Friday, June 10, 2011

SIAPA KATA PAS PUNCA UMAT ISLAM/MELAYU BERPECAH SESAMA SENDIRI?

UMNO didakwa kafir, taghut, anti Islam, yahudi, mengamalkan perlembagaan penjajah kerana mahu orang Islam menjauhkan diri dari UMNO. PAS pula dilaung-laungkan sebagai parti yang memperjuangkan Islam, tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan untuk menegakkan Islam, usaha menubuhkan negara Islam, kilang-kilang arak akan ditutup, hukum hudud akan dilaksanakan, lesen-lesen judi akan dihapuskan hingga umat Islam percaya dan yakin bahawa PAS sebuah parti amat ikhlas dalam perjuangannya.
Umat Islam akhirnya menjadi dua puak besar, puak PAS dan UMNO. Pulau memulau berlaku, solat jemaah berlaku dua imam, ada sesetengah tempat ada dua surau, satu warna hijau dan satu lagi warna biru, kenduri kahwin pula memilih, kenduri rumah siapa, orang kita atau orang depa? Kalau orang kita pergi awal balik lambat tapi kenduri orang depa pi lambat balik awal, sekadar tunjuk muka sebagai jiran atau kawan yang tak ikhlas. Bukan setakat solat berjemaah di surau dan masjid menjadi dua imam malahan urusan jenazah pun berpuak-puak. Jika puak hijau, ditakbirkan 3 x menunjukkan si mati adalah orang kita. Sudah pasti mengikut fatwa TG Nik Aziz sokong PAS masuk syurga. Jika orang UMNO mati, ada yang boikot lihat jenazah dari jauh sahaja walaupun satu kampung atau jiran sebelah rumah.
Inilah yang berlaku kepada umat Islam hari ini akibat dakwa-dakwi PAS terhadap UMNO. Seolah-olah UMNO bukan orang Islam malahan  UMNO itu lebih kafir daripada DAP. Itulah yang membenarkan orang Islam bersahabatkan dengan DAP daripada bersahabat baik dengan UMNO. Dengan kata lain, orang Melayu lebih baik jadi ahli DAP daripada jadi ahli UMNO. Itulah hakikatnya yang berlaku sekarang. Orang Melayu yang kuat suatu masa dulu kini semakin lemah kerana berpecah sesama sendiri angkara isu hukum hudud dan negara Islam yang dibawa oleh PAS dan pemimpinnya.
Tapi semasa Muktamar PAS baru-baru ini, Presiden PAS telah mengejutkan semua orang Melayu terutama ahli PAS yang taksub kepada perjuangan asal PAS. Perjuangan PAS bukan lagi sebuah negara Islam kerana TG Haji Hadi menegaskan kepada perwakilan PAS bahawa dalam al-Quran tidak sebut pun 'negara Islam'. Eloklah sesudah umat Islam berpecah belah dan berpuak-puak lebih 30 tahun hingga menjadi bangsa yang terlalu lemah baru Presiden PAS dapat mengkhatamkan al-Quran dan menjelaskan kepada perwakilan bahawa hanya 'negara berkebajikan' mengikut kehendak Islam atau al-Quran. Kenapa jadi begitu? Jawapannya mudah sahaja, iaitu:
1. Semasa PAS bersendirian, UMNO menjadi halangan. Nak lawan UMNO mesti menggunakan isu agama seperti hukum hudud dan negara Islam. Biarpun mereka tahu bahawa UMNO juga orang Melayu dan Islam tapi kerana politik untuk berkuasa, pemimpin PAS perlu menafikan bahawa UMNO itu juga baik dan memperjuangkan Islam seperti yang kita dapat saksikan hari ini. PAS tidak takut mereka-reka isu dan malahan fitnah terhadap UMNO kerana mungkin jaminan syurga oleh TG Nik Aziz menyebabkan "matlamat menghalalkan cara".
2. Semasa PAS bersama Pakatan Rakyat. PAS memahami dasar perjuangan PAS dan DAP ibarat langit dengan bumi. Satu perjuangkan Islam dan satu lagi anti Islam. Dasar perjuangan DAP begitu konsisten semasa bersendirian mahupun semasa berada dalam Pakatan Rakyat. DAP tidak takut untuk keluar Pakatan. Sebaliknya PAS takut keluar daripada Pakatan. PAS memerlukan sokongan pengundi bukan Melayu. Untuk serasi dengan dasar perjuangan Pakatan Rakyat yang dikuasai oleh DAP dan PKR, PAS terpaksa mengorbankan dasar perjuangan asalnya. PAS menjadi parti yang semakin liberal hingga dulu tak boleh tapi hari ini dah boleh. Semua ini kerana PAS mempertuhankan politik untuk berkuasa, sanggup tunduk dasar perjuangan Pakatan Rakyat yang langsung tidak menyebut tentang penubuhan negara Islam.
Begitulah PAS yang kita kenali hari ini, PAS yang menolak kepimpinan ulamak. PAS yang mempertahankan pemimpin rasuah, mengamalkan seks luar tabii, dikaitkan dengan kes khalwat dan sebagainya. PAS yang  sanggup menggadaikan dasar perjuangan asalnya. PAS yang menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam, menolak persahabatan sesama umat Islam demi kerana politik untuk berkuasa. Rakyat terlalu bimbang, mungkin PAS untung dalam jangkamasa yang pendek tapi dalam jangkamasa yang panjang PAS akan rugi. Umat Islam akan menanggung kerugian akibat perhitungan salah yang dilakukan oleh PAS. Apakah umat Islam di Malaysia sekali lagi mahu masa depan anak, cucu cicit mereka sekali lagi dicatur oleh kepimpinan PAS hari ini yang ingin mencuba pula dengan perjuangan 'negara berkebajikan'. Jika 'negara Islam' pun PAS gagal, apatah lagi dengan negara berkebajikan sedangkan pemerintahan BN sekarang ini  telah lama melaksanakannya. Yang pasti perjuangan PAS ibarat "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran".

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"