Tuesday, July 29, 2008

BOLEHKAH UMNO DAN PAS BERGABUNG?

UMNO negeri Perak telah menawarkan kepada Pas cadangan untuk menubuhkan kerajaan negeri di Perak yang jika dapat direalisasikan bakal menjadi simbol perpaduan politik Melayu dan Islam. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, UMNO juga bersedia menerima wakil Pas sebagai Menteri Besar Perak dengan beliau sendiri tidak akan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan kerana tidak mahu dikata hendak menguasai pentadbiran negeri. "Kerjasama ini boleh perluaskan ke negeri-negeri lain di seluruh Malaysia dan ia membolehkan UMNO dan Pas mewujudkan dasar yang lebih praktikal kepada semua rakyat,” kata Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali. Tajol Rosli berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin yang mengesyorkan supaya UMNO dan Pas dibubarkan bagi membuka laluan kepada penubuhan sebuah parti baru berlandaskan Islam.

Manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan bahawa Pas negeri Perak akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO. Timbalan Pesuruhjaya II Pas negeri itu berkata, pihaknya sentiasa memberikan komitmen untuk terus bersama-sama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menerajui kerajaan pembangkang di negeri ini. Ketika ditanya, apakah Pas akan bekerjasama dengan UMNO di Perak jika diminta berbuat oleh pimpinan peringkat Pas pusat, beliau berkata, ''Pas adalah sebahagian daripada pakatan pembangkang dan perlu mendapat persetujuan daripada pakatan untuk menimbang sebarang bentuk kerjasama dengan UMNO."

Komen:
Pada peringkat awal isu muzakarah UMNO-PAS, Murshidul Am PAS, Datuk Nik Aziz bersetuju dan kemudian meminta usaha bermuzakarah dihentikan kerana usaha itu boleh memecahbelahkan perpaduan ahli PAS. Bila Pak Lah mendedahkan bahawa pertemuan dengan PAS telah pun diadakan sebanyak tiga kali tanpa kehadiran Nik Aziz serta pengakuan diberikan oleh Presiden PAS, YB Haji Hadi bahawa pertemuan tersebut telah mendapat persetujuan Majlis Syura' Ulamak PAS maka Datuk Nik Aziz mulai didapati berlembut. Perjumpaan pemimpin tertinggi PAS baru-baru ini, Nik Aziz mencadangkan 'muqabalah' bagi menggantikan 'muzakarah. Ini bermaksud Tok Guru Nik Aziz bersetuju dengan pertemuan itu asalkan ianya memberi menafaat kepada agama Islam, orang Melayu khasnya dan rakyat Malaysia keseluruhan amnya. MB Pahang pula telah menunjukkan keikhlasan untuk bersama dengan PAS sehingga beliau sudi menawarkan exco kepada wakil rakyat PAS. Tetapi yang menghairankan, dalam banyak pihak bercakap dan menyokong ke arah kerjasama antara UMNO dan PAS, MB Perak Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin memberi jaminan bahawa Pas negeri Perak akan kekal dalam pakatan pembangkang dan sama sekali tidak akan bekerjasama dengan UMNO. Berita mutakhir semalam, dua ketua pemuda PAS di Kelantan telah membuat laporan polis ekoran kenyataan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali menawarkan PAS untuk bekerjasama dengan UMNO dianggap sebagai unsur rasuah politik. Inilah realitinya pemikiran politik orang-orang Melayu sama ada di peringkat pemimpin mahu pun di akar umbi. Terutama ahli-ahli PAS yang fanatik dengan ideologi parti tidak akan berkomporomi kerana selama ini mereka telah ditanam dengan rasa benci terhadap UMNO dan pemimpinnya. UMNO digambarkan parti yang menjahanamkan bangsa Melayu, parti yang merosakkan Islam, seolah-olah lebih zalim dari Yahudi. Buktinya PAS sanggup bersama DAP yang terang-terang menentang penubuhan negara Islam tetapi tidak boleh bersama dengan UMNO kerana UMNO menegakkan semangat kebangsaan, menjunjung perlembagaan barat, mengamalkan rasuah serta tidak Islamik dalam sistem pentadbirannya. Apatah lagi bagi pemimpin-pemimpin PAS yang telah menjadi wakil rakyat terutama MB Perak yang baru merasakan cukup 'selesa' dan 'bahagia' untuk dirinya sudah tentu tidak begitu yakin dengan kerjasama PAS-UMNO yang mungkin tidak menyakinkan beliau. Sebenarnya usaha kerjasama UMNO-PAS bukan suatu perkara yang mudah. Menyatukan ahli-ahli antara dua parti yang 'berseteru' sekian lama. Melupakan kejadian-kejadian lampau mungkin begitu sukar bagi sesetengah pihak. Isu kafir mengkafir, dua imam, sembelih yang haram di antara Melayu Islam PAS dan UMNO suatu masa dulu amat menggerunkan kita. Jika perpaduan Melayu PAS dan UMNO dapat direalisasikan dengan melupakan sejarah lampau yang merugikan itu, semua pihak termasuk seluruh NGOs Melayu dan Islam akan merasakan suatu sejarah baru tercipta demi untuk pembangunan dan kemajuan umat Melayu dan Islam di Malaysia keseluruhannya.

2 comments:

Tai said...

Tapi, pemuda PAS dah buat laporan polis. Bolehkah direalisasikan?

babiPAS-islamDAP said...

http://anwarpm.blogspot.com

kau tahu apa pasal politik.

"BERSATULAH MELAYU DEMI BANGSA MU DAN BERSATULAH UMAT ISLAM DEMI AGAMAMU, DAN BERSATULAH RAKYAT MALAYSIA DEMI NEGARAMU"