Wednesday, July 7, 2010

Syabas Kerajaan Negeri Pulau Pinang!

TAHNIAH kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang berani bertegas terhadap gerai haram Melayu dan juga penduduk Melayu yang mahu mempertahankan kedudukan mereka di kawasan yang perlu dimajukan sesuai dengan kemajuan persekitaran Pulau Pinang.
Kerajaan Barisan Nasional dahulu tidak berani bertindak terhadap mereka sehingga membantut pembangunan yang perlu dijalankan segera tetapi, rakyat tidak pun berterima kasih.
Sebabnya, rakyat mahu duduk dalam keadaan lama yang mereka rasakan selesa kerana telah jadi kebiasaan dan kesedapan walaupun pada pandangan umum amat menjijikkan dan menjejaskan imej Pulau Pinang.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan Pulau Pinang di bawah kerajaan Pakatan Rakyat dengan Ketua Menterinya dari DAP yang berorientasikan PAP adalah mencontohi apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew di awal pembangunan Singapura dalam membawa negara itu ke arah kemajuan pesat.
Di Singapura, orang Melayu di Geylang Serai dan juga di Kampong Gelam juga mulanya tidak mahu berpindah, mempertahankan Istana Kg. Gelam yang tidak beraja dan cuba memainkan sentimen Melayu walaupun sebenarnya yang menguasai mereka ialah keturunan Arab kaya yang mahu kekal mengutip sewa rumah mereka dari penyewa Melayu.
Tindakan tegas kerajaan PAP Singapura telah berjaya menggantikan istana buruk dan rumah rumah buruk di Kg. Gelam dengan pembangunan pusat pelancongan, pembangunan rumah Melayu yang indah dan Pusat Warisan Melayu yang teratur dan bersih yang sekarang menjadi tumpuan pelancong dan memudahkan orang Melayu untuk menggunakan sebuah rumah berdewan besar bagi mengadakan kenduri kendara.
Demikian juga di Geylang Serai terdapat Kompleks Gerai yang teratur dan moden di samping pasar yang bersih.
Orang Melayu sendiri telah mendapat faedah daripada pembangunan ini dalam suasana moden yang sesuai dengan Singapura sebagai sebuah negara maju dan bukan seperti Kampung Baru Kuala Lumpur yang menyakitkan mata dan menjatuhkan maruah orang Melayu dan kerajaan pimpinan Melayu.
Kampung Baru telah berkali-kali gagal untuk dimajukan kerana sikap penduduknya sendiri yang sukar untuk menerima realiti, tidak rasional dan dalam beberapa hal bermain politik atau menjadi alat politik.
Yang terbaru ialah hendak turut dalam merancang pelan pembangunannya. Sikap ini adalah melampaui batas, bodoh sombong dan tidak mengukur diri sendiri.
Tidak ada jalan lain bagi kerajaan kerajaan negeri yang lain dan juga kerajaan Persekutuan jika hendak memajukan negara dengan pesat dan pantas yang melibatkan orang- orang Melayu sendiri kecuali berani berkeras, tegas dan tidak terlalu mengharapkan balasan politik.
Tindakan Kerajaan Pulau Pinang terhadap orang Melayu Pulau Pinang yang sememangnya kaki gaduh, tidak rasional dan tidak tahu mengenang budi adalah suatu tindakan yang berani, mengambil risiko politik tetapi hasilnya kelak akan memberi faedah dan sokongan kepada rakyat dan kerajaan sendiri.
Ia tidak akan dapat dilihat dalam sekelip mata.

Tan Malaka
Putrajaya

Sumber: Utusan Malaysia 6/7/2010

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"