Friday, May 16, 2008

27Kesilapan Kerajaan BN dan UMNO!!

Tidak dinafikan bahawa jasa kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO memang besar terutama kepada bangsa Melayu. Namun kegagalan dan kesilapan kerajaan BN telah memberi 'advantage' kepada pihak pembangkang dalam pilihanraya yang lalu. Pelbagai kelemahan dan kekurangan BN dan UMNO sehinggalah membawa kepada keputusan pilihanraya PU12 di mana BN gagal mengekalkan dua pertiga majoriti dan kejatuhan 4 negeri ke tangan pembangkang. Antaranya kelemahan dan kekurangan yang dapat disenaraikan adalah seperti berikut:
i. DEB dikatakan gagal membela nasib orang Melayu. Berjaya hanya segelintir Melayu korporat, pertengahan dan atasan. DEB hanya untuk kroni Melayu tertentu.
ii. Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan Sains. Banyak pertubuhan NGOs dan UMNO Bahagian tertentu mendesak supaya pengajaran BI dalam mata pelajaran tersebut dihentikan. Sebaliknya pengajaran BI itu sendiri hendaklah ditingkatkan.
iii. Pengangguran siswazah Melayu. Anak Melayu kini sukar mendapat tempat di sektor swasta melainkan sekadar operator pengeluaran sahaja. Walaupun BI baik tetapi bahasa Mandarin pula dijadikan halangan. Kerajaan gagal menyekat sektor swasta mensyaratkan Bahasa Mandarin sebagai kriteria pemilihan. Melayu terus tersisih.
iv. Rasuah di kalangan kakitangan kerajaan. Walaupun kerajaan BN era Pak Lah tegas memerangi rasuah tetapi kes rasuah yang berlaku dianggap sebagai kegagalan kerajaan BN. Ibaratkan nila setitik rosak susu belanga. Peluang parti pembangkang memberi gambaran isu rasuah di kalangan kakitangan dan pemimpin kerajaan amat serius dan menjijikkan.
vi. Kenaikan harga minyak dan barangan. Kerajaan tidak dapat menyakinkan rakyat bahawa harga minyak dalam negara tidak akan naik. Pembangkang telah mengambil kesempatan ini.
vii. Setiap tuduhan oleh pemimpin pembangkang kepada BN dan UMNO tidak diendahkan oleh pihak kerajaan khususnya pemimpin BN/UMNO. Sikap berdiam atau tidak melayani tuduhan-tuduhan itu menjadikan rakyat lebih percaya dakwaan atau tuduhan itu mahupun ianya palsu.
viii. Sangat kebergantungan kepada media arus perdana seperti TV dan akhbar. Pemuda dan remaja adalah golongan yang jarang membaca akhbar dan menonton berita. Kebanyakan golongan remaja dan pemuda ini menggunakan media alternatif iaitu blog/laman web. Kira-kira 90% pelayar internet adalah mereka dari penyokong-penyokong pembangkang. Penyokong UMNO ada tetapi tak banyak kerana sibuk dengan masalah rakyat, projek dan perniagaan sendiri.
ix. Kempen pembangkang berterusan tanpa batasan. Kempen agresif pembangkang amat ketara bagi pilihanraya yang lalu. Rahsuah wang dan barangan semasa kempen dilaporkan berlaku walaupun parti pembangkang mendakwa mereka tak ada wang dan tidak melakukan perbuatan terkutuk itu. Apa yang dilakukan oleh BN tiada bezanya dengan parti pembangkang pada kali ini.
x. Salah guna rumah ibadat seperti mesjid dan surau. Kerajaan BN/UMNO dipuji kerana tidak menggunakan rumah Allah untuk berkempen. Parti pembangkang khususnya parti PAS telah mengambil kesempatan ini dengan sewenang-wenangnya hinggakan ahli qaryah yang menghadiri surau dan masjid tidak dapat membezakan antara kuliah agama dengan ceramah politik.
xi. Pemimpin UMNO sibuk dengan dunia korporatnya. Tiada masa untuk bersama anggota masyarakat dan NGOs. Erti kata lain, pemimpin UMNO mementingkan diri sendiri.
xii. Ada pemimpin UMNO yang kaya-raya. Rakyat dan masyarakat sekitar terkejut dan hairan. Rakyat marah kerana pemimpin UMNO telah menggunakan kedudukannya untuk memperkayakan diri dan kroninya. Riak dan sombong pemimpin ini menambahkan kebencian rakyat terhadap pemimpin dan parti UMNO.
xiii. Pemimpin-pemimpin UMNO sibuk dengan kerja-kerja luar hingga tidak terluang masa untuk bersama ahli qaryah di masjid-masjid dan surau-surau. Pemimpin-pemimpin UMNO selalu ketinggalan dalam majlis-majlis ilmu.
xiv. Pemimpin-pemimpin UMNO sukar menerima teguran ahli-ahli UMNO. Sebaliknya mereka suka kepada ahli-ahli UMNO yang pandai mengampu. Sedangkan yang rajin mengampu itu tidak pun memberi sumbangan apa-apa kepada parti UMNO.
xv. Pemimpin UMNO sekarang mungkin terlupa kepada jasa pemimpin-pemimpin UMNO yang lama/veteran. Apa salah jemput mereka hadir dalam majlis sama ada majlis rasmi atau tidak, sama ada di peringkat pusat, bahagian mahupun cawangan. UMNO Pusat perlu mengadakan perbincangan dengan bekas PM, Tun Mahathir supaya gabungan ideanya dapat memantapkan parti dan pembangunan negara.
xvi. Pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat cawangan dan juga bahagian didapati gagal mengurus jentera organisasinya dengan baik. Ada cawangan yang boleh diibaratkan hidup segan, mati tak mahu.
xvii. Wakil rakyat UMNO jarang menziarahi serta menghadiri majlis kenduri di kampung-kampung kawasannya. Jika ada pun mungkin kerana si mati adalah kawan rakan. Jika ada wakil YB pun tidak dapat kerana sibuk dengan urusan peribadi.
xviii. Pegawai khas kepada YB tidak berperanan dengan baik. Masalah rakyat tidak banyak diselesaikan. Tidak ada keikhlasan untuk membantu orang ramai dan boleh diibaratkan seperti melepas batuk ditangga.
xix. Wakil rakyat dan pemimpin UMNO gagal mengadakan perjumpaan dengan pertubuhan-pertubuhan setempat secara berkala untuk memahami masalah pertubuhan dan ahli-ahli yang diwakili oleh pertubuhan itu. Perjumpaan berkala tidak berlaku.
xx. Wakil rakyat dan pemimpin UMNO gagal menggunakan pelbagai kepakaran yang ada di kalangan ahli-ahlinya untuk faedah orang Melayu dan parti UMNO. Kepakaran dalam ICT, undang-undang, penyelidikan, pendidikan, keusahawanan, tokoh agama, tokoh masyarakat dan budayawan yang ada di kalangan orang-orang Mmelayu sepatutnya dimenafaatkan. Golongan ini kebanyakan tersisih dan ada yang disisihkan.
xxi. Tidak wujud suatu konsep 'kerja berpasukan' dalam organisasi UMNO sendiri. Pemuda, wanita dan puteri dengan arah tuju masing-masing. Jentera pilihanraya sama ada di peringkat cawangan mahu pun bahagian tidak mantap bila tidak wujud lagi persefahaman dan kerjasama antara satu sama lain.
xxii. Calon BN tidak dikenali pengundi. Calon memerlukan masa yang agak lama untuk dikenali lebih rapat oleh pengundi. Penampilan diri, cara berkomunikasi dan laras bahasa calon itu mesti yang dapat diterima oleh pengundi. Kegagalan calon memahami masalah pengundi sesuatu kawasan boleh menyebabkan calon tersebut akan kehilangan undi yang banyak.
xxiii. Pemimpin BN/UMNO semua peringkat termasuk PM dan Menteri memberi jawapan dan ulasan yang tidak profesional malahan masih boleh dipertikaikan kesahihan atau diperbaiki cara penyampaiannya itu. Rakyat hilang hormat apatah lagi bagi golongan intelektual yang melihat/mendengarnya.
xxiv. UMNO Bahagian dan juga cawangan masih menunggu calon yang bakal diumumkan. Walaupun telah diketahui calon-calon yang akan bertanding di Parlimen dan DUN tetapi masih kedapatan UMNO Bahagian dan Cawangan-Cawangan belum menggerakkan Bilik Gerakan masing-masing.
xxv. Biro Penerangan UMNO Bahagian tidak memainkan peranan secara berkesan. Program penerangan hampir tidak ada cuma jika ada di saat-saat akhir hampir pilihanraya. Ceramah-ceramah yang diadakan sekadar memenuhi agenda parti semata-mata. Tiada strategi khusus untuk menarik kumpulan sasar tertentu.
xxvi. UMNO merasa cukup selesa dengan pencapaian negara dan peranan media perdana pada setiap masa memihak kepada kerajaan. Oleh itu semua peringkat UMNO tidak mengambil serius tentang usaha agresif pembangkang yang sentiasa mengadakan siri ceramah sejak beberapa tahun dahulu.
xxvii. Umumnya pemimpin UMNO yang memperolehi kesenangan dan kemewahan setelah berada dalam UMNO semakin sibuk dengan agenda sendiri (untuk mencari dan mengumpul kekayaan) sudah tidak lagi memikirkan tentang agenda parti. Banyak masa diberikan perhatian untuk agenda peribadi walaupun memegang jawatan penting dalam Bahagian mahupun Negeri.
Itulah antara beberapa kelemahan dan kekurangan yang dapat dikesan yang menyebabkan UMNO kini kekurangan penyokong. Pandangan secara jujur dan ikhlas serta tidak berniat untuk menyentuh perasaan YB dan pemimpin-pemimpin UMNO yang lain. Bukan semuanya pemimpin BN dan UMNO seperti yang dinyatakan di atas. Biar pun nila setitik tetapi akibatnya semua orang Melayu sengsara kerana BN telah kehilangan kuasa di beberapa negeri. UMNO perlu segera lakukan perubahan dan pembaharuan jika mahu orang-orang Melayu dan bumiputera kembali kepada parti UMNO.

2 comments:

Anonymous said...

saya setuju dengan tuan, sehingga kini pemimpin-pemimpin UMNO masih lagi bersenang lenang. Yb UMNO tidak sedar diri masih dengan ke egoan masing-masing. Rakyak masih tidak di lihat. Tiada perubahan di buat untuk menuntut kepercayaan rakyat mahu pun ahli UMNO. Sedarlah wahai pemimpin-pemimpin UMNO!!!!!!!!

Anonymous said...

pendapat tuan 100000% betul .kalau masih tak berubah alamat nak mampuslah tu.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"