Saturday, September 6, 2008

Ahmad Ismail nafi bersifat perkauman

PULAU PINANG 5 Sept. - Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail menegaskan, beliau bukan bersifat perkauman dan tidak mempunyai masalah dengan kaum Cina dan India.

Namun, kata Ahmad, beliau telah dibicarakan dalam mahkamah media secara tidak adil oleh pemberita akhbar Sin Chew Daily yang didakwa telah memanipulasi ucapannya.

Menurut beliau, pemberita itu tidak mematuhi etika kewartawanan dan dengan sengaja membesar-besarkan isu berkenaan sehingga menjadi sensitif.

Katanya, pemberita itu patut dipertanggungjawabkan kerana menjadikan isu tersebut sebagai perkauman.

"Saya tidak nafikan dalam ucapan pada 23 Ogos itu saya menyebut bahawa orang Cina hanya menumpang di tanah air kita, namun saya merujuk perkara itu ketika zaman sebelum merdeka waktu British masih menjajah negara.

"Dalam ceramah itu, saya berada dalam kelompok Melayu dan Islam. Sebagai pemimpin kerdil saya cuba memberi kesedaran kepada mereka yang sebangsa dengan saya dan perkara ini tidak salah,'' katanya pada sidang akhbar bersama dengan ketua-ketua dan wakil UMNO Pulau Pinang di sini hari ini.

Ahmad memberitahu, jika orang Cina boleh mempertikaikan hak dan ketuanan Melayu, maka dalam konteks yang sama orang Melayu juga boleh mempertikaikan hak kewarganegaraan orang Cina.

"Siapakah yang mula-mula mempertikaikan hak-hak keistimewaan orang Melayu, jawabnya ialah pemimpin Cina,'' katanya.

Katanya, beliau tidak bersalah dan tidak akan meminta maaf, sebaliknya orang yang perlu meminta maaf ialah pemimpin Cina termasuk dalam Barisan Nasional (BN) khususnya pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

"Saya amat hairan kerana Tsu Koon terbawa-bawa dengan isu ini dan telah hilang pertimbangan dengan membuat komen- komen yang tidak matang.

"Beliau cuba mengalih kelemahannya dengan menyatakan isu itulah yang menyebabkan BN kalah di Permatang Pauh sedangkan hakikatnya orang Cina sudah tidak menyokongnya lagi,'' kata Ahmad.

Ditanya mengenai kenyataan Tsu Koon di Kelantan hari ini bahawa Gerakan akan bertindak keluar BN sekiranya tidak dilakukan sebarang pembaharuan bagi mengembalikan semula kegemilangan BN, Ahmad berkata, Tsu Koon memang ada agenda.

"Saya dah kata Tsu Koon ada agenda, apa agendanya fikirlah sendiri. Beliau sudah tidak mendapat sokongan daripada orang Cina dan saya yakin MCA akan mencapai kemenangan luar biasa di Pulau Pinang tanpa parti Gerakan,'' katanya.

Mengenai nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya beliau meminta maaf, Ahmad memberitahu walaupun menghormati Abdullah namun dalam sesuatu perkara beliau mempunyai prinsip serta tidak akan meminta maaf.

Sumber: Utusan Malaysia 6 Sept 2008

1 comment:

Anonymous said...

Datuk Ahmad Ismail telah bersikap tegas dengan pendiriannya. Tahniah.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"