Saturday, June 28, 2008

Layakkah Majlis Peguam Bincang Ketuanan Melayu?

Pelbagai pihak hari ini mempersoalkan motif sebenar Majlis Peguam menganjurkan forum berhubung ketuanan Melayu apabila ahli panel yang akan terlibat pada program itu terdiri daripada bukan Melayu. Sudah tentu akan mengundang kemarahan orang Melayu apabila bukan Melayu mengupas isu mengenai kedudukan dan hak orang Melayu. Presiden Persatuan Peguam Muslim, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang berkata, Majlis Peguam sepatutnya menumpukan kepada hal kebajikan ahli dan bukannya melibatkan diri dalam perkara sensitif seperti ini. Jika hendak berforum, majlis itu wajar menumpukan kepada isu berkaitan perundangan yang menjadi teras kewujudannya. Difahamkan barisan panel ialah peguam, Tommy Thomas, Dr. Mavis Puthucheary, penganalisis politik, Dr. Kua Kia Song dan Dr. Farish Noor. Majlis Peguam perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika forum berkenaan nanti akan menaikkan kemarahan orang-orang Melayu. Dalam situasi sekarang, Majlis Peguam perlu sedar bahawa orang Melayu telah merasai kehilangan kuasa politik. Walaupun PKR dan PAS berada dalam Pakatan Rakyat, realitinya kuasa Melayu sudah terhakis. Dengan kerana itulah, pelbagai NGOs hari ini yang berteraskan Melayu mulai bangun untuk memulihkan semula perpaduan Melayu. Biarlah hal ehwal orang Melayu dibincangkan atau diforumkan oleh pemimpin dan pertubuhan Melayu sendiri. Majlis Peguam tak perlulah mengeruhkan lagi keadaan atau cuba menjadi jaguh untuk orang Melayu sekalipun. Majlis Peguam sepatutnya menganjur forum yang boleh meningkatkan lagi tahap profesionalisme peguam-peguamnya supaya masyarakat akan sentiasa menghormati kredibiliti peguam. Jika presiden Majlis Peguam sangat berminat dengan isu-isu politik yang memihak kepada pembangkang, silalah meletak jawatan dan jadilah ahli politik sepenuh masa. Janganlah Majlis Peguam dikenali rakyat sebagai sebuah parti politik baru yang barisan kepimpinan terdiri dari peguam-peguam tersohor. Belum pernah berlaku di Malaysia ini, pertubuhan Cina dan India membincangkan masalah ketuanan Melayu. Sebaliknya belum pernah lagi orang Melayu memforumkan soal perpaduan bukan Melayu. Dengan semangat setia kawan dalam BN, parti-parti komponen yang ada MCA, MIC, UMNO dan lain-lain mengadakan perbincangan masalah masing-masing di meja perundingan. Inilah cara BN menyelesaikan masalah kepentingan pelbagai kaum sehingga hari ini. Hormat menghormati hak semua kaum dan rakyat Malaysia melalui meja perundingan menjadikan rakyat Malaysia yang majmuk dapat hidup secara aman dan damai hingga ke hari ini.

1 comment:

Sedingin Salju said...

Sepatutnya majlis peguam tidak boleh masuk campur dalam hal kontrak sosial ini.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"