Tuesday, August 31, 2010

Penyokong PAS tertipu dengan perjanjian bersama Pakatan Rakyat!!!!!!!!

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.
Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk Pas terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.
Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar) yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk Pas.
"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan Pas untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.
"Itu hanya mimpi Pas, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang Pas tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.
"Saya percaya ramai ahli akar umbi Pas tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam entri bertajuk Mufaraqahlah (berpisahlah) dalam blognya, www.zul4kulim.blogspot.com.
Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa Pas tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan negara.
Jelas beliau, untuk melaksanakan hukum hudud, Pas perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.
Kenyataan Zaid itu dikeluarkan ekoran pertelingkahan antara Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini.
Sementara itu, Zulkifli yakin dan percaya kebanyakan ahli-ahli akar umbi Pas memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.
Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang mendesak supaya pakatan pembangkang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah apabila memerintah negara kelak.
Tetapi malangnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu ditentang dan disangkal oleh pimpinan pembangkang termasuk daripada kalangan Pas sendiri.
"Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan minggu lepas memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.
Sehubungan itu, Zulkifli menyeru agar ahli-ahli Pas kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam dan seterusnya menolak kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan seperti DAP dan PKR.

Friday, August 27, 2010

Apakah ini semua tidak mencemarkan agama Islam?

Di Pulau Pinang isu doa khutbah Jumaat sebut nama Lim Guan Eng dah agak sejuk…di Selangor pula makin hangat dengan aksi Ahli Parlimen DAP Serdang,Teo Nie Ching berada dalam ruang sembahyang di Surau Al-Huda Kajang Sentral berbaju kebaya dan tidak menutup aurat pada 22 Ogos baru ini.Beliau telah masuk untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada surau tersebut. Entahlah kalau ini juga dikata bukan satu penghinaan kepada umat Islam dan mencemar kesucian rumah Allah.Isu ini yang disiarkan oleh beberapa laman blog semakin mengundang reaksi bantah dikalangan umat Islam.
Allah SWT berfirman lagi, (Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu shalat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja, hingga kamu mandi…) (An-Nisaa’ 4: 43).
Itulah yang sedang berlaku kepada umat Islam di Malaysia hari ini. Umat Islam tidak banyak berfikir pasal masalah anak remaja hari ini. Ramai yang jadi Mat Rempit dan Mek rempit, buang anak, penagih dadah dan arak serta hidu gam. Yang sedang belajar di sekolah dan di kolej mahupun di universiti, pencapaian keseluruhannya masih tidak memuaskan. Maksudnya pencapaian pelajar Melayu masih tertinggal jauh ke belakang. Kenapa? Jika pemimpin Islam asyik nak berpolitik tanpa batas waktu dan tempat maka itulah bala daripada Allah swt. Berpolitik biarlah berpada-pada, sesuai dengan tempat dan masanya. Jika hendak menagih undi orang bukan Islam sekali pun, janganlah sampai agama Islam dipandang rendah dan dihina oleh kaum kafir. Mereka ketawa kepada kita melihat bagaimana 'hodoh'nya pemimpin Islam kita yang sanggup melakukan apa sahaja kononnya berdoa agar mereka terbuka pintu hati mereka untuk memeluk Islam. Berdoalah di tempat yang sesuai dengan doa itu. Masa majlis rasmi kerajaan negeri Pulau Pinang yang dihadiri oleh Guan Eng eloklah Exco Agama, YB Malek Hussin dapat menjemput Khatib Zakaria Ahmad untuk membaca doa seperti yang dihasratkan. Bacalah doa itu panjang-panjang dan halakan doa itu khusus untuk kesejahteraan Guan Eng dengan harapan Guan Eng memeluk Islam. Boleh kut macam tu? Atau doakan agar hati pemimpin-pemimpin DAP yang terlalu keras seperti batu kerikil itu dapat menerima hukum hudud yang akan dilaksanakan oleh PAS jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Sunday, August 22, 2010

SOLAT JUMAAT : ISLAM DIAIBKAN PAKATAN RAKYAT DI PULAU MUTIARA

"Ya Allah Ya Tuhanku, Kau selamatkanlah pemimpin kami Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan kerajaan negeri," dan tiada doa kesejahteraan untuk Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas.(petikan Mingguan Malaysia 22 Ogos 2010)


Sebelum GWM melangkau lebih jauh lagi dengan isu ini, ada lebih baiknya kita renungkan kembali apakah pengertian dan maksud khutbah jumaat dan rukun khutbah jumaat secara terperinci.

Khutbah Jumaat ialah dua khutbah yang diberikan oleh khatib setiap kali Solat Jumaat dilaksanakan. Ia merupakan salah satu syarat sah Solat Jumaat.

Manakala Rukun khutbah Jumaat adalah:

1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT seperti ucapan: "Alhamdulillah".
2. Diikuti dengan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW: "Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."

(Pengertian di atas di ambil dari buku yang ditulis oleh Ustaz Ismail Kamus)

Sekarang sudah jelas apakah Khutbah Jumaat dan Rukun Khutbah Jumaat. Kontroversi doa khutbah kepada bukan muslim (terutamanya kepada Lim Guan Eng) di Pulau Pinang perlu dilihat dari konteks ilmiah dan politik itu sendiri.

Dari Sudut Ilmiah

Apabila di sebut rukun maka ianya wajib dilaksanakan, bukannya sunat atau harus. Jika dari konteks ilmiah dan fardhu atau wajib telah ditinggalkan secara sengaja, bukankah sudah menjadi kerugian kepada para jemaah yang mengerjakan solat jumaat pada hari tersebut?

Khatib yang membacakan khutbah pada hari tersebut wajib bertanggungjawab di atas kekhilafannya, jika terlupa. Bagaimana pula jika sengaja berbuat demikian?

Apa perlu didoakan kepada bukan Muslim sedangkan di dalam solat seharian kita sering membaca Doa Iftitah. Doa yang sering dibaca sebelum membaca Surah Al Fatihah ini adalah Aku Janji bahawa kita tidak mahu tergolong di dalam Golongan Kafir.

Di Politikkan?

Awal awal lagi Harakah sudah memperlihatkan isu kontroversi ini dimainkan oleh UMNO sebagai lanjutan isu perkauman yang dimainkan oleh MCA (UMNO dituduh bertindak sedemikian sebagai langkah politic desparation).

Dalam hal ini, GWM membidas PAS dan Harakah kerana juak juak ini yang sebenarnya mensensasikan isu yang sudah menjadi kontroversi.

Mengapa pula UMNO dipersalahkan atas dasar membangkitkan isu doa kepada Lim Guan Eng. Pada hakikatnya PAS terlupa bahawa merekalah yang memulakan langkah mengaibkan Islam dan mempolitikkan agama.

Naib Yang Dipertua Ulama Malaysia cawangan Pulau Pinang dan juga Bekas Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, saudara Mohamad Hafiz Nordin mengaku pernah berdoa kepada Lim Guan Eng semasa menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Hashim Yahya ( lihat Sinar Harian 21 Ogos 2010 ).

Siapa sebenarnya yang mempolitikkan isu, siapa sebenarnya yang memperalatkan Islam demi rakusnya kuasa undi bukan Muslim?


Jika dibenarkan sekalipun berdoa untuk bukan Muslim, apakah layak manusia yang bernama Lim Guan Eng ini didoakan sedangkan umum mengetahui pelbagai perkara yang dilakukan oleh manusia yang di angkat sebegitu tinggi darjatnya oleh PAS ini, terlalu banyak memudaratkan umat Islam.

Apakah tidak cukup lagi dengan peristiwa yang telah berlaku di Perak tempoh hari sebagaimana doa untuk Sultan Perak, sesama Muslim, juga ditinggalkan oleh juak juak ini. Begitu biadab!

Jika sekalipun PAS menuduh UMNO cuba bermain dengan api perkauman melalui pembohongan dan fitnah, bagaimana pula dengan saksi saksi yang menunaikan Solat Jumaat, yang sanggup memberi keterangan terhadap perisitwa yang berlaku di Masjid Jamek Jelutong.

Satu kebetulan? satu permainan politik silap mata oleh UMNO? atau sememangnya perkara ini berlaku? Tidak mungkin ramai saksi yang sanggup tampil memberi keterangan jika dipanggil ini pekak dan tuli dan jahil belaka.

Menutup kepincangan

Agak melucukan apabila Anwar Ibrahim turut menganggap doa khutbah ini adalah fitnah dan permainan politik perkauman sempit oleh UMNO. Beliau mendakwa telah membaca teks khutbah berkenaan yang diedarkan kepadanya ( lihat Sinar Harian 21 Ogos 2010 ).


Mungkin beliau terlupa akibat permainan politik sempit dan kuat berjanji beliaulah timbulnya isu penduduk bangsa India di Kampung Buah Pala dan bagaimana umat Melayu terus dipinggirkan dan ditindas oleh parti dominan di dalam Pakatan Rakyat, DAP.
Adakah ianya juga mainan politik sempit UMNO dan BN?

Anwar Ibrahim begitu pantas membuat kesimpulan bahawa isu doa kontroversi ini adalah mainan politik UMNO. Walhal beliau terlupa bahawa MAIPP masih meneruskan siasatan ke atas isu ini. Bagaimana boleh terus menerus membuat kesimpulan sedangkan siasatan masih dijalankan?


Anwar Ibrahim dilihat mahu menutup setiap lubang kelemahan dan kepincangan dengan kadar yang segera kerana tidak mahu Pakatan Rakyat goyah di Pulau Pinang.

Biarkanlah siasatan rapi terus dijalankan. MAIPP juga perlu memanggil saksi saksi Solat Jumaat di Masjid Jamek Jelutong yang terlibat untuk di ambil keterangan.

Anwar Ibrahim tidak perlu menjadi juri dan hakim di dalam satu masa semata mata untuk menutup kerosakan yang telah berlaku ( damage has been done ). Jika mahu dilihat adil, siasatan terperinci perlu dijalankan secepat mungkin.
Di Politikkan atau Kebenaran?
GWM tidak pernah berasa terkejut jika isu ini sememangnya terjadi akibat kebobrokan penyokong Pakatan Rakyat yang terlalu jumud dan fanatik mempertahankan seorang manusia bernama Lim Guan Eng.

Ini kerana PAS adalah parti politik, parti yang menggunakan Islam sebagai lencana, parti yang telah merosakkan keindahan Islam itu sendiri.


Maka tidak hairan jika sembahyang dua imam nyata dan sememangnya di juarai oleh PAS sejak dahulu lagi. Inikan pula tindakan kontroversi meninggalkan doa terhadap pemerintah Muslim dan mengaminkannya, Yang Di Pertuan Agomg.
Sumber: Gelombang Wangsa Maju

Friday, August 20, 2010

Terbukti PAS dan PKR membawa Melayu dan Islam menuju kehancuran!!!!!!!!!

KEPALA BATAS 19 Ogos - Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.
Beliau berkata, tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.
"Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang di sini hari ini.
Setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu tetapi segala bukti berhubung perkara berkenaan memang ada, katanya.
Selain itu Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.
"Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik,” katanya. - Bernama

Saturday, August 14, 2010

PAS menolak perpaduan dengan UMNO untuk menguasai Putrajaya bersama DAP dan PKR!

Sungguhpun Malaysia sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan bahasa tetapi rakyatnya dapat hidup aman dan damai atas kebijaksanaan pemerintahan pemimpin-pemimpin negara yang diterajui oleh UMNO sejak 53 tahun dahulu. Kini, Malaysia diikitiraf sebagai sebuah negara Islam contoh yang mampu berdikari dan maju. Pemimpin-pemimpin negara pula berani menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu-isu penindasan umat Islam di Palestin, serangan negara Amerika di Iraq, Afghanistan dan sebagainya melalui forum-forum antarabangsa dan persidangan PBB. Tapi sungguh malang, ada sesetengah golongan tertentu rakyat Malaysia sendiri, tidak mengiktiraf negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Apa salahnya jika Malaysia diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam? InsyaAllah lama-kelamaan, rakyat semua kaum boleh menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Sebaliknya di Malaysia, PAS tidak mahu mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam biarpun negara-negara Arab di dunia termasuk Pertubuhan Negara Islam (OIC) telah lama memberi pengiktirafan itu. Inilah akibat politik persaingan sebangsa seagama yang begitu dahsyat berlaku di Malaysia antara UMNO dan PAS yang jelas merugikan umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia Islam amnya. 
Berdasarkan sejarah pemerintahan di Zaman Rasulullah dan Khalifah Umar al-Khattab, definisi para ulama, kandungan perlembagaan Malaysia (Islam agama Persekutuan) dan pemerintahan negara (Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri-menteri kanan adalah orang Islam).dan sistem  perundangan negara jelaslah Malaysia sebuah negara Islam (Baca sini). Tambahan pula pembangunan fizikal dan pembangunan rohani terus dilaksanakan di Malaysia. Selain masjid, surau dan jabatan agama, Malaysia memastikan umat Islam dapat menunaikan kewajipan menuntut Ilmu di sekolah, kolej, universiti dan pusat latihan kemahiran. Umat Islam bebas mengamalkan ibadat dan hidup aman bersama pelbagai kaum lain. Malahan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam dunia yang menjadikan Islam agama bagi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan dalam fasal 3: Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Sebab itu, rakyat Malaysia sewajarnyalah  mengenali negara mereka sebagai negara Islam.
Tapi PAS tidak akan mengiktirafkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Untuk mengiktirafkan Malaysia sebuah negara Islam mungkin  Malaysia mesti diperintah oleh sebuah parti Islam seperti PAS. Jikalau UMNO dapat mengubah perlembagaannya sekalipun, termasuk pada namanya supaya ada Islam di dalamnya, pemimpin PAS akan akan terus mempertikaikannya seperti mana kita dapat lihat atau saksikan hari ini.  PAS selaku sebuah badan siasah , akan sentiasa mencari jalan merendah-rendahkan kemampuan pihak lawan, akan cuba mencari kesalahan pihak lawan. Selaku sebuah parti Islam , pemimpin PAS sepatutnya mencari usaha ke arah kebaikan umat Islam seperti yang dianjurkan oleh agama bahawa orang Islam itu bersaudara.  PAS perlu ingat bahawa umat Islam di Malaysia cuma 55% sahaja di Malaysia. PAS perlu ingat ekonomi Malaysia bukan dikuasai oleh orang Islam. PAS pun tahu bahawa DAP anti Islam dan PKR pun tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS jangan terlalu angkuh dan sombong untuk memerintah negara. Takut yang "dikejar tak dapat dan yang dikendung keciciran" dan "menang sorak kampung tergadai".
PAS mempertikaikan pemerintah kerajaan Malaysia mengamalkan rasuah, perlembagaan penjajah, mengamalkan undang-undang barat, menolak hukum hudud, membazir harta rakyat, mengamalkan kronisme dan sebagainya. Sebenarnya PAS ketiadaan modal dalam kempen politik mereka. PAS gagal mengenengahkan idea-idea untuk membangunkan negeri yang diperintahnya sebaliknya asyik menyalahi kerajaan pusat. Walaupun isu-isu yang dibangkitkan oleh PAS itu sudah dan mudah dijawab tetapi demi politik PAS terpaksa menunjukkan tentangnya yang bersungguh-sungguh terhadap UMNO. Inilah corak politik persaingan yang amat merbahaya kepada umat Islam telah ditunjukkan oleh PAS hari ini. Pelbagai pihak, termasuk NGOs Melayu dan Islam, mufti-mufti, para cendiakawan Melayu dan ulamak-ulamak mengesyorkan supaya UMNO dan PAS bersatu untuk kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Dalam soal ini (perpaduan UMNO-PAS), pendirian pemimpin UMNO di semua peringkat kelihatan seiring dan senada tetapi pendirian pemimpin PAS kelihatan bercampur-campur. Mereka berbelah bahagi; sama ada mengikut kehendak parti politik ataupun mengikut tuntutan agama. Ternyata TG Nik Aziz bermati-matian mahu PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat mengambil alih Putrajaya. Mampukah Pakatan Rakyat memenangi hati rakyat dalam PRU akan datang bergantunglah kepada kerajaan Pakatan Rakyat membuktikan kejayaan mereka memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan? Bagi kaum bukan Melayu/bumiputera seperti kaum Cina dan India serta suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak jangan pandang mudah bahawa setiap peralihan kuasa yang berlaku akan memberi faedah berganda kepada rakyat. Sesiapa pun boleh menjanjikan bulan dan bintang demi untuk mencapai kemenangan dalam PRU tetapi kemampuan terjawab selepas memerintah, tertunaikah janji itu? Inilah yang perlu diteliti dan dikaji oleh setiap rakyat yang layak mengundi dalam PRU yang akan datang. Ingat pesan orang tua, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak beguna lagi".  

Friday, August 13, 2010

PAS tetap aktif politik dalam bulan Ramadan!

KOTA BHARU- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, Pas tidak akan mengurangkan aktiviti politik di bulan Ramadan walaupun ia kurang disenangi oleh pihak-pihak tertentu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, Islam tidak pernah menghalang umatnya untuk berpolitik bila-bila masa sahaja, malah politik dan agama dua perkara yang tidak boleh dipisahkan.

“Politik dalam Islam ni sedaging (bercantum), geraknya Islam kerana politik dan politik pula menuruti Islam, tidak payah pakai istilah demokrasi, guna Istilah Islam,”katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Ihyat Ramadan di sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas saranan daripada beberapa pihak termasuk dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) supaya aktiviti berparti dikurangkan bagi menghormati bulan Ramadan.  Nik Abdul Aziz bagaimanapun berkata, terpulang kepada pemimpin Pas untuk menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan aktiviti tersebut di bulan Ramadan ini.

“Dalam ceramah saya jarang sebut soal kepartian kecuali ia majlis parti, saya banyak sebut mengenai Islam seperti ekonomi Islam dan akidah, tetapi jika hendak berpolitik tidak salah kerana Pas parti berdaftar,”katanya.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed yang mengatakan kerjasama Pas dan DAP tidak ikhlas, Nik Abdul Aziz mempersoalkan adakah kerjasama yang dibuat antara UMNO dan MCA sebelum ini benar-benar ikhlas.
 
Sumber: Sinar Harian 13 Ogos 2010

Wednesday, August 11, 2010

Tuesday, August 3, 2010

Tolak perpaduan Islam boleh jadi fasiq, kafir - kata TG Hj. Abdullah (Pondok Geting)

TUMPAT 2 Ogos – Tokoh agama Kelantan, ‘Tuan Guru Hj Lah Pondok Geting’ menyeru agar Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta kepimpinan Pas yang lain agar bermuhasabah dan mengenepikan ego berhubung perpaduan Melayu dan umat Islam di negara ini.
Pada masa yang sama guru agama itu kesal Pas mengikut telunjuk Dap ibarat ‘lembu dicucuk hidung.’
Pengasas Madrasah An-Najmiyyah, Geting atau nama sebenarnya Tuan Guru Hj Abdullah Hj Saamah An-Najmi, berkata tindakan golongan yang menolak perpaduan Melayu dan umat Islam merupakan satu perbuatan yang menyalahi apa yang diseru oleh Allah s.w.t.
Malah bagi beliau, golongan berkenaan boleh menyebabkan sekurang-kurangnya menjadi fasik dan bidaah ‘dolalah’ serta boleh menjadi kafir.
“Ini kerana Allah s.w.t menyuruh kita bergerak ke arah perpaduan, dan Rasulullah s.a.w menyeru kita ke arah yang sama khususnya dalam keadaan kita (umat Islam) hari ini yang menuntut kita bersatu padu.
“Tetapi Pas adalah sebaliknya dengan menolak perkara itu dan mengadakan perpaduan bersama Dap yang secara terang-terangan menentang Islam. Kalau menang mereka (Pakatan pembangkang), bukan sahaja UMNO hancur, malah Pas pun akan hancur.
“Perpaduan macammana jika hasilnya sedemikian rupa. Apa untungnya kita. Bak kata pepatah, rugi sekarung tetapi untung hanya seguni bahkan tidak ada untung langsung,” katanya dalam temubual eksklusif bersama UMNO-Online, di sini, hari ini.
Beliau yang sebelum ini bergiat aktif di dalam Pas seterusnya menambah, Allah berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud tidak boleh berpecah belah khususnya untuk mempertahankan kedaulatan Islam dan sebagainya.
“Maknanya Allah S.W.T suruh kita mempertahankan kedaulatan dan keistimewaan orang Islam. Malah manfaatnya perpaduan Pas dengan UMNO ini cukup besar. Apabila Pas dengan berpadu dengan persetujuan yang baik ianya akan memberi kekuatan orang Melayu dan umat Islam di Malaysia dan kita boleh membantu kekuatan orang Islam lain di dunia luar yang lain seperti di Palestin, Bosnia dan sebagainya.
“Sekiranya kita tidak bersatu, ekonomi pun tidak akan bersatu. Perkataan sendiri pun (cakap saja) tidak akan jadi perpaduan serta kelakuan pun tidak menjurus ke arah perpaduan. Tetapi apabila kita bersatu padu, ekonomi pun akan menjadi kuat dan mantap.
“Sebenarnya hasil daripada perpaduan itu, orang-orang bukan Islam pun akan terkena tempias dengan manfaat yang sangat baik. Tidak akan wujud perkauman malah kaum lain akan mendapat nikmat yang baik termasuklah memberi satu rahmat kepada pembangunan bangsa dan negara Malaysia secara menyeluruh. Kesimpulannya selamat di dunia dan selamat di akhirat,” katanya.
Beliau seterusnya mengajak umat Melayu di negara ini melihat kedaulatan Melayu dan kedaulatan di negara jiran terdekat Singapura.
“Inilah yang kita perlu khuatirkan. Dan saya setuju jika mengatakan Dap adalah penasihat kepada Nik Aziz. Malah lebih daripada itu. Menjadi tuan kepada Pas dan Pas menjadi lembu yang dicucuk hidung,” katanya.
Beliau seterusnya menambah, orang UMNO dan orang Pas semuanya umat Nabi Muhammad S.A.W.
“Allah menyeru perpaduan untuk mempertahankan keistimewaan Islam, mempertahankan ahli sunnah wal jamaah, kita kena taat perpaduan berkenaan. Orang yang berpecah belah azab yang amat besar menanti mereka dia akhirat.
“Hadis Nabi ada menyebut siapa yang bercerai akan dia jamaah perhimpunan perpaduan, tinggal perpaduan sesama Islam dengan imam al-Azam (Datuk Seri Najib) dan mahukan perpaduan dengan mereka yang secara terang-terangan menentang Islam, Dap umpamanya maka sesungguhnya telah mencabutlah ia akan simpulan Islam daripada batang tengkuknya,” katanya. - MediaUMNO (sumber klik sini)
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"