Saturday, June 7, 2008

Implikasi dan Kaedah Menghadapi Kenaikan Harga Minyak


Di sana sini, rakyat bercakap pasal harga minyak yang naik tinggi. Ada yang cukup marah, kecewa dan melepas geram dengan mencemuh pemimpin kerajaan. Saya pun kurang pasti apakah objektif sebenar kerajaan melakukan penstrukturan semula pemberian subsidi hingga harga minyak dinaikkan sangat tinggi. Kesan kenaikan harga minyak akan menjejaskan taraf hidup rakyat. Rakyat berpendapatan rendah akan merasakan peritnya, manakala yang miskin akan terus papa. Kenaikan harga minyak tidak dapat dielakkan kata PM. Subsidi tetap berlaku. Cuma kerajaan mengalihkan beban tanggungan subsidi dalam bentuk yang lain. Mengapa kerajaan tidak meneruskan sahaja pemberian subsidi minyak supaya kenaikan harga minyak tidak begitu tinggi.
Dari sudut ekonomi, minyak merupakan produk tidak anjal sifatnya. Kenaikan harganya tidak mempengaruhi permintaannya dalam pasaran. Implikasinya amat ketara dan menyeluruh serta menyentuh semua aspek penghidupan. Yang berpendapatan sederhana juga mengeluh, telah menghitung dan menyemak semula belanjawan keluarga. Ada yang terpaksa membatalkan rancangan membeli rumah, kereta dan perkakasan rumah. Malah ada membatalkan untuk melanjutkan pelajaran kerana berlaku defisit dalam perbelanjaan rumahtangga. Harga barangan mulai meningkat. Kenaikan harga minyak menyebabkan kos pengangkutan turut meningkat. Apa yang akan berlaku bagi keluarga yang miskin? Harga gula dan tepung naik, sewa bas sekolah ikut naik. Ikan dan sayur-sayuran juga naik!! Keluarga miskin akan jadi papa jika harga barang tidak dikawal.
Penstrukturan semula pemberian subsidi boleh dibaiki lagi. Isirumah yang berpendapatan tinggi dan berkereta mewah membeli minyak dengan harga pasaran. Yang bermotorsikal 250 cc ke bawah diberi subsidi 100%, berkenderaan 251cc hingga 1000cc diberi subsidi 50% dan begitulah seterusnya. Pemilik kenderaan asing dan kenderaan mewah tempatan terpaksa membeli harga pasaran. Penggunaan kenderaan kerajaan mesti dikaji semula. Kenderaan rasmi kerajaan hanya menggunakan kereta nasional Proton Perdana V6 . Peraturan penggunaannya diperketatkan lagi supaya langkah berjimat cermat oleh jabatan kerajaan dapat dilakukan. Elaun-elaun dan lain-lain kemudahan untuk wakil rakyat dan pegawai kerajaan kumpulan Jusa dikurangkan ataupun dihapuskan. Kursus-kursus kakitangan kerajaan hanya diadakan dalam negeri sahaja. Bantuan-bantuan persekolahan sama ada bantuan Skim Bantuan Tuisyen, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rancangan Makanan Tambahan (RMT), Program Susu Sekolah (PSS) dan Biasiswa perlu disemak semula. Pemberian bantuan hanya kepada pelajar yang benar-benar dari keluarga miskin termasuk ibu tunggal dan golongan OKU. Majlis-majlis rasmi kerajaan dilakukan secara yang sederhana. Projek-projek mega kerajaan perlu dikaji semula. Jika bukan keperluan mendesak dan menjejaskan kepentingan rakyat, eloklah ditangguhkan atau dibatalkan sahaja. Sistem pengangkutan bas awam diperkemaskan lagi dengan lebih banyak bas disediakan. Semua rakyat perlu mengubah gaya hidup. Gunakan motorsikal untuk ke tempat kerja. Di samping dapat mengurangkan penggunaan petrol, kesesakan jalan raya dapat dikurangkan. Untuk ke pasar yang berhampiran dengan rumah gunakanlah basikal sebagai satu aktiviti riadah yang mungkin sebelum ini tak pernah melakukannya.
Sebenarnya semua pihak perlu membantu kerajaan. Demontrasi dan cemuhan yang dilemparkan kepada pemimpin kerajaan tidak dapat mengurangkan harga barang. Tindakan yang tidak bijak itu akan menimbulkan masalah lain. Pemimpin pembangkang mulai bersuara dengan nada sinis, menempelak kerajaan BN kerana gagal mengawal harga minyak. Pembangkang sedang mengambil kesempatan ini untuk memburukkan lagi kerajaan BN. Mereka mengemukakan idea yang tidak munasabah. Yang mana kerajaan tidak mampu melakukannya. Orang tengah pula mengambil peluang membuat keuntungan ketika harga minyak naik. Penyelewengan subsidi terus berlaku. Penyeludupan minyak di laut dan darat tetap berlaku kerana harga pasaran minyak di Malaysia masih rendah. Pihak berkuasa di laut, darat dan disempadan perlu menjalankan tugas dengan jujur dan amanah. Jika semua pihak memahami dan memainkan peranan masing-masing, insyaallah harga barangan tidak akan naik dan taraf hidup kita akan meningkat.

6 comments:

Anonymous said...

kalo seme cadangan di atas tu di pakai..insyaAllah buleh berjaya..masalahnya..adakah pemimpin2 kerajaan nak pakai cadangan2 tu..sanggup ke elaun2 dierg di potong..

yg jelasnya..di pasar tani Sg Petani:
- Ikan kembung naik RM1
- Ayam naik RM0.50
- Kueh naik 0.10sen
- Nasi lemak naik 0.10sen
- Sayur naik 0.30sen
- Ikan Tenggiri usah ditanya dah jadi RM25 sekilo
- Ikan bawal juga usah ditanya dah jadi RM22 sekilo
- Buah epal usah ditanya harga sebiji tak berubah tetapi saiz tambah kecil

tenkiu negaraku malaysia...

Tai said...

Baru keluak kat Buletin Utama tadi, projek-projek mega akan dikaji semula dan kad diskaun elah dikeluarkan untuk para pelajar universiti.

Anonymous said...

gaji dan elaun menteri2 tanak di kaji semula ke...nie pegi padang golf pun pakai duit kerajaan...

Tai said...

Harap-harap, mereka akan mengkaji balik segala macam bukan saja elaun dan gaji menteri malah ahli parlimen kesemuanya.

Unknown said...

Kerajaan akan membuat sesuatu untuk mengatasi kesan kenaikan harga minyak. Kerajaan tidak boleh mengatasi kenaikan harga minyak. Kenaikan harga minyak global adalah di luar kemampuan kita. Hanya termampu mengatasi kesannya sahaja. Kesan kepada golongan berpendapatan rendah dan miskin, petani, nelayan, ibu tunggal, OKU dan sebagainya. Disamping itu jabatan kerajaan telah mengambil beberapa langkah berjimat mulai 1 Jun 2008. Antaranya, tiada lagi mengadakan mesyuarat di luarnegeri, kurangkan bengkel dan kursus, agihan peruntukan ikut keperluan, mesyuarat atau kursus di premis kerajaan, banner atau kain rentang tidak perlu, kos buku program diminimumkan dan tiada lagi hadiah/cenderamata diberikan kepada tetamu/jemputan dan sebagainya.

Anonymous said...

asalamualaikum,nak bagi cadangantentang kesan kenaikan harga brg2,setuju gaji pegawai atasan kerajaan di kaji semula,memang dah sampai masa.lagi satu, kenapa tidak disalurkan bantuan kepada OKU mcm dibuat di UK dan negeri maju,ini akan meringankan beban kewangan keluarga itu. Mulakan dgn golongan ini dan jika kita mampu boleh pula ditambah kepada warga emas 65 thn ke atas seperti di Australia.saya yg membayar income tax pun tak la rasa terkilan jika duit ini dibelanja dgn sedemikian.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"