Friday, September 17, 2010

Umat Islam lebih terjamin di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat

PAS dulu sangat ekstrim. Pemimpin UMNO dan penyokong UMNO dikafirkan. Berlaku solat jemaah dua imam dalam satu masjid. Kenduri orang UMNO diboikot. Sembelihan orang UMNO haram dimakan. Bergaduh dengan anak menantu kerana anak menantu penyokong atau ahli UMNO. Ada penyokong PAS yang fanatik, tanpa segan malu menjerit-jerit mengatakan 'sokong UMNO kafir atau sokong BN masuk neraka' dalam kempen pilihanraya dahulu. Siapa ajar mereka ini? Siapa yang mengeluarkan fatwa? Siapa yang menimbulkan perpecahan kepada umat Melayu atau umat Islam pada hari ini? Umat Islam di Malaysia berpecah-pecah antara satu sama lain, kenapa?
Di kampung-kampung dan taman-taman perumahan orang Melayu hidup berpuak-puak dan dan akan terus berlaku jika PAS menolak pelawaan UMNO untuk bersatu. Orang-orang Islam hidup berpuak-puak. Ada puak UMNO dan puak PAS. Mati orang UMNO, kebanyakan puak UMNO yang hadir, hanya seorang dua orang PAS datang 'tunjuk muka'. Begitulah sebaliknya jika berlaku kematian di pihak PAS. Lebih dahsyat lagi, suasana rumah si mati jika puak PAS akan diwarnai dengan bendera-bendera PAS, Unit Amal menjaga jalan dan ada mayat yang diletakkan di 'Markas PAS'. Solat jenazah di masjid tidak lagi diimamkan oleh imam yang bertugas pada hari itu. Ustadz PAS akan mengimamkan solat jenazah walaupun ustadz itu bukan imam bertugas di masjid itu. Tak kisahlah soal itu tapi begitulah suasana umat Islam pada hari ini.
Sebenarnya umat Islam majoriti  mahukan UMNO dan PAS bersatu. Jika PAS sudah boleh berpeluk-peluk dengan pemimpin-pemimpin DAP yang terang-terang menentang penubuhan sebuah negara Islam mengapa tidak boleh dengan UMNO yang sudah banyak berjasa kepada orang Melayu dan pembangunan Islam di Malaysia. Apakah kesilapan UMNO jika ada sudah tidak boleh dimaafkan demi kerana Allah swt. Demi kerana survival orang Melayu atau umat Islam di Malaysia ini. Apakah terlalu besar dosa UMNO hingga ajaran Islam membolehkan PAS menolak UMNO untuk bersatu? Apakah kerana Tok Guru Nik Aziz ada mengatakan DAP lebih tahu Islam daripada orang UMNO sendiri? Atau pemimpin PAS masih memegangkan kuat kepada fatwa Haji Hadi yang mengatakan UMNO itu kafir dengan bersubahat dengan MCA dan MIC (bukan Islam)? Apakah PAS lakukan hari ini bersama-sama dengan DAP tidak kafir?
Jika pemimpin PAS hari ini sudah boleh berkawan dan berpeluk dengan pemimpin DAP. Jika PAS hari ini sudah tidak lagi mengkafirkan UMNO kerana masih berkawan dengan MCA dan MIC. Jika PAS hari ini sudah tidak sebuah parti ekstrim seperti dulu. Tapi kenapa UMNO masih ditolak? Untuk apa ditolak bukankah kerana pemimpin PAS mengutamakan kuasa politik daripada penyatuan umat Islam di Malaysia? Orang Melayu/Islam keseluruhannya akan beroleh banyak kejayaan jika UMNO dan PAS bersatu. Dalam keadaan sekarang, pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS perlu mengutamakan penyatuan umat Islam seperti yang diajar oleh tok-tok guru PAS sendiri di masjid dan surau. Apakah ustaz PAS yang selalu memberi kuliah di masjid dan surau hanya meminta umat Islam khususnya penyokong dan ahli PAS bersatu? Apakah pemimpin-pemimpin politik PAS mahukan perpecahan ini berlaku supaya memastikan mereka kekal berkuasa sebagai pemimpin politik sebuah parti Islam. Banyak persoalan yang menjadi tandatanya kepada semua umat Islam yang sayangkan kepada persaudaraan Islam. Umat Islam majoriti sedih dan kecewa melihat antara umat Islam berpuak-puak. Apakah pemimpin PAS merasakan lebih mudah bersama DAP dan PKR untuk menjaga kepentingan Islam dan umat Islam daripada UMNO? Apakah PAS sudah berjaya mentarbiah pemimpin DAP dan PKR di Selangor dan Pulau Pinang setakat ini? Apakah banyak agenda Islam PAS sudah terlaksana sejak bersama DAP dan PKR seperti yang dijanjikan dalam manifseto PAS dalam PRU yang lalu. Jika tidak dan sebaliknya lebih lagi teruk daripada pimpinan BN maka wajarlah pemimpin PAS mencari jalan terbaik untuk bersatu dengan UMNO.
Ingatlah sudah pun ada ahli-ahli PAS dan penyokong-penyokong PAS yang mulai sedar dan nampak bahawa PAS tidak mampu lagi berbuat apa-apa dan Islam akan semakin terhimpit jika bersama dengan Pakatan Rakyat. Mereka tahu bahawa pemimpin-pemimpin DAP tidak ikhlas dan jujur dalam memperjuangkan Islam. Mereka sanggup menjejaki masjid ataupun surau tapi cuma 'mengambil hati' umat Islam semata-mata. Umat Islam terhibur dengan gelaran Khalifah Umar Abdul Aziz kepada Guan Eng. Umat Islam akan terus leka lagi dengan ceramah-ceramah retorik pemimpin-pemimpin PAS dan PKR yang hanya mahu undi untuk Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Tapi apakah umat Islam lebih terjamin bersama dengan kerajaan Pakatan Rakyat jika ditakdirkan memerintah Malaysia selepas PRU13 ini? Tepuk dada tanya minda!

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"