Thursday, June 18, 2009

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melahirkan kebimbangan.....

PUTRAJAYA 17 Jun – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria hari ini memberi amaran perpecahan orang Melayu ketika ini terlampau teruk sehingga golongan majoriti itu kelihatan terlalu lemah. Membiarkan orang Melayu sendiri mentafsirkan apa yang dimaksudkannya daripada pengamatan suasana hari ini, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2008 itu percaya hanya kerajaan perpaduan antara UMNO-Pas sahaja boleh mengembalikan semula kewibawaan orang Melayu di Malaysia. ‘‘Saya sebenarnya tidak mahu mengulas isu-isu politik tetapi dalam soal cadangan kerajaan perpaduan UMNO-Pas ini, saya setuju sangat jika ia dapat dijayakan. ‘‘Ia bukan sahaja boleh menyatukan orang Melayu malah lebih dari itu mempertahankan agama Islam yang suci ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Komen: Tuan Guru Nik Aziz pula ulama PAS yang menentang keras usaha cadangan Presiden PAS, DS Haji Abdul Hadi ke arah itu. Kenapa TG Nik Aziz jadi begitu? Apakah pandangan TG Nik Aziz tidak menganggahi kehendak Islam? Apakah dendam TG Nik Aziz kepada UMNO sangat menebal hingga tidak boleh dimaafkan lagi? Selalunya rakyat bawahan jadi keliru dengan pandangan-pandangan ulama seperti ini. Sekarang ada dua ulama; Ulama PAS khususnya TG Nik Aziz menentang ada kerjasama PAS dan UMNO manakala ulama yang boleh dianggap berkecuali, Mufti Perak sangat bersetuju ika kerajaan perpaduan UMNO dan PAS dapat dijayakan. Tetapi bagaimana pandangan saudara budiman pembaca blog ini?
Sumber: Utusan Malaysia 18 Jun 2009

Tuesday, June 16, 2009

JIKA UMNO DAN PAS DAPAT BERSAMA......

Lupakan peristiwa yang lalu. Buang yang keruh ambil yang jernih. Mulakan dengan bermuzakarah. Tiada masalah yang tak boleh diselesaikan. UMNO dan PAS dari serumpun bangsa dan seagama. Jika demikian, mengapakah UMNO dan PAS tidak boleh bersama?
Ingatlah jika Melayu lemah dan Islam akan turut lemah di bumi Malaysia ini. Apakah yang PAS dapat jika Islam yang diperjuangkan semakin lemah dan apakah UMNO dapat jika bangsa Melayu yang diperjuangkan semakin mundur? Perjuangan PAS dan UMNO hampir sama tetapi pendekatan mungkin berbeda. Mengikut perlembagaan persekutuan Melayu itu adalah Islam. Oleh itu mengapa perlu kita beremosi dalam hal ini? Bolehkah Islam di Malaysia subur jika Melayu tidak maju? Suatu yang amat pelik sekali bila PAS memilih untuk bersama DAP dan PKR untuk memperjuangkan Islam!
Alhamdulillah, pemimpin-pemimpin utama PAS sudah menyatakan hasrat untuk melihat sebuah kerajaan perpaduan. Kita berharap idea yang sangat baik ini tidak tergugat dengan pelbagai asakan pemimpin-pemimpin tertentu dalam PAS sendiri dan Pakatan Rakyat. Kita berharap DS Haji Hadi ikhlas dan tegas semasa menyampaikan hasrat ini. DS Najib, PM Malaysia dan kebanyakan pemimpin UMNO menerima pandangan DS Hj Hadi dengan hati yang terbuka.
Jika UMNO dan PAS bersama, orang Melayu yang selama ini berpecah akan kembali bersatu. Sudah lama Melayu bergaduh dan berpecah sesama sendiri kerana ideologi politik yang berbeda. Hidup masyarakat Melayu berpuak-puak, ada surau PAS dan ada surau UMNO. Ada kenduri PAS dan ada kenduri UMNO. Ada TASKI dan ada Tadika Kemas. Kehidupan orang Melayu di kampung-kampung berpura-pura. Dalam diri masing-masing tertanam subur semangat kepartian yang menebal. Bertegur sapa tidak ikhlas dan pelawaan seperti melepas batuk ditangga. Majoriti orang Melayu terutama di kampung-kampung, di desa-desa dan taman perumahan amat merindui suatu kehidupan orang Melayu yang bersatu hati. Kita boleh bersatu dalam kenduri kendara, gotong royong dan berjemaah di surau mahupun di masjid. Hubungan adik beradik akan bertambah rapat dan erat jika sebelum ini renggang kerana ideologi parti yang berbeda.
Oleh itu pemimpin PAS dan UMNO perlu lupakan sengketa lama. Yang buruk jadi sempadan dan yang baik buat tauladan. Kumpulan-kumpulan yang menentang usaha ini wajib ditentang habis-habisan. Kumpulan ini sebenarnya gila 'kuasa' dan mahu melihat Melayu lemah. Mereka sepatutnya sedar bahawa kaum-kaum lain juga menerima kebaikan jika Melayu bersatu kuat. Jangan ulangi kejadian peristiwa 13 Mei disebabkan timbul perasaan tidak puas hati di antara kaum. Kita doakan pemimpin UMNO dan PAS dapat bersama untuk memastikan orang Melayu yang beragama Islam berada di kedudukan yang sepatutnya setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka.

Sunday, June 14, 2009

APAKAH PAS MAMPU MENGGANTIKAN UMNO DALAM PAKATAN RAKYAT?

Pas perlu bersemuka dengan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) jika benar-benar serius mahu berbincang untuk mewujudkan kerajaan perpaduan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah menurut beliau, kewujudan pandangan berbeza di kalangan anggota pakatan pembangkang berhubung cadangan itu menjadikan ia masih kabur dan memerlukan penjelasan daripada mereka.
Komen:
Idea DS Hj Abdul Hadi, Presiden PAS mewujudkan kerajaan perpaduan amat baik untuk negara khususnya orang-orang Melayu dan Islam. DS Hj Abdul Hadi sebenarnya berpandangan jauh dan bimbang dengan perpecahan umat Melayu yang beragama Islam di Malaysia. Beliau sedar bahawa PAS tidak semampu UMNO untuk membela nasib bangsa Melayu dan Islam dalam Pakatan Rakyat. Jika ditakdirkan Pakatan Rakyat memerintah negara dan bukan Presiden PAS yang akan jadi PM seperti Presiden UMNO dalam BN. Yang pasti DS Anwar Ibrahim akan jadi PM dan Lim Kit Siang akan menjadi TPM Malaysia. Ini pasti akan berlaku kerana wakil rakyat Melayu adalah minoriti dalam parlimen Pakatan Rakyat dan sudah pasti wakil rakyat bukan Islam yang lebih ramai menganggotai kabinet kerajaan Pakatan Rakyat. Lihatlah apa yang berlaku di Perak semasa kerajaan PR memerintah. Sungguhpun MB adalah Ir. Mohd Nizar dari PAS tetapi exco kerajaan negerinya dikuasai oleh bukan Islam dari DAP dan PKR. Jika MB PAS berkuasa kenapa kerajaan negeri Perak telah meluluskan hak milik 999 tahun kepada penduduk Kg. Baru yang 100% adalah kaum Cina.
Dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru-baru ini, ada perwakilan PAS sendiri lantang menegur bahawa PAS telah lari dari perjuangan asalnya untuk menegakkan sebuah negara Islam. Slogan PAS sentiasa berubah atau tidak konsisten. Slogan "Membangun bersama Islam", "Kami Sokong Hudud," "Kepimpinan Bersama Ulama" dan sebagainya telah dipadamkan dan digantikan dengan "PAS Untuk Semua". Dengan itu, PAS kelihatan 'lebih baik' dari UMNO oleh pengundi bukan Melayu dan Islam. Pemimpin PAS tidak bercakap lagi pasal nak hapuskan pusat-pusat hiburan, kelab-kelab malam, jualan arak dan tempat-tempat perjudian. Pemimpin PAS juga menyokong cadangan bekas Pemimpin Komunis, Chin Peng kembali ke Malaysia. Pemimpin PAS berdiam diri dengan isu Karpal Singh mahu menyaman Raja Perak. Pemimpin dan ahli PAS jugalah yang sanggup tidur di atas jalan menghalang kereta Raja Nadrin memasuki istana Kuala Kangsar semasa majlis perlantikan MB Perak yang baru. Pemimpin dan penyokong PAS bersungguh-sungguh mahu kerajaan Perak diperintah oleh DAP yang jelas menentang perjuangan Islam.
UMNO pula kelihatan 'racist'. Sebenarnya UMNO konsisten dalam menyatakan perjuangannya berteraskan kepada perlembagaan persekutuan. Kerana pemerintahan BN dan UMNO yang menjadi tunjangnya maka Islam subur di negara Malaysia ini. Anak-anak Melayu dalam bidang profesional yang menjadi doktor, jurutera, peguam dan arkitek telah bertambah. Melalui kerajaan BN, maka ramai ahli-ahli korporat Melayu dalam bidang perbankan, perdagangan dan perindustrian telah dapat dilahirkan. Sistem kewangan Islam termasuklah takaful dan pajak gadai Islam telah mampu menyaingi sistem kewangan konvensional. Beberapa negara Islam di dunia telah menjadikan Malaysia sebagai rujukan dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam di negara mereka. Inilah hasil perjuangan UMNO dalam kerajaan BN. Tetapi apakah PAS mampu menyaingi UMNO jika PAS bukan parti utama dalam Pakatan Rakyat. Apakah pemimpin PAS, Tuan Guru Hj. Hadi sanggup melihat bangsa Melayu yang beragama Islam semakin lemah. Apakah PAS mahu terus beretorik dengan pelbagai slogan. Punca Melayu berpecah kerana pemimpin PAS sendiri pernah mengeluarkan hukum kafir kepada orang UMNO, tidak sah mengimamkan orang UMNO dan haram memakan binatang sembelihan orang UMNO.
Apakah pemimpin PAS hari ini tidak merasa bersalah apabila masih ada penyokong-penyokong fanatik masih menghina ahli-ahli UMNO dan hingga sanggup menghukum ahli-ahli UMNO sebagai ahli neraka? Apakah hukumnya bila pemimpin PAS sanggup bersekongkol dan berpeluk cium dengan pemimpin DAP yang terang-terang menentang penubuhan kerajaan Islam? Apakah PAS boleh menolak usaha muzakarah dengan UMNO kerana dibantah oleh DAP sebagai rakan dalam Pakatan Rakyat? Orang-orang Melayu sama ada UMNO dan PAS perlu mengutamakan usaha mengukuhkan perpaduan Melayu yang beragama Islam di Malaysia ini sebelum 'nasi dah jadi bubur'.

Wednesday, June 10, 2009

KENAPA PKR DAN DAP MENENTANG HABIS-HABISAN CADANGAN PRESIDEN PAS?

DS Haji Abdul Hadi mengutarakan idea penubuhan kerajaan perpaduan pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam minggu lalu. Bagaimanapun PKR dan DAP tidak bersetuju dengan idea Abdul Hadi terhadap pembentukan kerajaan perpaduan itu yang dilihat hanya akan melemahkan pakatan pembangkang sendiri. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, DAP dan PKR sebenarnya tidak berhak untuk membangkang sebarang cadangan baik yang diberi Pas terutama bagi tujuan perpaduan rakyat negara ini.
Tambah Rais, penghargaan harus diberikan kepada Abdul Hadi di atas keterbukaan dan pandangannya untuk melihat suasana politik negara yang baik pada masa depan. Katanya, pujian tinggi juga harus diberikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memandang idea itu dengan penuh keterbukaan. "Kita hargai usaha Abdul Hadi itu dan kita juga mengagumi Najib dan Muhyiddin kerana keterbukaan mereka menerima idea tersebut. "Kita yakin usaha itu akan dibincangkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Komen:
Ahli-ahli dan penyokong PAS perlu memahami bahawa idea mewujudkan kerajaan perpaduan bukan datangnya dari pemimpin UMNO sebaliknya dari Presiden PAS sendiri. DS Hj Abdul Hadi, Presiden PAS sekali lagi mengulangi hasratnya untuk melihat akan wujud suatu hari nanti kerajaan perpaduan yang boleh memberikan kebaikan kepada negara. Mesti ada maksud yang tersurat dan tersirat hingga Presiden PAS berani mengeluarkan pandangan yang jelas mendapat tentangan dari dalam dan luar PAS. Pandangan Presiden PAS mendapat sokongan kebanyakan dari golongan ulama dalam PAS sendiri kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz, MB Kelantan. Golongan edrogan (pro Anwar), pemimpin pemuda PAS (bukan ulama) dan Kelab Penyokong PAS pula adalah golongan yang menentang dari dalam PAS. Manakala PKR dan DAP sudah diduga tidak akan membiarkan PAS bersekongkol dengan UMNO kerana mereka mahu PAS sebagai parti utama orang Melayu dalam Pakatan Rakyat.
Pemimpin Ulama PAS secara terbuka atau tidak, sudah memahami bahawa kepentingan orang Islam dan orang Melayu semakin tergugat sejak politik orang Melayu berpecah. Mereka sedar bahawa perjuangan PAS sebagai sebuah parti Islam semakin tersasar dari perjuangan asalnya. PAS kelihatan tidak bermaya dalam Pakatan Rakyat terutama di Pulau Pinang, Selangor dan Perak (semasa pemerintahan PR). Suara wakil rakyat PAS tidak dihiraukan dalam kerajaan PR. Manifesto PAS untuk mengharamkan pusat-pusat hiburan dan tempat-tempat perjudian tidak berlaku malahan lebih teruk lagi daripada pemerintahan BN. Pemimpin profesional dalam PAS terlalu terbuka sikapnya hanya untuk kepentingan politik parti bukan kerana Islam. Mereka sanggup berceramah dalam gereja dan menyokong pihak gereja menggunakan perkataan "Allah" sebagai mengganti perkataan "God". Mereka berdiam diri bila Raja Melayu dicabar oleh tokoh politik merupakan pemimpin dalam PR. Bila Islam dicabar hanya segelintir pemimpin PAS yang berani kehadapan. PAS sebagai parti Islam kelihatan tidak konsisten dalam perjuangan Islamnya. Slogan atau manifesto PAS sentiasa berubah-ubah mengikut kepentingan politik semasa. Slogan "Kami Sokong Hudud" yang dilaung-laungkan suatu masa dulu telah dipadamkan. Begitu juga slogan "Membangun Bersama Islam" sudah tidak ada lagi. Kini "PAS for all" pula menjadi slogan PAS yang jelas mencerminkan bahawa PAS untuk semua bangsa. Oleh itu nada dan gaya pengucapan pemimpin PAS sendiri agak lebih terbuka daripada pemimpin UMNO. Pemimpin PAS telah pun bersedia menerima YAB Mohd Lim Kit Siang sebagai Perdana Menteri Malaysia. Mereka juga boleh menerima bahawa Timbalan PM mesti ada kaum Cina dan India jika Pakatan Rakyat memerintah. Tetapi sebaliknya apakah PAS mampu mempertahankan kepentingan Islam dalam pemerintahan kerajaan PR? Apakah PAS tahu dan sedar bahawa ahli parlimen Islam lebih sedikit jumlahnya dari ahli parlimen bukan Islam jika DAP, PKR dan PAS berkuasa? Apakah jika situasi begini, PAS boleh menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam? Jika Islam Hadhari dalam pemerintahan kerajaan BN dipersenda-sendakan, Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh pun tidak diiktirafkan oleh pemimpin PAS sendiri tetapi negara Islam bagaimanakah yang PAS mahukan yang boleh pemimpin DAP sokong? Apakah PAS mahu tubuh sebuah negara Islam selepas Karpal Singh mati? Kenapa PAS mencari jalan sukar untuk membela nasib bangsa dan agama Islam? Apakah UMNO terus dikafirkan dan DAP cuba nak diislamkan oleh PAS? Golongan ulama dalam PAS perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perpecahan di kalangan orang-orang Islam di Malaysia hari ini. Orang-orang Islam berpecah dua dan tiga. Pemimpin UMNO dihina dan difitnah. Mereka sewenang-wenangnya membuat tuduhan bahawa pemimpin UMNO menolak al-Quran dan Islam. Kenyataan politik dari pemimpin-pemimpin PAS yang keterlaluan amat merbahaya kepada umat Islam sendiri. Parti UMNO digambarkan oleh pemimpin-pemimpin PAS sebagai yang terlalu jijik, disamakan dengan Yahudi dan kejam terhadap rakyat. Apakah tuduhan-tuduhan ini ada asasnya? Tetapi dari Yahudikah maka ribuan masjid dan surau terbina semasa pemerintahan BN? Dari Yahudikah maka sistem kewangan Islam, takaful dan pajak gadai Islam telah mampu menyaingi sistem kewangan konvensional di Malaysia? Ada negara-negara OIC menjadikan Malaysia sebagai rujukan dalam pengamalan sistem perbankan Islam di negara-negara mereka. Apakah semua yang berlaku ini hasil perjuangan PAS selama ini? Lihatlah apakah yang mampu dibuat oleh kerajaan PAS di Kelantan sudah lebih 2 dekad berlalu? Kadar pengangguran di kalangan penduduk di Kelantan yang tertinggi. Kadar jenayah, penagih dadah dan masalah sosial juga masih tinggi. Kadang-kadang terperanjat kita bila kes-kes rogol anak, buang anak, khalwat dan sebagainya masih terus berlaku di negeri jolokan "Serambi Mekah". Bukan tujuan hendak merendah-merendah kemampuan pemerintahan PAS di Kelantan. Sekadar membuka minda penyokong-penyokong fanatik PAS. Oleh itu ingatlah PAS dan UMNO adalah sama sahaja. Kedua-duanya adalah parti politik sama seperti PKR dan DAP. Cuma dasar perjuangan UMNO dan PAS hampir ada persamaannya. Tetapi yang sangat ketara, perjuangan PAS dan DAP serta PKR sangat jauh berbeda! Oleh itu kenapa cadangan DS Haji Abdul Hadi perlu ditolak mentah?


Tuesday, June 9, 2009

Isu Muzakarah UMNO dan PAS: Pemuda PAS anggap UMNO

Perwakilan Dewan Pemuda PAS Pusat, Dzulkifli Ahmad menegaskan bahawa tiada istilah bekerjasama dengan Umno-BN dalam apa jua bentuk memandangkan PAS tidak memerlukan parti itu malah ia perlu dikuburkan. "Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka. "Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya. Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini. "Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.
Komen:
Melalui Muktamar Tahunan PAS baru-baru ini dengan jelas telah menampakkan golongan ulama dalam PAS bernada lebih lembut dan selari dengan tuntutan Islam kecuali Tok Guru Nik Aziz yang masih berdegil. Presiden PAS, DS Haji Abdul Hadi yang pernah mengeluar fatwa UMNO sebagai kafir kerana bersekongkol dengan bukan Islam kini telah mulai menunjukkan kepimpinan ulamak Islam yang sebenarnya. Tidak lagi bertindak memusuhi dan mengkafir sesama sebangsa dan seagama. Jika UMNO dikafirkan, hati dan perasaan orang UMNO diguris bagaimana dapat PAS menjaga hati orang-orang bukan Islam seperti Cina dan India yang mulai menyokong PAS. Tetapi harus ingat golongan muda dalam PAS jangan terlalu ghairah untuk memusuhi UMNO. Mungkin kerana golongan muda PAS amat yakin dengan wujudnya KPP (Kelab Penyokong PAS), maka PAS akan menjadi parti alternatif kepada bangsa Melayu dan orang Islam. PAS perlu sedar bahawa politik kaum bukan Melayu (Cina dan India) boleh mudah berubah. Politik mereka tidak seperti politik orang Melayu PAS mahupun UMNO. Contohnya, golongan manakah yang sanggup tidur atas jalan raya demi untuk membela kerajaan negeri Perak yang diperintah oleh DAP? Bukan UMNO yang menentang Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Malahan Malaysia telah dianggap sebagai sebuah negara Islam contoh oleh negara-negara luar. Tapi kenapa pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Karpal Singh diberi peluk cium oleh pemimpin-pemimpin PAS? Apakah pemimpin DAP sebenarnya yang memperjuangkan Islam selama ini. Apakah kerana pemimpin DAP maka masjid-masjid dan surau-surau ada di merata-rata negeri dan ceruk tempat di Malaysia ini? Jangan PAS menafikan bahawa kenikmatan umat Islam kecapi hari ini, kesenangan sebahagian besar orang-orang Melayu beragama Islam pada hari ini adalah hasil gigih perjuangan pemimpin UMNO sejak sebelum merdeka lagi. Golongan muda dalam PAS dan juga atas pagar jangan lupa sejarah. PAS belum nampak lagi hasil perjuangannya untuk membela nasib bangsa Melayu dan agama Islam. Kemenangan besar PRU12 telah menjadi PAS dalam keghairahan. PAS untuk semua. Untuk itu maka PAS terpaksa mengubahsuai prinsip perjuangan asalnya kerana menjaga hati pengundi-pengundi bukan Islam. Slogan "Kami Sokong Hudud", "Membangun Bersama Islam", "Bersama Kepimpinan Ulama" dan sebagainya sudah tiada lagi. Kini slogan agak liberal dengan "Pas for all". Oleh kerana itu golongan muda dalam PAS (bukan ulamak) mulai ghairah dan menunjukkan penentangan yang kuat terhadap UMNO. Golongan ini menganggap bahawa UMNO adalah musuh dalam politik, dunia dan akhirat. Mereka lebih mempercayai kawan-kawan pakatan mereka dari DAP dan PKR. Suatu hari nanti, golongan muda dalam PAS akan lebih mengerti siapakah sebenarnya "musuh dalam selimut" dan "gunting dalam lipatan".

Monday, June 8, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: APA KATA PEMIMPIN UMNO DAN PAS?

Kerajaan perpaduan adalah cetusan idea dari Presiden PAS, Dato' Seri Hj. Hadi Awang selepas keputusan PRU12 yang lalu. Dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru-baru ini, sekali lagi Dato' Seri Haji Hadi menyampaikan hasratnya untuk merealisasikan idea kerajaan perpaduan dalam ucapannya di muktamar tersebut. Beliau mengetahui dan sedar bahawa idea kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS sendiri tetapi atas prinsip ajaran dan perjuangan Islam, beliau menaruh harapan tinggi bahawa suatu masa nanti UMNO dan PAS boleh bersatu.
Di bawah ini, apa kata pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS serta pemimpin-pemimpin lain mengenai isu kerajaan perpaduan:
i. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, beliau bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya. Sehubungan itu, Najib menyerahkan kepada pihak Abdul Hadi untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan tersebut.
ii. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, yang penting kepada UMNO ialah kebaikan yang boleh diperoleh daripada perlaksanaan cadangan itu terutama dalam membantu memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik negara pada masa depan.
iii. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Pas. Malah katanya, pergerakan itu sudah mula membincangkan tentang kemungkinan mengadakan muzakarah dengan Pas sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
iv. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Katanya, jika Pas boleh mengetepikan beberapa prinsipnya untuk menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka bukanlah sesuatu yang mustahil jika parti itu menyambut usaha bermuzakarah dengan UMNO demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan percaya, kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini akan berjaya dibentuk jika kedua-dua parti menyisihkan perbezaan pegangan politik untuk duduk semeja untuk merundingkan masalah yang melanda negara. ''Saya percaya pemimpin UMNO bersikap terbuka menyambut idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
v. Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan, yang juga ulama muda dalam parti itu, secara terbuka menyokong cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN.
vi. MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menunjukkan sikap tidak sehaluan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apabila menolak sebarang kerjasama diadakan dengan Umno. Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak akan sesekali bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan seperti yang diilhamkan Abdul Hadi. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno adalah idea karut yang boleh merugikan Pas.
vii. Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib turut menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan mahu Pas membalas dengan baik walaupun berurusan dengan orang yang sudah membuat jahat seperti yang dituntut al-Quran.
viii. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dikatakan mewakili kumpulan 'Edrogan' mengecam cadangan itu kerana mendakwa kerjasama itu boleh membawa kepada perpecahan Pas. Sebaliknya berkata, Pas harus memberi keutamaan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Parti Keadilan Rayat (PKR).
ix. Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof mendesak kepemimpinan menolak sebarang hasrat untuk mewujudkan kerjasama dengan Umno dan BN.
x. Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Vincent Lee berkata, rundingan sulit antara Pas dan Umno membimbangkan penyokong masyarakat bukan Islam. "Saya amat berharap, janganlah kita melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti sehingga parti kita kembali kepada zaman gelap gelita, yang mana pengundi termasuk Melayu, Cina, India dan Siam meninggalkan Pas.

Tuesday, May 19, 2009

PEMIMPIN HINDRAF SUDAH MELAMPAU DAN KURANG AJAR!

Kerajaan tidak perlu bertolak ansur dengan pertubuhan haram, Hindraf. Hindraf telah melampau hingga berani mengugut pemimpin negara. Apa yang mereka hendak? Apakah kaum India di Malaysia ditindas, dibunuh dan sebagainya? Mengapakah perhimpunan haram yang mereka pilih?
Ingatlah, jutaan rakyat Malaysia masih di belakang kerajaan yang sayangkan kedamaian dan keamanan. Mereka berdiam diri tidak bermakna mereka menyokong tindakan golongan tertentu yang suka dengan berdemontrasi. Cara demontrasi haram bukan budaya rakyat Malaysia. Tapi inilah pilihan dan kegemaran bagi golongan tertentu. Mereka tidak berasa takut seolah-olah mereka mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.
Jangan melampau dan patuhi undang-undang negara ini. Apakah akan berlaku sekiranya ada golongan lain pula bangkit menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap golongan Hindraf? Banyak pertubuhan NGOs Melayu dan Islam mulai melahirkan rasa marah di atas tindakan Hindraf mengugut kerajaan Malaysia. Jika dibiarkan, Hindraf akan menjadi suatu ancaman kepada keamanan negara. KDN perlu bertegas kepada mana-mana pemimpin pertubuhan yang tidak mematuhi undang-undang negara terutama Hindraf yang dikatakan pertubuhan haram yang tidak berdaftar.

Friday, May 15, 2009

MESEJ PENTING DARIPADA MUFTI PERAK!

RINGKASAN TEMUBUAL EKSKLUSIF MAJALAH MILENIA MUSLIM MEI INI.
JOM BELI..JOM PHOTOSTAT,JOM EMAIL KENYATAAN PENTING INI !


Mereka tidak merampas kuasa, cuma mereka (UMNO) bagi tahu kepada Tuanku Sultan sekarang BN telah mendapat majoriti ahli dewan kerana 3 adun dari PKR dan DAP telah keluar parti dan menjadi adun bebas dan seorang adun kembali keapda UMNO!

Terimalah hakikat itu, tetapi PAS dan DAP tidak boleh terima hakikat, sekarang BN ada 31 ahli dewan. Kalau kita mengasihi orang kafir itu adalah itu haram, kita boleh berbaik dengan orang kafir tapi tidak boleh berkasih sayang dengan orang kafir!

Kenapa PAS lebih menyayangi orang kafir daripada sayang orang islam sendiri? Orang islam PAS sanggup maki hamun, orang kafir kita berpeluk-peluk pula, macam kes Elizabeth Wong memang jelas dia buat maksiat, kenapa ada muslimat PAS dan PKR peluk sampai menangis dan macamana NIk Aziz boleh sokong Elizabeth dalam isu ini sedangkan kita dan Nik Aziz tahu yang DAP tidak akan sokong ISLAM! Tengok Karpal Singh kata apa, langkah mayat saya dulu kalau PAS nak tubuh negara ISLAM!

Petikan dari salah satu wawancara Dato Seri Harussani Zakaria, Mufti Besar negeri Perak dalam majalah Milenia Muslim keluaran bulan Mei!

sumber dari : http://www.gerakan-anti-pkr.com/2009/05/sebarkan-mesej-ini-kepada-seluruh-umat.html

Saturday, May 9, 2009

KENAPA V. SIVAKUMAR KURANG AJAR??????

Bekas Menteri Besar Perak, Ir Mohd Nizar mendakwa persidangan DUN Perak pada 7 Mei 2009 yang mendapat restu DYMM Raja Perak dan dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, DYMM Raja Nazrin dikatakan tidak sah. Yang sah ialah Persidangan DUN yang diadakan di bawah pokok. Persidangan DUN yang tidak mendapat kebenaran DYMM Raja Perak adalah sah. Persidangan di bawah pokok pula dianggap sah. Buatlah apa yang hampa suka. Kalau Raja hampa hina dan mufti pun hampa maki, tak payah lagi bercakap pasal undang-undang dan peraturan DUN Perak. Hampa ada loyar di kiri dan kanan serta hampa ada ulama di depan dan belakang, buatlah apa yang hampa suka, lakukan apa yang hampa rasa patut. Undang-undang dalam tangan hampa. Hampa boleh minta rakyat merata tempat bersolat hajat di masjid di Ipoh. Semua tindakan hampa orang kampung tahu! Bila polis tahan pemimpin mereka dari memasuki kawasan DUN, mereka tuduh kerajaan BN jahat dan polis memihak kepada BN. Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP dan PAS dari jauh hampa mai buat apa? Anwar Ibrahim pula bayangnya pun tak nampak! Nasib baiklah pemimpin BN dan UMNO Pusat atau lain-lain tidak buta perut macam depa.
Gilakah mereka? Oh sama sekali tidak! Pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan PKR adalah para loyar, ulamak dan golongan profesional belaka. Tapi perangai depa macam budak-budak. Depa tak salah. Depa juga yang laung-laungkan tentang demokrasi. Mereka juga yang menolak majoriti BN. Ingatkah hampa semua! Kerajaan PAS pernah memenangi negeri Kelantan hanya dengan satu undi, UMNO/BN menerima dengan hati terbuka. Tapi di Perak sangat jelas. DYMM Raja Perak tidak memecat MB Perak tetapi MB Perak sudah hilang majoriti (BN=31 dan PR=28), maka terpulanglah hak DYMM untuk mengadakan pilihanraya atau tidak. Sebaliknya DYMM melantik YB Dr. Zamry sebagai MB Perak menggantikan YB Ir. Mohd Nizar.
Speaker Pakatan Rakyat kurang ajar. Dia sendiri engkar arahan DYMM Raja Perak. Jika pemimpin Melayu sendiri yang tunjuk kurang ajar dengan Raja Melayu sendiri. Sudah tentu mereka ini (bukan Melayu) akan tunjuk 10 kali lebih kurang ajar depa kepada Raja Melayu. Orang Melayu termasuk rakyat Malaysia sangat marah kerana V. Sivakumar dan Ir. Mohd Nizar keras kepala. Engkar arahan DYMM Raja Perak. Dia tahu pula marah bila 10 ADUN engkar arahannya untuk keluar dewan. Dia marah kerana arahan dia selaku speaker mereka engkar. Hooiii, V. Sivakumar, hang sangat kurang ajar. Hang punca DUN jadi kecoh. Hampa tukar tempat DUN Barisan Nasional kembali ke tempat asal (tempat pembangkang), depa (ahli DUN BN) tidak membantah, mereka banyak bersabar dan mereka terima seadanya supaya DYMM Pemangku Raja Perak dapat menyempurnakan perasmian persidangan DUN dapat disegerakan. Hampa berlagak macam hampa tu kerajaan yang memerintah negeri Perak. Hampa buat Dr. Zambry dan wakil rakyat BN dan Bebas seperti barisan pembangkang. Mereka duduk di tempat hampa tetapkan walaupun hampa sebenarnya adalah pembangkang ketika ini. Yang jadi kecohnya, tiba-tiba V. Sivakumar minta 10 wakil rakyat BN dan Bebas meninggalkan dewan? Inilah puncanya. Inilah peluang terakhir Pakatan Rakyat untuk mengembalikan kuasa memerintah Perak kepada PR. Mereka mungkin tidak yakin dengan keputusan mahkamah mengenai kedudukan MB pada hari Isnin ini akan memihak kepada mereka. Oleh itu Pakatan Rakyat melalui peranan speaker V. Sivakumar berkonspirasi secara terancang untuk menjatuhkan kerajaan BN melalui pungutan suara undi dalam persidangan DUN. Dan pemimpin BN/UMNO/Bebas pun sedar bahawa mereka akan kehilangan majoriti jika mereka keluar dewan. Kenapa mereka perlu keluar? Apakah salah mereka? Siapakah mereka sebenarnya yang menjatuhkan hukuman terhadap mereka? Apakah yang tersirat tindakan Speaker itu? PR cuba pula untuk menjatuhkan kerajaan BN yang memperolehi majoriti dan restu dari DYMM Raja Perak melalui undian dalam DUN. Dengan itu V. Sivakumar nampak keras kepala, berdegil kerana peranan speaker sangat-sangat penting untuk memastikan kerajaan BN ditumbangkan.

Friday, May 1, 2009

BERSATUKAH UMNO DAN PAS?

Pelawaan untuk bersatu wajib dilahirkan oleh pemimpin-pemimpin Islam di Malaysia. Sungguh malang kepada pemimpin Islam yang menolak pelawaan ke arah penyatuan umat Islam. Orang Islam di Malaysia adalah orang-orang Melayu yang telah berpecah-belah ekoran persaingan dalam politik kepartian antara PAS dan UMNO serta PKR. Di kampung dan di desa serta penduduk di taman-taman perumahan kelihatan Melayu hidup berpuak-puak mengikut ideologi politik. Ada masjid dan surau yang dikuasai oleh PAS secara terang-terang tanpa segan dan insaf menjadikannya seperti markas parti. Ketaksuban pemimpin-pemimpin parti ini telah memburukkan lagi suasana hubungan persaudaraan sesama Islam. Masjid dan surau bukan lagi tempat penyatuan umat Islam. Masjid dan surau disalahgunakan oleh puak-puak tertentu untuk kepentingan politik kepartian. Pihak berkuasa tidak mampu membetulkan situasi ini yang terus berlaku di kalangan umat Islam. Kadang-kadang serba salah jadinya. Mahu dilarang ceramah-ceramah yang berbaur politik nanti pihak berkuasa dipersalahkan. Penceramah mengambil peluang dan kesempatan berceramah agama menghentam, menghina dan ada yang memfitnah pemimpin-pemimpin tertentu di atas masjid atau surau. Ceramah seumpama ini ada di mana-mana, tidak payah tunggu musim pilihanraya. Ada wakil rakyat PAS makan gaji buta kerana setiap malam kerjanya berceramah di sana sini, merantau seluruh pelusuk negara. Atas tiket ceramah agama, forum dan kuliah nampak seperti berdakwah. Oleh itu kerja-kerja politik mereka kelihatan berniat baik demi kerana Islam. Dalam 'ceramah agama' ahli jemaah yang hadir bergelak ketawa bila pemimpin-pemimpin tertentu diperbodoh-bodohkan dan diperlekehkan di khalayak ramai dan mereka ini menerima tanpa ragu lebih-lebih lagi ungkapan-ungkapan itu terkeluar dari mulut tuan guru.
Usaha-usaha memperburuk-burukkan sesama pemimpin Islam telah berlaku sejak PAS dan UMNO berpisah. Suara-suara lantang menghina dan mencerca secara peribadi, tuduhan tanpa usul periksa, memutar belitkan fakta, menggunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk kepentingan politik, menghukum kafir sesama Islam, mengharamkan sembelihan orang lain, menduakan imam dan sebagainya adalah sebenarnya umum telah mengetahui adalah keterlanjuran pemimpin PAS sejak dahulu lagi.
Kini pemimpin PAS merasakan mereka semakin kuat ekoran kemenangan besar dalam pilihanraya umum yang lalu. Pemimpin-pemimpin PAS tidak mahu pandang ke belakang lagi. Mereka beranggapan bahawa UMNO mulai ditolak oleh rakyat. UMNO kelihatan sebuah parti bersifat terlalu perkauman manakala PAS sebaliknya kelihatan lebih sederhana. Untuk mendapat sokongan kaum-kaum lain seperti Cina dan India, PAS tidak lagi bercakap tentang "Negara Islam" dan 'Hukum Hudud' dan sebagainya. Tiada lagi stiker-stiker kereta umpamanya 'Kami Sokong Hudud' dan 'Membangun Bersama Islam'. Kenapa PAS dulu lain, PAS sekarang lain? Pemimpin PAS mulai sedar bahawa ungkapan seumpama itu boleh menakutkan kaum-kaum lain kepada PAS. Untuk ambil hati kaum Cina, pemimpin PAS mesti sokong cadangan pembinaan industri ternakan babi secara komersial. Pemimpin PAS juga menyokong penggunaan kalimah suci 'Allah' oleh agama lain khususnya kristian. Malahan ada pemimpin Islam PAS sanggup berceramah dalam gereja demi untuk mendapat sokongan politik dari penganut-penganut kristian. Pemimpin-pemimpin PAS juga yang membenarkan rakan politik bukan Islam mengguna dan membaca ayat suci al-quran di atas pentas politik. Walaupun mendapat bantahan NGOs sebaliknya pemimpin PAS yang membenarkan ayat suci al-quran dibaca kerana mereka beranggapan kononnya mereka (bukan Islam) mulai mendekati Islam. Secara terbuka, pemimpin PAS tidak lagi menjuarai isu-isu berkaitan agama Islam. Lebih rela berdiam diri supaya tidak menyanggahi pandangan dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Ini dapat dibuktikan bila Karpal Singh hendak menyaman Sultan Perak, tiada pemimpin PAS yang berani melahirkan tentangan secara terbuka. Bekas MB Perak, Ir. Nizar telah bersetuju bahawa penduduk Kampung Baru diberi hakmilik tanah 999 tahun. PAS sudah hilang arah tuju kerana keghairahan untuk milik 'kuasa'. Pemimpin PAS sanggup melihat Islam dan Melayu berpecah kerana mereka sangat yakin bahawa PAS boleh menjadi parti alternatif kepada orang-orang Melayu. Pemimpin PAS semakin yakin bahawa kaum Cina dan India mulai menyokong calon PAS. Mengapa mereka perlu bersatu dengan UMNO? Mereka beranggapan UMNO mulai menuju kehancuran atau lubang kubur.
Pandangan yang terlalu awal. Dalam politik pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Ada masa naik dan ada masa turun. Ada masa air pasang dan ada masa air surut. Bergantunglah kepada keadaan dan masanya. UMNO mulai membuat beberapa perubahan bagi mengembalikan keyakinan rakyat. Pemimpin-pemimpin MT UMNO yang dipilih melalui Persidangan Agung UMNO kebanyakan pemimpin yang berani bercakap, berpendirian tegas, berwibawa dan bersih. PM, DS Najib telah melantik Menteri dan Timbalan Menteri dari kalangan pemimpin UMNO yang bersih dan berkemampuan memberi sumbangan kepada rakyat dan negara. Beberapa dasar telah mengalami perubahan dan pembaharuan. Majlis perasmian yang bakal dihadiri oleh pemimpin kerajaan diringkaskan kerana lebih masa ditumpukan kepada perkhidmatan kepada rakyat. Sesuai dengan cogan kata di bawah pentadbiran DS Najib iaitu "Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan". Jika UMNO dan BN mendapat restu rakyat pada masa akan datang bermakna Melayu terus berpecah.
Oleh itu pemimpin PAS mahu pun UMNO tidak perlu mendabik dada mengatakan parti masing-masing kuat. Sebenarnya NGOs dan orang Melayu tidak rela melihat bangsa Melayu semakin menuju kehancuran. Apakah Islam boleh terus berkembang maju jika bangsa Melayu hancur? Perjuangan Islam PAS sebenarnya samalah jua dengan perjuangan UMNO. Cuma pendekatan PAS dan UMNO mungkin sedikit berbeda dan apakah perbedaan itu tidak memungkinkan UMNO dan PAS bersatu kerana Allah. Jika PAS boleh menerima DAP sebagai rakan dalam pakatan, mengapa PAS tidak boleh menerima UMNO sebagai pakatan dalam perjuangan membela nasib bangsa Melayu dan Islam?

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"