Thursday, July 30, 2009

SIAPA KATA TUN MAHATHIR RASIS?












Pelbagai pihak hari ini menyelar tindakan mereka yang menuduh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai rasis.

Bagi mereka, perjuangan mempertahankan kepentingan orang Melayu yang masih ketinggalan di tanah air sendiri adalah tidak salah, jauh sekali melangkaui batas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, senario negara pada masa ini lebih menjurus kepada situasi dwi-standard iaitu Melayu akan dikecam habis-habisan dan digelar rasis apabila memperjuangkan kepentingan dan agenda mereka.

"Yang peliknya apabila kaum lain dengan lantang membuat pelbagai tuntutan dan membangkitkan isu- isu sensitif, tidak pula mereka dianggap sebagai rasis. Tetapi apabila Melayu yang bersuara akan terus dicap sebagai rasis," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ruangan Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia kelmarin mempersoalkan banyak pihak bukan Melayu terutama parti-parti politik Cina yang kurang senang dengan tulisan Dr. Mahathir mengenai kepentingan orang Melayu dan menuduh beliau sebagai rasis.

Reaksi daripada tuduhan itu, Dr. Mahathir berpendapat mereka yang menuduh beliau rasis semata-mata kerana mempertahankan kepentingan orang Melayu dan menyuarakan hakikat kedudukan semasa kaum tersebut, juga merupakan orang yang rasis.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Reezal Merican Naina Merican menegaskan, adalah tidak adil melabelkan Dr. Mahathir sebagai rasis hanya kerana beliau memperjuangkan nasib kaum Melayu yang masih gagal menikmati dengan sewajarnya kekayaan 'kek' ekonomi negara.

Katanya, sekiranya benar bekas Perdana Menteri itu seorang rasis, mengapa sepanjang 22 tahun beliau mentadbir negara, kaum lain turut mendapat banyak manfaat.

"Kaum bukan Melayu yang paling banyak mendapat kek ekonomi sepanjang tempoh itu, malah senarai 10 individu terkaya negara juga kebanyakannya dari kaum Cina dan India.

"Pihak lain tidak sepatutnya selektif dalam menghormati keluhuran Perlembagaan Persekutuan, aspirasi perkara lain dipatuhi tetapi apabila membabitkan Fasal 153 mengenai keistimewaan Melayu, enggan pula dihormati," ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Abdul Ghani berkata, kaum lain di negara ini perlu menghormati Melayu sebagai kaum teras dan sepatutnya membuang sejauh mungkin perasaan buruk sangka mereka.

Beliau yang menyokong penuh kenyataan Dr. Mahathir itu menjelaskan, orang Melayu bukannya berniat untuk mengaut sepenuhnya kekayaan negara tetapi hanya menuntut hak mereka yang sebenarnya telah pun dipersetujui bersama sebelum ini.

KOMEN:

DSAI pasti berada dalam kelompok orang Melayu yang menentang DEB dan hak keistimewaan orang Melayu. Selaku Penasihat Umum PKR, beliau akan berpegang kepada prinsip sama rata atau keadilan untuk semua kaum. Apakah Melayu dianggap adil dalam keadaan serba kekurangan dan ketinggalan di tanah air sendiri? Orang-orang Melayu juga mempunyai hak untuk jadi kaya. Apakah kekayaan yang dinikmati dalam negara ini untuk bangsa Cina semata-mata? Kenapakah pemimpin Melayu dianggap rasis atau perkauman walaupun hanya menuntut hak seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara? Ingatlah negara tidak akan aman jika pengagihan ekonomi negara tidak seimbang di antara kaum di Malaysia. Perasaan tidak puas orang Melayu akan meletup suatu hari nanti jika pemimpin-pemimpin negara memandang remeh tentang perkara ini. Kaum lain perlu sedar untuk menjaga keamanan dalam jangka yang lebih lama dan berterusan, jurang agihan kekayaan negara antara kaum perlu dirapatkan secepat yang mungkin. Biarlah rakyat negara berbilang bangsa di Malaysia ini hidup aman damai dengan menikmati kekayaan lebih adil antara satu sama lain.


2 comments:

Anonymous said...

Mahathir bukan melayu tetapi mamak!...

Anonymous said...

Lebih baik daripada Melayu yang anti-Melayu seperti awak tu.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"