Friday, July 30, 2010

Melayu PAS dan Melayu UMNO banyak persamaan. Tapi bergaduh kenapa?

DAP memang anti Melayu. Jangan dok berselindung lagi. Akhbar Utusan Malaysia telah diharamkan oleh pemerintahan DAP-PKR-PAS di Pulau Pinang. Mereka mahu rakyat Pulau Pinang baca akhbar Roket, Keadilan dan Harakah. Mereka mahu hapuskan apa sahaja perkara yang ada hubung kait dengan kepentingan orang Melayu dan Islam. Perarakan sambutan Maulid Rasul telah cuba dibatalkan pada tahun ini oleh kerajaan negeri Pulau Pinang. Rumah kos rendah pun tidak dibina lagi di Pulau Pinang sebabnya tak mahu bagi orang Melayu lebih ramai di Pulau Pinang. DAP Selangor pula telah pun mencadangkan diskaun harga rumah mewah dan bangunan kormesial kepada orang Melayu dan Bumiputera dihapuskan. MB Melayu, Dato' Seri Khalid pula bersetuju. Amat sedih sekali ada pemimpin Melayu jadi pak turut. Apakah MB Selangor tidak faham kedudukan orang melayu dan bumiputera dalam perlembagaan persekutuan? Apakah dengan menghapuskan diskaun itu, lebih ramai orang Melayu dan bumiputera boleh membeli rumah mewah dan bangunan kormersial itu? Mustahil boleh berlaku. Yang pasti keupayaan orang Melayu semakin merosot dan peluang orang Melayu dan bumiputera berkongsi kek ekonomi di Selangor semakin mengecil.  Kaum yang kaya boleh terus beli dengan lebih banyak. Melayu yang jadi majoriti di Selangor akan jadi minoriti seperti di Pulau Pinang dan akhirnya melayu di Pulau Pinang dan Selangor akan jadi Melayu di Singapura. 
Tapi pemimpin Melayu yang bersekongkol dengan DAP seperti pemimpin PAS dan PKR, kenapa semuanya diam membisu? Apakah dengan beransur hilangnya orang Melayu di Pulau Pinang dan Selangor, PAS masih boleh meneruskan perjuangan Islamnya? PAS sanggup bersahabat dengan parti yang anti Melayu dan anti Islam. PAS sanggup menolak pelawaan untuk bersatu dengan UMNO sedangkan dalam UMNO juga ada pemimpin Melayu dan ulamak, satu agama, satu kalimah, satu kiblat, satu bangsa dan satu bahasa. PAS lebih pentingkan politik dari mementingkan perintah Allah swt. Dalam PAS ada pemimpin yang sombong dan bersifat takabur. Sebab tu usaha menyatukan orang Melayu di Malaysia tidak berjaya. 
Pasal pemimpin PKR jangan dok cakaplah, lagi tak boleh pakai. Cakap pandai, semua BN buat tak betul tapi apakah PKR dah buat untuk orang Melayu di Pulau Pinang? Orang Melayu patut sedar. Tak ada apa-apa pun keistimewaan pada parti PAS dan PKR dalam Pakatan Rakyat. UMNO dulu, kini dan selamanya tetap konsisten dalam perjuangan membela nasib bangsa, agama dan negara. UMNO telah mengalami perubahan sejak DS Najib memegang tampuk pemerintahan. Wakil rakyat yang bermasalah tidak akan dipilih lagi. Konsep 1 Malaysia "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" mulai diterima rakyat pelbagai bangsa termasuk Sabah dan Sarawak. Tapi Melayu PAS dan Melayu UMNO masih bergaduh sesama sendiri seperti puak Hamas dan Fatah di Palestin.  Sedangkan Cina MCA, Cina Gerakan, Cina DAP dan Cina PKR boleh bersatu kerana mereka sayangkan bangsa mereka. Mereka bersatu dalam hal menjaga kepentingan bangsa mereka di Malaysia. Mereka tak kisah pun apa agama anutan mereka, mereka tak kisah pun apa parti ideologi mereka, mereka tak kisah pun asal usul mereka tapi mereka semuanya bersatu. Mengapa mereka boleh bersatu? Sedangkan agama anutan mereka pelbagai. Ada Cina yang menganuti agama Buddha, Hindu, Kristian dan Islam. Boleh pula mereka bersatu! Apa dah nak jadi dengan orang Melayu? Satu agama, satu bahasa, satu budaya dan ada hubungan persaudaraan atau pertalian darah tapi tak boleh bersatu? Sebenarnya banyak persamaan antara Melayu UMNO dan Melayu PAS tapi kenapa Melayu tak boleh bersatu seperti bangsa Cina?

Saturday, July 24, 2010

Pas, UMNO perlu fahami keutamaan

Kerjasama dan seterusnya perpaduan antara UMNO-Pas menjadi harapan kebanyakan intelektual pada hari ini. Cuma terdapat pelbagai halangan yang perlu direntangi bersama demi mencapai matlamat yang mulia ini. Sifat ketaksuban dan keegoan menjadi penghalang utama di samping tekanan-tekanan dalaman dan luaran yang perlu dititikberatkan juga. Sekretariat iLMU (Ulama Muda UMNO) melihat kerjasama UMNO-Pas merupakan asas penting perpaduan masyarakat Melayu.

Untuk menyatakan hanya Pas yang mendukung Islam adalah dakwaan yang kurang tepat kerana jika diteliti dasar UMNO secara adilnya, kita juga mendapati bahawa parti ini turut menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya. Begitu juga dakwaan yang menyatakan bahawa hanya UMNO memperjuangkan bangsa Melayu juga tidak tepat kerana secara adilnya Pas juga berusaha ke arah perpaduan masyarakat Melayu.

Bagaimanapun, apa yang perlu dititikberatkan oleh kedua-dua belah pihak adalah memahami keutamaan. Secara umumnya dilihat UMNO mengutamakan perjuangan memartabatkan bangsa, manakala Pas dilihat mengutamakan agama. Jika diteliti secara adil, apakah yang lebih utama dari kedua-dua perkara tersebut? Sudah tentu agama yang perlu diutamakan. Tetapi, jika keutamaan diberikan kepada agama, adakah ternafi usaha memartabatkan bangsa? Jawapannya adalah tidak. Kerana telah didefinasikan dalam Perlembagaan Persekutuan artikel 160 (2) bahawa Melayu, antaranya bererti seorang yang menganuti agama Islam. Maka, usaha-usaha ini perlu diseiringkan kerana perlembagaan telah menggambarkan orang Melayu adalah beragama Islam. Jadi perjuangan memartabatkan agama juga bererti perjuangan memartabatkan bangsa. Oleh itu, kedua-dua pihak perlu bersatu bagi mengimbangi dasar perjuangan masing-masing.

Cadangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, dan beberapa tokoh ilmuan di negara ini seperti, Tan Sri Harussani dan Dr Mohd Asri Zainul Abidin agar UMNO dan Pas berbincang sebagai langkah kepada perpaduan, sepatutnya disokong penuh dan dipandang serius oleh semua pihak. Cuma apa yang menyedihkan, apabila harapan perpaduan UMNO-Pas cuba direalisasikan, mengapa ada pihak yang bersuara sumbang menafikan kejayaan perpaduan ini. Adakah kita cuba menafikan ketentuan Allah tanpa sebarang usaha dan tawakkal? Mungkin ada yang bersuara: Pengalaman lalu membuktikan bahawa UMNO-Pas tidak mungkin bersatu. Sangkaan seperti ini sebenarnya jauh tersasar.        

Sewajarnya kita melihat ke hadapan, bukan semata-mata menjadikan kenangan lalu sebagai penutup bagi segala kebaikan. Setiap manusia pasti melakukan kesilapan dan kesalahan. Ingatlah sabda Rasulullah SAW: “Setiap anak Adam melakukan kesalahan, dan sebaik-baik pesalah adalah mereka yang bertaubat”. (riwayat al-Tirmidzi). Jika Allah menerima taubat hamba-Nya yang membunuh 100 orang seperti yang dikisahkan di dalam Shahih al-Bukhari, mengapa tidak kita sebagai manusia memaafkan saudara kita? Mungkin ada yang berkata, mereka ini tidak ikhlas untuk bersatu. Siapa kita untuk mengetahui hati-hati manusia? Bahkan kita tidak dijadikan untuk merobek hati-hati manusia. Kerana itu, Rasulullah SAW pernah menegur Usamah bin Zaid apabila membunuh seorang kafir yang telah melafazkan kalimah syahadah (mengucap) dengan alasan tidak ikhlas. Kata Nabi: Mengapa tidak dibelah sahaja jantungnya? (riwyat Muslim). Maksudnya, dilihat apakah dia benar-benar ikhlas atau tidak. Maka, apabila saudara kita datang untuk berdamai, sewajarnya kita berusaha untuk memurnikan keadaan bukan terus mencipta fitnah dan tuduhan.

Firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).” (surah al-Maidah: 2)

Untuk bangsa dan agama lain di bumi tercinta ini, janganlah anda rasa tertekan atau terpinggir dengan usaha murni penyatuan umat Islam. Sejarah Islam telah membuktikan bahawa jika sekiranya umat Islam benar-benar menghayati ajaran Islam, penindasan tidak akan berlaku; tidak kepada umat Islam dan tidak juga kepada yang bukan Islam. Islam adalah agama rahmat yang menjaga hak-hak alam ini. Sebagaimana firman Allah: “Tidaklah kami utuskan engkau wahai Muhammad melainkan sebagai rahmat untuk alam ini.” (surah al-Anbiyak:107).

Walau berbeza bangsa, agama dan negara, Islam tidak pernah menggadaikan hak-hak asasi manusia. Oleh itu, Islam membenci sebarang kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi, sama ada terrorism, vandalism, pembuangan anak, pencabulan hak dan segala bentuk kemiskinan iman dan a:khlak. Perpaduan adalah jambatan penyelesaian bagi segala permasalahan bahkan menjanjikan kejayaan yang berpanjangan.

:Hayatilah firman Allah SWT: :“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang yang mendapat siksa yang berat.” (surah Ali Imran: 104-105).

* Fathul Bari Mat Jahaya
Timbalan Pengerusi
Sekretariat Ulama Muda UMNO (iLMU)

Tuesday, July 20, 2010

Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady Vs TG Nik Aziz: Malaysia sebuah negara sekular?

Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady menegaskan bahawa Malaysia bukan sebuah negara sekular. Malah beliau sanggup bersumpah atas nama Allah dan Rasulullah bahawa sekularisme dalam erti Barat tidak wujud sama sekali di Malaysia.  Sehubungan itu, beliau menegaskan sebarang dakwaan yang menyatakan sekular mula wujud di negara ini sejak kedatangan penjajah adalah tidak benar sama sekali. ‘‘Pemisahan agama, adat dan raja pada waktu itu adalah pengasingan pentadbiran dan bukannya pengasingan agama secara total di dalam pentadbiran.
‘‘Pokok pangkal sekular adalah pengecualian agama daripada semua ruang awam. Agama dipisahkan dalam pendidikan, pentadbiran, sektor keselamatan, bank dan lain-lain. ‘‘Sedangkan kita lihat di dalam pentadbiran negara hari ini, agama tidak dipisahkan sama sekali. Malah dalam apa jua aspek, agama ditekankan. Cuma mungkin secara tidak menyeluruh tetapi ia sedang mengalami perubahan,’’ katanya.
Muhammad Uthman berkata, sudah tiba masanya umat Islam di negara ini menghentikan pertikaian berhubung persoalan sekularisme dan nasionalisme sebaliknya kembali kepada fahaman konsep sayang kepada bangsa dan agama mengikut Islam. ‘‘Islam mengajar kita menyayangi agama dan bangsa. Ini yang diajar oleh Islam dan sehubungan itu jangan sesekali kita melanggar kerangka asal berkenaan.  ‘‘Sewajarnya ia dipatuhi dan dalam masa sama diperkemaskan lagi supaya ia boleh menjadi contoh kepada kaum minoriti yang lain,’’ katanya.
Dalam pada itu Muhammad Uthman berkata, mereka yang melanggar kerangka asal tersebut boleh dipanggil sebagai ‘orang gasar’ atau tidak bertamadun.
‘‘Ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan tidak boleh dibiarkan atas dasar kebebasan mengeluarkan pendapat,’’ katanya.
Sementara itu, beliau berkata, tuduhan kafir kepada pihak tertentu adalah satu budaya yang amat ditegah oleh Islam.
Komen:
Apakah nanti Tokoh cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady akan dikritik oleh ulamak-ulamak PAS kerana masuk campur urusan politik. Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berusaha menyatukan orang Melayu menjadi sasaran kritikan pemimpin Pas dalam ceramah yang diadakan di Kampung Pasir Putih Tambahan di sini malam tadi.
Harussani dituduh mahu mencampuri urusan politik sedangkan beliau adalah mufti yang bertanggungjawab terhadap hal-hal yang berkaitan agama.Perkara itu dibangkitkan oleh Ketua Penerangan Pas, Idris Ahmad yang menggesa Mufti Perak tersebut menghentikan usahanya itu. Idris Ahmad seperti pemimpin yang hilang punca, tidak berilmu atau sengaja mahu perbodohkan kelompok umat Islam tertentu. Walaupun Mufti Perak menyentuh tentang penyatuan orang Melayu, maksudnya samalah juga dengan penyatuan orang Islam. Kenapalah isu bangsa dan agama diperbesarkan oleh pemimpin PAS. Dalam perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa orang Melayu itu adalah Islam di Malaysia. UMNO ditolak pula kerana tak lawan rasuah sedangkan DAP dan PKR tolak rasuah. Beginilah cakap ulamak politik yang sengaja mengaburkan pemikiran umat Islam. Seolah-olah dulu dan kini pemimpin UMNO masih mengaamalkan rasuah dan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PKR tidak rasuah. SPRM ditubuhkan dan menggantikan BPR itu apa pulak? Bukankah usaha-usaha kerajaan Malaysia yang ditunjangi UMNO untuk memerangi rasuah? Pemimpin-pemimpin PAS seperti hilang punca setelah semakin ramai tokoh-tokoh agama, ulamak dan pemimpin NGOs Islam mulai mengkritik pandangan ulamak politik PAS yang bercelaru tentang perpaduan Islam. Majoriti Melayu ataupun umat Islam di Malaysia sebenarnya mahukan PAS dan UMNO bersatu.

Monday, July 19, 2010

Orang Melayu perlu sokong UMNO dan tolak PAS jika mahu selamatkan bangsa Melayu dan agama Islam di Malaysia!!!!!!!!!!!!!!!!

Pas tetap dengan pendirian tegasnya. PAS tetap menolak kerjasama politik dengan UMNO kecuali dasar UMNO berubah dari bangsa Melayu kepada Islam., kata Nik Aziz. Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tidak timbul isu siapa yang perlu dipilih menjadi perantara merealisasikan kerjasama itu kerana dasar yang dibawa UMNO yang tidak akan diterima oleh Pas. walaupun Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria campur tangan dan bersedia menjadi perantara agar dua parti itu bersatu demi perpaduan umat Islam.
Para ulamak tua dan muda , para cendikawan Melayu, para mufti dan bekas mufti, ustaz-ustaz, serta pemimpin-pemimpin NGOs Melayu dan Islam perlu memikirkan satu jalan yang terbaik setelah pemimpin-pemimpin PAS senada dan seirama menolak kerjasama dengan UMNO. Mereka lebih rela bersama dengan DAP dan PKR walaupun mereka mengetahui secara jelas bahawa mereka sokong DAP dan PKR bukan kerana dasar perjuangan mereka sebaliknya kerana mereka adalah pakatan yang mahu mengambil alih Putarajaya dalam PRU13 akan datang. Itu jawapan sebenarnya kenapa Tok-Tok Guru pimpinan PAS seperti Nik Aziz, Tuan Ibrahim dan Cikgu Mustapha, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub telah menolak usaha kerjasama UMNO-PAS oleh sesiapa saja walaupun Mufti Perak, TS Harussani Zakaria telah menyatakan kesediaan menjadi orang tengah. Malahan sesiapa yang mahu campurtangan (usaha membawa kerjasama UMNO dan PAS) akan dikritik hebat.
Oleh itu sesetengah pihak dalam politik tidak hairan dengan penolakan kerjasama UMNO-PAS oleh Nik Aziz dan pemimpin-pemimpin PAS lain. Mereka ulamak politik yang membuat keputusan berdasarkan kepentingan politik kepartian. Pemimpin PAS bukan tidak tahu bahawa dasar perjuangan DAP dan PKR tetapi mereka lebih rela bersama DAP dan PKR walaupun Melayu dan Islam akan berpecah dua atau tiga. Matlamat pemimpin PAS mahu jadi PM dan Menteri-Menteri kerana itu sebenarnya dasar dan perjuangan PAS. Dalam jangka pendek ini, Pakatan Rakyat yakin mereka akan memenangi PRU akan datang.
Para Mufti, Cendiakwan dan Ulamak, pemimpin-pemimpin NGOs Melayu dan Islam perlu memilih UMNO supaya orang-orang Melayu dan Islam akan bertambah kuat melalui kepimpinan UMNO yang lebih terbuka dan berwawasan sifatnya. UMNO sudah berubah ke arah yang lebih baik, telus dan mendekati rakyat setelah DS Najib menjadi PM. Jika dasar UMNO salah, kenapa ada ulamak yang menyokong UMNO. Jika PAS boleh menerima dasar perjuangan DAP, kenapa pula PAS tidak boleh menerima dasar perjuangan UMNO? Jika UMNO didakwa sebagai kafir kerana bersubahat dengan parti bukan Islam seperti MCA dan MIC maka bagaimana pula PAS yang bersubahat dengan DAP yang jelas menentang penubuhan sebuah negara Islam? Itulah politik PAS yang suka memutar-belitkan cerita dan fatwa demi untuk keuntungan politik. PAS perlu dilupakan supaya pemimpin-pemimpin PAS insaf dan sedar bahawa rakyat Melayu/Islam tidak menyokong mereka yang jelas menolak usaha merapatkan hubungan persaudaraan sesama sebangsa dan seagama. Pemimpn-pemimpin PAS masih berpandangan bahawa sokongan orang Melayu kepada PAS semakin bertambah. Lupakah mereka kebelakangan ini keputusan-keputusan PRK DUN dan Parlimen seperti di  Manek Urai, Kelantan, Bagan Pinang Negeri Sembilan serta Parlimen Hulu Selangor, pengundi-pengundi Melayu tidak lagi memihak kepada pembangkang walaupun yang bertanding itu calon PAS. Mufti Perak dan pemimpin-pemimpin NGO Melayu dan Islam, ada juga ulamak-ulamak PAS sendiri turut kecewa dengan kenyataan pemimpin PAS yang sanggup menolak usaha penyatuan bangsa Melayu dan Islam. Itulah yang diperintah oleh Allah swt. Dan itulah yang perlu diberi keutamaan oleh pemimpin-pemimpin Islam termasuklah UMNO sendiri ketika hak ketuanan Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan semakin dicabar dan dihina oleh pihak lain. Beringat-ingatlah sebelum nasi jadi bubur. Berhati-hatilah jangan dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Pepatah Melayu ada berpesan, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Orang Melayu perlu sedar dan insaf dengan apa yang telah dan sedang berlaku di Perak semasa pemerintahan PR, Selangor dan di Pulau Pinang kini.

Tuesday, July 13, 2010

GOLONGAN ULAMA KOMITED SATUKAN SATUKAN UMNO-PAS


KUALA LUMPUR 12 Julai - Golongan agama hari ini melahirkan komitmen tidak berbelah bahagi untuk terus berusaha menyatukan UMNO dan Pas demi kepentingan Islam dan umatnya walaupun terpaksa berdepan cemuhan daripada penyokong kedua-dua parti.
Penyatuan dua parti orang Melayu itu jika benar-benar berlaku dianggap kemenangan paling besar bagi umat Islam negara ini.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebagai golongan agama, segala cabaran harus dihadapi dengan tenang kerana tanggungjawab menyatukan umat Islam termasuk membabitkan parti-parti politik orang Melayu merupakan tuntutan agama.
"Tidak boleh tidak, kita terpaksa mengakui masa depan Islam di negara ini terletak di tangan orang Melayu. Atas sebab itu saya dalam usia lebih 70 tahun ini tidak pernah berhenti berusaha selain berdoa untuk melihat orang Melayu benar-benar bersatu.
"Perpecahan antara kedua-dua parti ini sebenarnya cukup memberi kesan kepada kedudukan Islam sekali gus kedudukan orang Melayu di negara kita. Malaysia adalah negara kita dan sekiranya berlaku sesuatu yang buruk ke mana harus kita pergi?" katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya Pas dan UMNO bersatu dan bekerjasama.
Lokman berkata, jika UMNO dan Pas bekerjasama banyak perkara boleh dilaksanakan termasuk hukum hudud berbanding tindakan bekerjasama dengan DAP dan PKR yang ternyata mempunyai dasar dan matlamat perjuangan yang berbeza.
Harussani menambah, dalam keadaan umat Islam masih berpecah, pemimpin UMNO dan Pas sepatutnya mengetepikan fahaman politik masing-masing dengan menjadikan Islam sebagai asas penyatuan.
"Ini bukan soal perkauman tetapi ini menyentuh mengenai masa depan Islam. Apabila kita menyentuh tentang Islam ia bersangkut paut dengan orang Melayu kerana Islam di Malaysia didukung oleh orang Melayu.
"Sebab itu saya mahu UMNO dan Pas kembali bersatu. Mereka boleh duduk dan berbincang atas konsep syura demi Islam dan demi orang Melayu. Bukankah syura merupakan amalan Rasulullah?" katanya lagi.
Timbalan Dekan Institut Pemikiran dan Ketamadunan Islam Antarabangsa (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr. Mahmood Zuhdi berkata, penyatuan UMNO dan Pas akan membolehkan Islam dan kedudukan umat Islam bertambah kuat.
"Saya tidak akan berhenti melakukan kerja ini. Kerja ini tiada noktahnya kerana ia membabitkan kedudukan Islam serta umat Islam pada masa akan datang.
"Saya tidak rela melihat Islam dipermain-mainkan mana-mana pihak. Saya juga tidak mahu melihat kedudukan umat Islam terus menerus berada pada persimpangan jalan yang amat kritikal ekoran wujudnya perpecahan," katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin UMNO dan Pas menginsafi nasib menimpa Islam dan umat Islam ekoran ketiadaan perpaduan yang jitu di kalangan umatnya.
Dalam pada itu beliau berkata, dalam konteks politik semasa, Pas harus bekerjasama dengan UMNO dan bukannya parti lain seperti DAP sekiranya parti itu mahu meletakkan Islam pada kedudukan yang tinggi.
"Butalah mata mana-mana pemimpin (Pas) sekiranya ada antara mereka mahu bekerjasama dengan DAP kerana terlalu mementingkan politik," katanya lagi.
Mengulas isu sama, Rektor Kolej Islam Darul Ridzuan, Profesor Datuk Dr. Mohd. Yusoff Hussein berkata, penyatuan UMNO dan Pas bukan sahaja menjadi hasrat kepada golongan agama malah bagi semua umat Islam.
Beliau yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan percaya jauh di sudut hati umat Islam ingin melihat kedua-dua parti itu bersatu dan bekerjasama khususnya berkaitan dengan Islam dan kepentingan Melayu.
"Saya sendiri sentiasa berdoa agar apa yang dihasratkan ini dimakbulkan oleh Allah," katanya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia 12/7/2010

Saturday, July 10, 2010

ORANG MELAYU JADI PELARIAN DI TANAH AIR SENDIRI, APAKAH BENAR?

Orang Melayu hanya boleh berdemontrasi. Mungkin boleh disertai oleh beberapa NGO Melayu dan NGO Islam. Itu saja yang dapat orang Melayu mampu lakukan, kenapa? Inilah angkara Melayu tidak bersatu. Melayu berpecah dua atau tiga kumpulan besar akibat perbezaan ideologi politik. Melayu majoriti di tanah air sendiri tapi jadi lemah kerana bercakaran sesama sendiri. Kumpulan penduduk majoriti akan jadi minoriti. Itulah sebenar yang berlaku kepada orang Melayu hari ini. Tapi orang Melayu masih tak mahu sedar diri. Orang Melayu terlalu taksub kepada pemimpin parti tertentu hingga tidak kisah bangsa dan agama Islam semakin terhimpit dan dihina. Pemimpin-pemimpin Melayu juga sengaja tak mahu sedar kerana ketamakan kepada kuasa politik. Tak kiralah sama ada pemimpin itu datangnya dari UMNO, PAS atau pun PKR. Pemimpin pembangkang sepuluh kali teruk daripada pemimpin UMNO. Sejak memerintah negeri Pulau Pinang, apakah pemimpin Melayu PKR dan PAS boleh lakukan? Hampas! Orang Melayu Pulau Pinang khususnya semakin tertekan, bagaikan pelarian palestin. Akan usir keluar secara terancang oleh KM Pulau Pinang, Tuan Guan Eng, pemimpin yang menjadi idola penyokong PAS dan PKR di Pulau Pinang hingga mendapat gelaran pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz. Orang Melayu Pulau Pinang telah diperbodohkan oleh seorang pemimpin DAP. Bagaimana kampung tradisional satu demi satu akan lenyap dikerjakan oleh kerajaan negeri atas alasan pembangunan negeri Pulau Pinang. Lihatlah apa yang terjadi kepada penduduk Kg. Buah Pala? Sekarang Kg. jalan Pokok Asam akan menerima nasib yang sama, dan tak lama lagi Kg. Binjai tunggulah!. Demontrasilah pagi, petang, siang ataupun malam. Pasti pembangunan akan naik tanpa belas kasihan. Mana pemimpin PAS dan NGO PAS ketika rakyat ini memerlukan sokongan dan bantuan anda? Pemimpin PAS dan PKR bertanggungjawab atas kemusnahan kampung-kampung tradisional kaum India dan Melayu di Pulau Pinang. Timbalan Ketua Menteri 1Mansor Othman yang akan mendapat gelaran Datuk sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang ke-72 esok. Tahniah kepada Datuk Mansor Othman tetapi orang-orang Melayu di Pulau Pinang Datuk akan mendapat gelaran 'Pelarian di tanah air sendiri'. Mana janji-janji pilihanraya dulu Datuk? Mana hilangnya YB Tuan Abdul Malik Abul Kassim, Exco Hal Ehwal Agama Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna? Tampillah ke hadapan Tuan, bantulah orang Melayu di Kg. Jalan Pokok Asam dan juga Kg. Binjai yang turut akan menerima nasib yang sama. Datuk Abdul Halim Hussain dari PKR, walaupun bukan exco dan bukan ADUN tapi selaku Speaker pun sebenarnya boleh bela nasib orang Melayu Pulau Pinang? Tapi kemana pemimpin-pemimpin Melayu ini menghilang? Apakah hampa takut kepada pemerintah diktator Guan Eng itu? Jika tak cukup dengan pemimpin Melayu PKR, orang Melayu Pulau Pinang ada pemimpin tunggal PAS, YB Tuan Salleh Man. Pemimpin PAS yang kononnya memperjuangkan Islam dan nak tubuh negara Islam. Tapi jika nasib bangsa Melayu yang beragama Islam di negeri sendiri pun tidak dapat dibela nasib mereka masakan Tuan Salleh Man dan parti PAS boleh tubuh negara Islam PAS? Semua itu retorik belaka. Bekas Exco Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Syed Amerrudddin telah memberi komennya dalam Utusan Malaysia pada 8 Julai 2010, katanya semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri akan memastikan pemaju mendirikan rumah untuk menggantikan kediaman setiap penduduk kampung yang terlibat dengan projek pembangunan. Beliau menambah lagi, campur tangan pemimpin kerajaan negeri merupakan salah satu cara penyelesaian terbaik untuk menyelamatkan kampung-kampung ini seterusnya membela nasib orang Melayu. Itu komen bekas exco kerajaan negeri BN dulu. Tapi Utusan Malaysia satu-satunya akhbar utama orang Melayu telah diboikot oleh kerajaan negeri Guan Eng. Pemimpin diktator Guan Eng benci akhbar Utusan Malaysia maka begitulah bencinya dia kepada orang-orang Melayu. Tapi orang Melayu Pulau Pinang sangat menyanjungi Ketua Menteri PP, Tuan Guan Eng sebaliknya orang Melayu benci DS Najib pasal apa? TG Nik Aziz sendiri lebih rela bekerjasama dengan pemimpin DAP termasuk Pengerusi DAP, Karpal Singh, kenapa? Walaupun TGNA sendiri tahu  bahawa Karpal Singh tegas dan keras menentang penubuhan sebuah negara Islam, kenapa TGNA bersikap semacam itu? UMNO didakwa zalim, disamakan dengan Yahudi. Itu kerja pemimpin PAS/pembangkang cuba menimbulkan kebencian sesama umat Islam. Apakah selama ini kerajaan Malaysia di terajui oleh UMNO tidak membela nasib orang Melayu? Apakah syiar Islam tidak subur di bawah pemerintahan UMNO? Sudah beribu-ribu orang Melayu sudah berjaya dalam bidang profesional. Sudah beribu masjid dan surau dapat didirikan di seluruh pelusuk negara. Sistem perbank Islam dan sistem insuran takaful di Malaysia telah menjadi model ikutan oleh negara-negara Islam lain di dunia. Mahkamah Syariah dan perundangan Islam semakin berkembang maju di Malaysia. Universiti Islam Antarabangsa dan kolej-kolej Islam pun ada. Pajak gadai Islam ar-Rahnu telah diperkenalkan dan beroperasi dengan baik di Malaysia. Institusi Pendidikan Islam dibantu oleh kerajaan Malaysia. Sekolah Agama Rakyat turut dibantu dan diambil alih oleh kerajaan. Elaun Guru Kafa, elaun Imam dan elaun hafiz dibayar. Banyak lagi! Apakah semua ini dilakukan dengan baik oleh kerajaan PAS di Kelantan? Kenapakah ada sesetengah orang Melayu yang mengakui beragama Islam tidak mengakui kejayaan UMNO tapi masih berbangga dengan kejayaan kerajaan PAS di Kelantan yang sebuah masjid belum dapat dibina sejak 20 tahun memerintah. Yang banyak dibina ialah markas-markas PAS di merata ceruk kampung dan desa hanya untuk menjaga kepentingan politik kepartian tapi tiada perancangan rapi untuk membela nasib rakyat Kelantan. Pemimpin-pemimpin Melayu khususnya UMNO di Pulau Pinang mesti bersatu. Orang-orang Melayu di Pulau Pinang mesti buat keputusan yang bijak. Sudah terang lagi bersuluh dengan apa yang telah berlaku di hadapan mata kita. Ceramah politik pembangkang hanya umpanan yang beretorik. Setakat ini dulu...harap Melayu Pulau Pinang semakin sedar, bersatulah kita!

Wednesday, July 7, 2010

Syabas Kerajaan Negeri Pulau Pinang!

TAHNIAH kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang berani bertegas terhadap gerai haram Melayu dan juga penduduk Melayu yang mahu mempertahankan kedudukan mereka di kawasan yang perlu dimajukan sesuai dengan kemajuan persekitaran Pulau Pinang.
Kerajaan Barisan Nasional dahulu tidak berani bertindak terhadap mereka sehingga membantut pembangunan yang perlu dijalankan segera tetapi, rakyat tidak pun berterima kasih.
Sebabnya, rakyat mahu duduk dalam keadaan lama yang mereka rasakan selesa kerana telah jadi kebiasaan dan kesedapan walaupun pada pandangan umum amat menjijikkan dan menjejaskan imej Pulau Pinang.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat dengan Ketua Menterinya dari DAP yang berorientasikan PAP adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew di awal pembangunan Singapura dalam membawa negara itu ke arah kemajuan pesat.
Di Singapura, orang Melayu di Geylang Serai dan juga di Kampong Gelam juga mulanya tidak mahu berpindah, mempertahankan Istana Kg. Gelam yang tidak beraja dan cuba memainkan sentimen Melayu walaupun sebenarnya yang menguasai mereka ialah keturunan Arab kaya yang mahu kekal mengutip sewa rumah mereka dari penyewa Melayu.
Tindakan tegas kerajaan PAP Singapura telah berjaya menggantikan istana buruk dan rumah rumah buruk di Kg. Gelam dengan pembangunan pusat pelancongan, pembangunan rumah Melayu yang indah dan Pusat Warisan Melayu yang teratur dan bersih yang sekarang menjadi tumpuan pelancong dan memudahkan orang Melayu untuk menggunakan sebuah rumah berdewan besar bagi mengadakan kenduri kendara.
Demikian juga di Geylang Serai terdapat Kompleks Gerai yang teratur dan moden di samping pasar yang bersih.
Orang Melayu sendiri telah mendapat faedah daripada pembangunan ini dalam suasana moden yang sesuai dengan Singapura sebagai sebuah negara maju dan bukan seperti Kampung Baru Kuala Lumpur yang menyakitkan mata dan menjatuhkan maruah orang Melayu dan kerajaan pimpinan Melayu.
Kampung Baru telah berkali-kali gagal untuk dimajukan kerana sikap penduduknya sendiri yang sukar untuk menerima realiti, tidak rasional dan dalam beberapa hal bermain politik atau menjadi alat politik.
Yang terbaru ialah hendak turut dalam merancang pelan pembangunannya. Sikap ini adalah melampaui batas, bodoh sombong dan tidak mengukur diri sendiri.
Tidak ada jalan lain bagi kerajaan kerajaan negeri yang lain dan juga kerajaan Persekutuan jika hendak memajukan negara dengan pesat dan pantas yang melibatkan orang- orang Melayu sendiri kecuali berani berkeras, tegas dan tidak terlalu mengharapkan balasan politik.
Tindakan Kerajaan Pulau Pinang terhadap orang Melayu Pulau Pinang yang sememangnya kaki gaduh, tidak rasional dan tidak tahu mengenang budi adalah suatu tindakan yang berani, mengambil risiko politik tetapi hasilnya kelak akan memberi faedah dan sokongan kepada rakyat dan kerajaan sendiri.
Ia tidak akan dapat dilihat dalam sekelip mata.

Tan Malaka
Putrajaya

Sumber: Utusan Malaysia 6/7/2010

Saturday, July 3, 2010

PAS lebih baik bersama UMNO dari DAP- Mukhriz

MARANG 2 Julai. – Pertelingkahan dua pemimpin Pakatan Rakyat, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dari PAS dan Karpal Singh dari DAP, membuktikan betapa rapuhnya ikatan kedua-dua parti yang mempunyai pendirian serta ideologi bertentangan.
Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir berkata PAS sepatutnya menyedari sejak awal lagi bahawa kerjasama dengan DAP tidak akan berhasil kerana pendirian kedua-dua parti jauh berbeza.
“Satu pihak nak negara Islam, satu pihak lagi kata langkah mayat aku dulu. Jadi, tak mungkin mereka dapat berpakat dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di sini.
Justeru, Mukhriz berkata, PAS lebih sesuai bekerjasama dengan Umno kerana pada dasarnya, kedua-dua parti tidak banyak berbeza.
“Persamaan PAS dan Umno sebenarnya lebih banyak daripada perbezaan, tetapi sebaliknya, perbezaan itu yang diperbesar-besarkan,” katanya.
Mukhriz berkata perbezaan pendirian kedua-dua pemimpin sepatutnya memberi peluang parti dan penyokong mereka kembali menilai kedudukan PAS dalam pakatan pembangkang yang turut disertai PKR itu.
Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika diminta mengulas perkembangan terbaru kedua-dua pemimpin pembangkang itu.
Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sebelum ini dilaporkan mencabar Karpal Singh supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS, yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun, adalah salah. – Bernama

Friday, July 2, 2010

Kg. Binjai Bayan Lepas akan lenyap tidak lama lagi.......bantulah mereka?

Difahamkan lebih 50 buah rumah di Kampung Binjai, Bayan Lepas, Pulau Pinang akan diroboh oleh pemaju untuk dibina dengan rumah sesebuah 3 tingkat dan rumah berkembar 3 tingkat. Sudah tentu rumah sebesar ini tidak akan mampu dibeli oleh orang-orang Melayu di Kampung Binjai itu sendiri. Inilah nasib sebuah kampung 99% orang-orang Melayu yang dihalau keluar kerana pembangunan 'pembersihan' orang-orang Melayu secara perlahan-lahan oleh kerajaan Lim Guan Eng.
Semasa pentadbiran BN dulu, kelulusan projek perumahan di kawasan Daerah Barat Daya dibekukan dan diperlahankan sebagai usaha mengatasi kesesakan jalan utama Bayan Lepas-Balik Pulau mengalami kesesakan teruk di waktu puncak. Tapi kerajaan negeri Guan Eng tidak memikirkan tentang masalah itu. Itu masalah rakyat. Rakyat boleh fikir sendiri untuk mengatasi kesesakan jalan raya. Hanya dalam tempoh dua tahun, kerajaan negeri DAP-PKR-PAS memerintah, pertumbuhan projek perumahan ibarat bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bukit bukau ditarah dan rumah-rumah kampung ditolak untuk digantikan dengan rumah batu bertingkat-tingkat. Orang Melayu hanya boleh memerhatikannya sahaja. Orang Melayu tidak mampu beli. Kampung orang Melayu kian lama kian lenyap. Masa kempen pilihanraya dulu, pemimpin UMNO/BN dikritik dan dikutuk. Pemimpin UMNO/BN didakwa kejam kerana merampas harta rakyat. Ramai cendiakawan dan pemerhati politik bebas, mengiyakan bahawasanya kemenangan parti pembangkang terutamanya PAS dan PKR dalam pilihanraya yang lalu kerana 'fitnah' yang mereka taburkan. Sekarang lihat dan saksi sendiri, bagaimana pentadbiran negeri Guan Eng telah  meluluskan projek-projek perumahan secara rakus sekali.
Difahamkan YB Adun Bayan Lepas sedang berusaha mendapat bantuan Kerajaan Pusat bagi menyelamatkan kampung ini. Mungkin YB Adun Bayan Lepas mempunyai mekanisme tertentu bagi menyelamatkan kampung ini daripada jatuh ke tangan pemaju. Sama-samalah kita beri sokongan dan semangat kepada keluarga-keluarga Melayu yang terbabit supaya bersabar. Menurut maklumat yang boleh dipercayai, ADUN Pakatan Rakyat tidak mahu membantu menangani masalah penduduk di kampung ini kerana penyokong Pakatan Rakyat dikatakan cuma 4-5 keluarga sahaja. Begitulah pendirian wakil rakyat pembangkang yang dipuji dan dipuja oleh orang Melayu selama ini. Begitulah nasib penduduk Kg. Binjai, Bayan Lepas selepas rakyat memilih DAP-PKR-PAS memerintah Pulau Pinang. Sokong lagi! Harap pagar, pagar makan padi.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"