Sunday, February 7, 2010

PERHIMPUNAN AMAN LEBIH BESAR DI PULAU PINANG!

PULAU PINANG 6 Feb. - Berikutan keengganan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bertemu para peserta Perhimpunan Sedaq bagi menerima memorandum tuntutan semalam, satu demonstrasi yang lebih besar akan diadakan pada 16 Februari ini di sini. Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abd. Karim berkata, ia dinamakan Perhimpunan Bangkit dan akan melibatkan lebih daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam. "Kerajaan negeri dengan sengaja tidak mempedulikan nasib orang Melayu dan kami pernah memberi amaran akan bangun lagi dengan Perhimpunan Bangkit jika protes yang dilakukan tidak diendahkan. "Justeru kami telah bersetuju untuk menganjurkan Perhimpunan Bangkit pada cuti Tahun Baru Cina iaitu 16 Februari ini," katanya dalam kenyataan yang dikirimkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) di sini hari ini.
Semalam, lebih 3,000 peserta Perhimpunan Sedaq anjuran 30 NGO berkumpul di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) yang menempatkan pejabat Ketua Menteri untuk menyerahkan memorandum kepada Guan Eng. Bagaimanapun, Guan Eng enggan melayan permintaan mereka dan hanya menghantar pembantu khasnya untuk menerima memorandum berkenaan.
Disebabkan kecewa dengan sikap Ketua Menteri itu, mereka bertindak membakar memorandum tersebut dan patung Guan Eng. Jais juga melahirkan kekecewaan dengan kenyataan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri sedang mengkaji kemungkinan untuk meluluskan undang-undang bagi merobohkan gerai-gerai haram dalam tempoh 24 jam. Menurutnya, kenyataan tersebut memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab dan bertujuan jahat membuat provokasi kepada orang Melayu yang amat terluka dengan tindakan kerajaan negeri sebelum ini. "Kami juga menyelar dan mempertikai sikap berat sebelah kerajaan negeri untuk 'menghalalkan' peniaga di Batu Feringghi yang 99 peratus daripada mereka berketurunan Cina. "Tindakan ini membuktikan niat sebenar kerajaan negeri yang memang mahu melebihkan peniaga Cina dan menindas peniaga Melayu," ujarnya. Beliau menambah, ia merupakan antara contoh sikap cauvinis yang semakin menonjol dan gagal dilihat oleh pemimpin Melayu dalam pakatan pembangkang.

Sumber: Utusan Malaysia 7 Februari 2010

No comments:

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"