Sunday, September 28, 2008

Umat Islam perlu muafakat elak perpecahan

KEPALA BATAS 27 Sept. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa umat Islam supaya sentiasa memilih jalan bermuafakat bagi mempertahankan perpaduan serta mengelakkan sebarang bentuk perpecahan dalam masyarakat.

Perdana Menteri berkata, pendekatan bermuafakat sebagaimana dituntut agama Islam, perlu dijadikan pegangan dalam sebarang urusan bagi mengelakkan umat berpecah-belah sesama sendiri.

‘‘Inilah yang perlu kita fahami untuk memastikan kita tidak bergaduh, bercakaran dan berpecah belah sesama sendiri.

‘‘Dengan muafakat, apa yang dirancang dapat membawa kebaikan dan kemajuan, barulah kita menjadi umat yang kuat,” katanya ketika berucap selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Kampung Selamat, Pinang Tunggal di sini malam ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas sebelum itu menyertai majlis berbuka puasa bersama kira-kira 500 penduduk di pekarangan masjid berkenaan.

Turut hadir bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Datuk Roslan Saidin dan ADUN Bertam, Datuk Hilmi Abdul Rashid.

Perdana Menteri menarik perhatian kegagalan mewujudkan atau mempertahankan perpaduan sedia ada akan mengakibatkan sesebuah masyarakat dan negara berdepan dengan kehancuran.

Sumber: Utusan Malaysia,

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"