Saturday, August 14, 2010

PAS menolak perpaduan dengan UMNO untuk menguasai Putrajaya bersama DAP dan PKR!

Sungguhpun Malaysia sebuah negara yang rakyatnya berbilang bangsa, agama dan bahasa tetapi rakyatnya dapat hidup aman dan damai atas kebijaksanaan pemerintahan pemimpin-pemimpin negara yang diterajui oleh UMNO sejak 53 tahun dahulu. Kini, Malaysia diikitiraf sebagai sebuah negara Islam contoh yang mampu berdikari dan maju. Pemimpin-pemimpin negara pula berani menyatakan pendirian yang tegas berkaitan isu-isu penindasan umat Islam di Palestin, serangan negara Amerika di Iraq, Afghanistan dan sebagainya melalui forum-forum antarabangsa dan persidangan PBB. Tapi sungguh malang, ada sesetengah golongan tertentu rakyat Malaysia sendiri, tidak mengiktiraf negara Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Apa salahnya jika Malaysia diwar-warkan sebagai sebuah negara Islam? InsyaAllah lama-kelamaan, rakyat semua kaum boleh menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Sebaliknya di Malaysia, PAS tidak mahu mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam biarpun negara-negara Arab di dunia termasuk Pertubuhan Negara Islam (OIC) telah lama memberi pengiktirafan itu. Inilah akibat politik persaingan sebangsa seagama yang begitu dahsyat berlaku di Malaysia antara UMNO dan PAS yang jelas merugikan umat Islam di Malaysia khususnya dan dunia Islam amnya. 
Berdasarkan sejarah pemerintahan di Zaman Rasulullah dan Khalifah Umar al-Khattab, definisi para ulama, kandungan perlembagaan Malaysia (Islam agama Persekutuan) dan pemerintahan negara (Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri dan Menteri-menteri kanan adalah orang Islam).dan sistem  perundangan negara jelaslah Malaysia sebuah negara Islam (Baca sini). Tambahan pula pembangunan fizikal dan pembangunan rohani terus dilaksanakan di Malaysia. Selain masjid, surau dan jabatan agama, Malaysia memastikan umat Islam dapat menunaikan kewajipan menuntut Ilmu di sekolah, kolej, universiti dan pusat latihan kemahiran. Umat Islam bebas mengamalkan ibadat dan hidup aman bersama pelbagai kaum lain. Malahan Malaysia merupakan satu-satunya negara di dalam dunia yang menjadikan Islam agama bagi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan dalam fasal 3: Ugama Islam adalah ugama bagi Persekutuan; tetapi ugama-ugama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Sebab itu, rakyat Malaysia sewajarnyalah  mengenali negara mereka sebagai negara Islam.
Tapi PAS tidak akan mengiktirafkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Untuk mengiktirafkan Malaysia sebuah negara Islam mungkin  Malaysia mesti diperintah oleh sebuah parti Islam seperti PAS. Jikalau UMNO dapat mengubah perlembagaannya sekalipun, termasuk pada namanya supaya ada Islam di dalamnya, pemimpin PAS akan akan terus mempertikaikannya seperti mana kita dapat lihat atau saksikan hari ini.  PAS selaku sebuah badan siasah , akan sentiasa mencari jalan merendah-rendahkan kemampuan pihak lawan, akan cuba mencari kesalahan pihak lawan. Selaku sebuah parti Islam , pemimpin PAS sepatutnya mencari usaha ke arah kebaikan umat Islam seperti yang dianjurkan oleh agama bahawa orang Islam itu bersaudara.  PAS perlu ingat bahawa umat Islam di Malaysia cuma 55% sahaja di Malaysia. PAS perlu ingat ekonomi Malaysia bukan dikuasai oleh orang Islam. PAS pun tahu bahawa DAP anti Islam dan PKR pun tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya. PAS jangan terlalu angkuh dan sombong untuk memerintah negara. Takut yang "dikejar tak dapat dan yang dikendung keciciran" dan "menang sorak kampung tergadai".
PAS mempertikaikan pemerintah kerajaan Malaysia mengamalkan rasuah, perlembagaan penjajah, mengamalkan undang-undang barat, menolak hukum hudud, membazir harta rakyat, mengamalkan kronisme dan sebagainya. Sebenarnya PAS ketiadaan modal dalam kempen politik mereka. PAS gagal mengenengahkan idea-idea untuk membangunkan negeri yang diperintahnya sebaliknya asyik menyalahi kerajaan pusat. Walaupun isu-isu yang dibangkitkan oleh PAS itu sudah dan mudah dijawab tetapi demi politik PAS terpaksa menunjukkan tentangnya yang bersungguh-sungguh terhadap UMNO. Inilah corak politik persaingan yang amat merbahaya kepada umat Islam telah ditunjukkan oleh PAS hari ini. Pelbagai pihak, termasuk NGOs Melayu dan Islam, mufti-mufti, para cendiakawan Melayu dan ulamak-ulamak mengesyorkan supaya UMNO dan PAS bersatu untuk kepentingan umat Islam dan bangsa Melayu di Malaysia. Dalam soal ini (perpaduan UMNO-PAS), pendirian pemimpin UMNO di semua peringkat kelihatan seiring dan senada tetapi pendirian pemimpin PAS kelihatan bercampur-campur. Mereka berbelah bahagi; sama ada mengikut kehendak parti politik ataupun mengikut tuntutan agama. Ternyata TG Nik Aziz bermati-matian mahu PAS akan terus kekal bersama Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat mengambil alih Putrajaya. Mampukah Pakatan Rakyat memenangi hati rakyat dalam PRU akan datang bergantunglah kepada kerajaan Pakatan Rakyat membuktikan kejayaan mereka memerintah Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan? Bagi kaum bukan Melayu/bumiputera seperti kaum Cina dan India serta suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak jangan pandang mudah bahawa setiap peralihan kuasa yang berlaku akan memberi faedah berganda kepada rakyat. Sesiapa pun boleh menjanjikan bulan dan bintang demi untuk mencapai kemenangan dalam PRU tetapi kemampuan terjawab selepas memerintah, tertunaikah janji itu? Inilah yang perlu diteliti dan dikaji oleh setiap rakyat yang layak mengundi dalam PRU yang akan datang. Ingat pesan orang tua, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak beguna lagi".  

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"