Sunday, June 6, 2010

Perpaduan parti perlu diutamakan oleh pemimpin UMNO!

Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Begitulah bunyi pepatah Melayu yang sangat mudah difahami. Jika pemimpin UMNO ikut hati, Umno akan mati dan jika pemimpin UMNO ikut perasaan, UMNO akan binasa. Yang membimbangi kita bukan masalah ahli-ahli UMNO tapi masalah pemimpin UMNO yang sudah mulai lupa. Lupa pada janji dan lupa pada prestasi diri dalam kepimpinan UMNO Bahagian. Pemimpin juga punca wujudnya puak-puak dalam parti. Parti jadi lemah bila ada pemimpin yang terlalu pentingkan diri sendiri. Pemimpinlah punca kepada perpecahan dalam parti dan parti yang berpecah akan menjadi lemah. BN pernah kalah dalam PRU atau PRK kerana pemimpin UMNO dan ahli-ahli UMNO tidak bersatu.

Kekuatan UMNO sangat bergantung kepada cara pemimpin UMNO berfikir dan bertindak. Pemimpin UMNO mesti mencermin diri. Bermuhasabah diri. Lebih bijak jika dapat berkompromi dalam meletak calon-calon pilihan dalam PRU/PRK. Pemimpin-pemimpin UMNO perlu mengenepikan kepentingan diri untuk memastikan UMNO dihormati dan BN menang dalam PRU akan datang. Jika pemimpin UMNO tamak dan haloba, kepentingan diri mengatasi kepentingan parti, sudah pasti UMNO akan hancur. Apa guna BN/UMNO menang dalam PRU akan datang jika ahli-ahli UMNO tidak bersatu dan UMNO jadi parti yang sangat lemah. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga dan apa guna menang sorak tetapi kampung tergadai.

Oleh itu pemimpin-pemimpin UMNO khususnya di kawasan Melayu, Balik Pulau, Pulau Pinang perlu memikirkan kepentingan parti dari kepentingan diri. Rakyat sudah mulai memerhati dan sudah bijak menilai sejauh mana keikhlasan dan kejujuran pemimpin UMNO. Jangan sampai pengundi menghukum calon UMNO/BN dalam PRU akan datang kerana ketamakan diri. Jangan rakyat jadi mual dan bosan dengan sikap pemimpin UMNO yang bertelagah dan bersaing sesama sendiri. Utamakanlah parti demi untuk menjaga kepentingan masa depan orang-orang Melayu di Pulau Pinang. Rakyat dan pengundi-pengundi terutama ahli-ahli UMNO sudah dapat meneropong telatah pemimpin tertentu. Ahli-ahli UMNO dapat menilai kejujuran dan keikhlasan pemimpin-pemimpin UMNO tertentu. UMNO mempunyai pemimpin pelapis yang lebih hebat. Kenapa disekat dan berilah peluang untuk mereka berbakti kepada parti, bangsa dan agama. Yang terlalu lama, eloklah beri laluan kepada kawan rakan yang lain. Tun Mahathir pernah berkata "Biar kita mengundur diri sebelum rakyat benci kepada kita". Nasihat Tun Mahathir amat tepat untuk sama-sama kita renungi!

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"