Friday, July 25, 2008

Adakah UMNO Sesat Lagi Menyesatkan?

Ditulis oleh taminsari

Julai 18th, 2008

Apabila Tun Dr. Mahathir mengambil keputusan untuk keluar dari UMNO, orang yang paling gembira dan bahagia adalah Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat. Beliau menganggap Tun Dr. Mahathir seorang insan yang istimewa yang dikurniakan akan kebijaksanaan. Tetapi amat malang keistimewaan itu digunakan untuk menyokong sekular. Alangkah baiknya jika keistimewaan itu digunakan untuk kemajuan Islam.

Justeru Nik Aziz menyeru ahli-ahli UMNO yang lain mengambil tindakan yang sama mengikuti jejak Tun Dr. Mahathir dengan meninggalkan UMNO yang di anggapnya sudah sesat lagi menyesatkan dan masuk menyertai Pas. Beliau menyatakan pintu Pas sentiasa terbuka untuk orang UMNO. Dan di dalam kenyataan terbaru sebelum itu Nik Aziz mengatakan yang UMNO gagal membela nasib orang Melayu dan sudah tidak releven lagi.

Penulis ingin bertanya kembali kepada Tuan Guru Nik Aziz, kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Tabung Haji bagi kemudahan umat Islam di Malaysia untuk menunaikan ibadah haji. Kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Bank Islam untuk menjalankan sistem perbankan Islam. Kalau UMNO itu sesat, siapa yang menubuhkan Universiti Islam Antarabangsa untuk kemudahan umat Islam dari seluruh dunia datang menimba ilmu ke negara ini dan terbaru apabila Universiti Al-Azhar menubuhkan cawangannya di Negeri Sembilan dan bermacam-macam lagi. Mengapa Nik Aziz hendak menafikannya. Kesemuanya ini disediakan oleh UMNO untuk kemudahan dan kebaikan umat Islam di negara ini. Kebaikan apa yang dapat Pas tonjolkan untuk faedah bersama umat Islam di negara ini. Jawapannya kosong. Banyak berceramah dari membuat kerja. Jadi sekarang siapa yang sebenarnya sesat lagi menyesatkan. UMNO ataupun Pas?.

UMNO konsisten dalam perjuangan menegakkan syiar Islam tanpa mengenepikan hak-hak bukan Islam sejak merdeka lagi. UMNO telah lama berjuang dalam membela nasib orang Melayu. Cuma ada segelintir yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih atas nikmat dan rahmat yang telah diberikan. Sebab itu UMNO diterima dengan baik oleh sahabat-sahabat di dalam Barisan Nasional. Berbeza dengan Pas, disebabkan takut dengan DAP dan mahu meraih simpati pengundi-pengundi bukan Islam, Pas sanggup mengenepikan perjuangan menubuhkan negara Islam yang sebelum ini begitu lantang diperjuangkan. Jelas perjuangan Islam Pas bermusim. Pas lebih takut kehilangan undi daripada takutkan Allah Taala.

UMNO tidak memperalatkan Agama untuk kepentingan politik, tetapi sebaliknya Pas lah yang memperalatkan Agama untuk kepentingan politik yang sempit. Jangan mudah untuk menuduh UMNO itu sesat lagi menyesatkan. Tetapi yang sebenarnya Pas lah yang sesat lagi menyesatkan dan terus tersesat. Banyak ajaran-ajaran yang diberikan oleh pemimpin-pemimpin Pas itu sendiri yang menyesatkan pemikiran penyokong-penyokong Pas. Nik Aziz tidak seharusnya lupa atau menutup mulut akan fatwa dan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mana telah memecahbelahkan umat Islam di negara ini tidak lama dulu di mana beliau telah menghukum UMNO sebagai kafir kerana bekerjasama dengan MCA dan MIC.

Sembahyang dua imam, sembelihan binatang dan akad nikah orang UMNO tidak sah dan bermacam-macam lagi. Apa sahaja yang dilakukan oleh orang UMNO semuanya jijik dan haram bagi Pas. Tetapi pada masa yang sama apabila Pas sendiri yang melakukan iaitu berdamping dengan DAP dan PKR semuanya menjadi halal bagi mereka. Menjadi kehairanan juga kerana tidak ada pula fatwa dari Presiden Pas yang mangatakan partinya “kafir” kerana bersubahat dengan Pakatan Rakyat? Inilah yang dikatakan menyalahgunakan agama untuk kepentingan politik.

Hukum Dewan Ulama’ Pas Kelantan 1963 : “Orang-orang Islam yang berkongsi kuasa dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara, menjadi kafir atau haram”. Kenyataan ini pernah dikeluarkan oleh pemimpin Pas pada suatu ketika dahulu. Sekarang lihatlah apa yang dah terjadi. Apakah hukum Pas sekarang ini sudah termakan diri sendiri?

Rakyat tidak akan lupa apabila setiap kali pilihanraya diadakan, maka setiap akan ada bermacam-macam kenyataan ataupun fatwa yang mengelirukan datang dari mulut pemimpin Pas itu sendiri. Nik Aziz pernah mengatakan Allah itu mencarut, samseng dan bermacam lagi. Pada pilihanraya tahun 1999 Nik Aziz pernah berkata dia boleh bekerjasama dengan sesiapapun termasuklah syaitan untuk menang dalam pilihanraya.

Beliau juga pernah mengatakan DAP dan syaitan itu sama sahaja tetapi sekarang DAP adalah kawan baik Pas. Jelaslah Pas umpama meludah ke langit, akhirnya terpalit ke muka sendiri. Ini tidak termasuk menyamakan orang UMNO dengan orang utan, mendoakan penyokong-penyokong UMNO yang balik mengundi di Kelantan pada PRU ke-12 yang lepas ditimpa musibah dan bermacam-macam lagi.

Sebenarnya bukan orang-orang Melayu sahaja yang keliru dengan ajaran-ajaran yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin Pas, tetapi juga penyokong-penyokong Pas itu sendiri. Tidak ada dalam mana-mana kitab, hadis dan Al-Quran menyebut bahawa undi Pas itu akan masuk syurga. Ianya hanya keluar dari mulut pemimpin-pemimpin Pas itu sendiri untuk memancing undi.

Apa yang dinyatakan dan cuba penulis singkapkan kembali adalah untuk penilaian semua siapa sebenarnya yang sesat lagi menyesatkan. Hakikatnya untuk menjadi seorang umat Islam yang baik, beriman dan bertakwa tidak semestinya seseorang umat Islam itu menjadi ahli Pas. Berpeganglah kepada ajaran Islam yang sebenarnya.

TAMINSARI

Shah Alam

Selangor Darul Ehsan

2 comments:

Tai said...

mana dia prinsip negara islam PAS? Siapa yang jadi kafir sekarang? PAS atau Umno?

Anonymous said...

Oleh kerana engkau bertanya, siapa kafir maka jawabnya ialah UMno tetap kafir kerana selama ini perlembagaan umno tidak bertunjangkan al-quran dan sunah..... contoh kalau kita tinggal dalam rumah yang dibina dengan barang yang haram seperti duit rasuah atau curi duit rakyat, sampai bila pon rumah tu tetap haram kerana dibina dengan barang haram.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"