Monday, June 8, 2009

KERAJAAN PERPADUAN: APA KATA PEMIMPIN UMNO DAN PAS?

Kerajaan perpaduan adalah cetusan idea dari Presiden PAS, Dato' Seri Hj. Hadi Awang selepas keputusan PRU12 yang lalu. Dalam Muktamar Tahunan PAS ke 55 baru-baru ini, sekali lagi Dato' Seri Haji Hadi menyampaikan hasratnya untuk merealisasikan idea kerajaan perpaduan dalam ucapannya di muktamar tersebut. Beliau mengetahui dan sedar bahawa idea kerajaan perpaduan tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PAS sendiri tetapi atas prinsip ajaran dan perjuangan Islam, beliau menaruh harapan tinggi bahawa suatu masa nanti UMNO dan PAS boleh bersatu.
Di bawah ini, apa kata pemimpin-pemimpin UMNO dan PAS serta pemimpin-pemimpin lain mengenai isu kerajaan perpaduan:
i. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan, beliau bersikap terbuka terhadap konsep kerajaan perpaduan yang dikemukakan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Sambil mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana mengemukakan konsep itu, Najib berkata, beliau bagaimanapun belum mempunyai kefahaman yang jelas mengenainya. Sehubungan itu, Najib menyerahkan kepada pihak Abdul Hadi untuk menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan tersebut.
ii. Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, yang penting kepada UMNO ialah kebaikan yang boleh diperoleh daripada perlaksanaan cadangan itu terutama dalam membantu memulihkan ekonomi dan menstabilkan politik negara pada masa depan.
iii. Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Pemuda UMNO bersikap terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan Pas. Malah katanya, pergerakan itu sudah mula membincangkan tentang kemungkinan mengadakan muzakarah dengan Pas sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-12.
iv. Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Katanya, jika Pas boleh mengetepikan beberapa prinsipnya untuk menjalin kerjasama dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka bukanlah sesuatu yang mustahil jika parti itu menyambut usaha bermuzakarah dengan UMNO demi menyelamatkan agama, bangsa dan negara. Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan percaya, kekuatan bangsa Melayu dan umat Islam di negara ini akan berjaya dibentuk jika kedua-dua parti menyisihkan perbezaan pegangan politik untuk duduk semeja untuk merundingkan masalah yang melanda negara. ''Saya percaya pemimpin UMNO bersikap terbuka menyambut idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
v. Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasaruddin Hassan, yang juga ulama muda dalam parti itu, secara terbuka menyokong cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan Umno dan BN.
vi. MURSYIDUL Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sekali lagi menunjukkan sikap tidak sehaluan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, apabila menolak sebarang kerjasama diadakan dengan Umno. Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak akan sesekali bekerjasama dengan Umno bagi menubuhkan kerajaan perpaduan seperti yang diilhamkan Abdul Hadi. Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan bersama Umno adalah idea karut yang boleh merugikan Pas.
vii. Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib turut menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dan mahu Pas membalas dengan baik walaupun berurusan dengan orang yang sudah membuat jahat seperti yang dituntut al-Quran.
viii. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang dikatakan mewakili kumpulan 'Edrogan' mengecam cadangan itu kerana mendakwa kerjasama itu boleh membawa kepada perpecahan Pas. Sebaliknya berkata, Pas harus memberi keutamaan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Parti Keadilan Rayat (PKR).
ix. Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas, Siti Zailah Yusof mendesak kepemimpinan menolak sebarang hasrat untuk mewujudkan kerjasama dengan Umno dan BN.
x. Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Vincent Lee berkata, rundingan sulit antara Pas dan Umno membimbangkan penyokong masyarakat bukan Islam. "Saya amat berharap, janganlah kita melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti sehingga parti kita kembali kepada zaman gelap gelita, yang mana pengundi termasuk Melayu, Cina, India dan Siam meninggalkan Pas.

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"