Sunday, June 29, 2008

Kes Liwat DS Anwar Ibrahim: BN dan UMNO jadi sasaran?

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin meminta semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, apa yang penting kini ialah siasatan terperinci dijalankan terlebih dahulu sebelum tindakan lanjut boleh diambil. Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat dan pihak media agar tidak menyebarkan maklumat palsu atau yang bersifat andaian mengenai kes tersebut.
Komen:
Ada konspirasi politik! Begitulah anggapan dan andaian kebanyakan individu yang memihak kepada DSAI. PM sendiri telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatan kerajaan BN dan UMNO terhadap kes ini. Kes liwat dikaitkan dengan DSAI pada tahun 1998 dulu telah banyak merosakkan imej UMNO. Orang ramai tidak mempercayai bahawa DSAI adalah personal seburuk dan sehina itu. Sekali lagi mahu atau tidak mahu, pemimpin UMNO terpaksa menerima hakikat bahawa sekali lagi parti UMNO akan menjadi sasaran dan kritikan hebat selepas ini. Sama ada kes liwat ini benar atau tidak, UMNO dan pemimpinnya akan dianggap sebagai 'berniat jahat' untuk menjatuhkan karier politik DSAI. Awal-awal lagi YB Sarifuddin Nasution telah menyeru agar para penyokong bertenang dan beliau dengan yakin beranggapan bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkan karier politik DSAI. Presiden PKR, Wan Azizah juga mengulangi pendirian suaminya bahawa ada konspirasi politik. Manakala pihak Polis akan membuat penyiasatan secara terperinci, profesional dan adil kepada kedua-dua pihak; pengadu dan yang kena adu. Datuk Mohd Bakri Zinin merayu agar pihak akhbar dan orang ramai tidak membuat sebarang andaian kerana ini akan mengganggu proses siasatan pihak polis. Walau bagaimanapun tindakan DSAI mendapat perlindungan di Kedutaan Turki menimbulkan banyak persoalan. Orang ramai diminta bertenang dan sebaiknya menunggu hasil siasatan polis. Jika benar berlaku konspirasi politik, pihak yang terlibat perlu dibawa kemuka pengadilan tanpa mengira darjat dan pangkat selaras dengan sistem kehakiman negara yang lebih bebas dan adil. Namun demikian sudah ada pihak telah mulai mempertikaikan kewibawaan pihak polis dan kehakiman negara masa kini. Pemimpin pembangkang terutamanya diingatkan supaya tidak emosional bila berhadapan kes ini dan cubalah elak membuat sebarang tuduhan dan andaian. Saya masih ingat lagi, bila diminta komen berkaitan dengan beberapa ahli parlimen akan melompat parti maka Tok Guru Nik Aziz terus membuat tuduhan bahawa tindakan melompat parti itu bukan kerja parti pembangkang sebaliknya kerja BN. Akhirnya terbukti, usaha memancing ahli parlimen BN dari Sabah dan Sarawak adalah kerja buat pemimpin parti pembangkang yang bercita-cita menjadi PM secara yang tidak demokratik.

Saturday, June 28, 2008

Wakil DAP Sudah Melampau!

Seorang ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Teoh Seang Hooi telah mencadangkan supaya semua papan tanda di jalan-jalan utama di negeri ini menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu. Perubahan itu perlu dibuat bagi memberi kemudahan kepada para pelancong khususnya dari China yang ramai berkunjung ke negeri ini. Di samping itu, mempermudahkan penduduk di kawasan-kawasan yang kebanyakannya dihuni oleh masyarakat Cina terutamanya di Bukit Mertajam. Yang Dipertua MPSP, Farizan Darus yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudiannya menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda adalah selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan. Atas desakan ahli MPSP, YDP MPSP akan membawa cadangan tersebut kepada kerajaan negeri.

Komen:

Cadangan menggunakan bahasa Mandarin di papan tanda di jalan utama di Pulau Pinang akan menguji keikhlasan dan keprihatinan kerajaan negeri terutama kepada pengundi-pengundinya. Kenapa cadangan itu tidak dilayan sedangkan semua parti Pakatan Rakyat sentiasa menggunakan ketiga-tiga bahasa (bahasa Melayu, Mandarin dan Tamil) terutama di kain-kain rentang baik untuk kempen politik mahu pun untuk tujuan lain. Kerana itulah antara sebabnya pengundi-pengundi semua kaum tertarik dengan Pakatan Rakyat termasuklah parti PAS menggunakan bahasa ibunda Cina dan juga Tamil di kain-kain rentangnya. Selari dengan manifesto parti PAS iaitu "PAS untuk semua". Apakah setelah 50 tahun merdeka, masih terdapat anak Malaysia yang tidak boleh membaca bahasa Malaysia? Masih ada lagikah pelajar-pelajar dari SJKC dan SJKT tidak dapat menguasai bahasa Malaysia semasa persekolahan selama 6 tahun di sekolah rendah? Apakah pemimpin-pemimpin dari Pakatan Rakyat melihat bahawa peranan bahasa Malaysia sebenarnya tidak berkesan sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum? Oleh itu perlu wujud pelbagai bahasa di papan tanda utama dan mungkin suatu masa nanti syarat menggunakan bahasa Malaysia di papan-papan iklan pula wajar disemak semula dan mungkin dimansuhkan? Kemungkinan besar kerajaan Pakatan Rakyat akan akur dengan cadangan itu bagi melambangkan konsep Malaysian Malaysia yang diamalkan oleh parti DAP.

Layakkah Majlis Peguam Bincang Ketuanan Melayu?

Pelbagai pihak hari ini mempersoalkan motif sebenar Majlis Peguam menganjurkan forum berhubung ketuanan Melayu apabila ahli panel yang akan terlibat pada program itu terdiri daripada bukan Melayu. Sudah tentu akan mengundang kemarahan orang Melayu apabila bukan Melayu mengupas isu mengenai kedudukan dan hak orang Melayu. Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Majlis Peguam sepatutnya menumpukan kepada hal kebajikan ahli dan bukannya melibatkan diri dalam perkara sensitif seperti ini. Jika hendak berforum, majlis itu wajar menumpukan kepada isu berkaitan perundangan yang menjadi teras kewujudannya. Difahamkan barisan panel ialah peguam, Tommy Thomas, Dr. Mavis Puthucheary, penganalisis politik, Dr. Kua Kia Song dan Dr. Farish Noor. Majlis Peguam perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika forum berkenaan nanti akan menaikkan kemarahan orang-orang Melayu. Dalam situasi sekarang, Majlis Peguam perlu sedar bahawa orang Melayu telah merasai kehilangan kuasa politik. Walaupun PKR dan PAS berada dalam Pakatan Rakyat, realitinya kuasa Melayu sudah terhakis. Dengan kerana itulah, pelbagai NGOs hari ini yang berteraskan Melayu mulai bangun untuk memulihkan semula perpaduan Melayu. Biarlah hal ehwal orang Melayu dibincangkan atau diforumkan oleh pemimpin dan pertubuhan Melayu sendiri. Majlis Peguam tak perlulah mengeruhkan lagi keadaan atau cuba menjadi jaguh untuk orang Melayu sekalipun. Majlis Peguam sepatutnya menganjur forum yang boleh meningkatkan lagi tahap profesionalisme peguam-peguamnya supaya masyarakat akan sentiasa menghormati kredibiliti peguam. Jika presiden Majlis Peguam sangat berminat dengan isu-isu politik yang memihak kepada pembangkang, silalah meletak jawatan dan jadilah ahli politik sepenuh masa. Janganlah Majlis Peguam dikenali rakyat sebagai sebuah parti politik baru yang barisan kepimpinan terdiri dari peguam-peguam tersohor. Belum pernah berlaku di Malaysia ini, pertubuhan Cina dan India membincangkan masalah ketuanan Melayu. Sebaliknya belum pernah lagi orang Melayu memforumkan soal perpaduan bukan Melayu. Dengan semangat setia kawan dalam BN, parti-parti komponen yang ada MCA, MIC, UMNO dan lain-lain mengadakan perbincangan masalah masing-masing di meja perundingan. Inilah cara BN menyelesaikan masalah kepentingan pelbagai kaum sehingga hari ini. Hormat menghormati hak semua kaum dan rakyat Malaysia melalui meja perundingan menjadikan rakyat Malaysia yang majmuk dapat hidup secara aman dan damai hingga ke hari ini.

Friday, June 27, 2008

PAS Pentingkan Parti Dari Perpaduan Melayu


Melayu ternyata berpecah dan tidak bersatu. Perpecahan tampak parah apabila pemimpin Melayu tidak lagi mempercayai sesama mereka, memusuhi sesama sendiri kerana perbedaan ideologi politik sebaliknya sanggup berkawan rapat dan berpakat dengan musuh bangsa dan agama kerana parti dan kuasa politik. Perpecahan ini memberi ruang untuk mereka melancarkan pelbagai ancaman, ugutan dan permintaan yang tidak berpatutan terhadap kerajaan pada masa ini. Malahan Kesultanan Melayu dipertikaikan oleh mereka.
Saya amat bersetuju dengan cadangan mantan PM, Tun Mahathir dan Mufti Kerajaan Perlis baru-baru ini agar pemimpin-pemimpin Melayu dapat bertemu secara ikhlas untuk menyelesaikan masalah perpecahan umat Melayu ini. Janganlah begitu ghairah menghulurkan tangan bersahabat dengan musuh pada waktu yang sama menikam dan memutuskan persaudaraan sesama bangsa dan agama. Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah juga tampak berdukacita di atas bencana yang melanda umat Melayu kini. Baginda menitahkan agar umat Melayu kembali bersatu dan menjadi kuat semula. Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga telah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan orang Melayu. Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.

Sebenarnya kebanyakan orang Melayu di bawah mahu melihat pemimpin Melayu bersatu. Pelbagai NGOs dan Raja-Raja Melayu telah mengingatkan supaya Melayu bersatu. Malangnya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perundingan dengan UMNO atas apa juga alasan bagi mengelak tercetusnya perpecahan dalam parti itu. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim baru-baru ini. Demi parti, Tok Guru Nik Aziz tidak rela dan bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan pemimpin UMNO. Ini bererti PAS dan UMNO yang merupakan dua parti terbesar orang Melayu ini akan terus bersaingan antara satu sama lain. Nik Abdul Aziz berkata, pendirian itu juga amat penting bagi menghormati sokongan rakyat termasuk pemimpin dan ahli UMNO, pengundi Cina dan India serta pengundi muda yang telah memberikan undi kepada Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini. Tok Guru pentingkan parti dari penyatuan Melayu? Walau bagaimanapun pandangan Tok Guru perlu dihormati kerana beliau juga mempunyai alasan tertentu yang membolehkan pemimpin dan ahli PAS tidak bersatu dengan pemimpin dan orang UMNO!

Thursday, June 26, 2008

Apa dah jadi dengan Kepimpinan PKR Selangor


Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mula bergolak apabila Setiausahanya, Mohd Yahya Mat Sahri, meletak jawatan dalam parti dan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkuat kuasa kelmarin. Beliau yang kecewa dengan tindakan Abdul Khalid menggantung tugasnya selepas didakwa terbabit dalam isu meluluskan kontrak memungut dan melupuskan sampah di Petaling Jaya, turut mendesak Menteri Besar meletakkan jawatan. Mohd Yahya berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tidak dilayan dengan adil oleh Abdul Khalid berhubung isu berkenaan.

Manakala Dewan Pemuda Pas Selangor pula kecewa dengan tindakan penganjur sambutan 100 hari pemerintahan kerajaan campuran di negeri ini yang memasukkan wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk program itu ke dalam akaun Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ketuanya, Sallehen Mukhyi khuatir perkara seperti itu mungkin boleh berlaku lagi pada masa akan datang melibatkan nilai wang yang lebih besar. Justeru, beliau mendesak pucuk pimpinan negeri yang diterajui PKR, Pas dan DAP menubuhkan Majlis Perundingan Pakatan Rakyat bagi memastikan kesilapan yang diakui sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu tidak berulang lagi.

Berdasarkan perkembangan hari ini, difahamkan sudah mula wujud keretakan dalam sokongan kepada kepimpinan PKR Selangor. Sejurus selepas kembali daripada menunaikan umrah, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui bekas pegawai tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri namun beliau tidak akan menarik balik pendiriannya yang tidak percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ada pula kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid. Mereka mahu ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela dengan memberi peluang memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri daripada memberikan jawatan tersebut kepada golongan profesional semata-mata.

Apa dah nak jadi dengan kepimpinan PKR? Mulai nampak tamakkan kuasa dan jawatan dalam kerajaan. Sekadar ahli parti dan tak ada kelulusan yang selayaknya janganlah mencuba. Nanti rosaklah pentadbiran kerajaan negeri Selangor! Dah jadi kerajaan baru tahu susah atau senang menjaga rakyat jelata. Kalau BN semua tak kena. Baru saja lepas 100 hari macam-macam cerita dan kisah yang tak sedap didengar mengenai PKR Selangor!!!!! Pakat Kita Rasa (PKR) !!!!



Monday, June 23, 2008

Putera-Putera Raja Melahirkan Kebimbangan Perpecahan Melayu


Raja Muda Perak dalam titah ucapannya pada majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) semalam menegaskan bahawa baginda tidak mahu melihat orang Melayu menerima nasib bagaikan dagang di kampung sendiri dan terpaksa bermusafir di bumi sendiri. Raja Nazrin bertitah, kejayaan anak bangsa pada masa sekarang adalah atas pengorbanan, keringat, kesusahan dan usaha generasi terdahulu. Sementara itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pula telah melahirkan kebimbangan terhadap perpecahan di kalangan orang Melayu kerana ia boleh mendatangkan kesan yang merugikan masa depan kaum itu. Baginda bertitah, apabila orang Melayu tidak bersatu, mereka seolah-olah menyerah dan melepaskan kuasa yang ada dan akhirnya boleh mengakibatkan bukan sahaja orang Melayu tidak relevan malah agama Islam juga terpinggir.
Sehubungan itu, Tengku Mahkota menyarankan agar perpaduan Melayu digerak dan diusahakan tanpa berlandaskan sebarang fahaman atau ideologi politik. Dalam masa yang sama, baginda berharap, institusi raja Melayu tidak seharusnya dianggap musuh oleh pihak tertentu di negara ini sebaliknya perlu mempunyai semangat 'wujud bersama' bagi menjamin kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Bila putera-putera Raja bertitah melahirkan kebimbangan, sewajarnyalah semua pemimpin-pemimpin Melayu sedar, tidak kira fahaman ideologi politik, perlu bangun dan bersatu untuk membela nasib bangsa sendiri. Pemimpin besar dalam UMNO dan PAS sepatutnya duduk semeja membincangkan ke arah penyatuan Melayu. Melayu UMNO dan PAS sebenarnya dapat bersatu dengan mudah kerana bezanya hanya dari segi ideologi kepartian sahaja. Mengapa kerana ketaksuban kepartian hingga Melayu merana dan menderita di tanah air sendiri. Mengapa dengan parti bukan Melayu yang terang-terang menentang penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, boleh dijadikan kawan. Tidakkah pemimpin-pemimpin Melayu ini merasa berdosa kerana memusuhi sesama sendiri, menghina, mencerca dan cuba jatuh menjatuhkan sesama sendiri. Yang rugi adalah orang Melayu dan sekali gus agama Islam di Malaysia tidak dihormati lagi oleh rakan-rakan kita yang lain. Tidak perlu lagi kita salah menyalahi dan tuduh menuduh antara satu sama lain. UMNO perlu diperbetulkan. PAS pula jangan merasai sombong dengan pertambahan kerusi di Parlimen dan DUN melalui PRU12 baru-baru ini. Bukan semata-mata kerana pengundi menyokong PAS tetapi banyak faktor-faktor luaran lain yang membantu kemenangan calon PAS. UMNO menghadapi banyak kemerosotan undi sokongan oleh kaum lain. Tetapi masih kuat berbanding dengan komponen lain dalam BN dari Gerakan, MIC dan MCA yang mengalami kekalahan teruk. Sebenarnya UMNO masih kuat dan PAS semakin kuat. Walau bagaimanapun kuasa Melayu sebenarnya telah hampir lenyap walaupun PAS wujud dalam kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak, Selangor dan Pulau Pinang. Perjuangan PAS pun sudah tidak konsisten lagi kerana tiupan angin semangat Pakatan Rakyat yang begitu kuat. Fikirlah kawan-kawan yang cintakan perpaduan Melayu.

Tuesday, June 17, 2008

Boikot Petronas: Melayu Jangan Bodoh!

Orang Melayu jangan jadi bodoh. Orang ramai banyak menerima emel dan juga sms kempen memboikot barangan petronas. Perbuatan memboikot tidak dapat menurunkan harga minyak kerana Petronas bukanlah pembekal minyak yang terbesar di negara ini. Tindakan tersebut akan merugikan orang Melayu sendiri yang kebanyakannya pengusaha-pengusaha stesyen minyak. Yang untung adalah syarikat-syarikat besar seperti Shell dan Esso. CEO Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican telah berkata bahawa Petronas bukanlah pembekal minyak terbesar hanya 800 stesyen di seluruh negara sedangkan Shell melebihi 1200 buah. Orang Melayu jangan jadi bodoh, dan diperbodohkan oleh pihak tertentu. Jangan terlalu emosional dengan kenaikan harga minyak fikiran jadi buntu dan gelabah! Ikut rasa binasa ikut hati mati! Kita mesti rasional dalam menghadapi masalah kenaikan harga minyak. Pengusaha-pengusaha stesyen minyak Petronas adalah orang Melayu kita bukan semuanya orang UMNO, PKR dan PAS pun ada stesyen minyak. Jangan kegilaan kepada parti meruntuhkan ekonomi orang Melayu sendiri. Yang rugi kita orang Melayu. Kekuatan ekonomi tak seperti mana, ada sedikit-sedikit nak dijahanamkan oleh bangsa sendiri. Kuasa politik pun mulai terhakis sikit demi sikit juga kerana perpecahan Melayu sendiri. Janganlah kita lantang berceramah di sana sini, memperburukkan pemimpin Melayu sendiri, kerana yang akan rugi orang Melayu jugak. Takut nanti, yang dikejar tak dapat yang dikendung keciciran. Menang sorak kampung tergadai. Nasi dah jadi bubur!!!

Muzakarah pemimpin UMNO, PAS dan PKR

Sudah jemu kita mendengar berita hasrat hendak bermuzakarah. Tiada pun ada usaha pihak-pihak tertentu untuk merealisasikannya. Apakah UMNO masih bersikap angkuh atau sombongnya tidak mahu bermuzakarah. Apakah benar pihak UMNO tiada kejujuran untuk melaksanakannya? Rakyat Melayu secara majoritinya mahukan orang Melayu bersatu kembali. Perpecahan yang telah berlaku tidak membawa sebarang faedah kepada sesiapa pun. Melayu terus ketinggalan jika terus begini. Apakah perbezaan antara ideologi kepartian tidak memungkin pertemuan untuk mencari perdamaian dan penyatuan Melayu. Apakah PAS dan UMNO tidak membela nasib bangsa Melayu? Apakah orang UMNO tidak Islam? Hanya PAS sahaja Islam? Apakah hanya UMNO sahaja memperjuang nasib bangsa Melayu dan PAS pula tidak demikian? Sebenarnya kedua-dua parti ini mempunyai asas perjuangan yang hampir sama cuma pendekatan sedikit berbeza. PAS asas perjuangan Islamnya, manakala UMNO pula asas perjuangan bangsanya. Perlembagaan Persekutuan telah menyatakan bahawa bangsa Melayu adalah beragama Islam. Ini bermakna, matlamat PAS dan UMNO adalah sama tetapi pendekatannya sedikit berbeza. Tuan Guru Nik Aziz telah dengan jujur menyatakan persetujuan untuk bermuzakarah sebagai respon kepada cadangan Mufti Negeri Perlis baru-baru ini yang mencadangkan supaya diadakan muzakarah antara pemimpin-pemimpin utama orang Melayu demi bangsa dan agama Islam di Malaysia ini.

Saturday, June 14, 2008

Demontrasi Parti Pembangkang di KL

Isu kenaikan harga minyak bukan isu tempatan. Berlaku diseluruh dunia termasuk negara maju. Demontrasi juga terus berlaku di kebanyakan negara. Soalnya, apakah tindakan kerajaan Malaysia belum cukup untuk meringankan beban rakyat yang berpendapatan rendah? Kerajaan Malaysia telah menstruktur pemberian subsidi supaya pemberian subsidi tidak berlaku penyelewengan dan penyeludupan. Pemberian subsidi sepatutnya sampai kepada rakyat yang layak menerimanya. Walaupun kerajaan Malaysia telah melaksanakan tanggungjawabnya dan terus mengambil langkah-langkah pragmatik bagi mengurangkan beban rakyat tetapi tanggungjawab parti pembangkang pula menganjurkan demontrasi di sana sini. Peluang parti pembangkang khusus PAS dan PKR untuk memburukkan kerajaan BN yang ditunjangi oleh UMNO. Pemimpin UMNO seolah-olah tidak berperikemanusiaan, kejam dan korupsi. Itulah label yang berjaya diberikan oleh pemimpin PAS dan PKR kepada pemimpin UMNO. Demontrasi tanpa permit sebenarnya didalangi oleh parti pembangkang. Isu harga minyak telah memberi peluang yang terbaik setakat ini kepada parti pembangkang. Mereka mengambil kesempatan ini untuk memburukkan kerajaan BN dan pemimpin UMNO. Melayu PAS dan Melayu PKR mahu menjatuhkan UMNO. Sebelum menjatuhkan UMNO yang menunjangi kerajaan BN, adalah lebih baik kerajaan negeri PP, Selangor, Kedah, Kelantan dan Perak bersatu dan berdikari dalam tempoh ini. Tunjukkan kepada rakyat umum bahawa kerajaan negeri PR boleh bersatu dan mampu menjadi saingan kepada BN di negeri-negeri lain. Wujudkan kerajaan pusat sendiri, kerajaan Pakatan Rakyat. Kerajaan pusat BN tidak lagi beri bantuan kepada negeri-negeri BN melalui keuntungan Petronas melainkan royalti kepada negeri-negeri berkenaan sahaja seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak. Pandangan yang sukar direalisasikan...sampai bila pun orang Melayu berpecah jika begini. Mufti Perlis sudah pun menyatakan kebimbangannya kepada rakyat umum dalam soal perpaduan bangsa Melayu. Hanya kita boleh bercakap sahaja, sebab semua pihak ada kepentingan. Negara Arab pun tidak boleh bersatu kerana setiap negara Arab nak jaga kepentingan masing-masing. Begitulah kita orang-orang Melayu baik dari UMNO, PAS mahupun PKR. Rakyat mulai sedar dan insaf perpecahan ini semakin ketara. Malahan ada pemimpin Melayu sendiri pertikaikan ketuanan Melayu dan Dasar Ekonomi Baru. Apa yang dapat kita katakan lagi??? Melayu rela berpecah kerana kuasa!!!!

Friday, June 13, 2008

Kerajaan Thailand Menghadapi Protest Rakyatnya

Ketika ini saya masih di Chiang Mai, Thailand dalam program bercuti selama 4 hari. Sepanjang masa saya di sebuah bandar bahagian utara Thailand ini, saya memperolehi sedikit maklumat berkaitan isu harga minyak di Thailand. Rata-rata penduduk yang ditemu bual berpendapat bahawa kenaikan harga minyak terutama petrol di Thailand tidak dapat dielakkan lagi. Kerajaan Thailand juga menghadapi tempoh yang paling sukar selain menghadapi masalah ketidakpercayaan rakyat kepada kerajaan baru Thailand, rakyat juga menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup. Akhbar Bangkok Post pada hari ini melaporkan bahawa kerajaan sedang bersiap sedia menghadapi bantahan rakyat dari kumpulan-kumpulan peladang hinggalah kepada pemandu trak. Kerajaan Thailand bukan sahaja menghadapi demontrasi dari PAD (People's Alliance for Democracy) di Jambatan Makkhawan Rangsan dan perhimpunan di sekitar Bangkok tetapi juga bantahan kumpulan-kumpulan berkepentingan di lain-lain bahagian negara ini. Sementara itu, pemimpin-pemimpin kesatuan swasta akan memutuskan Selasa hadapan sama ada mereka yang mewakili 200,000 ahli kesatuan akan menyertai PAD dalam demontrasi yang dirancangkan itu.

Dari pengalaman saya di Chiang Mai ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah pragmatik untuk membantu rakyat Malaysia yang akan menghadapi beban akibat kenaikan harga minyak. Kita perlu sedar bahawa rakyat Thailand menghadapi masalah lebih sukar. Harga minyak di Thailand telah meningkat dengan harga baru sebanyak 41 bath seliter. Ini bermakna harga minyak di Thailand telah mencapai harga RM3.85 seliter, berbanding Malaysia RM2.70 seliter. Semua rakyat dan juga parti pembangkang perlu memberi sokongan kepada kerajaan Malaysia untuk menghadapi tempoh yang paling sukar ini. Kerajaan Malaysia telah dan akan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengatasi beban rakyat akibat kenaikan harga minyak.

Monday, June 9, 2008

Tiada Kempen Elak Politik Wang

Cuba buat perubahan supaya parti UMNO terutama UMNO Bahagian Balik Pulau kelihatan hidup dan tumbuh subur. Haramkan aktiviti berkempen untuk pemilihan dalam persidangan agung UMNO baik diperingkat pusat, bahagian mahupun cawangan. Mengapa perlu berkempen? Untuk apa berkempen? Berkempen adalah usaha-usaha yang dirancangkan dan dilaksanakan untuk mempengaruhi ahli supaya beroleh sokongan. Penyokong-penyokong berkempen dan memberitahu calon kita hebat orangnya dan banyak keistimewaannya. Calon yang bertanding pula berkempen untuk dirinya seolah-olah dia seorang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan, mampu membawa perubahan kepada parti dan ahli -ahli parti.

Menghayati sedikit suasana kempen seperti itu, tidakkah terasa sombong, pongah, berlagak, takbur dan hipokrit. Itu sebabnya 'orang masjid' atau 'orang surau' tidak berminat untuk berpolitik. Buruk rasanya diri jika kita mengakui bahawa kita berkemampuan dan berkebolehan. Ada yang tak berkebolehan, mengakui diri boleh dan kemudian menang. Ada yang baik, buat kerja dan komited tetapi kalah kerana tidak berminat untuk berkempen. Berkempen perlu bercakap dan berjumpa, ada perjumpaan di hotel, dewan atau restauran. Ibarat kata tak ada duit, jangan masuk politik. Bagaimana bagi mereka yang tak ada duit tapi boleh bekerja dan mampu memberi sumbangan kepada parti? Aktiviti berkempen mengizinkan berlakunya politik wang dan persaingan yang tidak sihat. Oleh itu eloklah kempen politik ditiadakan supaya pemilihan berjalan dengan baik dan bersih sekali.

Dengan tidak ada kempen politik, pemimpin-pemimpin dari peringkat pusat, bahagian hinggalah AJK Cawangan sudah tentu akan bekerja kuat untuk parti supaya ahli mengenali dan mengiktirafnya bahawa mereka boleh buat kerja dan komited. Melalui aktiviti partilah sama ada Biro Penerangan, Biro Latihan, Biro Sukan dan Kebajikan, Biro Agama, Biro Pendidikan dan sebagainya dapat menampilkan kewibawaan dan ketokohan ketua-ketua dan AJKnya. Ahli-ahli UMNO boleh menilai ketokohan kewibawaan seseorang calon yang bertanding melalui penglibatannya dan penyertaan dalam program parti. Ada AJK Bahagian langsung tak buat program tetapi sentiada kekal berada dalam AJK Bahagian. Kadang-kadang ada pula keadaan di mana, banyak sangat buat program ada yang tak senang tidur. Cari jalan nak mengkritik. Bukan nak tegur dengan baik dan berhemah, ditegurnya dalam perhimpunan supaya semua orang tahu dia hebat, bijak dan berani. Jika beginilah sikap orang kita, lebih baik jangan buat program daripada buat program. Yang menegur itu pun tak pernah buat program hanya pandai bercakap sahaja. Itulah sebabnya orang profesional tidak berminat dengan parti. Lebih selesa tanpa parti. Banyak musuh jika membabitkan diri dengan parti. Yang tidak ada kepentingan dalam politik, bebas untuk bercakap dan menegur serta mengkritik. Ahli begini kurang disenangi oleh pemimpin parti. Yang pemimpin suka adalah ahli yang pandai mengampu atau bodek. Tulisan di atas hanyalah satu pandangan semata-mata daripada pengalaman penulis. Dan tidak semua tempat berlaku sepertimana penulis katakan. Dalam sembang-sembang petang pasal politik UMNO Balik Pulau, bertanya pula seorang sahabat, bagaimana nak pilih pemimpin jika seluruh AJK Bahagian Balik Pulau tidak aktif?....!!!!!????

Saturday, June 7, 2008

Implikasi dan Kaedah Menghadapi Kenaikan Harga Minyak


Di sana sini, rakyat bercakap pasal harga minyak yang naik tinggi. Ada yang cukup marah, kecewa dan melepas geram dengan mencemuh pemimpin kerajaan. Saya pun kurang pasti apakah objektif sebenar kerajaan melakukan penstrukturan semula pemberian subsidi hingga harga minyak dinaikkan sangat tinggi. Kesan kenaikan harga minyak akan menjejaskan taraf hidup rakyat. Rakyat berpendapatan rendah akan merasakan peritnya, manakala yang miskin akan terus papa. Kenaikan harga minyak tidak dapat dielakkan kata PM. Subsidi tetap berlaku. Cuma kerajaan mengalihkan beban tanggungan subsidi dalam bentuk yang lain. Mengapa kerajaan tidak meneruskan sahaja pemberian subsidi minyak supaya kenaikan harga minyak tidak begitu tinggi.
Dari sudut ekonomi, minyak merupakan produk tidak anjal sifatnya. Kenaikan harganya tidak mempengaruhi permintaannya dalam pasaran. Implikasinya amat ketara dan menyeluruh serta menyentuh semua aspek penghidupan. Yang berpendapatan sederhana juga mengeluh, telah menghitung dan menyemak semula belanjawan keluarga. Ada yang terpaksa membatalkan rancangan membeli rumah, kereta dan perkakasan rumah. Malah ada membatalkan untuk melanjutkan pelajaran kerana berlaku defisit dalam perbelanjaan rumahtangga. Harga barangan mulai meningkat. Kenaikan harga minyak menyebabkan kos pengangkutan turut meningkat. Apa yang akan berlaku bagi keluarga yang miskin? Harga gula dan tepung naik, sewa bas sekolah ikut naik. Ikan dan sayur-sayuran juga naik!! Keluarga miskin akan jadi papa jika harga barang tidak dikawal.
Penstrukturan semula pemberian subsidi boleh dibaiki lagi. Isirumah yang berpendapatan tinggi dan berkereta mewah membeli minyak dengan harga pasaran. Yang bermotorsikal 250 cc ke bawah diberi subsidi 100%, berkenderaan 251cc hingga 1000cc diberi subsidi 50% dan begitulah seterusnya. Pemilik kenderaan asing dan kenderaan mewah tempatan terpaksa membeli harga pasaran. Penggunaan kenderaan kerajaan mesti dikaji semula. Kenderaan rasmi kerajaan hanya menggunakan kereta nasional Proton Perdana V6 . Peraturan penggunaannya diperketatkan lagi supaya langkah berjimat cermat oleh jabatan kerajaan dapat dilakukan. Elaun-elaun dan lain-lain kemudahan untuk wakil rakyat dan pegawai kerajaan kumpulan Jusa dikurangkan ataupun dihapuskan. Kursus-kursus kakitangan kerajaan hanya diadakan dalam negeri sahaja. Bantuan-bantuan persekolahan sama ada bantuan Skim Bantuan Tuisyen, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan Biasiswa perlu disemak semula. Pemberian bantuan hanya kepada pelajar yang benar-benar dari keluarga miskin termasuk ibu tunggal dan golongan OKU. Majlis-majlis rasmi kerajaan dilakukan secara yang sederhana. Projek-projek mega kerajaan perlu dikaji semula. Jika bukan keperluan mendesak dan menjejaskan kepentingan rakyat, eloklah ditangguhkan atau dibatalkan sahaja. Sistem pengangkutan bas awam diperkemaskan lagi dengan lebih banyak bas disediakan. Semua rakyat perlu mengubah gaya hidup. Gunakan motorsikal untuk ke tempat kerja. Di samping dapat mengurangkan penggunaan petrol, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Untuk ke pasar yang berhampiran dengan rumah gunakanlah basikal sebagai satu aktiviti riadah yang mungkin sebelum ini tak pernah melakukannya.
Sebenarnya semua pihak perlu membantu kerajaan. Demontrasi dan cemuhan yang dilemparkan kepada pemimpin kerajaan tidak dapat mengurangkan harga barang. Tindakan yang tidak bijak itu akan menimbulkan masalah lain. Pemimpin pembangkang mulai bersuara dengan nada sinis, menempelak kerajaan BN kerana gagal mengawal harga minyak. Pembangkang sedang mengambil kesempatan ini untuk memburukkan lagi kerajaan BN. Mereka mengemukakan idea yang tidak munasabah. Yang mana kerajaan tidak mampu melakukannya. Orang tengah pula mengambil peluang membuat keuntungan ketika harga minyak naik. Penyelewengan subsidi terus berlaku. Penyeludupan minyak di laut dan darat tetap berlaku kerana harga pasaran minyak di Malaysia masih rendah. Pihak berkuasa di laut, darat dan disempadan perlu menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. Jika semua pihak memahami dan memainkan peranan masing-masing, insyaallah harga barangan tidak akan naik dan taraf hidup kita akan meningkat.

Friday, June 6, 2008

Harga Minyak: Tindakan Kurang Bijak Kerajaan

Petrol dan diesel adalah bahanapi penting yang memberi impak besar dalam aktiviti ekonomi baik dalam sektor perkilangan, perkhidmatan, pertanian, perikanan dan sebagainya. Kenaikan harga minyak sudah pasti akan melonjak naik kenaikan dalam harga produk yang dihasilkan oleh sektor-sektor berkenaan. Pengeluar tidak sesekali akan menyerapkan kenaikan kos bahanapi itu yang boleh mengurangkan keuntungan apatah lagi kerugian kepada mereka. Pengguna akhir adalah semua isi rumah yang akan membeli dengan harga yang lebih tinggi. Berlakulah inflasi tolakan kos. Kenaikan kadar inflasi ini sudah tentu akan mengurangkan kuasa beli rakyat. Taraf hidup rakyat akan menurun dan rakyat yang miskin akan bertambah miskin.
Pihak kerajaan perlu mencari suatu mekanisme lain, selain menstruktur semula pemberian subsidi sedia ada, perlu mengelakkan kenaikan harga minyak yang begitu besar. Kenaikan yang besar itu akan menimbulkan banyak spekulatif dalam pasaran dan realitinya inflasi akan berlaku. Tidak dapat tidak kerajaan akan menerima desakan pula untuk kenaikan gaji kakitangan kerajaan dan juga penetapan gaji minimum. Masalah kerajaan bertali arus dan tiada jalan muktamadnya.
Apakah masalah utama yang memaksa kerajaan menaikan harga minyak sehingga hampir harga pasaran sebenar? Jika kes penyeludupan dan penyelewengan serta banyak subsidi petrol ini dinikmati oleh rakyat negara jiran maka kerajaan perlu memfokuskan masalah menanganinya ke arah itu. Mungkin perlu memantapkan lagi pihak berkuasa di laut dan di darat serta di sempadan. Harga minyak jangan dinaikkan begitu besar tetapi penstrukturan subsidi seperti sekarang boleh diperbaiki lagi. Kenderaan berkuasa kecil dihapuskan cukai jalan manakala kereta berkuasa lebih besar dikurangkan dengan kadar progresif. Lebih kecil kuasa kenderaan lebih besar peratus pengurangan cukai. Pemberian subsidi kepada nelayan perlu dikaji semula supaya tidak berlaku penyelewengan subsidi yang diberikan kepada nelayan. Nelayan tulin sahaja patut didaftarkan dan menerima subsidi minyak. Saya berharap menteri-menteri yang berkaitan dengan isu ini perlu beri perhatian serius dengan kenaikan harga minyak yang begitu besar ini. Menaikkan harga minyak yang begitu tinggi walaupun digantikan dengan subsidi lain adalah suatu langkah yang kurang bijak dari aspek pengurusan ekonomi, politik dan kemanusiaan.

Thursday, June 5, 2008

Keuntungan Petronas Untuk Jangka Panjang


Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan keuntungan Petronas tidak boleh digunakan secara habis-habisan untuk keperluan jangka pendek. Sebaliknya keuntungan Petronas perlu dilabur semula untuk kepentingan jangka panjang, terus berkembangan dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Syarikat minyak nasional di China, India dan Russia telah mula mengembangkan operasi mereka ke pasaran lain dan Petronas turut mengembangkan pasaran dan sumber ke seluruh dunia.
Rezab minyak negara terhad, tidak seperti di sesetengah negara seperti
Nigeria dan Indonesia yang merupakan negara pengeluar minyak yang besar dan negara anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Malaysia akan menjadi pengimport bersih minyak menjelang 2011 atau 2012. Ketika itu nanti, Malaysia tidak mampu lagi mengeksport petroleum seperti sekarang. Malaysia akan hanya memproses petroleum dan menjual semula petroleum yang telah diproses.
Jika keuntungan Petronas tidak digunakan secara berhemat, negara tidak akan mempunyai perbelanjaan berulang kerana dana untuk mewujudkan aliran pendapatan itu telah dibelanjakan.
Kerajaan
Barisan Nasional tidak akan menggunakan keuntungan Petronas untuk mengurangkan kenaikan harga barang walaupun kerajaan mempunyai dasar membela rakyat. Kerajaan tidak mahu jatuh muflis kerana terlalu banyak berhutang kepada negara asing. Pembangunan negara akan terbantut kerana terpaksa membayar hutang dan faedah kepada IMF, Bank Dunia dan negara asing seperti Jepun dan Amerika Syarikat. Negara akan 'bergari' dan tidak lagi mempunyai kebebasan dalam pentadbiran negara kerana negara asing akan memantau keseluruhan pentadbiran untuk memastikan hutang mereka dibayar mengikut pelan pembayaran semula. Ketika itu negara akan mengemis semula dan dijajah dari segi ekonomi dan politik.
Kenaikan harga barang sekarang bukan berpunca daripada kerajaan sahaja tetapi kesan kenaikan harga minyak dunia. Sekarangpun Malaysia memberi subsidi RM56 bilion setahun untuk menstabilkan harga barang keperluan . Subsidi seperti ini tidak berlaku di negara-negara lain.




Sumber: Wikipedia Ensiklopedia Bebas

Rasional vs Emosional: Isu Kenaikan Harga Minyak

Kerajaan BN telah mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen seliter kepada RM2.70 dan diesel RM1 seliter kepada RM2.58 sen mulai hari ini. Orang ramai dengan kenderaan masing-masing berpusu-pusu ke stesen-stesen minyak sehingga keadaan jalan raya kesesakan yang luar biasa dari petang hingga lewat semalam. Kenaikan harga minyak telah menjadi orang ramai 'panik'. Sanggup menunggu berjam-jam lamanya untuk memenuhi tangki minyak kenderaan. Yang pasti, tiada akan ada siapa pun yang suka dengan kenaikan harga minyak itu. Populariti kerajaan akan lenyap sekelip mata di kalangan rakyat kerana dengan kenaikan harga petrol dan diesel di pasaran. Tapi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan melakukannya dengan penuh timbangrasa supaya kesan kenaikan tersebut tidak membebankan rakyat yang berpendapatan rendah.
Dengan penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan levi yang dikenakan terhadap syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan pengeluar minyak kelapa sawit (POP), kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM13.7 bilion. Penjimatan sebanyak itu akan dibelanjakan semula bagi kepentingan rakyat dengan RM4 bilion diagihkan untuk dasar jaminan bekalan makanan negara, subsidi minyak masak (RM1.5 bilion), subsidi pembelian beras import (RM400 juta), subsidi tepung (RM200 juta), subsidi roti (RM100 juta) dan subsidi petrol, diesel dan gas (RM7.5 bilion). Subsidi tetap diberikan kepada rakyat tetapi dalam bentuk yang lebih baik. Sebelum ini kerajaan telah rugi berbilion ringgit kerana kegiatan penyeludupan dan penyelewengan subsidi minyak oleh pihak-pihak tertentu. Tangkapan demi tangkapan, melalui jalan laut, dari bot kecil sehinggalah kapal kargo, melalui jalan darat dari kereta hingga lori kentena, kegiatan penyeludupan petrol dan diesel terus berlaku. Yang terlepas dari perhatian pihak berkuasa, entah berapa banyaknya. Subsidi yang sepatutnya kepada rakyat Malaysia telah dirampas oleh rakyat negara lain. Bila harga minyak di pasaran dalam negara telah dinaikkan, sudah pasti kegiatan penyeludupan dan penyelewengan subsidi minyak tidak akan berlaku lagi. Kerajaan dapat mengatasi bocoran dalam pemberian subdisi kepada rakyatnya sendiri.

Walaupun kerajaan menaikkan harga minyak, subsidi terus diberikan dalam bentuk yang lain bagi meringankan beban rakyat. Misalnya bayaran tunai itu akan diberi apabila pemilik kenderaan memperbaharui cukai jalan, berkuat kuasa mulai 1 April lalu hingga 31 Mac tahun depan. Pemilik kenderaan persendirian dengan kapasiti enjin melebihi 2000cc pula akan menikmati pengurangan cukai jalan sebanyak RM200, manakala pemilik motosikal persendirian dengan kapasiti enjin lebih 250cc sebanyak RM50 tertakluk kepada cukai jalan minimum sebanyak RM2.

Tindakan kerajaan yang tidak popular ini terpaksa dilakukan setelah kenaikan harga petrol dipasaran dunia telah mencecah US$130 setong. Tiada kerajaan di dunia ini mampu mengekang kenaikan harga minyak. Sepatutnya kita memahami dan bersyukur kerana kerajaan masih dapat memberi subsidi untuk membantu rakyat walaupun terpaksa menaikkan harga minyak. Sebagai rakyat dan pengguna yang rasional kita perlu mengubah sedikit gaya hidup harian kita. Langkah berjimat cermat dalam perbelanjaan harian perlu dilakukan memandangkan kenaikan harga barangan dan minyak telah berlaku. Gunakan kenderaan lebih menjimatkan untuk ke tempat kerja atau bersiar-siar. Gunakan lampu pada masa dan ruang yang diperlukan sahaja. Berbelanja bagi barangan yang diperlukan dan merancanglah sebelum membeli supaya tidak berlaku pembaziran. Mungkin ada hikmah disebalik berlakunya kenaikan harga minyak. Sudah lama kita selesa dengan harga minyak lebih murah dari harga negara lain. Kita sepatutnya rasional dan bukan emosional menghadapi situasi ini. Sama-samalah kita membantu kerajaan dengan cara kita berbelanja dan mengambil langkah berjimat cermat dengan mengubah sedikit gaya hidup kita seharian.


Tuesday, June 3, 2008

Hebatnya Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang

Pakatan DAP dan PKR sekali lagi menawarkan kepada ADUN dari BN jawatan-jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri. Banyak perkara yang boleh diinterpretasikan disebalik tawaran tersebut. Sebagai parti yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah, sepatutnya pemimpin PKR dan DAP perlu buktikan kemampuan dan kebijaksanaan mentadbir negeri dengan baik, telus dan bertanggungjawab sepertimana janji semasa kempen dulu. Wakil-wakil rakyat dari UMNO bukan senang-senang jadi katak puru!!! Sebelum ini Ketua Menteri PP membuat kenyataan akan ada pemimpin veteran UMNO akan menyertai kerajaan negeri. Kini senyap begitu sahaja. Baru dua hari lalu pula, Timbalan KM1 pula menawarkan jawatan untuk wakil rakyat dari BN. Jangan kecewakan pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan juga PAS yang lain. Pemimpin PAS negeri Pulau Pinang hebat-hebat belaka kenapa mereka diketepikan. Kerajaan PR di PP nampaknya menganaktirikan parti PAS dalam pentadbiran negeri PP ini. Janganlah kata orang 'bercakap tak serupa bikin'. Kini rakyat telah beri mandat kepada PR untuk memerintah. Ya, laksanakanlah janji-janji semasa pilihanraya dan buktikanlah kepada rakyat bahawa kerajaan PR lebih baik dari kerajaan BN dulu. Buat ketika ini, pembangunan yang telah siap dan sedang dilaksanakan adalah hasil usaha kerajaan BN dulu. Di kampung-kampung mula rakyat bertanya-tanya bila lagi suatu jawatankuasa kampung diwujudkan seperti mana JKKK semasa pentadbiran BN dulu. Orang kampung masih bertanya kepada JKKK dahulu. Orang kampung tak faham, mereka ingat JKKK itu sentiasa berkhidmat untuk mereka walaupun kerajaan bertukar tangan. Sepatutnya pemimpin-pemimpin parti DAP, PAS dan PKR di kampung-kampung dan juga di taman-taman perumahan sudah ada suatu barisan jawatankuasa untuk membantu kerajaan negeri sepertimana JKKK dahulu. Sehingga tika ini, rakyat belum dengar kenyataan dari pemimpin kerajaan negeri berhubung dengan perkara ini. Dewan JKKK ditinggalkan atau dibiarkan begitu sahaja. Dahulunya kerap juga pelbagai aktiviti diadakan disitu. Sejak kerajaan negeri Pakatan Rakyat mengambil alih pentadbiran negeri, semua bangunan JKKK tidak berfungsi. Pemimpin-pemimpin PR diakar umbi sepatutnya ada inisiatif untuk membentuk satu jawatankuasa peringkat kampung. Kalau masa kempen pilihanraya dahulu, punya main hebat lagi jadi ketua sana sini, sebok ke sana ke sini, mesyuarat di sana sini, nampak seolah-olah itulah bakal ketua kita nanti jika mereka menang PRU12 nanti. Tetapi penyokong-penyokong yang dimaksudkan ini, kini duduk diam, menyorok di sana sini lebih teruk lagi ada yang dah tak mahu bercampur dengan kawan-kawan dulu. Janganlah malu dan segan, kita menang dalam PRU12, parti kita memerintah negeri, tunjukkanlah kepada orang-orang kampung bahawa kita dapat bukti kepada orang kampung bahawa kita lebih kuat bekerja untuk orang kampung dan mampu memberi khidmat lebih baik dari JKKK dulu. Ceramah-ceramah politik PR masih ada di sana sini macam PR masih pembangkang di PP. Bukan masanya lagi nak tunjuk BN tidak betul sana sini. Bukan masanya lagi nak beritahu rakyat bahawa kerajaan BN korupsi, tidak demokratik dan sebagainya. Masa sekarang ini masa untuk PR membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan negeri hari ini mampu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat sepertimana janji-janji mereka dalam PRU12 yang lalu. Janganlah jadi kerajaan yang retorik dan glamour semata-mata. Umpamanya kerajaan berkebajikan kononnya memberi beras setiap kampit kepada rakyat miskin. Tahukah betapa susahnya orang-orang miskin ini, datangnya bertongkat, ada yang bertumpang, mengangkat kaki dan meninggalkan kerja untuk sekampit beras. Pemimpin-pemimpin kerajaan negeri perlu segera tubuhkan satu jawatankuasa di peringkat kampung supaya penyokong-penyokong kuat PR ini boleh bekerja, mereka tak ada kerja dan mereka boleh ambil beras-beras itu agihkan kepada setiap rumah orang kampung yang miskin seperti mana JKKK dulu. Barulah rakyat nampak kerajaan negeri ini lebih baik, cekap dan bertimbang rasa. Ada orang susah ini, ambil beras dan diberikan kepada kawannya sebagai bayaran untuk minyak motorsikal kawannya. Tak berbaloi katanya!! Orang susah ini sebenarnya tak faham, kerajaan negeri hari ini berjimat cermat. Kerajaan BN dulu lain, nak bagi bantuan sampai tak cukup tangan kaki kerana kerajaan BN dulu boros! Terima sahajalah kerajaan mana pun kerana jari kita yang memangkahnya.
"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"