Saturday, June 26, 2010

Tok Deris tak hairan penganut Buddha, Hindu, Kristian menyertai PAS!

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menegaskan, parti itu tidak gentar dengan kemasukan 40 orang yang berlatar belakang agama menyertai Umno.
Katanya, kalau beribu-ribu menyertai Umno pun PAS tidak takut, lebih-lebih lagi yang menyerahkan borang semalam adalah mereka yang tidak diketahui langsung dari mana kedudukan mereka di tengah-tengah masyarakat. PAS juga yakin bahawa Umno bukan tempat untuk orang agama berjuang. Tok Deris tak hairan ulamak menyertai UMNO! Tapi Tok Deris tahu tak orang Melayu/Islam tersangat hairan kenapa penganut agama Buddha, Hindu, Kristian, Bahai, Silkh  boleh menyertai PAS. Orang Melayu/Islam sangat hairan kenapa PAS sanggup memperalatkan agama untuk mencapai tujuan politik. Tahu tak orang Melayu/Islam sangat hairan kenapa PAS menolak hubungan persaudaraan sesama Islam yang menjadi tuntutan agama sebaliknya memilih untuk bersama dengan PKR dan DAP yang terus-terang menentang penubuhan negara Islam [Baca sini]. Lagi umat Islam hairan kerana pemimpin PAS masih terus menerus menghalalkan kalimah ALLAH Yang Maha Esa disalahgunakan oleh puak Kristian [Baca sini]. .YB Zulkifli Nordin, ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu berkata, "Saya sangat sedih melihat parti yang dahulunya dikenali dengan perjuangan Islam yang jelas, dan menjadi harapan sebahagian orang Melayu untuk membawa agenda perjuangan mendaulatkan Negara Islam dan Daulah Islamiyyah, boleh bersekongkol dengan perkara saperti ini". Hairan dan hairan lagi umat Islam terhadap pemimpin PAS bila mana mereka membenarkan rakan-rakan bukan Islam dari DAP membaca ayat suci al-Quran dalam program mereka.  [Baca sini]. Oleh itu Tok Deris tak hairanlah ulamak-ulamak muda hari ini mulai menolak perjuangan PAS dan sebaliknya menerima UMNO sebagai wadah perjuangan mereka. 
Justeru itu, ulamak-ulamak muda lebih yakin dengan perjuangan UMNO yang lebih konsisten dan relevan dengan orang-orang Melayu dan agama Islam. Dan akan lebih ramai lagi golongan ulamak-ulamak muda serta anak-anak muda menyertai UMNO selepas ini, insyaAllah.

Friday, June 18, 2010

MELAYU DAN ISLAM MENJADI SEMAKIN TIDAK MENENTU DENGAN DASAR PAS YANG SELALU BERUBAH!

Presiden Pas, Hj Hadi Awang telah mengatakan bahawa Umno sebenarnya telah ditaja oleh pihak British bagi melawan perjuangan Islam. Hj Hadi juga berkata bahawa Umno juga sebenarnya ditubuhkan oleh British bagi menentang gerakan Islam di negara ini yang di inspirasikan oleh Parti Syarikat Islam di Indonesia. Hj Hadi berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ceramah sempena Muktamar Tahunan Pas ke 56 yang bertempat di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan. Majlis ceramah tersebut turut dihadiri oleh tokoh-tokoh parti Islam dari Filipina, Maldives dan juga Palestin.
Pemimpin PAS ini telah tersepit dalam perjuangannya. Beliau mahu memberitahu kepada tetamu kehormat dalam muktamar itu bahawa UMNO yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini adalah bukan Islam. Cerita UMNO semasa zaman British memerintah Tanah Melayu kira-kira 50 tahun dulu masih dibawa oleh Hj. Hadi seolah-olah UMNO dulu semasa British dan UMNO sekarang masih tidak berubah. Sedangkan UMNO sudah jauh berubah dari dasar perjuangan sebelum merdeka hingga selepas merdeka. Kenapa pemimpin PAS yang bergelar ulamak sanggup menyembunyikan kebenaran sebaliknya memutar belitkan fakta sejarah dan mengatakan pula bahawa  perjuangan Islam Pas wujud lebih lama dari Umno.
Apakah pemimpin-pemimpin luar negara seperti Filipina, Maldives dan Palestin boleh diauta begitu mudah? Melainkan jika pemimpin yang dijemput itu datangnya dari puak-puak pembangkang dari negara-negara mereka sudah tentu mereka 'tidak nampak' kerana hati mereka telah dibutakan. Inilah sikap pemimpin PAS yang menjadi saingan UMNO sejak dulu, sebelum merdeka. Perlembagaan UMNO dikatakan mewarisi perlembagaan British, perjuangan UMNO disamakan dengan perjuangan zionis yahudi, UMNO tidak Islam, orang UMNO dikafirkan, dan sebagainya. Perpecahan di kalangan orang Melayu semakin ketara hingga Melayu menjadi lemah di tanah air sendiri. Dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan, sesuatu bangsa yang menjadi majoriti penduduk akan jadi lemah jika tidak bersatu. Inilah hakikatnya yang sedang berlaku di kalangan orang Melayu di Malaysia hari ini. 
Pemimpin PAS sudah membuat keputusan, berkerat rotan dan berpatah arang dengan UMNO. PAS lebih yakin dengan DAP dan PKR untuk membela nasib orang-orang Melayu dan agama Islam di Malaysia. Pemimpin PAS tidak percaya dan yakin dengan UMNO walaupun pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO 99% adalah umat Muhammad SAW, satu bangsa dan satu bahasa dengan ahli-ahli PAS. Malahan ada di antara mereka ada hubungan pertalian persaudaraan, satu keluarga, sepupu poyang ataupun dari satu rumpun nenek moyang yang sama. Oleh kerana idealisme politik yang berbeza, Melayu berpecah dan semakin lemah. Pada tahun-tahun 1970an, berlaku solat jemaah dua imam, sembelihan orang UMNO haram, kenduri orang UMNO diboikot dan sebagainya angkara fahaman ekstrem pemimpin PAS tertentu dan pemimpin PAS itu di antaranya masih hidup hingga sekarang. Oleh kerana sikap ekstrem PAS ini merugikan PAS sendiri, maka dasar perjuangan PAS telah berubah secara drastik.
PAS mulai mendekati penyokong-penyokong bukan Islam. PAS sedar tanpa sokongan orang bukan Islam, PAS tidak akan menjadi parti yang berpengaruh di Malaysia. Pemimpin PAS terpaksa kunyah dan telan mahupun terlalu pahit dengan dasar baru PAS. Fatwa UMNO kafir tidak bunyi lagi kerana fatwa ini akan menakutkan bangsa lain kepada PAS. Perjuangan menubuhkan negara Islam terpaksa dikorbankan kerana usaha ini mendapat tentangan kuat dari rakan dalam Pakatan Rakyat terutama DAP. Pelaksanaan Hukum Hudud sudah tidak lagi menjadi bahan ceramah pemimpin-pemimpin PAS kini. Malahan PAS bergerak setapak lagi sanggup melunturkan identitinya sebagai parti Islam dan parti majoriti orang Melayu dengan Dewan Ulama PAS Pusat meluluskan orang bukan Islam boleh menjadi anggota Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bertanding pilihan raya atas tiket PAS. Ini selari dengan luahan pendapat pemimpin PAS sendiri yang sering berkata orang bukan Melayu boleh memimpin Pas dan menjadi Perdana Menteri asalkan dia Islam. Dalam erti kata yang lain, seorang penganut Kristian, Hindu atau Buddha boleh menjadi calon Pas dan mengambil bahagian dalam kepemimpinan Pas jika dia menang. 
Beginilah perubahan dasar perjuangan PAS yang semakin meminggirkan kuasa Melayu dan memperkasakan kuasa bukan Melayu dan bukan Islam dalam iklim politik di Malaysia yang semakin kompleks. Perlu diingat apakah PAS mampu mendepani ideologi DAP yang tegar dan sentiasa konsisten dan PKR yang terumbang ambing. Apakah PAS merasakan lebih mudah mengislamisasikan pemimpin DAP dan PKR berbanding dengan pemimpin UMNO? Apakah PAS cuba memberi alternatif kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang tidak serasi dengan dasar perjuangan DAP dan PKR? Dan apakah pemimpin PAS sedar bahawa pemimpin DAP dan PKR mulai curiga dengan dasar baru PAS terhadap penyokong bukan Islam? Mengapa PAS sebagai sebuah parti Islam telah sanggup mengorbankan identiti kerana hanya politik untuk berkuasa? Politik orang Melayu dan Islam mempunyai masa depan yang semakin tidak menentu dengan dasar PAS yang selalu berubah dan mengikut keadaan bukan mengikut prinsip perjuangan. Takut perjuangan PAS ibarat kata pepatah Melayu, "Yang dikejar tak dapat, yang dikendung keciciran". Oleh itu orang-orang Melayu dan bumiputera amnya  perlu berfikir banyak kali untuk menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. Yang pasti UMNO/BN telah terbukti dan semakin menuju ke puncak kejayaan di bawah kepimpinan DS Najib dengan konsep "1 Malaysia: Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".

Tuesday, June 15, 2010

PAS bukan lagi parti Islam lagi tapi parti pelbagai agama!

Keputusan PAS membuka keahlian PAS untuk bukan Islam dan membenarkan PAS menerima bukan Islam sebagai calon PAS adalah sesuatu yang pelik tapi benar. Mungkin ada sesuatu yang tersurat dan tersirat dalam politik Malaysia yang semakin canggih dan kompleks ini. Kini PAS bukan parti Islam  tetapi  sebuah parti berbilang agama. Ada perwakilan dalam Muktamar PAS melahirkan perasaan khuatir tentang dasar PAS yang terlalu mementingkan keuntungan politik hingga dasar perjuangan PAS semakin terbabas. Penyokong-penyokong tradisi PAS adalah orang-orang Melayu beragama Islam mulai disisihkan kerana pemimpin PAS hari ini mahu menarik lebih banyak penyokong-penyokong PAS dari kalangan bukan Islam. Orang-orang PAS di bawah sana, di kampung-kampung kena faham dan perlu ingat bahawa tuduhan PAS bahawa orang UMNO kafir kerana berpakat dengan MCA dan MIC adalah tidak lagi benar . Jika masih didakwa UMNO kafir kerana berpakat dengan parti-parti yang bukan Islam tapi bagaimana pula parti PAS yang bukan sahaja berpakat dengan DAP dan PKR malahan ahli-ahli PAS juga sudah ada bukan Islam? Di samping itu juga PAS telah membenarkan calon bukan Islam mewakil PAS dan menggunakan lambang PAS dalam pilihanraya yang akan datang. Ini bukan fitnah dari UMNO kepada PAS. Ini cerita benar yang dicipta oleh pemimpin PAS sendiri. Muktamar PAS baru-baru ini telah mendedahkan pembohongan dan retorik pemimpin PAS dalam menggapai cita-cita ke Putrajaya bersama DAP dan PKR.
PAS sendiri mengakui gagal melaksanakan hukum hudud di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat dengan alasan halangan dari kerajaan pusat tanpa menjelaskan kepada hadirin muktamar apakah jenis halangan oleh kerajaan pusat. Tapi pemimpin-pemimpin PAS masih menjaja bahawa UMNO tolak hudud atau Tun Mahathir menolak hukum hudud. Tun Mahathir semasa jadi PM pernah beri 'green light' kepada TG Nik Aziz, MB Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud. Tapi kenapa tidak dilaksanakan dan kenapa pula TG Haji Hadi Awang pula memberi komen bahawa hukum hudud cuma 0.001% dari undang-undang syariah [Ulasan sebenarnya]. Atau pemimpin PAS mulai senyap dan tidak lagi lantang untuk menubuhkan sebuah negara Islam setelah Karpal Singh sergah dengan berkata,"over my dead body".  Mungkin kerana itu pemimpin PAS mulai mengambil pendekatan berbaik-baik dengan pemimpin DAP dan PKR sehinggalah pelbagai isu berkaitan dengan dasar perjuangan PAS mulai dipersoalkan oleh penyokong-penyokong PAS akar umbi. [Baca sini]

Sunday, June 6, 2010

Perpaduan parti perlu diutamakan oleh pemimpin UMNO!

Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Begitulah bunyi pepatah Melayu yang sangat mudah difahami. Jika pemimpin UMNO ikut hati, Umno akan mati dan jika pemimpin UMNO ikut perasaan, UMNO akan binasa. Yang membimbangi kita bukan masalah ahli-ahli UMNO tapi masalah pemimpin UMNO yang sudah mulai lupa. Lupa pada janji dan lupa pada prestasi diri dalam kepimpinan UMNO Bahagian. Pemimpin juga punca wujudnya puak-puak dalam parti. Parti jadi lemah bila ada pemimpin yang terlalu pentingkan diri sendiri. Pemimpinlah punca kepada perpecahan dalam parti dan parti yang berpecah akan menjadi lemah. BN pernah kalah dalam PRU atau PRK kerana pemimpin UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak bersatu.

Kekuatan UMNO sangat bergantung kepada cara pemimpin UMNO berfikir dan bertindak. Pemimpin UMNO mesti mencermin diri. Bermuhasabah diri. Lebih bijak jika dapat berkompromi dalam meletak calon-calon pilihan dalam PRU/PRK. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu mengenepikan kepentingan diri untuk memastikan UMNO dihormati dan BN menang dalam PRU akan datang. Jika pemimpin UMNO tamak dan haloba, kepentingan diri mengatasi kepentingan parti, sudah pasti UMNO akan hancur. Apa guna BN/UMNO menang dalam PRU akan datang jika ahli-ahli UMNO tidak bersatu dan UMNO jadi parti yang sangat lemah. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga dan apa guna menang sorak tetapi kampung tergadai.

Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di kawasan Melayu, Balik Pulau, Pulau Pinang perlu memikirkan kepentingan parti dari kepentingan diri. Rakyat sudah mulai memerhati dan sudah bijak menilai sejauh mana keikhlasan dan kejujuran pemimpin UMNO. Jangan sampai pengundi menghukum calon UMNO/BN dalam PRU akan datang kerana ketamakan diri. Jangan rakyat jadi mual dan bosan dengan sikap pemimpin UMNO yang bertelagah dan bersaing sesama sendiri. Utamakanlah parti demi untuk menjaga kepentingan masa depan orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Rakyat dan pengundi-pengundi terutama ahli-ahli UMNO sudah dapat meneropong telatah pemimpin tertentu. Ahli-ahli UMNO dapat menilai kejujuran dan keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO tertentu. UMNO mempunyai pemimpin pelapis yang lebih hebat. Kenapa disekat dan berilah peluang untuk mereka berbakti kepada parti, bangsa dan agama. Yang terlalu lama, eloklah beri laluan kepada kawan rakan yang lain. Tun Mahathir pernah berkata "Biar kita mengundur diri sebelum rakyat benci kepada kita". Nasihat Tun Mahathir amat tepat untuk sama-sama kita renungi!
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"