekularisme itu. Sebab itulah juga baginda Rasulullah SAW berucap, berkhutbah dan sebagainya dengan menyentuh isu-isu pemerintahan negara dan urusan rakyat, tetapi baginda tidak pernah berkasar kepada para pengikutnya, baginda sentiasa berlembut dan beramanah dengan ilmu dan hikmah tanpa mengatakan orang lain munafik, jahat, boleh mendoakan untuk kebinasaan parti lawan, dan sebagainya. Kalau berpolitik seperti baginda, maka memang tidak ada larangan untuk digunakan masjid dan sebagainya untuk memandu dan menasihati orang awam tanpa sebarang perbezaan.
Tetapi kalau berpolitik untuk mengata nista, mengutuk dan mencerca, maka jauhilah dari masjid yang menjadi kepunyaan semua orang Islam tanpa mengira parti politik, politik tidak mempunyai tempat untuk orang yang berfahaman politik partisan melulu, politik sempit yang tidak sejajar dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Politik kepartian pada hari ini sebenarnya merupakan politik yang sering disalah gunakan, termasuk oleh para ulamak sendiri, iaitu apabila ianya dijadikan pentas dan platform untuk memusuhi lawan politik, memaki hamun dan melontarkan kata nesta kepada orang lain, iaitu satu tindakan yang tidak pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW.
Oleh itu tak usahlah para ulamak politik, atau sesiapa sahaja orang politik boleh mendakwa bahawa politik pada hari ini sama sahaja dengan politik pada zaman Rasulullah SAW, oleh itu ia juga sama dengan Rasulullah untuk bertindak dalam "kempen" politik, menggunakan masjid dan sebagainya untuk "berpolitik" sedangkan "politik" yang dibawanya adalah "politik kotor" penuh emosi, taksub dan fanatik melulu, terkeluar dari ajaran Islam seperti yang diajarkan oleh baginda Rasulullah SAW.
Orang ramai tidaklah seharusnya keliru dengan berbagai-bagai fatwa dan ajaran ahli politik taksub kepartian ini, kerana niatnya hanyalah untuk mendapat sokongan untuk politik nya dan partinya, sedangkan orang Islam seluruhnya haruslah juga mengetahui bahawa parti politik itu bukanlah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada manusia melalui Rasulullah SAW yang tidak boleh diingkari, dan ahli politik itu juga bukanlah "Pesuruh Allah" yang tidak boleh di-ingkari juga segala kata-katanya.
Parti politik adalah parti politik buatan manusia yang ada salah dan silapnya, ahli politik kepartian itu juga adalah manusia biasa yang tidak maksum, dan suci, malah mungkin lebeh kotor dari orang lain yang tidak taksub kepartian.
Ingatlah parti politik bukannya agama, dan ahli politik itu bukanlah Nabi atau Rasul. Berhati-hatilah dengan hakikat ini supaya hidup kita juga tidak menjadi sesat dan berdosa.

Sunday, April 25, 2010

Isu politik di masjid: "Jangan halalkan yang dilarang" kata TS Harussani, Mufti Perak.

Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib mencadangkan agar mana-mana pemimpin politik termasuk UMNO menggunakan masjid sebagai tempat menyampaikan dasar mereka kepada rakyat. Katanya, UMNO juga boleh menjadikan masjid sebagai kempen pemilihan pemimpin kerana institusi tersebut mempunyai pelbagai fungsi sebagaimana zaman Rasulullah SAW dan empat khalifah agung Islam. Harun berkata, tidak salah pemimpin parti mahu bercakap mengenai politik di dalam masjid. Katanya, “UMNO boleh ambil sejam dan Pas ambil sejam, UMNO boleh terang dasar dia dan kita pula terang pasal pentaddbiran kita,” katanya.
Manakala Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menegaskan perbuatan menyampaikan ceramah politik di dalam masjid adalah haram di sisi Islam. “Sebarang perkara yang boleh membawa kepada perpecahan umat Islam hendaklah dijauhkan dan dielakkan di bawa ke masjid termasuk berpolitik. Itu ajaran Islam. “Politik sekarang boleh memecahbelahkan umat dan haram hukumnya berceramah politik di masjid. Masjid adalah tempat umat Islam bersatu, melakukan ibadah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang didakwa mempertikaikan titah Sultan Selangor agar tidak menggunakan masjid untuk kempen politik.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, adalah tidak salah untuk menyampaikan ceramah politik di dalam masjid sambil memberi contoh perbuatan menggunakan masjid sebagai tempat berpolitik turut dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Malah, menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki baki ajaran penjajah yang mengasingkan agama dan politik. Mengulas mengenai kenyataan Nik Abdul Aziz, Harussani menjelaskan Nabi Muhammad tidak berpolitik di dalam masjid, malah pada zaman junjungan besar itu tidak ada parti politik. “Nabi Muhammad menggunakan masjid untuk menyatakan hal-hal pentadbiran kerajaan kepada umatnya bukan berpolitik. “Janganlah kerana terlalu taksub berpolitik, sehingga sanggup menghalalkan cara dan menghalalkan perkara terlarang,” katanya sambil menegaskan kenyataannya berdasarkan fakta dan tidak memihak kepada mana- mana pihak.

Friday, April 9, 2010

Luahan hati YB Zul dalam penerbangan ke Washington!

Alhmadulillah saya selamat sampai ke Heathrow International Airport, London sebentar tadi. Punyalah letih travel sorang-sorang ni dengan flite sampai 13 jam ni. Saya sedang dalam perjalanan ke Washington untuk menghadiri majlis pelancaran Kaukus Parlimen US-Malaysia dan beberapa program lagi di Washington dan New York mulai hari ini sehingga 25 April 2010. Insyallah saya akan kembali ke Malaysia pada 26.04.2010
Sekarang di London jam 08.50am, maknanya di Malaysia sekarang jam 03.50 petang. Cuaca di London agak okay, cerah tanpa hujan. Dah masuk spring katakan. Kebetulan dalam flite MAS MH002 KL-London tadi saya duduk berdekatan dengan YB Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Dato' Seri Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais. Rupanya dema ni rajin juga bersembang. Macam-macam story. Saya baru tahu rupanya Datin Seri Masnah mengadakan kelas pengajian tafsir dan tajwid di rumahnya di Ampang Jaya tiap minggu Isnin dan Rabu.
Rupa-rupanya Datin Seri Masnah ni pengetahuan beliau tentang Islam agak mengagumkan. Dan cinta Datin Seri kepada majlis ilmu sehingga sanggup buat dewan khas dirumahnya untuk program kuliah dan pengajian. Dan yang hadir pun boleh tahan, kekadang sehingga seratus lebih jemaah.
Tu lah, kekadang kita tak patut mengukur seseorang daripada luaran sahaja, apatah lagi mendengar fitnah orang. Macam saya tengok YB Tengku Adnan Mansor dan banyak lagi Ahli Parlimen lain. Dulu kita selalu mendengar macam-macam fitnah dan kutukan terhadap mereka. Saya dulu pun mempunyai persepsi agak negatif dengan beliau ni hasil fitnah tak berhenti sesetengah orang. Tapi sejak jadi Ahli Parlimen, saya selalu tengok YB Tengku Adnan ni antara orang yang paling rajin solat jemaah disurau Parlimen, kekadang siap ajak kami lagi ke surau untuk berjemaah!
Sebab itu saya sekarang mengambil pendekatan lebih baik kita berbaik sangka dengan semua saudara seIslam. Kalau terdengar cerita pelik-pelik pasal seseorang, saya akan check dahulu dengan tanya orang tu sendiri. Kadang-kadang apa yang kita dengar sendiri dari orang itu jauh berbeza daripada apa yang orang kata. Tapi namanya mulut manusia, kita tak boleh nak katup yop. Jadi macam kata orang Kedah, biaq pi kat depa lah.

Petikan: http://zul4kulim.blogspot.com/

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"