"Sesiapa yang melakukan jenayah tak kira dia itu ikan bilis, ikan besar ataupun ikan yu, kita akan siasat".
Itu reaksi Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan ketika diminta mengulas mengenai gesaan beberapa pemimpin DAP supaya polis menghentikan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kerana mendakwa bekas pegawai khas Exco Selangor, Teoh Beng Hock mati dibunuh.
Beliau sebaliknya berkata, kenyataan Guan Eng itu boleh menghasut serta mengelirukan orang ramai supaya membenci agensi kerajaan.
"Inkues (kematian Beng Hock) masih berjalan...Kenyataan ini satu pembohongan dan adalah menjadi satu kesalahan bercakap mengenai perkara itu," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan terhadap Guan Eng ekoran kenyataannya pada konvensyen Pakatan Rakyat di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Komen:
Siasatan terhadap Setiausaha Agung DAP itu adalah bermotifkan politik. Itulah cakap-cakap politik pembangkang. Inkues kematian Beng Hock juga atas desakan pembangkang, masih berjalan sehingga sekarang. Kelihatan kematian Beng Hock terlalu istimewa bagi pembangkang. Kerajaan Selangor sanggup membelanjakan puluhan ribu ringgit untuk majlis pengkebumian mayat Beng Hock. Itu semua bukankah kerja-kerja politik puak pembangkang? Pakatan Rakyat mahukan keadilan. Oleh itu biarlah polis melaksanakan siasatan ke atas Guan Eng demi untuk keadilan tanpa memilih warna kulit, pangkat darjat, dan ideologi politik. Tuduhan Guan Eng (Beng Hock dibunuh) amat serius. Seorang Ketua Menteri, pemerintah sebuah negeri dan seorang ahli parlimen tidak sepatutnya membuat tuduhan sewenang-wenangnya terutama inkues kematian BH masih berjalan. Apa ertinya jika mahkamah belum jatuhi hukuman tetapi ada tokoh tertentu sudah pun membuat keputusan mendahului mahkamah? Kerana Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP maka siasatan terhadapnya dikatakan bermotof politik? Demi keadilan untuk semua, semua pihak perlu akur bahawa siasatan terhadap Guan Eng bukan bermotif politik. Peringatan juga kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang yang banyak membuat tuduhan-tuduhan tanpa asas dalam ceramah-ceramah politik mereka supaya lebih berhati-hati. Rakyat sudah bosan dengan politiking keterlaluan dan berpanjangan oleh pembangkang. Terlalu banyak politiking, kebajikan rakyat terabai.
Tuduhan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bahawa Utusan Malaysiaseperti penjahat yang perlu dijauhi, menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berpura-pura tidak tahu peranan akhbar vernakular di negara ini.
Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong berkata, kenyataan Guan Eng itu memperlihatkan kelicikan beliau sebagai pemimpin parti politik yang sentiasa bersedia mensensasikan sesuatu isu.
Beliau yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM menjelaskan, para pembaca akhbar di negara ini termasuk Guan Eng pasti memahami kecenderungan sesebuah akhbar vernakular memperjuangkan isu berkaitan bangsa diwakili.
"Apa yang peliknya apabila Utusan perjuangkan kepentingan Melayu seperti China Press memperjuangkan nasib Cina manakala Tamil Nesan mengutarakan isu-isu kaum Tamil?
"Tapi persoalannya mengapa Guan Eng hanya memfokus kepada Utusan Malaysia? Dia pasti sedar peranan akhbar lain yang berasaskan kaum. Ini yang dikatakan ahli politik, pura-pura tak tahu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kok Seong mengulas kenyataan Guan Eng menyamakan akhbar ini seperti penjahat yang perlu dijauhi kerana mendakwa ia sering menyiarkan artikel fitnah serta menyemarakkan sifat perkauman di negara ini.
Kok Seong menambah, tindakan Guan Eng itu menyemarakkan lagi sifat perkauman di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Lagipun, mengapa Utusan digelar sebegitu (penjahat) sedangkan semua orang yang banyak membaca tahu peranan akhbar itu memperjuangkan nasib kaum Melayu sejak sebelum merdeka lagi, ia bukan perkauman," tegasnya.
Pensyarah Pusat Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Mohamad Md. Yusoff menegaskan kenyataan Guan Eng itu tidak berasas tetapi menunjukkan sifat perkauman beliau yang menebal.
Katanya, walaupun Guan Eng mengetahui peranan akhbar ini dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan Melayu, beliau tetap mempersoalkannya.
"Inilah sikap dan persepsi pemimpin pembangkang yang akan mempersoal setiap perkara apabila tidak menyebelahi atau boleh dimanipulasi mereka.
"Utusan tidak harus tunduk kerana apa yang diperjuangkan adalah demi kepentingan Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya selagi tidak mengusik hak kaum lain," katanya.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali pula berkata, Guan Eng patut mencermin diri dahulu sebelum melabelkan pihak lain dengan gelaran negatif seperti penjahat.
"Guan Eng merupakan Ketua Menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang memijak atau melangkah gambar pemimpin Melayu baru-baru ini, jadi tanya dia siapa lagi jahat dan perkauman," soalnya.
IPOH 13 Dis. - Perpaduan di kalangan orang Melayu berada pada tahap membimbangkan dan mereka perlu kembali kepada ajaran Islam sebenar jika mahu mengukuhkannya, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria (gambar).
Menurut tokoh agama itu, Islam tidak mengajar umatnya berkelahi sesama sendiri hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik dan ideologi.
''Kita kena sedar betapa perlunya kita bersatu. Berbeza fahaman politik dan ideologi, tidak semestinya kita harus berkelahi sesama Islam.
''Orang Melayu kena kembali pada agama. Kita lemah kerana kita ingkar dengan perintah Allah SWT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Harussani, perpecahan di kalangan orang Melayu menyebabkan pihak-pihak tertentu mudah mengambil kesempatan untuk terus melemahkan mereka.
Katanya, antara strategi yang dilakukan oleh pihak-pihak terbabit dalam usaha memecah-belahkan orang Melayu ialah memuji tindakan-tindakan yang hanya akan lebih melebarkan lagi jurang perpecahan tersebut.
Tegas beliau, tindakan beberapa pemimpin pembangkang yang mempersoalkan kedudukan raja- raja Melayu dan agama Islam yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan berlaku sekiranya orang Melayu bersatu.
''Manusia ini akan jadi melampau kerana mereka berasa mereka kuat. Orang Melayu mesti sedar keadaan ini.
''Jangan biarkan perpaduan kita lemah kerana terpengaruh dengan orang lain, terpengaruh dengan pujian-pujian yang ada muslihat lain," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sikap orang Melayu yang terlalu berlembut menyebabkan pihak-pihak berkepentingan tersebut semakin berani.
KUALA LUMPUR 8 Dis. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menggunakan orang Melayu untuk menghancurkan sendiri orang Melayu.
Anuar Shaari yang pernah menjadi Setiausaha Sulit Anwar berkata, walaupun begitu, masih ada yang tidak menyedari gerakan liciknya itu mampu menghancurkan bangsa tersebut dan Islam.
“Dia sememangnya licik mengatur strategi politik sehingga menyebabkan sebilangan orang Melayu menjadi begitu taksub kepadanya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali bahawa orang Melayu akan hancur jika terus menyokong Anwar dan konco-konconya.
Ibrahim berkata, Anwar sanggup menjanjikan ‘bulan dan bintang’ kepada Pas dan DAP tanpa memikirkan kepentingan dan nasib orang Melayu dan Pas.
Anuar menambah, setelah Anwar dibebaskan dari penjara pada 2004, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berjaya mencabut akar orang Melayu di dalam PKR.
“Dia mengatakan PKR adalah parti pelbagai kaum dengan berteraskan orang Melayu tetapi selepas 2004, itu semua telah bertukar,” katanya.
Anuar memberitahu, ketika berceramah di hadapan orang Melayu, pemimpin pembangkang itu menunjukkan dirinya sebagai juara kepada kaum itu menyebabkan mereka percaya setiap apa yang dikatakannya.
“Tetapi apabila di depan kaum lain, Anwar cakap lain. Dia memang pandai menggunakan kebolehan perhubungan awamnya itu,” katanya.
Katanya, Anwar sanggup melakukan apa sahaja cara untuk mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri Malaysia.
“Sebab itu dia akan berusaha walau apa cara sekalipun. Hubungannya dengan beberapa pihak di luar negara juga amat jelas walau sebanyak mana dia nafikan. Itu semua untuk kepentingan peribadinya,” katanya.
Sehubungan itu, Anuar menasihatkan orang Melayu yang masih percayakan Anwar supaya sedar dan meninggalkannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang dari DAP, Koid Teng Guan mengaku menyebarkan khidmat pesanan ringkas yang memperlekeh dan menghina Barisan Nasional (BN) ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sedang rancak berjalan, Selasa lalu.
SMS yang ditulis dalam bahasa Cina yang menyeru rakyat Pulau Pinang untuk 'kebumikan' BN dan bersembahyang untuk roh mereka pada perayaan 'Qing Ming' itu dipercayai disebarkan kepada lebih 400 individu.
Bagaimanapun, beliau yang menyesali perbuatan berkenaan tidak dapat menjelaskan bilangan SMS yang dihantarnya selepas memperolehnya daripada salah seorang penyokong parti pakatan pembangkang itu.
Sehubungan itu Teng Guan membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengakui perbuatan tersebut tidak sewajarnya dilakukan oleh seorang wakil rakyat sepertinya.
''Saya ikhlas ingin meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan menyebar SMS 'jenaka' terhadap parti politik lawan," katanya pada sidang akhbar di Bilik Mesyuarat DUN di sini hari ini.
Difahamkan, ADUN Sungai Pinang itu menyebarkan SMS berkenaan semasa sidang DUN sedang berjalan kira-kira pukul 12 tengah hari.
Dalam pada itu, Setiausaha Biro Publisiti, Informasi dan Komunikasi Gerakan, Dr. Thor Teong Gee menggesa Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya meminta Teng Guan meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat. Beliau menegaskan, sebagai seorang yang dipilih oleh rakyat, Teng Guan telah menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai etika kerana bertindak sedemikian. "Kejadian terbaru SMS ini menunjukkan beliau tidak menumpukan perhatian kepada prosiding sidang DUN. ''Sebelum ini, beliau juga pernah 'ditangkap' menghantar soalan bertulis yang ditiru daripada bekas ADUN Datuk Keramat, maka sudah jelas ADUN Sungai Pinang ini tidak pernah insaf,'' katanya pada sidang akhbar di Bilik Pembangkang di DUN.
Beginilah perangai huduh dan jijik pemimpin pembangkang yang menjadi wakil rakyat. Baru sahaja pemimpin DAP Perak mohon maaf kerana pemimpin-pemimpin DAP termasuklah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang memijak poster tiga calon bebas DUN Perak. Pelbagai pihak NGOs dan juga pemimpin pembangkang yang lain mengkritik perbuatan yang tidak beretika itu. Apakah pemimpin BN pernah melakukan perbuatan sedemikian rupa? Setahu aku pemimpin BN paling bersopan walaupun setinggi mana marah meluap-luap mereka tidak melakukan perbuatan sekutuk itu. Fikirlah wahai semua rakyat Malaysia yang masih 'belum celik' dan nampak telatah dan lakonan pemimpin pembangkang itu.
Tindakan beberapa pemimpin DAP memijak poster tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas Perak, ketika menghadiri konvensyen parti itu di Ipoh kelmarin sememangnya tidak boleh dimaafkan. Perangai macam budak-budak. Sangat buruk dan huduh kerana hati mereka yang sangat busuk. Perbuatan yang tidak masuk akal dan melampaui batas kesusilaan.
Tuan Lim Guan Eng bukan pelajar sekolah sebaliknya seorang Ketua Menteri, ketua kepada sebuah kerajaan negeri juga Setiausaha Agung DAP Pusat langsung tidak mencerminkan sikap pemimpin yang rasional dan berbudi mulia. Saya sangat malu menjadi rakyat Pulau Pinang yang mempunyai seorang Ketua Menteri yang bersikap buruk seperti orang yang tidak siuman. Marah macam mana sekalipun jagalah maruah dan peradaban sebagai seorang pemimpin tertinggi negeri. LGE selaku pemimpin kerajaan negeri tidak sepatutnya berkelakuan seperti itu. Apakah karekter Saidina Umar Abdul Aziz yang mahu dibawa oleh LGE seperti itu? Pemimpin agung Islam tidak seperti itu. Jangan memalukan dan merosakkan nama baik pemimpin Islam.
Setahu saya belum pernah dalam sejarah Malaysia ada pemimpin negara di kalangan UMNO, MCA, Gerakan dan MIC melakukan perbuatan itu? Biarpun mereka terlalu marah ataupun kecewa sekalipun terhadap pembangkang tetapi tidak sampai hingga memijak-mijak gambar pemimpin atau bendera parti PAS atau DAP atau PKR? Tapi semua ini pernah dilakukan oleh pemimpin dan penyokong DAP dan PAS. Tetapi pemimpin pembangkanglah juga yang selalu melaung-laungkan perjuangan untuk kebebasan dan demokrasi. Sebaliknya merekalah juga yang menghancurkan amalan demokrasi di negara ini. Ibarat kata pepatah Melayu, " Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia (pembangkang) yang lebih".