Thursday, September 30, 2010

Demi kekuatan UMNO di BP, blog satu umno kembali menerjah!

Baru-baru ini Blog Suara Satu Dua UMNO digodam. Tetapi nasib baik dapat diselamatkan. Namun demikian sebahagian rangkaian blog ini telah hilang, Masalah ini bukan masalah besar kepada blogger. Masalah besarnya bagaimana orang-orang Melayu boleh kembali bersatu sama ada melalui pertubuhan politik seperti UMNO ataupun NGOs Melayu/Islam yang sedia ada.
Hari ini orang Melayu tampak begitu lemah dan agama Islam dihina. Perpecahan yang berlaku di kalangan orang Melayu yang menjadi majoriti umat Islam di Malaysia merupakan faktor utama orang Melayu tidak lagi dihormati bahkan tidak ditakuti oleh bangsa lain. Kebanyakan umat Melayu mulai sedar tentang masalah ini. Tapi ada pemimpin-pemimpin Melayu yang belum sedar. Atau sengaja tidak mahu sedar kerana lebih mementingkan diri sendiri hingga sanggup kawan menjadi lawan. Mereka sanggup berlumba-lumba sesama-sesama sendiri kerana kuasa dan pangkat. Mereka sanggup menikam kawan dari belakang kerana jawatan dan darjat. Mereka sanggup melupakan jasa dan bakti kawan kerana kedudukan. Masalah parti diketepikan dan tidak menjadi keutamaan. Yang utama aku mesti naik, aku mesti jadi wakil rakyat, aku mesti jadi ketua bahagian dan sebagainya. Apakah aku ini berfikir tentang mereka? Mereka adalah ahli-ahli UMNO, pemimpin-pemimpin UMNO peringkat cawangan dan bahagian, penyokong-penyokong UMNO/BN, bekas-bekas pemimpin UMNO, veteran-veteran UMNO, pemerhati-pemerhati UMNO dan mereka juga ahli-ahli UMNO yang kecewa dengan UMNO serta bekas pemimpin-pemimpin UMNO. Mereka inilah yang perlu aku fikirkan. Mereka adalah rakyat yang boleh meninggalkan kesan yang besar jika mereka mahu. Tidak semua hidung mereka boleh aku cucukan. Tidak semua mereka boleh menjadi  pak turut kepada aku. Biarlah aku naik sebagai wira yang didendang. Jika aku turun biarlah aku diingati sebagai bekas pejuang yang disanjung. Mahukah aku dimaki dan dicaci oleh mereka nanti? Menjadi pemimpin yang memungkiri janji. Pemimpin yang lupa diri. Yang penting diri sendiri.
Aku sepatutnya fikirkan masalah mereka. Masalah mereka adalah masalah aku kerana aku pemimpin mereka. Jika mereka berpecah sesama mereka, maka UMNO akan hancur, aku akan dipertanggungjawabkan kerana aku pemimpin mereka. Tapi jika aku yang menjadi punca kepada perpecahan mereka dalam UMNO dan menimbulkan kebencian mereka kepada BN maka sudah tentu aku dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Aku perlu ingat bahawa tidak semua pemimpin UMNO di bahagian dan cawangan sokong aku. Apatah lagi jika aku naik tanpa mendapat sokongan padu daripada pemimpin kanan aku? Sudah tentu aku akan kehilangan sokongan dan malahan menimbulkan kebencian ramai jika aku naik dengan 'membunuh'  karier politik kawan setia! Patutkah aku bersikap demikian, tepuk dada tanya minda!

Sunday, September 26, 2010

Sumber judi: Kenapa wakil rakyat PAS dan PKR beragama Islam diam?

Surat Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada  Pengurus Besar dan Setiausaha Kelab Lumba Kuda Pulau Pinang bertarikh  9 Julai 2010 yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Faridah Hani M.Yacob mengesahkan bahawa Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang yang suka membohongi rakyat.
Wang dari sumber haram telah digunakan oleh kerajaan DAP-PKR-PAS untuk membasmi kemiskinan tegar di Pulau Pinang. Kenapa pemimpin-pemimpin PKR dan PAS dalam kerajaan negeri berdiam diri? Sila beri penjelasan kepada rakyat, kenapa anda membiarkan orang-orang Islam di Pulau Pinang menerima bantuan dari sumber haram? Apakah anda lebih takut kepada Guan Eng daripada Allah swt? YB Malik tidak melatah kali ini, jika tidak YB Malik yang paling cepat mempertahankan tindakan Guan Eng. Sebenarnya aktiviti ekonomi dan perniagaan haram di Pulau Pinang sudah bermaharaja lela. Pusat-pusat karaoke, pusat siber dan pusat urut tumbuh seperti cendawan di Pulau Pinang. Judi-judi haram berleluasa hingga di kawasan-kawasan perumahan yang didiami majoriti penduduk Islam. Pusat-pusat siber haram telah menganjurkan permainan judi tanpa dapat dikesani oleh pihak berkuasa tempatan. Apakah negeri Pulau Pinang akan menjadi salah sebuah negeri di Malaysia yang akan mencontohi model ekonomi Singapura? Rakyat sedang menunggu penjelasan dari pemimpin-pemimpin PKR dan PAS Pulau Pinang.

Friday, September 24, 2010

Melayu hilang kuasa!

KUALA LUMPUR 23 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan orang Melayu bahawa mereka akan kehilangan kuasa dan ‘suara’ jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih pemerintahan negara.
Kata beliau, ia terbukti sewaktu Perak diperintah pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu apabila DAP lebih berkuasa di negeri itu walaupun Menteri Besar daripada Pas.
“Kita lihat (Datuk Seri) Mohammad Nizar Jamaluddin di Perak, walaupun dia Menteri Besar tapi dia ikut arahan DAP sehingga (pakatan pembangkang) jatuh. Orang Cina mendakwa ini adalah usaha BN menjatuhkan kerajaan Cina.
“Jadi mereka panggil kerajaan Cina, tak mungkin kita juga akan dapat Perdana Menteri yang semacam Nizar, namanya Melayu, agama Islam tetapi dia bukan sebenarnya bebas, dia adalah alat pada orang lain dan ini boleh berlaku,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden UMNO berkata demikian dalam wawancara khas dipetik daripada laman web www.umno-online.com yang disiarkan hari ini.
Dr. Mahathir menambah, walaupun Nizar yang mewakili Pas ketika memerintah Perak seolah-olah memperjuangkan Islam, parti itu sebenarnya menggunakan Islam sebagai alat untuk mendapat sokongan.
Sementara itu menurutnya, jawatan sebagai Perdana Menteri di negara ini bukan ‘dikhaskan’ buat orang Melayu atau beragama Islam sahaja sebaliknya ia tertakluk kepada sokongan rakyat ke atas seseorang pemimpin.
“Tidak ada sekatan dalam undang-undang negara, dalam kita punya Perlembagaan tiada yang menghalang orang Cina atau India jadi Perdana Menteri, apa yang perlu sokongan dari majoriti, kalau majoriti dah setuju, kita tak boleh buat apa-apa.” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengkritik hala tuju parti pembangkang lain seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dilihat tidak ikhlas memperjuangkan kemahuan rakyat selain hanya mahu merampas tampuk pemerintahan daripada BN.
Sebagai contoh, katanya, PKR wujud bukan kerana mahu menuntut keadilan buat rakyat di negara ini tetapi sebagai platform merealisasikan cita-cita seorang pemimpinnya yang berhasrat menjadi Perdana Menteri.
“Trend itu tidak lagi menjadi tumpuan, tetapi kepada apa saya dapat, apa kau dapat, lebih kepada peribadi. Itulah terbentuknya keadilan, keadilan itu nama sahaja. Tubuh PKR seolah-olah negara ini tidak ada keadilan,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia 24 Sept 2010

Friday, September 17, 2010

Umat Islam lebih terjamin di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat

PAS dulu sangat ekstrim. Pemimpin UMNO dan penyokong UMNO dikafirkan. Berlaku solat jemaah dua imam dalam satu masjid. Kenduri orang UMNO diboikot. Sembelihan orang UMNO haram dimakan. Bergaduh dengan anak menantu kerana anak menantu penyokong atau ahli UMNO. Ada penyokong PAS yang fanatik, tanpa segan malu menjerit-jerit mengatakan 'sokong UMNO kafir atau sokong BN masuk neraka' dalam kempen pilihanraya dahulu. Siapa ajar mereka ini? Siapa yang mengeluarkan fatwa? Siapa yang menimbulkan perpecahan kepada umat Melayu atau umat Islam pada hari ini? Umat Islam di Malaysia berpecah-pecah antara satu sama lain, kenapa?
Di kampung-kampung dan taman-taman perumahan orang Melayu hidup berpuak-puak dan dan akan terus berlaku jika PAS menolak pelawaan UMNO untuk bersatu. Orang-orang Islam hidup berpuak-puak. Ada puak UMNO dan puak PAS. Mati orang UMNO, kebanyakan puak UMNO yang hadir, hanya seorang dua orang PAS datang 'tunjuk muka'. Begitulah sebaliknya jika berlaku kematian di pihak PAS. Lebih dahsyat lagi, suasana rumah si mati jika puak PAS akan diwarnai dengan bendera-bendera PAS, Unit Amal menjaga jalan dan ada mayat yang diletakkan di 'Markas PAS'. Solat jenazah di masjid tidak lagi diimamkan oleh imam yang bertugas pada hari itu. Ustadz PAS akan mengimamkan solat jenazah walaupun ustadz itu bukan imam bertugas di masjid itu. Tak kisahlah soal itu tapi begitulah suasana umat Islam pada hari ini.
Sebenarnya umat Islam majoriti  mahukan UMNO dan PAS bersatu. Jika PAS sudah boleh berpeluk-peluk dengan pemimpin-pemimpin DAP yang terang-terang menentang penubuhan sebuah negara Islam mengapa tidak boleh dengan UMNO yang sudah banyak berjasa kepada orang Melayu dan pembangunan Islam di Malaysia. Apakah kesilapan UMNO jika ada sudah tidak boleh dimaafkan demi kerana Allah swt. Demi kerana survival orang Melayu atau umat Islam di Malaysia ini. Apakah terlalu besar dosa UMNO hingga ajaran Islam membolehkan PAS menolak UMNO untuk bersatu? Apakah kerana Tok Guru Nik Aziz ada mengatakan DAP lebih tahu Islam daripada orang UMNO sendiri? Atau pemimpin PAS masih memegangkan kuat kepada fatwa Haji Hadi yang mengatakan UMNO itu kafir dengan bersubahat dengan MCA dan MIC (bukan Islam)? Apakah PAS lakukan hari ini bersama-sama dengan DAP tidak kafir?
Jika pemimpin PAS hari ini sudah boleh berkawan dan berpeluk dengan pemimpin DAP. Jika PAS hari ini sudah tidak lagi mengkafirkan UMNO kerana masih berkawan dengan MCA dan MIC. Jika PAS hari ini sudah tidak sebuah parti ekstrim seperti dulu. Tapi kenapa UMNO masih ditolak? Untuk apa ditolak bukankah kerana pemimpin PAS mengutamakan kuasa politik daripada penyatuan umat Islam di Malaysia? Orang Melayu/Islam keseluruhannya akan beroleh banyak kejayaan jika UMNO dan PAS bersatu. Dalam keadaan sekarang, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS perlu mengutamakan penyatuan umat Islam seperti yang diajar oleh tok-tok guru PAS sendiri di masjid dan surau. Apakah ustaz PAS yang selalu memberi kuliah di masjid dan surau hanya meminta umat Islam khususnya penyokong dan ahli PAS bersatu? Apakah pemimpin-pemimpin politik PAS mahukan perpecahan ini berlaku supaya memastikan mereka kekal berkuasa sebagai pemimpin politik sebuah parti Islam. Banyak persoalan yang menjadi tandatanya kepada semua umat Islam yang sayangkan kepada persaudaraan Islam. Umat Islam majoriti sedih dan kecewa melihat antara umat Islam berpuak-puak. Apakah pemimpin PAS merasakan lebih mudah bersama DAP dan PKR untuk menjaga kepentingan Islam dan umat Islam daripada UMNO? Apakah PAS sudah berjaya mentarbiah pemimpin DAP dan PKR di Selangor dan Pulau Pinang setakat ini? Apakah banyak agenda Islam PAS sudah terlaksana sejak bersama DAP dan PKR seperti yang dijanjikan dalam manifseto PAS dalam PRU yang lalu. Jika tidak dan sebaliknya lebih lagi teruk daripada pimpinan BN maka wajarlah pemimpin PAS mencari jalan terbaik untuk bersatu dengan UMNO.
Ingatlah sudah pun ada ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong PAS yang mulai sedar dan nampak bahawa PAS tidak mampu lagi berbuat apa-apa dan Islam akan semakin terhimpit jika bersama dengan Pakatan Rakyat. Mereka tahu bahawa pemimpin-pemimpin DAP tidak ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam. Mereka sanggup menjejaki masjid ataupun surau tapi cuma 'mengambil hati' umat Islam semata-mata. Umat Islam terhibur dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz kepada Guan Eng. Umat Islam akan terus leka lagi dengan ceramah-ceramah retorik pemimpin-pemimpin PAS dan PKR yang hanya mahu undi untuk Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Tapi apakah umat Islam lebih terjamin bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat jika ditakdirkan memerintah Malaysia selepas PRU13 ini? Tepuk dada tanya minda!

Wednesday, September 15, 2010

Tolak Perkasa: Mengapa UMNO perlu tunduk kepada MCA?

Orang Melayu sudah lama sedar bahawa hanya politik sahaja yang tinggal kepada orang Melayu. Itu pun belum tentu lagi. Orang Melayu sudah berpecah sesama sendiri. Melayu yang jadi penduduk majoriti sudah menjadi lemah seperti penduduk minoriti kerana kewujudan pelbagai parti politik. Jika UMNO menolak Perkasa dan mungkin Perkasa akan bertukar dari sebuah NGO kepada sebuah parti siasah. Melayu akan berpecah lagi. Melayu akan menghadapi masa depan politik yang sangat gelap jika NGOs Melayu dan UMNO tidak bersatu. UMNO sepatutnya menjadi tunjang ke arah penyatuan semua NGOs Melayu/Islam sebagai persiapan menghadapi PRU yang akan datang. UMNO tidak perlu tunduk kepada desakan dari rakan-rakan komponen lain. UMNO perlu beri penjelasan kepada pemimpin-pemimpin parti komponen seperti MCA, Gerakan dan MIC bahawa UMNO perlu sokongan orang-orang Melayu melalui NGOs Melayu yang ada. Ini juga yang telah dilakukan oleh NGOs berteraskan bangsa seperti Jiao Zong, Dong Zong, Suqui, dan Hindraf yang memberi kekuatan kepada parti-parti politik berteraskan bangsa seperti MCA, DAP dan PKR.
Tapi kini NGOs Cina tidak begitu lantang lagi sebab hampir 90% perjuangan mereka hampir tercapai. Mereka telah menguasai semua sektor ekonomi-pendidikan swasta, perdagangan, perladangan, penternakan, pemborongan, peruncitan dan sebagainya. Hampir keseluruhan dalam sektor ekonomi negara dikuasai oleh kaum bukan Melayu sedangkan Melayu adalah penduduk terbesar di Malaysia. Cuma yang ada lagi hanya kuasa politik. Jika UMNO mengambil langkah yang silap, mungkin kuasa politik Melayu akan hancur selepas PRU13 akan datang. Melayu dalam PAS dan PKR tidak boleh diharapkan lagi. Perjuangan mereka berubah-ubah mengikut suasana politik. Perjuangan mereka tidak konsisten. PAS sanggup menguburkan perjuangan asalnya untuk tegakkan sebuah negara Islam kepada sebuah negara berkebajikan. Untuk menjaga hati rakan DAP, PAS tidak akan bercakap lagi pasal 'negara Islam' dan 'hukum hudud'. Parti Islam yang sangat kita harapkan suatu ketika dulu, kini sudah tersasar jauh. PAS sebenarnya punca kepada perpecahan umat Melayu dan Islam di negara ini. Fitnah dan memburuk-burukkan pemimpin Melayu adalah agenda besar mereka untuk mempengaruhi orang Melayu/Islam supaya menyokong perjuangan mereka. Melayu dalam PKR dan DAP langsung tak boleh diharapkan lagi dapat membela nasib orang Melayu.
Oleh itu NGOs Melayu/Islam perlu bersatu dan menyokong parti UMNO yang konsisten dalam perjuangan membela nasib kaum bumiputera/Melayu tanpa merampas hak bangsa lain di negara ini. Dalam keadaan UMNO/BN yang perlu menghimpunkan kembali seluruh kekuatan yang ada, peranan NGOs Melayu/Islam sangat penting. UMNO perlu mendekati NGOs yang ada. Jika tidak UMNO akan bersendirian. UMNO akan lemah. BN akan kalah. NGOs Melayu seperti Perkasa tampak racist kerana ada pemimpin-pemimpin bukan Melayu berani mencabar hak keistimewaan orang Melayu dan tidak menghormati perlembagaan persekutuan. Kaum lain terutama Cina perlu ingat bahawa orang Melayu masih mundur dari kaum Cina dan India sedangkan Melayu adalah penduduk pribumi. Melayu perlu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain di negara ini. Keamanan dan kedamaian hidup bernegara sangat bergantung kepada persefahaman dan toleransi antara kaum di sesebuah negara. Perkasa tidak akan lantang mempertahankan sesuatu isu jika Melayu sudah maju dan setanding dengan kaum lain. Kita tidak lupa, NGOs Cina seperti Suqui pernah mengemukakan beberapa tuntutan yang tidak munasabah semasa zaman pentadbiran Tun Mahathir. Tapi UMNO tidak pernah mendesak ketika itu supaya MCA dan Gerakan menjauhi Suqui ketika itu, kenapa? Bila NGO Melayu seperti Perkasa yang hanya lantang mempertahankan hak keistimewaan Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, UMNO diminta menolak Perkasa? Apakah Perkasa sebuah pertubuhan haram seperti Hindraf? Apakah perjuangan Perkasa tersasar dan menyanggahi dengan perundangan negara?
Pemimpin UMNO tertentu jangan tunjuk hero dan jangan mengecilkan peranan NGOs Melayu bagi menghadapi PRU yang akan datang. Pemimpin-pemimpin MCA dan Gerakan terutamanya perlu mendapat sokongan orang-orang Cina kembali menyokong mereka. Mereka gagal dalam PRU12 bukan disebabkan oleh NGOs Melayu seperti Perkasa. UMNO masih kuat dalam PRU12 yang lalu. Yang kalah teruk hingga hilang beberapa buah negeri berpunca dari kehilangan sokongan bukan Melayu terhadap calon MCA, MIC dan Gerakan. Pemimpin MCA dan Gerakan perlu beri perhatian kepada masalah parti dan pengundi-pengundi Cina bukan masalah dengan NGO Melayu. Orang Melayu sudah lama bertolak ansur hingga Melayu jadi penduduk majoriti yang mundur di tanah air sendiri. Mengapa kaum Cina dan pemimpin Cina nampak tidak mahu memahami masalah kaum Bumiputera/Melayu di negara ini? Mungkin kerana Melayu sudah berpecah sesama sendiri maka kaum Cina dan pemimpin Cina sudah tidak hiraukan lagi nasib orang Melayu? Apakah NGOs Melayu dan UMNO masih boleh bersabar lagi melihat orang Melayu/Bumiputera terus terhimpit di tanah air sendiri? Tepuk dada tanya minda untuk PRU13 akan datang!

Sunday, September 12, 2010

Tolak PERKASA: UMNO buat kesilapan yang besar!

Sangat terkejut bila UMNO bersama BN buat keputusan menolak Perkasa. Perkasa dikatakan punca UMNO kehilangan sokongan daripada orang-orang bukan Melayu. UMNO perlu sedar setakat ini bukan Melayu masih memihak kepada pembangkang terutama DAP. Jika haramkan Perkasa sekalipun bukan Melayu belum tentu akan menyokong UMNO/BN. Di kalangan pemimpin UMNO pun tahu bahawa ramai orang Melayu menyokong Perkasa setelah melihat Perkasa benar-benar menjuarai dalam isu mempertahankan kedudukan orang Melayu dan raja-raja Melayu. UMNO tak begitu lantang dalam mempertahankan hak ketuanan orang Melayu kerana bimbang akan terguris hati rakan-rakan dalam komponen BN. Memang tak salah pun jika Perkasa lantang mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu. Jika kaum bukan Melayu ada Suqui dan Hindraf, apakah orang Melayu tak boleh ada Perkasa? Orang Melayu terlalu banyak bertolak ansur hingga bukan Melayu termasuk pemimpin-pemimpin bukan Melayu sudah 'naik tocang' berani menghapuskan DEB dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu. Malahan sudah ada pemimpin Melayu sendiri mulai mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam perlembagaan persekutuan.
Sepatutnya UMNO mendekati NGOs Melayu dan NGOs Islam dan bukan menjauhi mereka. UMNO perlu mendapat sokongan padu dari kalangan NGOs Melayu/Islam menjelang PRU yang akan datang. UMNO akan rugi. MCA,  MIC, Gerakan dan DAP tidak akan rugi. Kebanyakan pemimpin UMNO menduduki  Jawatankuasa Perkasa malahan mengetuai Perkasa di peringkat Negeri dan Parlimen. Amat rugi jika UMNO sendiri menolak pertubuhan Perkasa.   Keputusan menolak Perkasa akan memberi kekuatan kepada pembangkang. Manakala UMNO akan kehilangan sokongan dan pengaruh manakala pembangkang sedang membina kekuatan. Oleh itu keputusan menolak Perkasa perlu dikaji semula jangan nanti ibarat kata pepatah Melayu, "Yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran". Tindakan menolak Perkasa sebenarnya sesuatu yang amat merugikan UMNO sendiri dan tidak sebesar manapun sokongan bakal diperolehi oleh BN dari pengundi-pengundi bukan Melayu dalam PRU yang akan datang.

Thursday, September 9, 2010

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua pengunjung blog ini. Beringat-ingatlah semasa di jalan raya, biar lambat asalkan saudara sekeluarga selamat tiba di destinasi
masing-masing.

Friday, September 3, 2010

Tangguh hukum hudud: PAS akur dengan kehendak rakan DAP dan PKR?

Pas mengakui hukum hudud tidak semestinya dilaksanakan sekiranya pakatan pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan memerintah negara. Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Pas dan parti-parti dalam pakatan pembangkang pada peringkat ini telah bersetuju untuk tidak membincangkan soal pelaksanaan hukum hudud yang menjadi agenda perjuangan parti itu selama ini.
Malah, katanya, Pas dan rakan-rakannya dalam pakatan itu juga tidak akan ‘mengusik’ kerangka Perlembagaan Persekutuan walaupun ada pandangan yang mengatakan ia perlu dipinda sekiranya Pas hendak melaksanakan syariat Islam.
“Tidak semestinya kita akan laksanakan, kita melihat kepada persediaan dan persetujuan masyarakat. Kita ada persetujuan untuk peringkat ini kita tidak bincangkan soal hudud. Misi kita yang utama ialah untuk menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya. Bagi kita secara personalnya, perjuangan kita adalah untuk menegakkan syiar (Islam), tetapi kita tidak akan memaksakan hasrat ini kepada masyarakat. Bila masyarakat sudah bersedia dengan penjelasan, kefahaman, pada masa itu kita akan laksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Komen:
Itulah wajah sebenarnya PAS yang kita kenali hari ini. PAS yang banyak berubah, pusingan 360 darjah. PAS dulu bermatian-matian menentang UMNO kerana UMNO menolak hukum hudud. Dicanang seluruh pelusuk negara, UMNO merupakan sebuah parti kafir kerana menolak hukum Allah. (Hukum Hudud PAS). Tapi kenapa pula PAS boleh bertolak ansur dengan DAP dan PKR? PAS akan laksanakan setelah pemimpin DAP bersetuju melaksanakan hukum hudud? Atau kerana Haji Hadi pernah memberitahu bahawa  hukum hudud cuma 0.0001% dalam hukum Islam? Atau kerana MB Kedah, YAB Azizan  pernah berkata Kedah belum bersedia melaksanakan hukum hudud? Atau kerana Nizar, bekas MB Perak pernah berkata "Tiada dalam perlembagaan Pas untuk membentuk negara Islam". Tapi kenapa PAS memusuhi UMNO hinggap sanggup memaki hamun dan mengkafirkan pemimpin UMNO kerana gagal melaksanakan hukum Allah Taala (hukum hudud)?
Jika PAS bersama PKR dan DAP hari ini masih tidak dapat menegakkan perjuangan Islam dengan hukum hududnya atau negara Islamnya. Jangan haraplah PAS dapat melaksanakannya nanti setelah menang PRU yang akan datang. Persoalannya yang perlu penyokong PAS faham, apakah wakil rakyat PAS akan memperolehi majoriti dalam barisan Pakatan Rakyat selepas PRU yang akan datang? Sebelum itu, eloklah kita lihat apa yang sedang dan telah berlaku di hadapan mata kita di Selangor dan Pulau Pinang, apa yang PAS dapat lakukan di negeri-negeri Pakatan Rakyat itu? Melayu dan Islam dicabar dan semakin dihina. Kilang arak tidak ditutup pun malahan dianugerah kawasan lebih besar oleh Khalid Samad di Selangor. Kenapa pusat-pusat hiburan, judi dan kilang arak tidak ditutup?
Jika begitulah PAS hari ini yang kita kenali. Ertinya pendirian dan perjuangan PAS lebih teruk daripada UMNO. Bercakap tak serupa bikin. Berpakat dalam PR bukan untuk menafaatkan kepada perjuangan Islam malahan memberi ruang kepada bukan Islam menindas lagi orang Melayu/Islam di Malaysia ini. Itu taktik politik kononnya (tangguh hudud). Tapi apakah Karpal Singh, Kit Siang dan anaknya Guan Eng itu pemimpin politik yang boleh diperbodohkan oleh PAS? UMNO tidak sama sekali akan menggadaikan maruah bangsa, agama dan negara walaupun bersama dengan MCA, MIC dan lain-lain parti komponen. Perjuangan UMNO lebih konsisten, rasional dan berkesan. Jika ditakdirkan UMNO gagal meneruskan perjuangan memperkasakan orang Melayu dan menegakkan syiar Islam di bumi Malaysia ini sudah pasti antara faktor Melayu hancur dan Islam tertekan disebabkan oleh karenah pemimpin PAS itu sendiri. Jangan sampai nasi dah jadi bubur. Lihatlah apakah yang telah terjadi di negeri Pulau Pinang dan Selangor? Cuba ubah kononnya maka terima akibahnya. Jika Melayu hancur, apakah Islam boleh subur di Malaysia ini dengan kaum Cina dan India menguasai politik dan ekonomi negara? Tepuk dada tanya minda anda.

Wednesday, September 1, 2010

Rakyat Malaysia: BLOGGER ProUMNO - TERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA ISLAM, MELAYU & MALAYSIA

Rakyat Malaysia: BLOGGER ProUMNO - TERUSKAN PERJUANGAN MEMBELA ISLAM, MELAYU & MALAYSIA

Nasihat Raja Muda Perak untuk pemimpin Melayu khususnya PAS yang semakin melampau!

Umat Islam di negara ini berada dalam suasana kritikal dan tenggelam punca, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah, umat Islam wajib mengambil pengajaran sebelum nasi menjadi bubur kerana masa hadapan dan penentuan nasib umat Islam berada dalam tangan masing-masing.

“Selagi umat Islam kekal bersatu dan teguh berpadu, tiada pihak yang berani meruntuh atau menjatuhkannya.

“Kejatuhan hanya berlaku apabila umat tidak bersatu dan terus menghakiskan kekuatan di antara satu sama lain,” titah baginda pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) peringkat negeri Perak dan sumbangan hari raya Aidilfitri Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di Auditorium Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini, semalam.

Hadir sama, Raja Puan Besar Perak, Tunku Zara Salim, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Baginda menasihati semua umat berdoa supaya persengketaan dalam kalangan umat dihentikan agar bangsa dan tanah air tidak musnah akibat kerakusan pemimpin.

Pemimpin memilih untuk bertelagah dan membuat pilihan untuk bersaing bagi mendapat pengaruh sehingga tergamak melakukan perkara ekstrem dengan mencemarkan agama serta menjatuhkan maruah ummah.

“Beta berharap pemimpin dalam kalangan umat Islam akan mendapat taufik dan hidayah untuk melakukan sebaik perkara demi kesejahteraan ummah.

“Pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil. Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar melalui satu ungkapan, ucapan, khutbah, tazkirah atau doa.

“Jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, berdegil, sombong mempertahankan ego dan memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda salah menggalakkan pencerobohan lebih besar,” titah baginda. 

Untuk Renungan:

“Sultan (pemimpin) itu adalah naungan Allah di bumi, sesiapa yang menghinanya, maka Allah akan menghinakannya dan sesiapa yang memuliakannya, nescaya Allah akan memuliakan dia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi, Syu’abul Iman, 6/17, no. 7373. Dinyatakan hasan oleh al-Albani, Dzilalil Jannah fii Takhrij as-Sunnah li Ibn Abi ‘Ashim, 2/224, no. 1024)
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"