Friday, January 22, 2010

Tren Keluar PKR berterusan!!!!!!!

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, trend hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan terus berlaku kerana ramai anggotanya telah menyedari pemimpin mereka berjuang atas landasan sia-sia.

Beliau berkata, berdasarkan pelbagai maklumat yang telah diterimanya, ramai anggota parti itu kecewa dengan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin lain seperti Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Tidak bagaimana dalam Barisan Nasional, seperti Umno dan rakan-rakan BN lain, mereka tahu bahawa kepimpinan PKR lebih banyak main politik tetapi tidak berupaya untuk memajukan negara atau menunjukkan kesunggguhan untuk majukan rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis makan tengah hari anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Miri, di sini.

Beliau diminta mengulas peletakan jawatan 11 anggota jawatankuasa serta Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PKR cabang Kuala Selangor yang diketuai Khalid kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor itu.

Muhyiddin berkata, bahawa sewaktu PKR ditubuhkan, ramai menganggotainya kerana sebab-sebab tertentu seperti terpengaruh atau terpedaya dengan kepimpinan parti itu.

"Saya jangka ramai lagi akan keluar menjelang pilihan raya akan datang,"katanya.-Bernama

Komen:

TINDAKAN pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletak jawatan dan keluar parti bukanlah suatu perkara baru kepada parti itu yang ditubuhkan pada April 1999.

Lebih menarik, apabila peletakan jawatan pemimpin PKR itu turut melibatkan nama besar kepada parti tersebut yang ditubuhkan selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kerajaan.

Malah ada antara nama besar itu yang keluar parti atau menyisihkan diri diri secara senyap merupakan mereka yang terlibat ketika awal penubuhan parti tersebut lagi. Antaranya bekas Timbalan Presiden, Dr. Chandra Muzaffar, bekas Ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd. Noor, Ketua Penerangan, Ruslan Kassim dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) seperti Zainur Zakaria dan Datuk S. Nallakarupan.

Selain itu pimpinan awal ketika PKR mula ditubuhkan seperti bekas Naib Presiden, Marina Yusuff dan Setiausaha Agung, Mohd. Annuar Tahir turut sama meninggalkan kepimpinan parti itu.

Selain itu bekas Bendahari Agung PKR yang pernah mencatatkan kejutan apabila menawarkan diri bertanding Presiden PKR, Abdul Rahman Osman turut bertindak meninggalkan parti itu dengan menyertai Pas.

Tentunya yang paling mengejutkan ialah tindakan Ezam yang keluar daripada PKR pada tahun 2007 kerana beliau diketahui antara mereka yang paling rapat dengan Anwar.

Beliau kemudian memohon memasuki UMNO bersama beberapa pimpinan PKR di peringkat negeri termasuk bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.

Selain itu, Nallakarupan yang keluar daripada PKR pada tahun yang sama turut menjadi tumpuan memandangkan beliau dikenali sebagai rakan karib dan rakan tenis kepada Anwar.

Selain mereka antara yang awal bertindak meninggalkan perjuangan PKR ialah Setiausaha Angkatan Muda Keadilan iaitu Lokman Noor Adam yang kini salah seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO.

Turut sama meninggalkan PKR pada tahun 2004 ialah bekas Naib Ketua Pemuda Keadilan, Muhammad Zahid Md. Arip dan bekas Timbalan Pengarah Pilihan Raya Keadilan, Hamdan Taha.

Sementara itu, satu lagi trend baru muncul dalam PKR selepas parti itu memenangi banyak kerusi pada pilihan raya umum lalu iaitu meletak jawatan sebagai wakil rakyat, sama ada untuk memberi laluan kepada pemimpin baru atau keluar parti menjadi wakil bebas yang menyokong Barisan Nasional (BN).

Ia dimulakan sendiri oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh pada Ogos 2008 kononnya untuk membolehkan Anwar merintis jalan ke Putrajaya.

Bagaikan kepimpinan melalui teladan, langkah itu dijejaki oleh ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu pada Februari lalu.

Bagaimanapun mereka sekadar keluar parti dan memberi sokongan kepada BN yang akhirnya menjadi faktor penyumbang runtuhnya kerajaan negeri pembangkang di Perak. Tidak lama selepas itu, ADUN Bukit Selambau yang juga Exco Kerajan Negeri Kedah, V. Arumugam meletakkan jawatan selepas tertekan dengan isu moral.

Pada April lalu pula, tiba pula giliran ADUN Penanti yang merupakan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin untuk mengosongkan kerusinya. Beliau yang disiasat kerana dakwaan rasuah membuat alasan mahu melanjutkan pelajaran.

Sewaktu berlaku 'pesta' meletak jawatan berlaku di kalangan wakil rakyat PKR, lain pula dengan ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang tidak berbuat demikian walaupun menerima tekanan akibat penyebaran gambar bogelnya di Internet.

Terkini trend keluar PKR kerana rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan yang diterajui 3A iaitu Anwar, Azizah dan Azmin Ali. Bermula dengan PKR Sabah apabila Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Christina Liew hinggalah yang terbaru ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah bertindak meninggalkan PKR.


No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"