Thursday, February 3, 2011

Peprecahan lemahkan bangsa Melayu: Tun Mahathir

KUALA LUMPUR - Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.

“Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

“Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita,” katanya ketika berucap pada wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai ‘Bangsa Melayu dan Masa Depannya’ di Memorial Tun Hussein Onn di sini, semalam.

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata, kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya Pas, sebagai parti serpihan UMNO.

“Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang-orang yang kecewa (daripada UMNO) menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR.

“Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang berpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita,” katanya.

Menurutnya, ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

“Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu ‘identify’ diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang ‘tongkat’, hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

“Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

“Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku,” kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.
Sumber: Sinar Harian 2/2/2011

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"