Monday, September 8, 2008

Jakim pertahan tindakan terhadap Raja Petra

PUTRAJAYA 7 Sept. - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan tindakannya membuat laporan polis terhadap Raja Petra Kamaruddin berhubung artikelnya dalam blog Malaysia Today yang didakwa menghina Islam dan Rasulullah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, laporan polis terhadap penulis blog itu amat perlu untuk membendung kegelisahan di kalangan orang Islam yang berasa tersinggung apabila kesucian agama mereka dihina.

Beliau berkata, dengan laporan polis itu, tidak bermakna Jakim tidak boleh berdialog dengan penulis blog itu bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya.

"Kami mengambil langkah pentadbiran sesuai dengan kedudukan Jakim sebagai sebuah agensi Pusat untuk mencegah dan membendung kegelisahan di kalangan rakyat terutama orang Islam.

"Jadi saya menolak andaian sesetengah pihak kononnya langkah yang diambil oleh Jakim ini sebagai tidak tepat sebaliknya perlu berdialog dengan penulis blog tersebut,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini yang memetik Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin sebagai berkata, tindakan empat agensi Islam termasuk Jakim membuat laporan polis terhadap Raja Petra adalah tidak tepat.

Mohd. Asri sebaliknya menegaskan, Jakim sepatutnya mengadakan sesi dialog dengan Raja Petra bagi memperbetulkan akidah dan fahamannya terhadap Islam sebagai langkah pertama bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam hubungan ini, Wan Mohamad berkata, Jakim bersedia pada masa bila-bila masa untuk mengadakan sesi dialog dengan mana-mana pihak dan selama ini pihaknya memang sering mengadakan dialog seumpama itu.

Justeru, tegas beliau, Asri seharusnya merujuk terlebih dahulu kepada pihaknya berkaitan perkara tersebut dan tidak menyindir rakan-rakan sejawatan secara terbuka kerana ia satu langkah tidak beretika.

Beliau yang secara terbuka menegur mufti muda itu berkata, forum terbaik bagi Asri untuk menyampaikan kritikan adalah melalui Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan yang dianggotai mufti-mufti yang jauh lebih berpengalaman.

"Masalahnya beliau kerap tidak hadir dalam muzakarah tetapi beliau lebih senang menghadiri program yang lebih beliau sukai dan berorientasikan hizbiah (kepartian).

"Jadi sudah tiba masanya mufti tersebut ditakdib (diperadabkan), bimbang nanti dia terbelenggu dengan sifat ujub, rasa pandangannya hebat sehingga ada kecenderungan merendah-rendahkan orang lain,'' katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 8/9/08

1 comment:

Anonymous said...

Berikut adalah kenyataan Dr. Mohd Asri mengulas kenyataan Pengarah JAKIM berkenaan:

“Saya amat terkejut dengan bahasanya dalam keadaan kita berpuasa ini. Saya seakan membaca kata-kata yang amat tidak sesuai dengan kedudukan seorang Pengarah JAKIM. Saya hanya memberi pendapat bahawa tugasan JAKIM bukan sekadar membuat laporan Polis. Itu boleh dibuat oleh orang biasa, tidak memerlukan institusi sebesar itu.

Dalam bab aqidah, jika ada kes yang seperti ini, maka langkah yang awal adalah membetulkan kesalahan faham terhadap akidah Islam tersebut dengan cara yang dipanggil Iqamah al-Hujjah iaitu penegakkan hujjah. Setelah dia faham, tapi dia masih lagi kekal dengan kesalahan itu, maka hukuman ridah (murtad) atau selainnya boleh diputuskan.

Selepas itu, tindakan secara kekuasaan boleh dibuat. Mana mungkin dalam perkara akidah seseorang dituduh tanpa dia dijelaskan hujah-hujah yang menunjukkan dia terkeluarkan dari akidah yang sahih. Saya tidak menghina JAKIM, cumanya memberikan pandangan yang berbeza. Apakah itu menjadi kesalahannya?

Apakah dalam Islam di Malaysia ini seseorang diharamkan berbeza pendapat dengan Pengarah JAKIM? Beliau membangkitkan saya tidak hadir beberapa mesyuarat, saya sebenarnya malas hendak mengulas. Banyak pun mensyuarat yang saya hadir dan aktif. Cumanya beberapa mesyuarat fatwa saya tidak hadir.

Antaranya, ketika membincangkan hukum terkena dakwat pilihanraya. Maaf, saya rasa segan pada diri saya sendiri untuk datang jauh dari Perlis ke Putrajaya bagi membincangkan hal itu. Ada juga saya tidak hadir kerana terlalu mengejut, sedangkan jadual saya telah tersusun. Ada juga kerana bertembung dengan program negeri. Terbaru JAKIM buat mensyuarat di Terengganu pada tarikh Pilihanraya Permatang Pauh, sedangkan saya pengundi kawasan berkenaan.

Adapun dakwaan beliau saya hadir program kepartian, saya tidak pasti. Semua orang tahu, saya tidak pernah membuat sokongan terbuka untuk sesebuah parti. Memang, saya agak kerap hadir program jemputan Kerajaan Kelantan. Namun saya berbicara atas prinsip-prinsip umum Islam. Mereka menjemput saya dan saya hadir. JAKIM tiada hak dalam perkara itu.

Saya bergerak atas prinsip, bukan untuk keredhaan sesiapa insya Allah. Jemputan pihak lain pun saya hadir. Apa salahnya? Adapun tuduhan beliau tentang ujub dan seumpamanya, pada bulan puasa ini saya serahkannya kepada Allah. Beliau lebih tahu siapa diri beliau.”

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"